Iktibar pengorbanan nabi Ibrahim sekeluarga

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Pasrah atas apa berlaku adalah sifat mulia, terpuji dituntut ajaran Islam

HARI Raya Korban mengingatkan umat Islam pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail. Kisah mereka menjadi sebutan dan sering menjadi cerita yang diulang setiap kali menjelang Aidiladha.

Tidak ramai yang mengambil iktibar atas ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga mentaati suruhan Allah SWT.

Walaupun menunggu lama untuk menimang cahaya mata. Nabi Ibrahim tidak berputus asa, sebaliknya berusaha dan berikhtiar seperti mana patut dilakukan oleh seorang manusia. Benar, ujian-Nya bagi menguji sejauh mana iman dan kesabaran seorang hamba.

Bukan saja Nabi Ibrahim, malah isteri baginda, Siti Hajar, juga diduga dengan kepayahan hidup ditinggal suami di padang pasir yang jauh daripada manusia, hanya bermukim bersama seorang putera yang tidak mengerti apa-apa.

Tidak cukup dengan itu, si putera yang masih kecil pula berkorban demi ayahanda tercinta yang setia menurut perintah Yang Esa. Jika tidak kerana kesediaan si anak yang reda mengorbankan diri supaya ayahnya akur pada kehendak Ilahi, tentu sukar Nabi Ibrahim mengutuhkan imannya kepada Allah.

Justeru, segetir mana pun ujian yang harus dilalui dalam kehidupan ini, kita tidak harus berputus asa, sebaliknya bersedia menghadapi apa saja asalkan tidak menyimpang daripada kehendak-Nya.

Pasrah atas apa yang sudah berlaku dan menganggap setiap ketentuan Allah SWT tersirat seribu hikmah, adalah sifat mulia dan terpuji yang dituntut Islam. Agama juga mendidik umatnya sentiasa reda melakukan kebaikan, menerima kejahatan serta ujian.

Ketetapan Ilahi adalah sesuatu yang tidak mampu ditandingi, apatah lagi kita ingkar kerana kita hamba yang selalu diuji untuk menambahkan keimanan dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Suhibul Raumi ia berkata: Sabda Rasulullah SAW: Betapa ajaibnya orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika memperoleh kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Al-Imam Muslim)

Sebagai hamba, setiap umat Islam perlu pasrah menerima hukum Allah SWT dan penghakiman lain yang ditetapkan melalui wahyu disampaikan Rasulullah SAW. Kepatuhan dan ketaatan terhadap suruhan dan larangan-Nya menunjukkan keredaan kita terhadap apa yang digariskan agama, apatah lagi jika dilakukan dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

Ketika melalui ujian yang tidak tertanggung, jelas dilihat pada wajah orang beriman sifat pasrah atas suratan dan mereka pasti bahawa hikmah yang tersirat lebih istimewa daripada kesusahan dihadapi. Maklumlah kita tidak mengetahui, justeru keyakinan terhadap kekuasaan-Nya sahajalah yang mampu mengubat hati.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Daripada Anas, ia berkata: Sabda Rasulullah SAW: Bila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barang siapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barang siapa yang marah (tidak reda), maka Allah pun murka kepadanya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Sifat pasrah dan reda hanya dimiliki orang beriman kerana orang menentang ketetapan dan suratan Allah SWT tidak tergolong dalam golongan beriman.

Cabaran dan dugaan adalah fasa normal dalam kehidupan manusia dan ia adalah masa paling sesuai untuk dimanfaatkan dalam membuat pertimbangan sama ada mahu terus menghadapi masalah berkenaan dengan cekal, berikhtiar untuk menyelesaikan segala kekusutan ataupun menyalahkan takdir semata-mata.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: