4 Tips hadapi celaan manusia

BAGAIMANA kita menghadapi celaan, cemuhan dan hinaan yang dilontarkan orang lain kepada kita? Bagaimanakah sikap yang dianjurkan Islam dalam perkara ini?

JAWAPAN

CELAAN dan hinaan merupakan perkara biasa dalam hidup bermasyarakat. Setiap manusia tidak dapat lari daripada celaan dan cemuhan orang lain. Siapapun kita, di manapun kita berada akan selalu sahaja ada orang yang berkata buruk tentang kita.

Malah semakin tinggi darjat seseorang, semakin ramai orang yang mencela dan mencemuhnya. Bahkan Rasulullah SAW yang merupakan manusia terbaik tidak lepas daripada lidah keji manusia.

Sama ada yang berlaku semasa hidup baginda hingga ke hari ini. Kes video penghinaan terhadap Nabi SAW yang melahirkan bantahan di serata negeri-negeri Islam pada hari ini adalah salah satu daripadanya.

Jika Rasulullah yang maksum daripada dosa dicemuh orang, maka apatah lagi diri kita yang bergelumang dosa ini? Sudah pasti kita akan menerima hinaan dan cemuhan daripada pihak-pihak tertentu.

Kerana celaan suatu kepastian, maka kita mesti pandai menghadapinya. Siapa yang tak pandai menghadapi celaan, ia akan hidup dalam seksaan. Jangan biarkan ucapan negatif orang lain mengeruhkan fikiran kita, menguruskan tubuh kita dan menghalangi kita daripada aktiviti yang bermanfaat untuk masa depan kita.

Justeru, para ulama mengajukan beberapa tip yang boleh kita praktikkan agar kita tetap berfikiran positif apabila mendengar celaan atau cemuhan ditujukan kepada kita.

Berikut ini, saya akan menyebutkan beberapa daripada tip-tip tersebut.

Pertama, lihat celaan dan cemuhan itu sebagai salah satu cara penghapusan dosa. Sebagai insan biasa, kita pasti memiliki banyak dosa di sisi Allah SWT, sama ada disengaja ataupun tidak disengaja. Sebahagian dosa itu boleh dihapuskan dengan taubat dan istighfar, sebahagian yang lain hanya dapat dihapuskan dengan ujian hidup.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang mukmin tertimpa kesusahan, kepenatan, kepeningan, kesedihan dan kesakitan, melainkan Allah menghapuskan dengannya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, jadikan celaan dan cemuhan itu sebagai pembakar semangat untuk mempertingkatkan diri. Celaan memang menyakitkan namun ia menyedarkan kita akan kekurangan diri yang mesti diperbaiki. Pastikan celaan itu tidak akan berulang pada masa yang akan datang.

Seorang pelajar bernama Sibawaih suatu hari hadir dalam majlis ilmu Hammad bin Salamah di Basrah. Apabila membaca sebuah hadis di hadapan gurunya, beliau tersilap membaca sebuah kalimat. Hammad mengherdiknya di hadapan orang ramai: “Engkau keliru, wahai Sibawaih!”

Sibawaih menjadi sangat malu sekali gus marah. Di dalam hati, beliau bertekad: Aku tidak ingin disalahkan lagi. Oleh itu, aku akan menuntut ilmu dengan rajin.

Pemuda ini lalu mendatangi seorang pakar bahasa Arab terkenal bernama Al-Khalil bin Ahmad dan menimba ilmu dengan tekun daripadanya. Kerana kesungguhan tekadnya, beliau lalu menjadi pakar bahasa Arab yang namanya tetap harum hingga ke hari ini.

Ketiga, terima celaan itu sebagai nasihat untuk perbaiki diri. Sebagaimana ucapan Imam Al-Ghazali: “Seringkali manfaat yang kita peroleh daripada celaan seorang musuh lebih banyak daripada manfaat yang kita dapatkan daripada nasihat seorang teman.”

Menjaga hati

Seorang teman rapat mungkin segan memberitahu cacat kita kerana ingin menjaga hati kita atau kerana ia memang tidak dapat melihatnya. Sedangkan seorang musuh sangat tajam pandangannya dalam mencari-cari aib dan kekurangan kita. Maka manfaatkanlah kritikan dan celaan musuh itu sebagai cara untuk kita menyempurnakan diri.

Keempat, apabila cemuhan itu tidak berasas dan hanya lahir kerana kebencian buta, maka alihkan fokus pandangan kita ke tempat lain. Anggaplah orang itu bukan tengah memaki diri kita, akan tetapi figura lain ciptaan imaginasinya sendiri.

Pada masa hidup Rasulullah SAW, kaum Quraisy selalu mencaci maki dan melaknat baginda. Kerana bencinya mereka kepada Rasulullah SAW, mereka enggan menyebut nama Muhammad (maknanya: orang yang terpuji). Akan tetapi mereka menyebutnya Muzammam (bermakna: orang yang tercela). Mereka selalu berkata: Semoga Allah melaknat Muzammam”, maksudnya: Muhammad.

Mengetahui makian ini, baginda hanya bersabda: Tidakkah kamu hairan bagaimana Allah memalingkan laknat dan celaan kaum Quraisy daripada diriku? Mereka mencela Muzammam, dan melaknat Muzammam. Padahal namaku Muhammad. (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari_

Demikian empat tip praktikal yang boleh kita laksanakan untuk menjaga kejernihan hati kita setiap kali mendengar celaan atau cemuhan orang lain kepada kita. Mudahan-mudahan bermanfaat. Wallahu a’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: