• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,713 orang
  • Kandungan Blog

5 kelebihan dalami al-Quran

Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat.

Ulama’ pernah menegaskan, sesiapa yang tidak membaca al-Quran bermakna dia telah meninggalkannya (menjauhkannya); begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga telah meninggalkan al-Quran; dan sesiapa yang membaca al-Quran dan telah memahami maknanya, tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga telah meninggalkan al-Quran.
Sehubungan itu, kehadiran Ramadan sewajarnya dijadikan momentum terbaik dan peluang keemasan Muslim untuk bermuhasabah mengenai kepentingan kitab suci al-Quran dalam kehidupan Muslim serta pelbagai hikmah diperoleh.

Pertama, mendapat ganjaran pahala yang banyak, yang mana satu huruf diberi balasan sepuluh kebajikan seperti diriwayatkan Iman al-Tirmizi dalam hadis Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu ditegaskan, membaca al-Quran bukan saja sangat digalakkan pada Ramadan, bahkan juga dianjurkan dalam bulan lain sepanjang tahun.

Walaupun begitu, Muslim digalakkan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan al-Quran pada Ramadan kerana Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda kepada orang yang melakukan amalan soleh dalam bulan mulia ini.
Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlu dipelihara di samping setiap Muslim dituntut memperelokkan bacaannya supaya termasuk dalam koleksi amalan soleh. Rasulullah sering bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.

Kedua, Allah SWT akan mengangkat darjat orang selalu membaca al-Quran, mempelajari isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Kitab al-Quran dan Allah merendahkan kaum yang lainnya (yang tidak mahu membaca, mempelajari dan mengamalkan al-Quran). (Riwayat Bukhari)

Orang yang membaca al-Quran selalu dekat dengan Allah SWT, bahkan membaca al-Quran adalah bermunajat secara langsung kepada Allah SWT.

Ketiga, mendapat ketenangan jiwa atau hati yang sangat luar biasa, di mana setiap ayat al-Quran yang dibaca akan menghasilkan ketenteraman.

Firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga. (Surah Al-Isra, ayat 82)

Keempat, mendapat syafaat dan perlindungan Ilahi pada hari Kiamat. Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Muslim: Bacalah al-Quran oleh kamu sekalian, kerana bacaan al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia ini, akan menjadi syafaat dan penolong bagi para pembacanya di hari Kiamat nanti.

Justeru, perbanyakkan membaca al-Quran kerana bacaan al-Quran akan menjadi syafaat dan penolong pada hari Kiamat nanti, sedangkan manusia pada masa itu ramai yang sengsara dan menderita dengan kepayahan di hari perhimpunan agung di hadapan Allah SWT.

Kelima, orang yang rajin membaca al-Quran akan bebas daripada aduan Rasulullah SAW pada hari Kiamat nanti, di mana ada beberapa manusia diadukan Rasulullah SAW pada hari Kiamat di hadapan Allah SWT.

Manfaatkan sisa-sisa kehidupan berbaki yang Allah berikan untuk menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran. Janganlah disia-siakan kesempatan tiada ternilai, kerana al-Quran akan menjadi teman setia Muslim ketika sakaratul maut dan di dalam kubur.

Demikian lima keutamaan membaca al-Quran yang sewajarnya direbut setiap Muslim bertakwa, lebih-lebih lagi ketika berada di bawah naungan Ramadan yang penuh keberkatan. Bersegeralah melakukan amalan kebaikan sepanjang Ramadan untuk meraih kedudukan terbaik di sisi Allah SWT.

Sesiapa berpegang teguh dengan segala ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, maka dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat.

4 Tips hadapi celaan manusia

BAGAIMANA kita menghadapi celaan, cemuhan dan hinaan yang dilontarkan orang lain kepada kita? Bagaimanakah sikap yang dianjurkan Islam dalam perkara ini?

JAWAPAN

CELAAN dan hinaan merupakan perkara biasa dalam hidup bermasyarakat. Setiap manusia tidak dapat lari daripada celaan dan cemuhan orang lain. Siapapun kita, di manapun kita berada akan selalu sahaja ada orang yang berkata buruk tentang kita.

Malah semakin tinggi darjat seseorang, semakin ramai orang yang mencela dan mencemuhnya. Bahkan Rasulullah SAW yang merupakan manusia terbaik tidak lepas daripada lidah keji manusia.

Sama ada yang berlaku semasa hidup baginda hingga ke hari ini. Kes video penghinaan terhadap Nabi SAW yang melahirkan bantahan di serata negeri-negeri Islam pada hari ini adalah salah satu daripadanya.

Jika Rasulullah yang maksum daripada dosa dicemuh orang, maka apatah lagi diri kita yang bergelumang dosa ini? Sudah pasti kita akan menerima hinaan dan cemuhan daripada pihak-pihak tertentu.

Kerana celaan suatu kepastian, maka kita mesti pandai menghadapinya. Siapa yang tak pandai menghadapi celaan, ia akan hidup dalam seksaan. Jangan biarkan ucapan negatif orang lain mengeruhkan fikiran kita, menguruskan tubuh kita dan menghalangi kita daripada aktiviti yang bermanfaat untuk masa depan kita.

Justeru, para ulama mengajukan beberapa tip yang boleh kita praktikkan agar kita tetap berfikiran positif apabila mendengar celaan atau cemuhan ditujukan kepada kita.

Berikut ini, saya akan menyebutkan beberapa daripada tip-tip tersebut.

Pertama, lihat celaan dan cemuhan itu sebagai salah satu cara penghapusan dosa. Sebagai insan biasa, kita pasti memiliki banyak dosa di sisi Allah SWT, sama ada disengaja ataupun tidak disengaja. Sebahagian dosa itu boleh dihapuskan dengan taubat dan istighfar, sebahagian yang lain hanya dapat dihapuskan dengan ujian hidup.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang mukmin tertimpa kesusahan, kepenatan, kepeningan, kesedihan dan kesakitan, melainkan Allah menghapuskan dengannya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, jadikan celaan dan cemuhan itu sebagai pembakar semangat untuk mempertingkatkan diri. Celaan memang menyakitkan namun ia menyedarkan kita akan kekurangan diri yang mesti diperbaiki. Pastikan celaan itu tidak akan berulang pada masa yang akan datang.

Seorang pelajar bernama Sibawaih suatu hari hadir dalam majlis ilmu Hammad bin Salamah di Basrah. Apabila membaca sebuah hadis di hadapan gurunya, beliau tersilap membaca sebuah kalimat. Hammad mengherdiknya di hadapan orang ramai: “Engkau keliru, wahai Sibawaih!”

Sibawaih menjadi sangat malu sekali gus marah. Di dalam hati, beliau bertekad: Aku tidak ingin disalahkan lagi. Oleh itu, aku akan menuntut ilmu dengan rajin.

Pemuda ini lalu mendatangi seorang pakar bahasa Arab terkenal bernama Al-Khalil bin Ahmad dan menimba ilmu dengan tekun daripadanya. Kerana kesungguhan tekadnya, beliau lalu menjadi pakar bahasa Arab yang namanya tetap harum hingga ke hari ini.

Ketiga, terima celaan itu sebagai nasihat untuk perbaiki diri. Sebagaimana ucapan Imam Al-Ghazali: “Seringkali manfaat yang kita peroleh daripada celaan seorang musuh lebih banyak daripada manfaat yang kita dapatkan daripada nasihat seorang teman.”

Menjaga hati

Seorang teman rapat mungkin segan memberitahu cacat kita kerana ingin menjaga hati kita atau kerana ia memang tidak dapat melihatnya. Sedangkan seorang musuh sangat tajam pandangannya dalam mencari-cari aib dan kekurangan kita. Maka manfaatkanlah kritikan dan celaan musuh itu sebagai cara untuk kita menyempurnakan diri.

Keempat, apabila cemuhan itu tidak berasas dan hanya lahir kerana kebencian buta, maka alihkan fokus pandangan kita ke tempat lain. Anggaplah orang itu bukan tengah memaki diri kita, akan tetapi figura lain ciptaan imaginasinya sendiri.

Pada masa hidup Rasulullah SAW, kaum Quraisy selalu mencaci maki dan melaknat baginda. Kerana bencinya mereka kepada Rasulullah SAW, mereka enggan menyebut nama Muhammad (maknanya: orang yang terpuji). Akan tetapi mereka menyebutnya Muzammam (bermakna: orang yang tercela). Mereka selalu berkata: Semoga Allah melaknat Muzammam”, maksudnya: Muhammad.

Mengetahui makian ini, baginda hanya bersabda: Tidakkah kamu hairan bagaimana Allah memalingkan laknat dan celaan kaum Quraisy daripada diriku? Mereka mencela Muzammam, dan melaknat Muzammam. Padahal namaku Muhammad. (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari_

Demikian empat tip praktikal yang boleh kita laksanakan untuk menjaga kejernihan hati kita setiap kali mendengar celaan atau cemuhan orang lain kepada kita. Mudahan-mudahan bermanfaat. Wallahu a’lam.

Hati ‘berpenyakit’ hilang pertimbangan

Nik Salida Suhaila

 

Hati adalah cermin kepada segala perbuatan. Setiap kali melakukan sesuatu, hati kita akan mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Berbeza dengan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Rasulullah SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.
Justeru, agama Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati. Hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika di akhirat nanti, manakala hati yang kasar dan keras adalah hati yang terhijab daripada kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al-Israa, ayat 72)

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita seperti puasa, sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati menjadi baik. Tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah sewaktu tiada mata yang melihat dan berbuat baik semasa ramai orang menjadi jahat.
Dalam Islam, terdapat beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati yang berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.
Firman Allah SWT: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10)

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi keras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa.

Firman Allah SWT: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’aam, ayat 43)

Hati yang keras jika tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al-Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah SWT berfirman: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74)

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembutkan hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu.

Setelah itu, hati menjadi tertutup dan apabila hati sudah tertutup ia tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah SWT: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 6-7)

Seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya. Justeru, setiap Muslim wajiblah menjaga hati seperti menjaga harta yang tidak ternilai harganya. Kita tidak akan mempunyai hati yang kedua, yang boleh menggantikan hati yang mati.

Bagaimanapun, kita mampu menghidupkannya kembali dengan iman dan takwa. Usaha menghidupkan hati perlu dilakukan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh. Ibarat menjaga harta paling mahal, kita tidak ingin hati rosak disebabkan kotoran yang tidak dibuang.