Cara paling Afdhal Tunai Puasa 6 Syawal

SETELAH sebulan menghadapi cabaran Ramadan, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada kegembiraan bagi umat Islam setelah tamat melakukan kewajipan yang disyariat dalam rukun Islam ketiga itu.

Lazimnya, rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi bagi menyambut hari kemenangan yang dianugerahkan pada bulan Syawal itu.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Hakikatnya, bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan perlu dijadikan permulaan bagi mendidik jiwa untuk terus istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.

Kesinambungan daripada itu, puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi memperoleh kelebihan berlipat ganda yang ditawarkan dan janjikan oleh Allah SWT.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.”

Namun, permasalahan mengenai puasa enam sering menjadi kekeliruan apabila menjelang Syawal. Antaranya, adakah puasa enam boleh digabungkan dengan puasa qada pada bulan Ramadan atau perlu dilaksanakan secara berturut-turut dan banyak lagi.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai persoalan puasa enam, namun pandangan yang paling afdal adalah mengikut mazhab Shafie.

Bagaimanapun tambahnya, pandangan mazhab lain masih boleh diamalkan dan diterima amalannya oleh Allah SWT kerana Islam tidak memberatkan hambanya untuk melakukan ibadah.

“Kesimpulan ringkas yang boleh diambil adalah, puasa enam boleh dilakukan dengan tiga keadaan iaitu qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam, puasa enam dahulu kemudian diikuti dengan puasa qada dan harus juga digabungkan kedua-duanya.

“Namun yang paling afdal dilakukan adalah keadaan pertama iaitu memisahkan puasa qada dan puasa enam dengan melakukan puasa qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal.

“Ini bagi memperbanyakkan amalan kita kepada Allah SWT,” katanya.

Afdal berturut-turut

Melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara ini yang kebanyakan umat Islam mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi yang memakan masa berhari-hari, diharuskan melakukan puasa enam secara berselang seli.

Mengulas mengenai kekeliruan melakukan puasa enam secara berturut-turut, Irwan berkata, tidak disyariatkan untuk berbuat demikian, namun perbuatan tersebut merupakan amalan yang paling afdal.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)

“Tidak disyaratkan untuk dilakukan puasa enam secara berturut-turut. Ia boleh juga diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

“Namun, menurut pendapat ulama, termasuk mengikut mazhab Syafie dan Imam Nawawi yang terbaik ialah melakukannya secara berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulai dari hari raya kedua,” jelasnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: