• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Syawal duga keberkesanan madrasah Ramadan

Penerusan ibadah dengan amalan sunah kekalkan ketakwaan

Madrasah Ramadan adalah proses tarbiah buat hati, jiwa dan roh yang mampu mendekatkan diri kepada Allah.

Natijah daripada segala proses di madrasah Ramadan ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah SWT di mana takwa adalah pakaian Mukmin untuk menggalas cabaran selama 11 bulan yang akan datang.

Ketika ini juga akan teruji madrasah Ramadan yang telah berlalu selama sebulan dan adakah segala amal ibadah dan amal soleh yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan dalam bulan Syawal ini.

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah orang yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.”(Hadis Riwayat Hakim).

Orang bertakwa nikmat kemanisan Ramadan

Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri adalah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT bermaksud: “Demikianlah ajaran Allah. Sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin” .(Surah Al-Hajj ayat 32).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan penghayatan akan diampuni segala dosanya yang lalu”. (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa mereka yang dapat melepasi Ramadan dengan sempurna akan mendapat bonus keampunan daripada Allah SWT. Ini bergantung kepada sejauh manakah kita dapat mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan. Ramai yang tidak menduga bahawa dugaan sebenar adalah pada bulan Syawal kerana penurunan peningkatan kualiti ibadah kita berlaku dengan begitu mendadak sekali terutama apabila selesai solat Aidilfitri.

Masjid, surau lengang

Masjid dan surau akan menjadi lengang, al-Quran akan disimpan dan kembalilah aktiviti kebiasaan yang dilakukan sebelum Ramadan. Mereka yang telah berjinak-jinak dengan masjid sudah mula menjauhi diri dan melipat sejadahnya. Mereka kembali kepada dunia seperti sebelumya dengan begitu ghairah sekali.

Menyedari hakikat inilah, Baginda SAW menyeru kita, agar tekun dan terus melaksanakan amalan sunat walau berakhirnya Ramadan supaya kita senantiasa mengingati apakah tujuan Allah menghidupkan dan memanjangkan usia kita di muka bumi ini. Ibadah mestilah diteruskan kerana kehidupan kita sentiasa disambung oleh Allah SWT. Ibadah puasa juga tidak akan habis sehingga penghujung nyawa. Banyak puasa sunat yang dianjurkan khususnya puasa nabi Daud a.s yang berpuasa sehari dan berbuka sehari. Puasa Asyura, puasa Muharam, puasa Isnin dan Khamis dan lain-lain. Baginda SAW juga menyeru umat Islam agar terus mengerjakan ibadah puasa enam hari pada bulan Syawal di mana Baginda SAW telah berwasiat pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud : “Wahai Ali, sesiapa antara kamu yang menyambung puasa Ramadan dengan enam hari di bulan Syawal, maka Allah akan menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh.” (Al-Hadith). Amalan solat berjemaah di masjid setiap hari mestilah diteruskan di samping meneruskan ibadah qiamullail dan iktikaf. Lidah juga hendaklah dibasahi dengan zikir, terutama melalui pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bersedekah, berwakaf dan berzakat sepanjang masa serta memelihara silaturahim antara sesama manusia.

Keistimewaan bulan Syawal

Keistimewaan bulan Syawal adalah disebabkan sepanjang bulan itu adalah hari raya, hari kemenangan dan kegembiraan. Ia juga hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan yang sedia terkumpul sejak Ramadan. Ia juga adalah bulan keampunan sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW dari Ibnu Mas’ud r.a. yang maksudnya: “Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidilfitri, Allah Taala berfirman : “Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Aidilfitri juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka.” Lalu ada seruan : “Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.” Maka Allah Taala berfirman: “Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni.” (Zubdatul Wa’izhiin).

Syawal juga bulan yang dimakbulkan doa melalui rahmat daripada Allah SWT serta kasih sayang-Nya. Rahmat ini telah dicetuskan oleh amalan baik selepas Ramadan apabila kesan tarbiah Ramadan sudah dapat dicernakan oleh jiwa manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Aidilfitrii dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang. “Allah SWT berfirman: “Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku.” (Hadith Qudsi).

Pada hari ini, ramai yang memahami bahawa hari raya adalah hari untuk menghabiskan segala dana untuk menggantikan segalanya dengan yang baru.

Bermewah-mewah, hiburan dan sebagainya. Pembaziran berleluasa sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim. Kita lupa bahawa itu adalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah SWT.

Aidilfitri ialah adalah hari untuk mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semula jadi yang suci dan murni.

Rayuan Derma untuk mangsa kebakaran di Pinggiran Pondok Pasir Tumboh

IMG-20160722-WA0051

2 Rumah Pinggiran Pondok Pasir Tumboh Hangus Terbakar Seusai Solat Jumaat

terbakar

22 JULAI- 2 buah rumah sewa PINGGIRAN Pondok Pasir Tumboh hangus terbakar selepas solat Jumaat tadi iaitu satu yang dibeli oleh Ustaz Mustafa b Desa selangor salah seorang tenaga pengajar pondok yang kini masih brcuti di selangor manakala satu lagi disewa oleh pelajar sekolah Taqaddum Maarif yang biasanya balik cuti hujung minggu. Punca samada lintar pintas atau ada pelajar sekolah yang tidak pulang bercuti yang lupa menutup dapur gas

Kejadian disedari sebaik sahaja selesai solat Jumaat di mana para ahli berjemaah terus bergegas ke tempat kejadian dan berusaha memadamkan api yang sedang marak menjulang menggunakan alat pemadam api dan air dari sumber yang terdekat. Pihak bomba yang tiba sejurus kemudian berjaya memadamkan api daripada merebak kepada rumah yang lain. Tiada sebarang kecederaan yang berlaku

Pihak madrasah begitu mengalukan sumbangan derma daripada orang ramai dalam meringankan bebanan mangsa kebakaran terutama salah seorang tenaga pengajar madrasah ini.

Sebarang sumbangan boleh salurkan kepada Ustaz Mohd mustafa b desa salah seorang guru pondok pasir tumboh…Bimb 14069020023284

Daftar masuk pelajar muslimat Pondok Pasir Tumboh dibekukan sementara waktu

Pihak pentadbiran Pondok Pasir Tumboh dengan ini memaklumkan bahawa pendaftaran masuk pelajar muslimat baru ke madrasah bagi pengambilan baru Syawal ini dibekukan buat sementara waktu kerana masalah penempatan dan beberapa perkara berkaitan

Sebarang maklumat sila hubungi pejabat 097657786 atau 0199388902

Kami mencadangkan agar pelajar muslimat untuk mendaftar masuk ke Pondok-pondok berkenaan sebagai alternatif

1. Pondok Beta Hilir, Kota Bharu

2. Pondok Gelang Mas, Pasir Mas

3. Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas

4. Pondok Kg Neting, Tumpat

5. Pondok Seligi, Pasir Puteh

6. Pondok Bukit Awang, Pasir Putih

7. Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang

Alamat dan no telefon sila rujuk blog berikut

https://epondok.wordpress.com/2016/07/10/pondok-kelantan-yang-terima-pelajar-muslimat/

Daftar baru Pondok Pasir Tumboh dibuka mulai 18 Syawal 1437H / 23 Julai 2016M ini

Makluman bahawa daftar baru kemasukan Pondok Pasir Tumboh terus dibuka tiap hari Sabtu dan Ahad  mulai 18 Syawal 1437H / 23 Julai 2016M ini

Antara syarat kemasukan pelajar baru Pondok Pasir Tumboh

1. Bersih daripada sebarang jenayah dan kes polis seperti dadah, mencuri dan sebagainya

2. Datang bersama ibubapa/penjaga atau waris terdekat

3. Mendapat keizinan untuk belajar terlebih dahulu daripada Tuan Guru Hj Wan Muhamad Mudir madrasah atau pun timbalannya (selepas siap proses daftar)

4. Bagi pelajar sementara disyaratkan sekurang-kurangnya belajar di pondok ini selama 2 bulan (jika sebulan boleh dipertimbangkan jika ada kekosongan tempat tinggal)

5. Bagi pelajar muslimin disyaratkan berumur 16 tahun ke atas tetapi dibenarkan juga pelajar berumur 13-15 tahun dengan syarat mempunyai penjamin yang berada dalam kawasan pondok yang sanggup mengawalnya ( bagi pelajar yang tidak cukup syarat ini sila rujuk pejabat bagi mendapat nasihat untuk belajar di beberapa pondok pilihan yang lain )

6. Tidak merokok atau sanggup meninggalkan tabiat merokok

7. Sanggup mematuhi segala peraturan madsarah sepanjang masa

 

Kelengkapan pendaftaran pelajar baru L/P ke Pondok Pasir Tumboh

1. Sila fotostat kad pengenalan atau passport antarabangsa

2. Fotostat kad pengenalan ibubapa pelajar

3. Sediakan gambar berukuran passport sebanyak 3 keping

4. Diwajibkan menyerah surat berhenti sekolah atau tempat pengajian terakhir ketika mendaftar diri ( sebarang proses pendaftaran tidak akan dibuat sehingga syarat ini dipenuhi)
– Bagi pelajar sementara dari kalangan siswa IPT atau lepasan SPM/STAM/STPM boleh fotostat sjil SPM, PMR, PT3, SMU atau seumpamanya

5. Diwajibkan menghantar surat jaminan mengenai akhlak pelajar samada daripada Tuan Imam atau penghulu kampung ketika mendaftar dirin bagi pelajar lelaki

Puasa Syawal tampung kekurangan ibadah Ramadan

Oleh Aminudin Mansor
Menumbuhkan kekuatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwat

SETELAH berpuasa selama sebulan pada Ramadan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan. Pada hari raya pertama dilarang berpuasa.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” – (Riwayat Muslim).

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud: “Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” – (Riwayat ad-Darimi).

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.

Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh atau tidak berpuasa Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dulu.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga saja.” – (Riwayat Al Bukhari).

Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya.

Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.

Dengan berpuasa termasuk puasa sunat dapat merawat pelbagai penyakit rohani seperti mengingati Allah SWT, mengerjakan solat, bertaubat, takut kepada Allah SWT, mujahadah, musahabah diri, sabar, qanah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah, takwa dan menjauhkan makanan dan minuman haram.

Jangan biarkan hati mati sambut Aidilfitri

Nabi Muhammad s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang boleh kita faham dari penjelasan maksudnya, bahawa dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badannya dan jika sebaliknya ia rosak, maka rosaklah seluruh badannya, itulah hati yang ada dalam diri manusia (dipetik sebahagiannya dari hadis keenam daripada kitab hadis 40 Imam Nawawi).

Baginda Rasulullah yang diutus oleh Allah ke dunia ini, bukan sahaja menitikberatkan persoalan yang besar seperti masalah kenegaraan kerana baginda seorang pemimpin negara, malah dalam persoalan mendidik jiwa juga adalah tanggungjawab baginda bagi memastikan manusia yang bernama Islam khususnya memiliki hati yang sejahtera dan hidup dengan ajaran Islam yang mudah untuk dipimpin kepada kebenaran agama.

Kerana hati manusia itu ada kaitannya dengan hidup atau mati peranan dan fungsinya, maka baginda mengingati umatnya agar sentiasa memeliharanya dengan baik agar ia terus subur dan hidup hanya untuk Allah.

Justeru, Islam ada memperkenalkan “Ad-Doruriyat al-Khams” iaitu lima perkara yang wajib dan mesti umat Islam pelihara iaitu:

1) Agama.

2) Akal.

3) Harta.

4) Jiwa atau hati.

5) Keturunan dan kehormatan diri.

Hati manusia itu merupakan salah satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam, jika salah ditarbiah maka ia akan menyusahkan tuannya nanti di akhirat, sehubungan itu Allah SWT ada menegaskan menerusi ayat 36 surah al-Israa yang bermaksud:

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati (manusia), semuanya itu akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.”

Bagi memastikan agar hati itu terus subur dan hidup dengan Islam, maka baginda Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya agar jangan sekali-kali mematikan hati pada malam kedua-dua malam Aidilfitri dan Aidiladha. Hati mati dengan tidak bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Rasulullah ada bersabda: “”Barangsiapa yang bersembahyang pada malam Aidil Fitri dan Aidiladha tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati manusia dimatikan oleh Allah.”

Kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:

Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Dan Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera, ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu’araa yang bermaksud:

“Iaitu di hari di mana harta dan anak-anak lelaki tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).”

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat dari penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?

Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.

2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.

3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.

4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.

5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.

6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.

7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak

1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.

2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.

3) Mersa seronok bergelumang dalam dosa.

4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.

5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.

6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.

7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.

8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.

9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.

10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Penyakit hati

1) Nifaq dan riya’ (menunjuk-nunjuk).

2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.

3) Hasad dan dendam kesumat.

4) Sombong, bangga diri dan ego.

5) Bohong dan berputus asa.

6) Cinta mendalam kepada selain Allah.

7) Ikut hawa nafsu.

8) Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).

9) Takut kepada selain Allah.

10) Belot dan khianat.

11) Suka memaki hamun orang lain.

12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.

13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.

Kaedah rawatan penyakit hati

a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.

b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.

c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

d) Khusyuk dalam solat.

e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.

f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.

g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

h) Beriktikad dengan akidah yang betul.

i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.

j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.

m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.

Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah./tajdid _

Rayuan Derma Pembinaan Asrama Muslimat Pondok Pasir Tumboh

Video Kebakaran Rumah Penempatan Muslimat Pondok Pasir Tumboh

Khutbah Aidil Fitri 1437H

Khutbah Aidilfitri 1437H

خطبة عيدالفطري1437