Gambaran peristiwa Israk Mikraj insafkan diri

Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud: “Maha suci Allah yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) menuju ke Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis, Palestin) yang Kami berkati (kawasan) sekelilingnya supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan Kami). Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Begitu juga dalam surah an-Najm ayat 13 hingga 18: “Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad sudah melihat Jibril dalam bentuknya yang asal sekali lagi. Di sisi Sidratul Muntaha. Yang di sisinya terletak syurga Jannatul Makwa. Semasa Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk alam ghaib yang tidak terhingga, penglihatan Nabi Muhammad SAW tidak berpaling dan tidak melampaui batas. Demi sesungguhnya ia sudah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda kekuasaan Tuhannya.”

Begitu juga banyak hadis yang menceritakan Israk dan Mikraj. Mungkin kita sudah mendengar kisahnya berulang kali. Namun, saya hendak memfokuskan kepada beberapa perkara dalam peristiwa Israk agar dapat diambil pedoman dan pengajaran.

Sebelum Baginda SAW diisrakkan, baginda dibedah dadanya oleh Malaikat Jibril dan Mikail. Hati Baginda dikeluarkan, dicuci dengan air zam-zam dan dibuang ketul hitam tempat yang menjadi bisikan syaitan. Lalu dimasukkan iman dan hikmah di dalam dada. Kemudian dijahit semula dan dimeterikan dengan khatimin Nubuwah. Selesai pembedahan, didatangkan seekor buraq untuk tunggangan Nabi SAW untuk ‘diperjalankan’ Nabi SAW ke Baitulmaqdis yang dinamakan Israk. Dalam perjalanan itu, baginda diiring Malaikat Jibril dan Israfil.

Ketika sampai di Taibah (Madinah), Jibril mengarahkan Nabi SAW solat sunat dua rakaat. Begitu juga apabila sampai di Tursina (tempat Nabi Musa munajat) dan Baitullaham (Tempat nabi Isa dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga Baginda SAW diganggu dengan Jin Ifrit. Selain itu diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW beberapa gambaran manusia, antaranya:

1. Balasan orang yang berjihad. Baginda melalui satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai.

2. Balasan orang yang mempertahankan aqidah. Baginda melalui tempat yang berbau harum. Jibril menjelaskan bahawa itulah bau kubur Masyitah (Tukang sisir rambut anak Firaun), suami dan anaknya yang dibunuh oleh Firaun kerana enggan mengakui Firaun sebagai Tuhan.

3. Balasan orang malas solat. Baginda melalui sekumpulan orang yang memecahkan kepala mereka sendiri. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali. Demikianlah dilakukan berkali-kali.

4. Balasan orang yang enggan berzakat. Nabi melalui sekelompok orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka,

5. Balasan orang berzina. Baginda melalui satu kumpulan yang makan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.

6. Balasan orang yang makan riba. Baginda melihat lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.

7. Balasan orang yang tidak dapat menunaikan amanah, tetapi masih mahu menerima amanah. Baginda melihat lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan tidak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi dengan kayu yang lain.

8. Balasan orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia tidak lakukan. Baginda melihat satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.

9. Balasan orang yang mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain. Seperti sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW bercerita: “Tatkala Allah memperjalankanku pada malam hari, aku melalui sekelompok orang yang memiliki kuku yang dibuat daripada tembaga. Dengan kuku itu mereka mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri. Aku bertanya: siapakah mereka wahai jibril? Jibril menjawab: mereka adalah orang yang makan daging manusia (iaitu mengumpat atau ghibah) dan menodai (menghina dan menjatuhkan) kehormatan mereka.

10. Balasan orang yang takbur kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat. Baginda melihat seekor lembu jantan yang besar keluar dari tempat yang sempit. Kemudian tidak dapat masuk kembali dalam lubang itu.

11. Baginda digambarkan dengan dunia yang ramai cenderung kepadanya. Baginda melihat seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.

12. Orang yang mensia-siakan umur sampai tua. Baginda melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan menyuruh Baginda berhenti.

13. Gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti kiamat. Baginda melihat perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

Begitulah gambaran yang diperlihatkan ketika berlakunya Israk sehingga Baginda sampai ke Masjidil Aqsa. Sejauh mana peristiwa yang digambarkan itu memberi kesan kepada diri kita, justeru seharusnya kita perlu muhasabah dan bertakwa kepada Allah agar kita selamat di dunia dan akhirat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: