Hak seorang Muslim (Siri 9)

Bersambung dari Hak seorang Muslim (8)

Kedua puluh lima: Hendaklah engkau menziarahi pesakit-pesakit kaum Muslimin.

Adab orang yang menziarahi orang sakit ialah memendekkan masa ziarah itu mengurangkan banyak pertanyaan, melahirkan belas kasihan, mendoakan agar segera sembuh dan memalingkan pemandangan dari melihat aurat-aurat pesakit.

Bila meminta izin masuk, janganlah engkau menghadap ke pintu dan mengetuknya biarlah dengan perlahan-lahan. Bila ditanya siapa itu, jangan engkau menjawab: Saya.

Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Apabila seseorang Muslim menziarahi saudaranya yang sakit atau menenguknya, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki sebuah rumah di syurga.”

Daripada Saiyidina Usman r.a. katanya: Suatu hari saya sakit, maka Rasulullah s.a.w. datang menziarahi saya, lalu mengucapkan:

“Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Penyayang. Aku memohonkan perlindungan bagimu kepada Allah yang Maha Esa, dan Tuhan Tempat meminta tiada beranak dan tiada diberanakkan, dan tiada seorang pun yang serupa denganNya dari bahaya yang telah menimpamu.”

Baginda mengucapkannya berkali-kali

Bagi pesakit pula disunnatkan membaca:

“Saya mohon perlindungan dengan kemuliaan Allah dan kekuasaaNya dari bahaya yang menimpaku.”

Berkata Thaus: Sebaik-baik ziarah kepada pesakit ialah yang paling ringan, yakni singkat waktunya.

Di antara adab-adab pesakit pula, hendaklah ia mempunyai sifat-sifat kesabaran kurang mengadu dan tidak lekas bosan, sentiasa merasa takut sehingga memohon doa kepada Allah Ta’ala yang menyebabkan ubat itu menyembuhkan:

Kedua puluh enam: Hendaklah engkau menghantar jenazah-jenazah mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menghantarkan jenazah, maka baginya pahala satu qirat jika ia menunggu hingga jenazah itu dikebumikan maka baginya pahala dua qirat. Dan qirat itu besarnya macam gunung Uhud.”

Gunung Uhud adalah sebuah gunung yang besar dekat Madinah al-Munawwarah. Tujuan menghantar jenazah itu ialah menunaikan hak kaum Muslimin dan mengambil i’tibar bila berdepan dengan kubur-kubur orang yang sudah mati.

Kedua puluh tujuh: Hendaklah engkau menziarahi kubur-kubur mereka. Tujuan ziarah itu ialah memohon doa bagi yang mati dan mengambil i’tibar serta melembutkan hati.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiada suatu pemandangan yang pernah aku lihat melainkan kuburlah yang paling mengerikan dari yang lain-lain.”

Berkata Hatim Al-Asham: Sesiapa yang berjalan melalui kuburan, sedangkan ia tiada memikirkan mengenainya, dan tiada pula mendoakan bagi orang-orang yang berada di dalamnya, maka ia telah mengkhianati dirinya dan mengkhianati orang-orang yang di dalam kubur itu.

Berkata Maimun bin Mahran: Sekali peristiwa, saya pergi bersama-sama Umar bin Abdul Aziz menziarahi kubur, apabila beliau melihat saja kepada kubur-kubur itu, beliau menangis seraya berkata: Wahai Maimun! Inilah kubur datuk-nenekku, seolah-olah mereka tidak pernah berkongsi kelazatan dengan ahli-ahli dunia. Tidakkah engkau melihat mereka itu kesemuanya berbaringan kini. Mereka terlepas dari segala hukuman yang mereka alami. Sedangkan tubuh badan mereka telah dimakan ulat di dalam tanah.

Kemudian beliau menangis lagi. Beliau berkata pula: Demi Allah! Aku tiada mengetahui seseorang yang lebih merasakan kenikmatan daripada orang-orang yang telah berada di dalam kubur-kubur ini, dan mereka telah terselamat daripada azab Allah Ta’ala.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: