• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,345,187 orang
  • Kandungan Blog

Hak seorang Muslim (Siri 7)

Bersambung dari Hak seorang Muslim (6)

Kedua puluh: Hendaklah engkau memelihara kehormatan kawanmu, dirinya dan harta bendanya dari penganiayaan orang lain sekadar kemampuanmu, menahan segala kesusahan, mempertahankannya dan menolongnya, sebab yang demikian itu wajib atasmu menurut dasar persaudaraan Islam.

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w.:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang menolong seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan di mana kehormatannya telah diceroboh, dan dirinya telah diperlakukan secara sewenang-wenang, melainkan Allah akan menolong orang itu dalam kesusahannya di tempat lain, di mana ia merasa perlu pertolongan itu dari Allah. Dan tidak ada seorang pun yang mengecewakan seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan, di mana kehormatannya telah diceroboh, melainkan Allah akan mengecewakan orang itu pada suatu keadaan lain, di mana ia sangat-sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.”

Kedua puluh satu: Hendaklah engkau mendoakan bagi orang bersin.

Nabi s.a.w. mengajar orang yang bersin itu supaya berkata: Al-Hamdulillah ala kulli hal (Segala kepujian bagi Allah atas setiap perkara).

Orang yang mendengar pula mendoakan dengan berkata: yarhamukullah (moga-moga allah merahmati kamu).

Dibalas pula oleh orang yang bersin Yahdikumullahu wa Yuslihu Balakum (moga-moga Allah memberi kamu petunjuk dan membersihkan hati kamu).

Disunnatkan bagi seseorang apabila mahu bersin, merendahkan suaranya dan menutup wajahnya.

Dan bagi orang yang mahu menguap meletakkan tanganya ke atas mulutnya.

Kedua puluh dua: Bila engkau diuji dengan perbuatan orang yang jahat, maka hendaklah engkau menanggung dengan sabar dan menjaga dirimu dari kejahatanya.

Setengah orang berkata: Berikhlas diri kepada orang Mu’min dengan seikhlas-ikhlasnya, dan tunjukkanlah akhlak yang baik semampu-mampunya kepada orang jahat, sebab orang yang jahat itu selalu suka dengan akhlak-akhlak yang baik pada zahirnya saja.

Abu Darda’ berkata: Kita pernah menunjukkan muka manis kepada setengah-setengah manusia, padahal hati kita mengutukinya.

Inilah yang dikatakan bergaul secara baik dengan orang-orang yang ditakuti kejahatannya.

Allah berfirman:

“Tolaklah dengan cara yang lebih baik.” (al-Mu’minun: 96)

Ibnu Abbas berkata, menerangkan maksud al-Quran berikut:

“Mereka menolak keburukannya dengan kebaikan.” (ar-Ra’ad: 22)

Yakni: Menolak kejahatan dan penganiayaan orang itu, dengan membuat perdamaian dan pergaulan yang baik.

Ibnu Abbas berkata lagi dalam menerangkan ayat al-Quran yang berikut pula:

“Andaikata tiada pembelaan Allah terhadap manusia antara satu puak dengan yang lainnya.” (al-Baqarah: 251)

Ia berkata: maksudnya ialah dengan mengembirakan dan menakut-nakutkan dengan perasaan malu dan bergaul secara lemah-lembut.

Berkata Sayidatina Aesyah r.a.: Ada seseorang yang meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu Baginda berkata: Izinkanlah ia masuk, tetapi ia sebenarnya seburuk-buruknya manusia yang boleh diajak bergaul. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w pun mempergaulinya dengan lemah lembut, sehingga (kata Aesyah) aku menyangka bahawa orang itu mempunyai suatu kedudukan di sisi Rasulullah s.a.w.

Apabila orang itu keluar, aku berkata: Kini ia telah keluar. Aku pun berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Bila orang itu hendak masuk tadi, engkau berkata kepadaku macam-macam terhadapnya, kemudian engkau berlemah-lembut pula dalam kata-katamu kepadanya.

Maka Baginda pun berkata: Wahai Aesyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat, ialah manusia yang disingkirkan oleh orang ramai kerana takutkan kejahatannya.

Dalam suatu khabar yang lain: Apa saja yang digunakan oleh seseorang untuk menjaga kehormatannya, maka itu adalah sedekah.

Berkata Muhammad Ibnul Hanafiah: Bukanlah seorang bijaksana, bila seseorang itu tidak dapat bergaul secara baik dengan orang yang tidak boleh tidak mesti ia bergaul dengannya, sehinggalah Tuhan melorongkan baginya kelapangan (iaitu suatu jalan untuk melepaskan diri).

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Tinggalkan komen