Adab menegur erat silaturahim

Oleh Nazri Hussein
Berbicara dengan lembut, selami perasaan individu kelompok sasaran

Seorang pengerusi jawatankuasa di sebuah masjid menggunakan bahasa agak kasar dan keras ketika menegur jemaah sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka berkecil hati serta terkilan dengan teguran itu.
Mereka menganggap kata-kata yang agak emosional serta tidak sepatutnya diungkapkan hanya disebabkan perkara kecil yang terlanjur dilakukan oleh jemaah. Akibatnya, segelintir jemaah mula menjauhkan diri daripada masjid itu dan ada yang memilih untuk berjemaah di masjid lain.

Hal ini tentulah merugikan kita pada saat kita sedaya upaya berdakwah untuk mendidik lebih ramai masyarakat mencintai dan memakmurkan masjid serta surau.

Islam sebagai agama yang syumul sangat menekankan persoalan berkaitan hubungan dalam masyarakat khususnya aspek menegur atau menasihati orang lain. Ini penting kerana pendekatan yang betul akan memberi impak besar dalam hubungan sosial.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahlu, ayat 125)

Adab menegur perlu ikut syariat
Adab dan tatacara menegur perlu mengikut syariat yang diajar oleh Islam melalui contoh akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat. Antara adab Islam ketika menegur adalah menggunakan kata-kata yang baik, sesuai serta difahami oleh orang yang ditegur.

Nada dan intonasi digunakan ketika berbahasa juga akan menjadi penilaian sama ada teguran itu dianggap lunak, lemah lembut, bersopan atau sebaliknya.

Perkara kedua yang perlu ditekankan ketika menegur ialah jangan sesekali merendahkan ego terhadap orang yang ditegur. Ini penting kerana setiap orang mempunyai ego masing-masing. Justeru, sikap bijaksana dan berhati-hati perlu dijadikan teras ketika berhadapan dengan mereka.

Kemungkinan orang yang hendak ditegur itu sedang ditimpa musibah atau masalah emosi yang boleh menyebabkan mereka mengeluarkan kata-kata kurang ajar selepas ditegur. Banyak kes yang berlaku orang yang ditegur bertindak balas secara kekerasan hingga berlaku permusuhan.

Perkara ketiga perlu diambil berat ialah mencari waktu atau masa yang tepat dan bersesuaian. Nabi Muhammad SAW melarang kita menegur seseorang di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh menimbulkan perasaan aib.

Justeru, tegurlah ketika seseorang itu berada dalam keadaan bersendirian atau di tempat yang tertutup supaya teguran kita diterima dengan senang hati. Perhatikan juga raut wajah serta perwatakan supaya maruah dan harga diri mereka terpelihara daripada umpatan dan dipandang serong oleh orang lain.

Aspek seterusnya adalah memahami dan menyelami kedudukan seseorang yang ditegur. Setiap individu mempunyai pangkat, kerjaya serta darjat dalam masyarakat sama ada tinggi, rendah atau sederhana.

Orang yang berpendidikan atau memiliki kerjaya hebat perlu ditegur dengan hujah ilmiah melalui perbahasan bijaksana serta berilmu. Selain itu, fakta dan nas yang betul perlu dijadikan sandaran demi menegakkan kebenaran yang ingin dipertahankan.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Barang siapa yang melihat kemungkaran dalam kalangan kamu hendaklah dicegah dengan tangan (kuasa). Sekiranya tidak mampu hendaklah dicegah dengan lidah (nasihat). Jika tidak mampu juga cegahlah dengan hati (niat). Maka itu adalah serendah-rendah iman.”

Dakwah secara lemah lembut

Setiap rasul yang diutuskan Allah SWT kepada umat mereka akan menggunakan kaedah dakwah menyampaikan kebenaran secara lemah lembut, tertib, bersopan santun serta menjauhi daripada ungkapan yang emosional, celupar atau penggunaan kata-kata kesat.

Nabi Musa dan Nabi Harun sewaktu berhadapan dengan Firaun menunjukkan kebaikan melalui kata-kata yang lunak dan berhemah meskipun berhadapan dengan kebiadapan serta kezaliman Firaun.

Rasulullah SAW sentiasa menggunakan bahasa yang baik dan bijaksana sewaktu berdialog serta berhujah dengan golongan Musyrikin atau Yahudi ketika menyampaikan kebenaran agama Islam kepada mereka.

Masyarakat Melayu sejak zaman nenek moyang lagi menggunakan kaedah menegur secara halus dan sinis termasuk menggunakan bidalan, perumpamaan serta kata-kata pepatah supaya orang yang ditegur tidak mudah berasa hati atau cepat melenting.

Wajarlah dalam hal ini, pendidikan menegur dengan bahasa yang betul dan berlapis dijadikan amalan dalam masyarakat demi memastikan silaturahim, kerukunan terus utuh yang membentuk tembok kukuh membina generasi teguh, berprinsip serta cinta-mencintai sesama sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: