Sikap manusia terhadap dosa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

 

SEBAGAI manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga bukan seperti para Nabi dan Rasul AS yang maksum iaitu sentiasa dipelihara oleh Allah SWT daripada dosa dan penderhakaan.

Kelemahan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah dikuasai oleh nafsu yang mengatasi iman kepada Allah SWT dan hari Akhirat. Lantas mendorong diri kita kepada melakukan dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Imam al-Ghazali menyebut perbuatan dosa itu ibarat makanan yang memudaratkan badan manusia. Begitulah apabila manusia melakukan dosa dan terkumpul dalam dirinya ia akan meracuni jiwa dan menghakis keimanannya.

Malah perbuatan dosa juga akan menyebabkan hati menjadi gelap dan akhirnya sukar untuk menerima kebenaran. Terdapat empat golongan manusia yang melakukan dosa.

Golongan pertama ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian menyesal dan bertaubat. Taubatnya terus menjadi dinding dan benteng kepada dirinya untuk tidak mengulangi maksiat dan dosa yang pernah dilakukan sebelum ini. Dosa tersebut telah menjadi debu ibarat penyakit yang telah disembuhkan apabila melalui proses rawatan yang berkesan. Inilah yang banyak berlaku kepada para sahabat RA.

Sebahagian daripada mereka pernah melakukan dosa besar sewaktu berada di zaman jahiliah seperti membunuh, berzina, menanam anak perempuan dan sebagainya. Namun, setelah beroleh hidayah Islam, mereka meninggalkan kehidupan yang lama dan melakukan hijrah ke arah keimanan. Dosa yang pernah dilakukan selama ini bagaikan terhapus dan hilang daripada catatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal.(Ali Imran: 135-136)

Golongan kedua ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian bertaubat. Tetapi mengulangi dosa tersebut berulang kali. Golongan ini biasanya masih mempunyai iman. Namun, kawalan iman terhadap diri dan nafsu amat kurang. Lantas menyebabkan dia sukar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat tersebut bila datang waktunya. Namun, selepas sahaja melakukannya, dia akan menyesal, lantas bertaubat pada Allah SWT. Persoalannya, adakah taubatnya akan diterima oleh Allah SWT?

Sebenarnya, penerimaan Allah SWT terhadap taubat yang dilakukan bergantung kepada sejauhmana keikhlasan dan kesungguhan hamba itu ketika bertaubat. Selagi mana dia bersungguh-sungguh untuk meninggalkan dosa yang dilakukan dan menyesal atas tindakannya, maka Allah SWT akan menerima taubat tersebut, walaupun selepas itu dia mengulanginya.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: Seseorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian selepas itu dia kembali melakukan dosa yang lain, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka Engkau ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Selepas itu, dia melakukan dosa sekali lagi, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bayangkan betapa Allah SWT Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hamba-Nya yang menyesal dan insaf serta kembali kepada Allah SWT walaupun setelah berulang-ulang kali melakukan dosa yang sama. Tetapi, ini bukanlah bermakna kita boleh mengulangi dosa-dosa yang telah dibuat. Sesiapa yang bertaubat dalam keadaan mempunyai niat untuk mengulanginya, sebenarnya dia hanya berlakon untuk bertaubat dan taubatnya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: