• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Talian hayat hamba Allah

Oleh  WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

 

DALAM menjalani kehidupan, memang telah menjadi lumrah seseorang itu berdepan dengan masalah. Masalah tersebut kadang-kadang datang dan pergi sehinggalah kita dipanggil pulang oleh Allah SWT dengan kematian.

Oleh itu, selagi mana kita hidup, maka selagi itulah ujian demi ujian diberikan oleh Allah SWT mengikut tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT untuk menilai siapakah yang terbaik amalannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Antara tujuan Allah SWT menguji manusia dengan masalah ialah untuk mendekatkan diri mereka kepada-Nya. Ini adalah kerana, sekiranya manusia itu mempunyai sifat kehambaan, tentulah dia akan bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah SWT.

Oleh kerana itu, setiap kali kita ditimpa ujian dalam apa jua bentuk sekalipun, maka pulanglah kepada Allah SWT dengan mengangkat tangan berdoa serta memohon kepada-Nya.

Allah SWT sebenarnya terlalu dekat dengan kita. Dia tidak akan mensia-siakan setiap permohonan dan doa yang dipersembahkan oleh hamba- hamba- Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah: 186)

Ramai orang menganggap doa adalah sesi pemberitahuan dan perkhabaran kepada Allah SWT tentang masalah yang kita hadapi. Sebenarnya mereka silap. Allah SWT sebenarnya Maha Mengetahui segala perkara yang berlaku terhadap diri kita kerana ia berlaku dengan izin dan kehendak-Nya.

Maka itu, doa bukanlah bermaksud untuk memaklumkan kepada Allah SWT tentang apa yang berlaku. Sebaliknya, doa ialah satu pembuktian kehambaan kita kepada Allah SWT. Sebagai hamba, tiada tempat yang sepatutnya kita mohon pertolongan melainkan kepada Allah SWT.

Di samping itu, doa juga adalah merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Oleh kerana ia adalah ibadah, maka terdapat kemungkinan Allah SWT tidak menerima doa tersebut sekiranya tidak menepati syarat-syaratnya sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Doa itu ialah ibadat. (riwayat Bukhari)

Oleh sebab itu, Allah SWT tidak suka sekiranya kita tergesa-gesa dalam berdoa. Kita perlu tenang dan berlemah-lembut dalam mengemukakan harapan dan rintihan kita kepada Allah SWT.

Jangan gunakan suara yang keras dan kuat seumpama memerintah dan mengarahkan dalam berdoa. Ia sama seperti kita memohon sesuatu daripada orang lain. Kita perlu menjaga tutur bahasa dan percakapan sewaktu mengemukakan permohonan tersebut.

Kita juga perlu berhati-hati dalam memilih perkataan yang ingin diucapkan. Barulah orang tersebut bersedia untuk mempertimbangkan permohonan yang kita kemukakan.

Maka, sekiranya sesama manusia kita kena jaga adab dalam meminta, maka lebih-lebih lagi sekiranya kita meminta kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Allah SWT bukan sahaja meminta kita untuk berdoa kepada-Nya, Dia juga mengajar kita bagaimana cara terbaik untuk berdoa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (al-A’raf: 55)

Ganjaran imarah masjid

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SEJARAH pembinaan masjid bermula ketika penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama kaum Muslimin ke Madinah. Ketika sampai di perkampungan Quba, Baginda mendirikan masjid yang hingga kini kekal dan menjadi kunjungan umat Islam.

Kemudian, berdirinya Masjid Nabawi di Madinah. Rasulullah s.a.w mempergiatkan usaha menyalurkan pendidikan dan syiar Islam kepada penduduk sehingga roh beragama hidup dan kukuh.

Masjid ketika itu menjadi tiang kepada kejayaan membina ummah yang erat bersatu. Rasulullah s.a.w ketika hayatnya begitu memfokuskan kepada pembinaan masyarakat bersatu menerusi kegiatan spiritual dan sosial di masjid.

Abu Hurairah ada memberitahu: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w memberitahu:

“Tujuh orang yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya ialah pemimpin yang adil, hamba yang hatinya selalu teringatkan masjid…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seharusnya pernyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi daya motivasi dalam memujuk rasa di jiwa supaya sentiasa ingin mengimarahkan masjid.

Hati sentiasa memasang visi untuk tidak mahu tertinggal dalam mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Itulah yang dimaksudkan sebagai hamba yang hatinya sentiasa teringatkan masjid.

Abu Hurairah berkata, ketika bersama dalam kumpulan sahabat, Rasulullah s.a.w menanyakan mereka: “Mahukah kamu aku tunjukkan amal ibadah yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan meninggikan darjat?” Lalu sahabat Baginda pun menjawab: “Ya Rasulullah.” Rasulullah memberitahu mereka: “Menyempurnakan wuduk pada waktu-waktu yang sukar dan memperbanyak langkah ke masjid.” (Hadis riwayat Imam Malik dan Muslim)

Jadi, berdasarkan kepada apa yang dikatakan Baginda, dapat kita analisis bahawa Mukmin yang rajin ke masjid mendirikan solat secara berjemaah diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Alangkah beruntungnya sesiapa yang jiwanya sentiasa terpaut, lalu terpanggil untuk sering ke masjid. Walau sibuk dengan urusan duniawi, budaya mendirikan solat berjemaah di masjid tidak wajar dipinggirkan.

Jangan sampai keasyikan dunia, kita mencari alasan meninggalkan sunnah Rasulullah itu. Jangan lepaskan peluang keemasan yang dijanjikan Rasulullah s.a.w itu demi mengutip seberapa banyak pahala buat bekalan ke alam barzakh nanti.

Abu Hurairah pernah juga menceritakan pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w berkata: “Sesungguhnya setiap masjid itu mempunyai tonggak-tonggak (orang-orang yang menghidupkan masjid), yang ditemani malaikat. Jika tonggak-tonggak itu tercabut, malaikat akan merasa kehilangan. Jika mereka menderita sakit, malaikat juga akan menjenguk. Dan jika mereka mempunyai keperluan tertentu, maka malaikat juga akan membantu mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim)

Lihatlah betapa hebatnya orang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid sehingga ditemani malaikat dan mendapat pertolongan. Apakah itu masih tidak cukup bagi mencetuskan keinginan di hati kita supaya sentiasa merindui masjid?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk daripada kalangan kamu, lalu dia mengelokkan dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia datang ke masjid semata-mata untuk solat berjemaah, maka Allah sangat-sangat bergembira menyambut kedatangannya seperti bergembiranya ahli keluarga orang yang lama tiada (kerana musafir atau lainnya) dengan kemunculannya.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Sememangnya, masih banyak lagi peringatan daripada Rasulullah supaya kita mengimarahkan masjid dan menjadi salah seorang ‘ahli masjid’ yang aktif mendirikan solat berjemaah.

Jangan kita menjadi ahli masjid tatkala bersolat Jumaat atau semasa solat sunat Aidilfitri, Aidiladha atau ketika sebulan di bulan Ramadan, tetapi hari lain, mata kita saja yang singgah menatap keindahan masjid.

Mengimarahkan masjid bererti kita menghidup serta menyuburkan syiar agama.

6 Tips capai keredaan Allah

Oleh Rizal Azman Rifin

Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.

Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.
Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”

Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.
Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.

Dosa lidah punca muflis di akhirat

Amalan kebaikan di dunia menjadi ganti rugi akibat perbuatan jahat terhadap insan lain

Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, walaupun ia sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan ketika hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan berasa takut dengan keadaan sedemikian.

Firman Allah SWT: “Dan Kitab-Kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)

Imam al-Ghazali pernah berkata: “Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.”

Namun persoalannya pada hari ini, ada kalangan kita yang kaya di dunia, tetapi miskin di akhirat. Dengan kata lain, mereka banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan ketika di dunia, tetapi di akhirat mereka dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.

Ini terjadi kerana ketika hidup, mereka melakukan kebaikan dan pada masa sama mereka juga melakukan kejahatan serta dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan diambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan ketika hidup.

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan memiliki tempat tinggal. Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya.” (Riwayat Muslim)

Sebenarnya golongan yang menjadi muflis di akhirat asalnya mereka memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizalimi.
Bahkan mereka juga dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang dikumpulkan akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar kerana kesalahan terhadap orang lain.

Kuat beribadat dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Dalam pergaulan hidup sehari-hari, sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak berkaitan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain.

Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, wajib kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika tidak sempat memohon kemaafan ketika hidup, maka dosa itu akan dibayar dengan pahala di akhirat. Kerana itulah pahala berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti.

Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu, tetapi siapakah yang akan bersimpati, menolong dan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Bagi dosa membabitkan sesama manusia, lidah yang paling banyak kesalahan. Dosa lidah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita.

Imam al-Ghazali pernah berkata: “Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.”

Lidah hendaklah diawasi supaya hidup tenteram, aman dan damai. Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia dan mengakibatkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat.

Kita memerlukan kekayaan untuk mendapat alam kubur yang luas dan terang, berada di Padang Mahsyar dengan selesa, meniti Titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, melintasi pintu syurga serta membina mahligai besar di dalam syurga.

Tanpa pahala, kita akan menjadi manusia yang miskin di akhirat kelak dan tidak mampu membeli kesenangan, kita akan susah di alam kubur, di Padang Mahsyar dan seterusnya akan dilemparkan ke dalam neraka bersama kaum kafir serta Iblis.

Marilah menghitung adakah sudah cukup amalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang kaya di dunia, tetapi miskin di akhirat.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Kehebatan amalan zikir

Oleh  Mohd Rizal Azman Rifin

 

APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.

Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.
Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamat­kan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”

Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.

Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.

Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuat­kanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.

“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.

“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”

Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu de­ngan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.

Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontar­kan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka mening­galkan kewajipannya terhadap Allah.

Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Ulama’ berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan
daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.

Sikap manusia terhadap dosa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

 

SEBAGAI manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga bukan seperti para Nabi dan Rasul AS yang maksum iaitu sentiasa dipelihara oleh Allah SWT daripada dosa dan penderhakaan.

Kelemahan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah dikuasai oleh nafsu yang mengatasi iman kepada Allah SWT dan hari Akhirat. Lantas mendorong diri kita kepada melakukan dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Imam al-Ghazali menyebut perbuatan dosa itu ibarat makanan yang memudaratkan badan manusia. Begitulah apabila manusia melakukan dosa dan terkumpul dalam dirinya ia akan meracuni jiwa dan menghakis keimanannya.

Malah perbuatan dosa juga akan menyebabkan hati menjadi gelap dan akhirnya sukar untuk menerima kebenaran. Terdapat empat golongan manusia yang melakukan dosa.

Golongan pertama ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian menyesal dan bertaubat. Taubatnya terus menjadi dinding dan benteng kepada dirinya untuk tidak mengulangi maksiat dan dosa yang pernah dilakukan sebelum ini. Dosa tersebut telah menjadi debu ibarat penyakit yang telah disembuhkan apabila melalui proses rawatan yang berkesan. Inilah yang banyak berlaku kepada para sahabat RA.

Sebahagian daripada mereka pernah melakukan dosa besar sewaktu berada di zaman jahiliah seperti membunuh, berzina, menanam anak perempuan dan sebagainya. Namun, setelah beroleh hidayah Islam, mereka meninggalkan kehidupan yang lama dan melakukan hijrah ke arah keimanan. Dosa yang pernah dilakukan selama ini bagaikan terhapus dan hilang daripada catatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal.(Ali Imran: 135-136)

Golongan kedua ialah manusia yang melakukan dosa, kemudian bertaubat. Tetapi mengulangi dosa tersebut berulang kali. Golongan ini biasanya masih mempunyai iman. Namun, kawalan iman terhadap diri dan nafsu amat kurang. Lantas menyebabkan dia sukar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat tersebut bila datang waktunya. Namun, selepas sahaja melakukannya, dia akan menyesal, lantas bertaubat pada Allah SWT. Persoalannya, adakah taubatnya akan diterima oleh Allah SWT?

Sebenarnya, penerimaan Allah SWT terhadap taubat yang dilakukan bergantung kepada sejauhmana keikhlasan dan kesungguhan hamba itu ketika bertaubat. Selagi mana dia bersungguh-sungguh untuk meninggalkan dosa yang dilakukan dan menyesal atas tindakannya, maka Allah SWT akan menerima taubat tersebut, walaupun selepas itu dia mengulanginya.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: Seseorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian selepas itu dia kembali melakukan dosa yang lain, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka Engkau ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Selepas itu, dia melakukan dosa sekali lagi, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Lalu Allah SWT berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bayangkan betapa Allah SWT Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hamba-Nya yang menyesal dan insaf serta kembali kepada Allah SWT walaupun setelah berulang-ulang kali melakukan dosa yang sama. Tetapi, ini bukanlah bermakna kita boleh mengulangi dosa-dosa yang telah dibuat. Sesiapa yang bertaubat dalam keadaan mempunyai niat untuk mengulanginya, sebenarnya dia hanya berlakon untuk bertaubat dan taubatnya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

10 cara bentuk peribadi mulia

1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia
dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu
dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia
menghilangkan maruah diri.
 
2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah
pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri,
kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak
mengulanginya lagi.
 
3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah
diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.
 
4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada
kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan
itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa,
kecuali orang yang mukmin.
 
5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu
cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan
orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak
di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih
darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara,
pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas
kesalahan.
 
6. Orang yang sudah hilang sifat marah - dayus, cepat
melahirkan sifat marah - lemah mujahadah. Orang yang
ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di
tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
 
7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri
kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan
lahir sifat tawadhuk, malu, khusyuk, takut, hina dan
lain-lain lagi sifat kehambaan.
 
8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi
kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.
 
9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu
adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan
ALLAH, ini adalah hakNYA pula.
 
10.Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit
dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan
peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

9 Adab penuntut ilmu

1. IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah  memberi  amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa  ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :………Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL –  Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan  masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat  diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama  yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :”Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?”. Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama’-ulama’ silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

3.  MENJAUHI MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang   mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH – Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.

5.  BANYAKKAN ZIKRULLAH – Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini  kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan  zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai  setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja  kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

6. MENJAGA KEHORMATAN– Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke’aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang  mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada  rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

7.  DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA– Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “uf” dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : ” Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil”.

8. MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi’e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama’ silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI – Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama’ silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan  ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa  kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.

Manfaat Bertudung Ikut Islam dan Sains

Allah memerintahkan sesuatu pasti ada manfaatnya untuk kebaikan manusia. Dan setiap yang benar-benar manfaat dan dibutuhkan manusia dalam kehidupannya, pasti disyariatkan atau diperintahkan oleh-Nya. Di antara perintah Allah itu adalah berjilbab bagi wanita muslimah.  Berikut ini beberapa manfaat berjilbab menurut Islam dan ilmu pengetahuan.

1.    Selamat dari adzab Allah (adzab neraka)

“Ada dua macam penghuni Neraka yang tak pernah kulihat sebelumnya; sekelompok laki-laki yang memegang cemeti laksana ekor sapi, mereka mencambuk manusia dengannya. Dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, sesat dan menyesatkan, yang dikepala mereka ada sesuatu mirip punuk unta. Mereka (wanita-wanita seperti ini) tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium baunya. Sedangkan bau surga itu tercium dari jarak yang jauh” (HR. Muslim).

Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahwa yang dimaksud dengan “Wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang” ialah mereka yang menutup sebagian tubuhnya dan menampakkan sebagian lainnya dengan maksud menunjukkan kecantikannya.

“Wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang” ialah mereka yang menutup sebagian tubuhnya dan menampakkan sebagian lainnya dengan maksud menunjukkan kecantikannya.

2.    Terhindar dari gangguan

Banyaknya gangguan seksual terhadap kaum wanita adalah akibat tingkah laku mereka sendiri. Karena wanita merupakan fitnah (godaan) terbesar. Sebagaiman sabda Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, “Sepeninggalku tak ada fitnah yang lebih berbahaya bagi laki-laki daripada wanita.” (HR. Bukhari)

Jikalau wanita pada zaman Rasul merupakan fitnah terbesar bagi laki-laki padahal wanita pada zaman ini konsisten terhadap jilbab mereka dan tak banyak lelaki jahat saat itu, maka bagaimana wanita pada zaman sekarang??? Tentunya akan menjadi mangsa gangguan seksual. Hal ini telah terbukti dengan tingginya gangguan di negara-negara Eropah (wanitanya tidak berjilbab).

3.    Memelihara kecemburuan laki-laki

Sifat cemburu adalah sifat yang telah Allah subhanahu wata’ala tanamkan kepada hati laki-laki agar lebih menjaga harga diri wanita yang menjadi mahramnya. Cemburu merupakan sifat terpuji dalam Islam.

“Allah itu cemburu dan orang beriman juga cemburu. Kecemburuan Allah adalah apabila seorang mukmin menghampiri apa yang diharamkan-Nya.” (HR. Muslim)

Bila jilbab ditanggalkan, rasa cemburu laki-laki akan hilang. Sehingga jika terjadi gangguan seksual maka  tidak ada yang akan membela.

4.    Akan seperti biadadari syurga (terpelihara kehormatan)

“Dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang menundukkan pandangannya, mereka tak pernah disentuh seorang manusia atau jin pun sebelumnya.” (QS. Ar-Rahman: 56)

“Mereka laksana permata yakut dan marjan.” (QS. Ar-Rahman: 58)

“Mereka laksan telur yang tersimpan rapi.” (QS. Ash-Shaffaat: 49)

Dengan berjilbab, wanita akan memiliki sifat seperti bidadari surga. Yaitu menundukkan pandangan, tak pernah disentuh oleh yang bukan mahramnya, yang sentiasa dirumah untuk menjaga kehormatan diri. Wanita inilah merupakan perhiasan yang amatlah berharga.

Dengan berjilbab, wanita akan memiliki sifat seperti bidadari surga.

5.    Mencegah penyakit kanser kulit

Kanker adalah sekumpulan penyakit yang menyebabkan sebagian sel tubuh berubah sifatnya. Kanser kulit adalah tumor-tumor yang terbentuk akibat kekacauan dalam sel yang disebabkan oleh penyinaran, zat-zat kimia, dan sebagainya.

Penelitian menunjukkan kanker kulit biasanya disebabkan oleh sinar Ultra Violet (UV) yang menyinari wajah, leher, tangan, dan kaki. Kanker ini banyak menyerang orang berkulit putih, sebab kulit putih lebih mudah terbakar matahari.

Kanser tidaklah membeza-bezakan antara laki-laki dan wanita. Hanya saja, wanita memiliki daya tahan tubuh lebih rendah daripada laki-laki. Oleh karena itu, wanita lebih mudah terserang penyakit khususnya kanser kulit.

Oleh karena itu, cara untuk melindungi tubuh dari kanser kulit adalah dengan menutupi kulit. Salah satunya dengan berjilbab. Karena dengan berjilbab, kita melindungi kulit kita dari sinar UV. Melindungi tubuh bukan dengan memakai kerudung gaul dan baju ketat. Kenapa? Karena hal itu percuma saja. Karena sinar UV masih bisa menembus pakaian yang ketat apalagi pakaian transparen. Berjilbab disini haruslah sesuai kriteria jilbab.

6.    Memperlambat gejala penuaan

Penuaan adalah proses alamiah yang sudah pasti dialami oleh semua orang yaitu lambatnya proses pertumbuhan dan pembelahan sel-sel dalam tubuh. Gejala-gejala penuaan antara lain adalah rambut memutih, kulit keriput, dan lain-lain.

Penyebab utama gejala penuaan adalah sinar matahari. Sinar matahari memang penting bagi pembentukan vitamin Dyang berperan penting terhadap kesehatan kulit. Namun, secara ilmiah dapat dijelaskan bahwa sinar matahari merangsang melanosit (sel-sel melanin) untuk mengeluarkan melanin, akibatnya rusaklah jaringan kolagen dan elastin. Jaringan kolagen dan elastin berperan penting dalam menjaga keindahan dan kelenturan kulit.

Jilbab adalah kewajiban untuk setiap muslimah.

Krim-krim pelindung kulit pun tidak mampu melindungi kulit secara total dari sinar matahari. Sehingga dianjurkan untuk melindungi tubuh dengan jilbab.

16 Kebaikan sujud dalam solat

sujud

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling menggalakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Percaya atau tidak, berikut adalah hikmah yang diperoleh daripada perbuatan bersujud ketika sembahyang.

1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

 

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

 

4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.

 

6. mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

 

7. Meringankan bahagian pelvis.

8. Memberi dorongan supaya mudah tidur.

9. Menggerakkan otot bahu, dada,leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara semula jadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.

10. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

 

11. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

12. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.(Convulsions).

13. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

 

14. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya. Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha pencipta sekali gus mengikis sifat sombong,riak takbur dan sebagainya.

16. Manakala dari sudut perubatan pula, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.

Untuk itu marilah kita sama-sama mengamalkan sujud dalam solat yang banyak dan lama-lama bagi satu-satu sujud. Dan sujud lama dalam solat terutamanya dalam solat sunat yang bersendirian adalah digalakkan di dalam Islam. Wallahu a’lam.