• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Telefon perhubungan utama Pondok Pasir Tumboh

Madrasah Diniah Bakriah
Pondok Terusan Limbat
Pasir Tumboh
16150 Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Tel 09-7657786

Fax 09-7659099

e-mail: bakriah1954@gmail.com

Blog : albakriah.wordpress.com

web : al-bakriah.com.my

 

Tuan Guru Hj Wan Muhamed b Wan Osman (Mudir) 0179023799
Ustaz Hj Salleh b Ismail (Timb. Mudir I) 097645199

Ustaz Hj Abu Bakar b Osman (Timb. Mudir II) 0179847815

Ahmad Shairazi b Hj Atiqullah (Setiausaha Agong) 0199388902

Ustaz Hj Mohamed b Talib (Bendahari Agong) 0199393126
Ustaz Hj Abdul Halim b Abdul Ghani (Pengerusi Jemaah Tadbir) 0139012288
Ustaz Hj Ahmed Khairi b Muhammed (Pelajaran & Ibadat) 0196653118
Ustaz Hj Syuib b Omar (Penyelia Muslimat) 0129975513
Ustaz Hj Nurussobah b Hj Mustafa (Keselamatan) 0179295212

Pendaftaran lelaki

012-9623806 (Ustaz Wan Qusyairi)
013-2756400 (Hafiz)

Pendaftaran muslimat

014-5429086 (Ustazah Fadhilah)
013-9943099(Ustazah Hidayah)

Lawatan atau tesis kajian

019-9388902 (Setiausaha Agong)

 

Khutbah Aidil Adha 1436H

Khutbah Aidil Adha 1436H-pdf

Khutbah Aidil Adha 1436H-word

خطبة عيد الأضحى 1436- pdf

عيدالأضحى1436-word

Tragedi kren: 
Haji dan takdir

SAIFULIZAM MOHAMAD

Kira-kira pukul 5.45 petang waktu tempatan Arab Saudi (10.45 malam waktu Malaysia) Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan berita kren tumbang di Masjidilharam akibat ribut yang sehingga kini mengorbankan lebih 100 jemaah haji termasuk dari Malaysia.

Jemaah Malaysia yang terlibat ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 74, Cherang Ruku, Kelantan; Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, Tanah Merah, Kelantan dan Zainun Taha, 69, Ampang, Selangor.

Sebanyak 10 lagi jemaah haji Malaysia mengalami kecederaan dan lima daripadanya telah dibenarkan pulang ke maktab masing-masing selepas menerima rawatan manakala selebihnya masih berada di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami patah di beberapa anggota badan.

Seandainya lima jemaah yang cedera itu masih belum sembuh sehingga Hari Wukuf yang dijangka pada 23 September ini, waris di tanah air tidak perlu bimbang kerana pihak pengurusan Tabung Haji di Tanah Suci tetap akan memastikan mereka berada di Padang Arafah pada tarikh tersebut.

Sehari sebelum wukuf kebiasaannya semua jemaah akan menuju ke Padang Arafah dengan menggunakan pengangkutan awam tetapi bagi urusan pengangkutan jemaah yang uzur Tabung Haji akan menguruskannya termasuk penempatan mereka di padang tersebut.

Wukuf di Padang Arafah adalah salah satu rukun haji dan juga kemuncak dalam ibadat tersebut, oleh itu sesiapa yang gagal berada di tempat berkenaan dalam seketika iaitu bermula Zuhur 9 Zulhijah (23 September ini) sehingga sebelum fajar 10 Zulhijah maka seseorang itu tidak dikira memperoleh haji.

Berbalik kepada insiden kren tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan saie, kejadian itu benar-benar mengejutkan rakyat negara ini dan dunia secara keseluruhannya. Malah Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz telah berjanji untuk menyiasat punca utama kren tumbang ketika melawat lokasi kejadian. Baginda juga berjanji akan mengumumkan hasil siasatan tersebut.

Paling menyentuh hati gambar baginda bersama-sama dengan jemaah lain mengangkat keranda salah seorang mangsa korban kejadian tersebut menjadi viral

Bagi waris lima jemaah Malaysia yang terkorban dalam kejadian tersebut sudah tentu akan merasai kehilangan keluarga mereka yang sepatutnya pulang ke tanah air pada bulan depan secara beransur-ansur selepas selesai menunaikan ibadah haji. Namun apakan daya ketentuan Allah adalah segala-galanya, apabila kelima-lima jemaah Malaysia itu dipanggil mengadap Ilahi selepas terkorban dalam kejadian kren tumbang itu.

Sesungguhnya kematian para jemaah tersebut adalah sebaik-baik kematian kerana mereka mengadap Ilahi di saat mereka berada di dalam Masjidilharam yang dijanjikan ganjaran sebanyak 100,000 kali ganda yang mungkin pada masa itu masing-masing sedang mengabdikan diri kepada Allah.

Menurut sebuah hadis dari Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidilharam (di Mekah) dan satu sembahyang di Masjidilharam pula lebih afdal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.”

Apatah lagi sekiranya ada dalam kalangan mereka itu terkorban ketika masih dalam pakaian ihram kerana menunaikan ibadah umrah. Secara zahirnya kematian pada jemaah terlibat amat mulia di sisi Allah SWT. Yang pasti lima mangsa jemaah Malaysia termasuk mangsa-mangsa lain juga akan disembahyangkan oleh jutaan jemaah lain di Masjidilharam dan kelebihan itu hanya dinikmati oleh mereka yang meninggal dunia di Mekah.

Cuba lihat salah satu intipati ayat 34 surah al-Luqman yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” Ayat al-Quran di atas dengan jelas memberitahu bahawa kematian adalah rahsia Allah dan hanya Allah sahaja yang tahu di bumi manakah seseorang hamba itu akan meninggal dunia.

Demikianlah takdir lima jemaah Malaysia itu bersama-sama dengan 102 jemaah negara lain apabila mereka semua dijemput menemui Allah di bumi Mekah yang suci. Inilah qada dan qadar yang telah ditentukan buat mereka.

Pujian juga harus diberikan kepada pihak pengurusan Tabung Haji di Tanah Suci apabila segera bertindak mengerahkan pasukan khas mereka yang terdiri daripada pasukan kebajikan, perubatan dan unit peronda mengesan jemaah Malaysia sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Tabung Haji turut bekerjasama dengan Muassasah Asia Tenggara ketika berusaha menjejaki jemaah Malaysia yang mungkin terlibat dalam kejadian tersebut. Akhirnya mereka berjaya mengesan 10 jemaah yang cedera sebelum dimaklumkan lima lagi jemaah disahkan meninggal dunia. Kini pihak Tabung Haji sedang memperhebatkan lagi pencarian dua lagi jemaah Malaysia yang masih hilang iaitu Abdul Habib Lahman, 68 dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, Kodiang, Kedah.

Kepada para jemaah yang lain, lakukanlah ibadat sehingga selesai kerja-kerja haji dengan penuh khusyuk dan tawaduk kerana sesungguhnya peluang untuk menunaikan rukun kelima Islam itu terlalu mahal nilainya.

Gunakanlah peluang berada di Tanah Suci dengan sebaik-baiknya dan letakkanlah harapan yang tinggi supaya segala ibadat yang dikerjakan di Tanah Suci diterima oleh Allah. Mohonlah juga pada Allah agar semua jemaah dapat menunaikan kerja-kerja haji dengan lancar dan sempurna tanpa berlaku lagi kejadian yang tidak diingini.

Penulis dan semua umat Islam di tanah air akan sentiasa mendoakan kebaikan serta kesejahteraan para jemaah Malaysia serta seluruh dunia di Tanah Suci. Mudah-mudahan semua jemaah negara ini akan memperoleh haji mabrur.

Zulhijjah dirai, roh pengorbanan dihayati

NORKUMALA AWANG

ZULHIJJAH adalah bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan ini bukan hanya khusus untuk yang menunaikan fardu haji, tetapi juga memberi kelebihan kepada yang tidak menjadi tetamu Allah SWT. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah seperti mana menantinya kedatangan bulan Ramadan.

Sedangkan, kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, ibadah-ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya.

Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat.

“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” – Ahmad at-Tirmizi.

Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja?

Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintah-Nya perlu dididik dalam jiwa setiap individu Muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam erti kata menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Ibadah korban yang dilakukan sempena Aidiladha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu Muslim.

Kecekalan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam me­laksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka itu, wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredaan Allah SWT, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah SWT. Malah ia adalah satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah.

Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup mentaati perintah Allah SWT dalam perkara berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah.

Zulhijjah akan berlalu seperti mana perginya Ramadan atau bulan-bulan lain. Banyak peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmat-Nya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidiladha itu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.

Tanda rezeki itu berkat

KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Namun dalam artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji.

Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan..

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama, kerana ia jelas datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda-tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.

* Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang

Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.

* Pemurah

Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

* Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

Kalau kita datang lambat, malas, kerja tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200 sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu. Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.

* Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang

* Sentiasa merasa cukup dan syukur

Kehebatan amalan zikir

Mohd Rizal Azman Rifin

APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.

Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.
Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamat­kan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”

Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.

Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.

Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuat­kanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.

“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.

“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”

Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu de­ngan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.

Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontar­kan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka mening­galkan kewajipannya terhadap Allah.

Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Ulama’ berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan
daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.

Jauhi sifat terburu-buru

DR. AMINUDIN MANSOR

 

SIKAP terburu-buru dan gopoh-gapah terutama dalam melakukan sesuatu pekerjaan dilarang dalam Islam. Sikap ini berpunca daripada seseorang yang tidak dapat mengawal hawa nafsu yang gelojoh dan rakus.

Di sebabkan terlalu sibuk mengejar urusan dunia seseorang itu tidak dapat mengawal akal dan fikirannya dengan waras.

Suasana haru-biru ini, lebih-lebih lagi ketara apabila tiba musim cuti umum, cuti persekolahan atau cuti hujung minggu, yang mana ramai para pemandu menunjukkan belang berlumba-lumba menuju destinasi masing-masing.

Sikap tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri, boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Punca sikap terburu-buru ini adalah terlalu ghairah, gopoh dalam melakukan sesuatu sehingga menyebabkan diri terburu-buru.

Pada kebiasaannya mereka yang mengamalkan sikap seumpama ini, kerja yang dilakukan tidak sempurna dan berkesan. Bimbing dan didiklah anak-anak dengan sifat sabar, tenang dan tidak gopoh.

Sikap ini adalah sebagai ujian dan kesabaran kepada seseorang. Semasa kesesakan di jalan raya adalah ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.

Oleh itu seseorang hamba-Nya yang mendapat cubaan, haruslah bersabar ketika ujian tersebut. Hanya dengan keimanan yang kukuh akan dapat mengelakkan keadaan ini (rujuk al-Baqarah: 257).

Hanya dengan amalan sikap sabar akan dapat mengatasi sikap terburu-buru dan tergesa-gesa ini. Melalui sifat sabar seseorang itu dapat menguatkan keimanan di dalam hatinya.

Kebanyakan mereka yang terburu-buru di jalan raya tidak mempunyai sifat sabar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula ditimpa musibah. (riwayat al-Bukhari)

Sikap terburu-buru iaitu dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai ke sesuatu tempat adalah sikap yang tidak baik. Sikap ini berpunca daripada tidak dapat mengawal hati dan akal serta emosi dengan seimbang.

Oleh itu, sikap berlapang hati dan sabar akan dapat mengatasi sikap buruk ini. (rujuk Ali-Imran: 159)

Mengikut sunah Nabi SAW tunaikan solat sunat sebelum keluar dan memulakan perjalanan.

Digalakkan memulakan perjalanan pada awal pagi dan berdoa sebelum memulakan perjalanan seperti; “Maha Suci Allah yang telah tundukkan bagi kami (kenderaan) ini dan tidaklah kami dapat mengawalnya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah tempat kami kembali.” (Mishkaat)

Disarankan juga membaca doa ini: “Ya Allah, Kaulah yang bersertaku dalam perjalananku dan penjaga ahli keluargaku dan hartaku.”

Diriwayatkan sudah menjadi kebiasaan, Nabi SAW apabila baginda kembali daripada sesuatu perjalanan baginda biasanya lakukan pada waktu Dhuha.

Pertama baginda akan ke masjid, menunaikan dua rakaat solat Nafilah dan duduk di dalam masjid bertemu orang ramai buat seketika sebelum kembali ke rumah. (riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mereka yang mempunyai banyak bekalan semasa dalam perjalanan hendaklah memikirkan keperluan orang lain yang berada dalam kekurangan. (riwayat Muslim).

Jelaslah, bahawa persediaan yang rapi dan terancang akan menyebabkan seseorang itu tenang dan sabar. Dalam hal ini, kita juga perlu memikirkan orang lain terutama jika kita melakukan perjalanan yang jauh.

Lawan kepada sikap terburu-buru adalah sifat tenang dan sabar dalam melakukan sesuatu. Bertindak dengan bijak, merancang dahulu sebelum melakukan sesuatu. Jangan lakukan perkara di saat-saat terakhir yang kedang-kadang boleh menyebabkan dan mengundang sikap terburu-buru.

Islam mendidik kita supaya sentiasa tabah, tenang dan sabar dalam menghadapi apa juga situasi. Nabi SAW bersabda: “Sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan.” (riwayat Ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Kesimpulannya, jadikanlah sifat sabar dalam hati sebagai benih keimanan yang tumbuh dalam tubuh. Melalui sifat sabar sikap terburu-buru dan tergesa-gesa di jalan raya dapat dielakkan. Orang yang sabar selalunya lebih selamat dan dilindungi oleh Allah SWT kerana kesabarannya menghadapi ujian seperti kesesakan di jalan raya dan dugaan yang lain.

Kawal emosi marah ikut syariat

Rasulullah tidak kompromi jika hukum Tuhan dipersendakan

Meskipun Rasulullah SAW sering dihina, dicaci dan disakiti oleh kaumnya sendiri, namun Baginda SAW tetap bertahan tanpa bersungut atau menunjukkan emosi marah. Jika marah kepada seseorang, kemarahan Baginda SAW itu bukan marah melulu tanpa sebab musabab.

Baginda SAW hanya marah apabila sesuatu hukum Allah dipersendakan. Ini yang mencetuskan rasa tidak senang dalam hati Baginda SAW.
Isteri Baginda, Aisyah ada menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah marah jika disakiti. Namun, jika hukum Allah dilanggar, maka Baginda akan marah kerana Allah.” (Riwayat Muslim)

Kita mengetahui betapa kental kesabaran Baginda ketika menjalankan usaha dakwah. Baginda dilayan dan diperlakukan dengan pelbagai tindakan keji di luar sifat kemanusiaan dan ketamadunan manusia. Pun begitu, Baginda SAW tetap cekal.

Aisyah ada membawa satu kisah perbualannya dengan Baginda SAW. Dikatakan Aisyah ada bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah engkau pernah mengalami hari yang lebih dahsyat daripada waktu Perang Uhud? Lalu Baginda menjawab: Sungguh aku pernah menerima perlakuan daripada kaummu yang lebih menyakitkan daripada itu, dan yang paling menyakitkan adalah pada saat Hari Aqabah.”

Seterusnya Baginda SAW menyambung jawapannya: “Ketika itu aku minta tolong pada Ibnu Abdi Halil bin Abdi Kulal, tetapi dia tidak memenuhi apa yang aku inginkan. Maka akupun pergi dengan perasaan sangat sedih. Aku berjalan tanpa sedar ke mana aku melangkah dan baru sedar saat berada di hujung bukit. Lalu aku mendongakkan kepalaku ke langit, tiba-tiba aku dinaungi awan di atasku. Akupun melihat ke arah awan, ternyata ada malaikat Jibril di sana. Dia memanggilku dan berkata: Wahai Muhammad. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu dan apa yang mereka lakukan terhadap dirimu. Sesungguhnya Allah telah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu supaya engkau perintah dia apapun yang engkau mahu.”

Baginda SAW meneruskan kisahnya: “Kemudian malaikat penjaga gunung itu memanggilku sambil mengucapkan salam kepadaku. Dia berkata: Wahai Muhammad. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung dan Tuhanku telah mengutusku kepadamu supaya engkau menyuruhku untuk berbuat apa saja yang engkau kehendaki. Kalau engkau mahu akan aku timpakan dua gunung ini pada mereka.”
Lalu Baginda menjawab pelawaan malaikat itu: “Jangan. Justeru aku berharap supaya Allah mengeluarkan daripada keturunan mereka orang yang menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”

Lihatlah betapa agung sikap Baginda SAW yang masih bertahan untuk tidak bertindak balas terhadap kaumnya, meskipun Baginda SAW mampu merealisasikannya lantaran adanya pertolongan daripada malaikat. Ini sikap luar biasa yang seharusnya kita manusia biasa teladani.

Corak pemikiran dan tindakan berhemah Baginda SAW ternyata membawa kejayaan apabila berduyun-duyun kalangan kaum Baginda yang menerima Islam. Justeru, dapat dikatakan pendekatan yang Baginda SAW ambil tadi adalah langkah pandang ke hadapan, bukan melihat dari sudut jangka pendek semata-mata.

Sesungguhnya mencetuskan emosi kemarahan menggambarkan bahawa seseorang itu kurang matang bertindak dan tidak mampu mengawal daya fikir yang bijaksana.

Satu lagi kisah yang menunjukkan sikap marah Nabi SAW yang ada kaitan dengan urusan agama ialah cerita Abu Mas’ud Al-Anshari yang meriwayatkan: “Ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Kata lelaki itu dalam aduannya: Sesungguhnya aku sering terlewat solat jemaah Subuh disebabkan si polan yang suka memanjangkan solatnya bersama kami.”

Menurut Abu Mas’ud, dia tidak pernah melihat Baginda SAW begitu marah seperti hari itu.
Seterusnya Abu Mas’ud memaparkan maklum balas Baginda Rasulullah SAW terhadap aduan lelaki itu.
Sabda Baginda SAW: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya di antara kamu ada yang suka membuat orang lari daripada agama. Oleh sebab itu, siapapun di antara kamu yang menjadi imam solat, maka hendaklah dia meringankan bacaan solatnya. Sebab di belakangnya ada orang tua, anak kecil dan orang yang mempunyai keperluan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Meskipun Baginda SAW marah selepas menerima aduan sahabatnya, tetapi Baginda SAW menjelaskan kemarahan Baginda SAW dengan menampilkan sebab musababnya. Segala amalan dan sikap yang ditunjukkan Baginda SAW seharusnya kita contohi.

Apatah lagi dalam masa mutakhir ini, kita sering kali dipaparkan dengan banyak insiden negatif akibat sikap luahan emosi marah tanpa kawalan. Kualiti iman dan indeks takwa semakin terhakis jika emosi marah dibiarkan bermaharajalela sehingga kita tenggelam dalam hasutan nafsu amarah.
Dalam aspek mempersendakan urusan agama janganlah pula mengambil sikap diam membisu seribu bahasa atas alasan tidak ingin menimbulkan kemarahan

Keajaiban solat sunat rawatib

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

 

UMAT Islam diwajibkan mendirikan solat sebanyak lima kali sehari semalam. Selain solat wajib lima waktu, sebagai hamba Allah kita dituntut memperbanyakkan amalan solat sunat khususnya solat rawatib.
Solat rawatib adalah solat sunat sebelum atau selepas solat wajib. Kita diperintahkan mengamalkan solat rawatib atau tathawwu, iaitu solat sunat yang menyertai solat wajib dengan tujuan melengkapkan segala kekurangan yang mungkin terjadi semasa mendirikan solat fardu.
Selain itu, solat sunat itu tersingkap banyak keutamaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Kita dapat analoginya seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.

Abu Hurairah ada menyertakan sebuah hadis yang bermaksud, ‘Sesungguhnya pertama sekali yang akan dihitung dari amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat kelak adalah solat.

Allah S.W.T akan berfirman kepada Malaikat-Nya, “Wahai Malaikat-Ku, periksalah solat hamba-Ku, sudahkah sempurna solatnya atau masih kurang? Apabila didapati sudah cukup sempurna, akan dicatat sempurna. Akan tetapi, apabila didapati kurang sempurna, Allah berfirman, ‘Periksa kembali, apakah hamba-Ku itu memiliki amalan solat sunat (tathawwu)? Apabila didapati bahawa dia memiliki amalan sunat tathawwu (solat sunat), Allah akan berfirman; ‘Cukupkan dan sempurnakan solat fardu hambu-Ku itu oleh solat sunatnya.’ Kemudian, amal perbuatan hamba itu dikira menurut cara seperti ini.’ (Hadis riwayat Abu Daud).

Jelas bahawa mendirikan solat sunat rawatib itu satu amalan sunat penting dan tidak seharusnya diremehkan. Ini tidak, kita hanya tekun melaksanakan solat fardu wajib lima waktu tetapi begitu liat mendirikan solat sunat.

Melaksanakan solat sunat itu digalakkan dilakukan di rumah berbanding di masjid. Menurut Imam An-Nawawi dianjurkan solat sunat di rumah supaya lebih tersembunyi daripada pandangan umum sekali gus dapat mengelakkan timbul rasa riak yang akan membatalkan kebaikan amalan itu.

Hal itu juga adalah untuk menimbulkan cahaya rahmat Allah ke atas ahli keluarga di dalam rumah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kalian sentiasa mengerjakan solat fardu di masjid, hendaklah ia memberikan bahagian di rumah­nya dari solatnya, supaya Allah melimpahkan pula kebaikan atas rumah itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Demikian juga Rasulullah s.a.w berpesan, “Jadikanlah sebahagian solat kamu dapat dikerjakan di rumah dan jangan kamu menjadikannya seakan kubur sebagai tempat tidur belaka.’ (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Justeru, melalui dua hadis itu, jelas amalan solat sunat begitu ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan macam mana sekalipun, berusahalah melakukan sunnah Baginda itu.

Pentingnya solat sunat sehingga Rasulullah s.a.w ada meninggalkan wasiatnya; “Jangan engkau tinggalkan kedua-dua rakaat sunat subuh itu, meskipun engkau dikejar oleh tentera berkuda.’ (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi).

Namun, melihatkan keadaan dunia sekarang seakan manusia tidak pernah cukup waktu untuk mendirikan solat sunat yang hanya sekitar tiga hingga lima minit sahaja! Mengapakah perkara itu terjadi?

Ini kerana jiwa terlalu terpaut dengan tuntutan duniawi sehing­ga ukhrawi tidak
dimantapkan. Satu lagi peringatan Rasulullah terhadap solat sunat khususnya solat sunat subuh.

Aisyah pernah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Kedua-dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisi­nya.” (Hadis direkodkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi dan An-Nasai).

Maksud pesanan Nabi s.a.w lebih baik daripada dunia dan segala isinya itu ialah keberkatan dan ganjaran pahalanya buat pengamal solat sunat subuh itu.

Inilah keajaiban solat sunat dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.

Imam Ahmad dan Muslim ada meriwayatkan daripada Aisyah yang mengatakan, ‘Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w begitu rajin dan cepatnya mengerjakan sesuatu kebaikan, sebagaimana rajin dan cepatnya Baginda melakukan dua
rakaat sunat sebelum subuh.’

Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai solat sunat.