Pondok Pasir Tumboh : Sumbangan dan Cabaran

Team kembara yang menjejaki institusi pengajian pondok di Kelantan meneruskan perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu. Kami singgah di Pondok Pasir Tumboh, sebuah pondok pengajian yang ternama dan terunggul di Kelantan.

Nama sebenar pondok ini ialah al-Madrasah al-Diniah al-Bakriah sempena nama Abu Bakar, ayahanda kepada tiga orang tuan guru pondok yang mengasaskan Pondok Pasir Tumboh pada tahun 1954.

Mereka ialah Almarhum Tuan Guru Haji Mustafa Haji Abu Bakar (1923-1984) bersama adiknya Tuan Guru Haji Abdul Aziz Haji Abu Bakar (meninggal 1987). Mereka dibantu oleh ipar mereka, Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar, kebetulan mempunyai nama bapa yang sama (1923-sekarang).

Setelah kematian kedua-dua beradik itu, Pondok Pasir Tumboh ditadbir oleh Tuan Guru Haji Hashim hingga hari ini. Beliau masih sihat ketika kami mengunjungi beliau di rumahnya.

Kami sampai awal pagi di Pasir Tumboh yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Kota Bharu. Pertumbuhan pembangunan yang pesat mengingatkan penulis ketika berkunjung ke pondok ini beberapa tahun yang lalu untuk menghantar salah seorang anak bersama sepupunya belajar sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM.

Ketika itu saya memikul tong gas dan memunggah segala jenis bekalan berupa bahan mentah dan makanan untuk si anak tinggal di pondok selama tiga bulan. Namun hari ini, berkat ketabahan si anak mengharungi pahit getir dan kesusahan belajar di pondok, dia telah pun menamatkan pengajian ilmu hadisnya dari salah sebuah universiti Islam di Jakarta.

Apa yang dapat kami perhatikan, tidak ada pemisah sempadan yang ketara antara kawasan Pondok Pasir Tumboh seluas 40 ekar ini dengan kampung sekitarnya. Tiada pagar atau tembok. Ini membuktikan betapa eratnya peranan penduduk setempat dalam menyokong pertumbuhan institusi pondok khususnya Pondok Pasir Tumbuh.

Bangunan dibina rapat-rapat secara tidak terancang untuk menampung penempatan rumah kediaman dan pondok. Tanah wakaf milik madrasah cuma seluas 3/4 ekar sahaja. Selebihnya ialah tanah milik persendirian. Walaupun semakin banyak bangunan baru dibina termasuk bangunan asrama empat tingkat, namun kawasan pondok kayu tradisional masih dikekalkan.

Kemudahan prasarana dibina rapat-rapat bertemu bumbung antara satu sama lain termasuk:

• Sebuah masjid empat tingkat.

• Enam buah madrasah.

• Sebuah dewan – Dewan Haji Abu Bakar.

• Pusat sumber – Maktabah Bakriah.

Pejabat pentadbiran dan pejabat lajnah.

– Bilik pameran (muzium mini).

– Bilik kegiatan Majlis Syura Pelajar.

– Kedai kitab, kedai runcit, kantin dan kedai makan.

– Bilik tetamu masjid dan Asrama Kuala Lumpur- Selangor.

– Kediaman guru dan tenaga pengajar.

– Pondok warga emas, keluarga serta pelajar lelaki dan perempuan.

– Tanah perkuburan.

Di sini berkampungnya sekitar 500 orang pelajar lelaki, 100 orang pelajar perempuan, 700 orang warga pondok dan penduduk kampung serta 35 orang tenaga pengajar. Pondok Pasir Tumboh ditadbir oleh sebuah jawatan kuasa Jemaah Penguasa dan Jemaah Tadbir yang terdiri daripada tujuh lajnah (jawatankuasa kecil).

Ada dua aliran sistem pengajian pondok di sini:

1. Aliran Nizami- untuk pelajar yang menduduki peperiksaan. Mereka ini diambil daripada kalangan

pelajar lepasan sekolah rendah yang berusia 13 tahun.

2. Aliran Umumi- untuk mustami’ iaitu pendengar yang tidak menduduki peperiksaan termasuk orang

dewasa bebas usia dan penduduk setempat.

Pengajian Umumi dijalankan di masjid menggunakan kitab kuning (lama), sama ada kitab jawi atau kitab Arab antaranya; Sahih al-Bukhari, Bidayah al-Hldayah, Matla1 dl-Badrin, al-Baijuri, al-Iqna’, Sirah al-Nabawiyyah, Riyad al-Salihin, Sir al-Salikin, Hidayah al-Sibyan, Pelita Penuntut dan Penawar Bagi Hati.

Bagi aliran Nizami, pelajar melalui dua peringkat metodologi pembelajaran:

1. Peringkat Teori

– Belajar (menadah) kitab daripada tuan guru.

– Menghafal kitab sendirian di pondok.

– Mengulang kaji pengajian dengan pelajar senior.

– Mempelajari sendiri kitab-kitab yang tidak diajar di dalam kelas.

Kemajuan pengajian terbahagi kepada empat tahap:

– Tahap 1: Mengenal al-Quran al-Karim.

– Tahap 2: Belajar kitab Jawi kecil dan asas bahasa Arab.

– Tahap 3: Belajar kitab Jawi besar dan kitab Arab kecil.

– Tahap 4: Menamatkan kitab kokurikulum.

Contohnya dalam pengajian subjek Fiqah, para pelajar akan didedahkan dengan kitab yang rendah

dahulu sebelum berpindah kepada kitab yang lebih besar.

2, Peringkat Amali

– Melaksanakan amalan seharian seperti solat, puasa, berzikir, membaca al-Quran, hafazan, majlis membaca Yasin, doa selamat, berzanji dan diba’i.

– Pelajar mengikut tuan guru mengajar di masjid, seminar, menghadiri majlis atau berinteraksi dengan penduduk kampung.

– Pelajar menjadi imam solat Tarawih atau memberi tazkirah.

Selain pengajian dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum juga sebenarnya banyak mendidik pelajar-pelajar menjadi warga masyarakat yang diharapkan akan menjadi pemimpin agama apabila berkecimpung dalam

gelanggang kehidupan setelah menamatkan pengajian.

Antara pengisian kokurikulum yang dijalankan di institusi pondok ialah:

– Latihan pidato/syarahan.

– Mengarang dan menyampaikan khutbah Jumaat.

– Bernasyid.

– Rehlah dan mukhayyam (perkhemahan).

– Seni mempertahankan diri.

– Seminar dan kursus.

– Lawatan belajar.

– Gotong-royong.

– Persatuan Palak (kajian astronomi dan bintang).

– Berceramah dalam musim tertentu seperti Maulid Nabi dan Maal Hijrah.

– Latihan berdikari.

Waktu Pembelajaran

Aura persekitaran pondok ialah aura ilmu dan pengajian. Di mana-mana sahaja kelihatan pelajar dan orang dewasa tanpa mengira usia sedang bermutala’ah (mengulang kaji) dan bermuzakarah. Kitab-kitab kuning yang telah lusuh sentiasa berada di tangan mereka. Pelajar yang mengikuti sistem sekolah dan pondok

serentak, mengikuti sesi pengajian pondok selepas selesai sesi pengajian di sekolah pada sebelah pagi.

Kehadiran kami di Pondok Pasir Tumboh memberi peluang untuk menyaksikan kegiatan seharian pelajar. Di dalam pondok yang berukuran seluas kira-kira 4×4 meter, tersusun banyak kitab-kitab pengajian mereka di atas rak buku yang terlekat di dinding. Mereka tidur di atas lantai dan bermutala’ah menggunakan meja rendah. Mereka memasak menggunakan dapur gas atau dapur minyak di dalam pondok masing-masing.

Di bahagian dapur umum asrama, kami melihat sebahagian pelajar yang bertugas mengikut giliran masing-masing sedang melapah daging lembu. Beberapa orang pelajar sedang memasak secara pukal di dalam kawah menggunakan kayu api.

Tempoh Pengajian

Di Projek Pasir Tumboh, saya diberi penerangan bahawa tempoh pengajian tidak terhad kepada tempoh tertentu. Sistem pembelajaran lebih menitikberatkan kemampuan seseorang pelajar menerima dan mempraktikkan setiap mata pelajaran dan semua bilangan kitab yang diamanahkan.

Pelajar yang cergas, bijak, bersungguh-sungguh dan benar-benar mampu akan menamatkan pengajian lebih awal. Mereka yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan tidak mampu menguasai sesuatu mata pelajaran atau kitab perlu mengulangi semua mata pelajaran tersebut sehinggalah mereka benar-benar mampu.

Apabila tamat pengajian, “graduan” pondok memang dikenali sebagai individu yang disegani dalam hal ehwal agama serta mampu menyumbang tenaga yang bermanfaat untuk mengendalikan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan di kampung-kampung terdekat, antaranya:

– Menjadi imam solat berjemaah dan solat Tarawih di masjid dan surau.

– Mengetuai majlis tahlil, bacaan doa selamat dan solat hajat.

– Mengurus jenazah dan mengimami solat jenazah.

– Menyembelih korban dan akikah.

– Mengetuai majlis berzanji, dibal, mengazankan bayi dan mencukur jambul.

– Memberi ceramah dalam pelbagai majlis menyam-but hari-hari kebesaran Islam.

– Menganjurkan atau menyertai majlis diskusi ilmu dengan ulama dari dalam dan luar negara.

Kelebihan Belajar di Pondok

Sejak dahulu, pendidikan di pondok dijadikan sebagai pendedahan awal sebagai batu loncatan (stepping stone} kepada pelajar untuk menguasai ilmu fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab. Apabila mereka telah menguasai ilmu-ilmu asas tersebut dengan baik, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara seperti di Mesir, Jordan, Madinah, Yaman, Sudan, India, Pakistan dan lain-lain.

Malah mahasiswa di universiti tempatan yang berkelulusan dari pengajian pondok didapati lebih berketerampilan dalam penguasaan bahasa Arab, ke-mampuan menguasai kitab tua dan pendedahan kepada kepelbagaian disiplin ilmu pengetahuan agama.

Pada peringkat pelaksanaan di kompleks pengajian pondok, didapati sistem dan persekitaran pondok mem-punyai beberapa kelebihan berbanding sistem pengajian terbuka di luar, dalam beberapa aspek, antaranya:

• Minda pelajar-pelajar terdidik dengan cara hidup dalam lingkungan masyarakat yang tidak banyak

terdedah dengan kemodenan, media massa, hiburan, pergaulan, fahaman materialistik (kebendaan),

kemaksiatan dan pengaruh budaya Barat.

• Persekitaran yang kondusif untuk beramal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, solat tahajud

dan puasa sunat.

• Masa yang lebih untuk wacana ilmu seperti mutala’ah, menuntut ilmu dan menghafal kerana tidak

perlu berjalan jauh.

• Kos pembelajaran dan kehidupan lebih murah kerana pelajar memasak sendiri dan tidak dikenakan

yuran belajar kerana guru-buru dibayar daripada hasil sumbangan orang ramai atau duit zakat.

• Sering dilawati dan bergaul dengan orang alim dan soleh dari seluruh dunia.

Penghalang daripada Belajar Pondok

Sistem pendidikan pondok sering dianaktirikan dan tidak dimasukkan dalam aliran perdana sistem pen-didikan kebangsaan di negara kita. Oleh sebab itu, pengajian pondok selalu dianggap sebagai pendidikan sampingan atau serpihan.

Penghalang lain termasuk:

– Sikap segelintir masyarakat yang menolak sistem pendidikan pondok.

– Masyarakat tidak terdedah kepada perspektif yang tepat tentang pengisian pendidikan pondok.

– Perasaan bimbang akan masa depan kerjaya oleh kaum keluarga dan sahabat handai.

– Godaan untuk mengejar ijazah, sijil dan kelulusan.

–  Pengaruh kawan-kawan.

– Terdapat segelintir masyarakat memberi label yang buruk dan negatif terhadap pelajar lulusan pondok dengan memberi gelaran lebai dan sebagainya

sumber: Majalah SOLUSI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: