Pecutan ibadah akhir Ramadhan

USTAZ IDRIS SULAIMAN
SEGALA puji bagi ALLAH yang menetapkan bagi hamba-Nya waktu fadilat yang tertentu untuk beribadah. Bagi membolehkan manusia berbuat amal soleh dan bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan buruk serta dilipat gandakan pahala mereka.
10 hari terakhir Ramadan kini sudah datang. Ia adalah sepuluh malam yang ALLAH khaskan dengan fadilat dan pahala yang banyak di samping kebaikan yang melimpah ruah.
Antara kelebihan sepuluh hari terakhir Ramadan ini ialah: Ia adalah waktu yang Nabi Muhammad SAW gigih melaksanakan amal ibadah lebih daripada waktu yang lain.
Aisyah RA meriwayatkan: “Bahawasanya Nabi SAW gigih melaksanakan amal ibadah pada 10 malam terakhir lebih daripada waktu yang lain.” (Riwayat Muslim)
Aisyah RA juga meriwayatkan: “Nabi SAW apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Baginda bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya daripada tidur.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hal ini merangkumi bersungguh-sungguh mengerjakan semua jenis ibadah sama ada  solat, membaca al-Quran, berzikir dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, beristighfar di samping bersedekah dan lain-lain.
Perbuatan Nabi SAW menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan sewajarnya menjadi ikutan dengan meninggalkan urusan dunia atau paling tidaknya kurangkan untuk fokus pada ibadah.
Juga termasuk dalam apa yang dianjurkan pada 10 hari terakhir Ramadan ialah bersungguh-sungguh mengerjakan qiamullail dengan memanjangkan solat dan melamakan tempoh berdiri, rukuk dan sujud.
Dianjurkan mengejutkan isteri dan anak-anak untuk turut berqiamullail agar dapat berkongsi pahala di samping mendidik mereka melazimi ibadah dan memuliakan hari-hari agama ini.
Hal ini ramai yang tidak ambil peduli. Mereka biarkan anak-anak mereka bermain di luar dan tidur lambat dengan melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat; baik untuk dunia mahupun akhirat.
Sangat mendukacitakan di kala melihat segelintir umat Islam membiarkan hari-hari yang berkat ini berlalu dengan begitu sahaja sedang mereka dan keluarga lalai tidak mahu mengambil manfaat daripadanya. Akhirnya mereka habiskan peluang keemasan ini dengan perkara yang tidak bermanfaat. Berjaga sehingga lewat malam dengan hiburan yang melalaikan. Dan apabila tiba waktu untuk bangkit melakukan qiamullail mereka tidur dan melepaskan peluang berharga ini. Peluang yang barangkali tidak akan tiba buat mereka di tahun akan datang.
Kesudahannya mereka memikul dosa berat atas diri sendiri, isteri dan anak yang kesudahannya membawa kepada penyesalan.
Ini adalah satu permainan syaitan yang mahu menghalang mereka daripada menempuh jalan yang lurus.
Barangkali ada yang berkata qiamullail adalah ibadah sunat maka amalan fardu sudah memadai. Jawapan kita, tidak dinafikan menjaga ibadah yang fardu adalah perkara penting. Tetapi daripada mana kita dapat pastikan ibadah fardu yang dilakukan itu sudah sempurna?. Kita perlukan ibadah sunat bagi menampung kekurangan yang ada dalam ibadah fardu di kala amalan kita dihisab pada hari kiamat.
ALLAH yang mewajibkan ibadah fardu mengetahui hamba-Nya akan melakukan kekurangan dan kecacatan pada ibadah fardu mereka itu. Kerana itu ALLAH dengan sifat rahmat-Nya juga mensyariatkan ibadah sunat bagi menampung kekurangan ini.
Kita dapati ALLAH mensyariatkan ibadah sunat daripada jenis ibadah yang sama dalam ibadah yang wajib. Maka dalam solat; ada yang wajib dan ada yang sunat. Begitu juga dengan sedekah; ada yang wajib dan ada yang sunat. Puasa pun begitu, ada puasa wajib ada puasa sunat. Bahkan tidak ada mana-mana ibadah yang wajib melainkan ada ibadah sejenisnya yang sunat.
Sekalipun kita melakukan ibadah fardu dengan selengkapnya, kita tetap disuruh supaya mencontohi Nabi SAW. Baginda SAW sentiasa mengerjakan qiamullail lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.
Aisyah RA bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail. Dan Baginda jika sakit atau berasa malas, Baginda akan solat duduk.” (Riwayat Abu Daud, sahih)
Malam Lailatulqadar
Antara kelebihan 10 malam terakhir Ramadan ialah adanya lailatulqadar yang ALLAH berfirman mengenainya: “Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadar: 3)
Berkata Imam Al-Nakha’ie: “Beramal padanya lebih baik daripada beramal pada seribu bulan di luarnya.”
Seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan 4 bulan. Ini bererti beramal pada malam lailatulqadar adalah lebih baik daripada beramal dalam 83 tahun dan 4 bulan pada selainnya.
Sabda Nabi SAW: “Barang siapa menghidupkan malam lailatulqadar kerana iman dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Malam lailatulqadar boleh didapati pada 10 malam terakhir Ramadan sejajar dengan sabda Nabi SAW: “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Tinggal lagi, seseorang itu tidak akan memperoleh malam lailatulqadar melainkan dengan dia menghidupkan kesemua 10 malam terakhir Ramadan. Ini kerana ALLAH menyembunyikan malam lailatulqadar itu daripada hamba-Nya agar mereka memperbanyakkan amal ibadah mereka dan bersungguh-sungguh mendapatkannya pada malam terakhir Ramadan itu dengan solat, zikir dan doa. Akhirnya mereka terus dapat mendekatkan diri mereka dengan ALLAH dan memperoleh pahala ganjaran yang banyak.
ALLAH menyembunyikan malam lailatulqadar supaya dapat dibezakan antara mereka yang bersungguh-sungguh dan prihatin untuk memperolehinya dengan mereka yang malas dan lalai. Maka bagi mereka yang prihatin, mereka akan bersungguh-sungguh mencarinya.
Tidakkah kita melihat apabila syarikat perniagaan membuat tawaran cabutan bertuah maka pelanggan akan berpusu-pusu menyertai peraduan tersebut? Malah mungkin sampai terpaksa berpenat-lelah dan mengeluarkan wang untuk menyertainya. Dan jika terlepas peluang tersebut mereka akan berasa sedih dan menyesal.
Di sini kita katakan, mengapa ada yang berpaling daripada tawaran yang ditawarkan oleh ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani untuk memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda dan masuk ke dalam syurga? Sungguh ia adalah satu kerugian dan satu penyesalan yang teramat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: