Mujahadah dan Istiqamah hidupkan Lailatul Qadar

SEPULUH hari terakhir Ramadan adalah saat amat dinantikan oleh orang yang beriman. Jauh di lubuk hati tersimpan hasrat menggunung tinggi untuk menikmati kemanisan ibadah saat berlakunya malam al-Qadar, tawaran mega yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran ) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Justeru, carilah malam al-Qadar seperti saranan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Saidatina Aisyah: “Carilah malam al-Qadar itu pada malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir Ramadan.”
Tak lepas peluang beribadah sepuluh malam terakhir Ingatlah, Rasulullah SAW tidak pernah melepaskan peluang menggandakan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan bahkan Baginda SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun dari tidur dan beribadah bersama-sama. Di samping beribadah, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT supaya diberi pengampunan atas segala dosa yang telah lalu serta beriktikaflah di masjid kerana ia adalah sunah yang sangat dituntut. Iktikaf bermaksud berada di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta melakukan ibadah khusus.
Kesempatan beribadah pada akhir Ramadan ini, diharapkan kita bermuhasabah tahap iman dan takwa. Jika bertambah, teruslah beristiqamah. Jika dirasakan iman dan takwa masih pada tahap lama, bersegeralah taubat nasuha serta berusaha memperbaiki kesilapan sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita memasuki gerbang Syawal. Semestinya ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara tercinta.
Menurut statistik kemalangan dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman bermula Januari 2015 hingga Jun 2015 mencatatkan sejumlah 240,703 kemalangan, 3,010 kes kemalangan maut dan 3,252 kes kematian. Statistik kemalangan yang dikeluarkan ketika Op Selamat 5 pada 2014 mencatatkan sejumlah 18,484 kemalangan, 217 kes kemalangan maut dan 237 kes kematian. Jika hal ini dibiarkan tanpa ada penyelesaian, sudah tentu akan membawa kerugian kepada keluarga terbabit dan negara.
Berdasarkan kajian dijalankan, antara faktor utama menyumbang kepada kecelakaan ialah kelalaian, sikap tidak menghargai diri, tidak menghiraukan keselamatan orang lain dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Bahkan kebanyakan pemandu atau penunggang sering kali bersikap mementingkan diri, memandu melebihi had laju, memotong atau menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, memandu sambil menggunakan telefon pintar, tidak memakai topi keledar dan mengubah haluan secara tiba-tiba. Secara tidak langsung, mereka bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri, malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Kemalangan boleh dielakkan jika pengguna jalan raya mengamalkan pemanduan berhemah, sabar, bertimbang rasa, berbudi bahasa serta mematuhi undang-undang. Tidak perlu terburu-buru untuk cepat sampai kerana sikap terburu-buru hanya akan mengundang padah. Beberapa perkara penting yang wajar diberikan perhatian ialah memastikan kenderaan diselenggara dan diperiksa serta pastikan faktor keselamatan sebelum memulakan perjalanan jauh. Rancang perjalanan dengan baik. Pilihlah waktu yang sesuai dengan keadaan mental dan fizikal kita. Sentiasa mematuhi had laju ditetapkan kerana kebiasaannya tempat itu berkemungkinan boleh berlakunya kemalangan. Perhatikan juga setiap papan tanda yang disediakan supaya kita lebih berwaspada dengan keadaan jalan raya atau lebuh raya dilalui.
Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong dan memotong. Elakkan daripada mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat supaya kenderaan kita mempunyai jarak yang sesuai untuk berhenti jika berlaku brek kecemasan. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Amalkanlah sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Jangan memandu terlalu laju dan tidak terlalu perlahan sehingga membahayakan diri serta mengganggu pemandu lain. Jangan jadi lebuh raya gelanggang perlumbaan Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan atau perkuburan.
Nyawa manusia satu anugerah yang perlu dihargai. Hayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)
Tatkala bergembira untuk menyambut kedatangan Syawal, seharusnya kita telah berjaya menghayati sepenuhnya hikmah Ramadan. Sedarlah, pada saat kita menuju ke puncak tarbiah Ramadan, masih terdapat di luar sana mereka yang masih lagi dibelenggu kesusahan diperangi, dizalimi dan diseksa tanpa belas kasihan. Sebaliknya yang amat kita kesalkan, ramai juga rakyat di negara ini yang hilang anggota badan menjelang hari raya, bukan disebabkan perang, tetapi akibat bermain mercun yang dilarang. Alangkah baiknya jika wang yang dibakar kerana mercun disalurkan untuk membela mereka. Walaupun nilainya sedikit bagi kita tetapi nilaian Allah SWT itulah yang besar. Semoga kita semua mendapat pengampunan Allah SWT apabila berakhirnya Ramadan nanti

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: