BERSEDEKAH membawa banyak pahala terutamanya di bulan Ramadan. – GAMBAR HIASAN

Amalan ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi Islam malah dapat membantu fakir miskin serta mereka yang kurang bernasib baik. Bagaimanapun, sedekah dan infak itu mestilah dilakukan mengikut saluran yang betul dan disahkan oleh pihak berwajib seperti majlis agama Islam sesebuah negeri.

Berkaitan pahala infak Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai Anak Adam! Berinfaklah, pasti Aku akan limpahkan kurniaan-Ku kepadamu. Sesungguhnya Yaminullah (gudang nikmat dan kelebihan-Nya), sangat banyak melimpah-ruah tidak akan susut sedikit pun siang ataupun malam.” (hadis qudsi riwayat Daraquthni daripada Abu Hurairah ra)

Sifat gemar melaksanakan infak dan sedekah ini akan menjauhkan dan menghindarkan sifat tamak dan lokek dalam kalangan umat Islam terutama bagi golongan berada atau yang kaya bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Mendidik rasa syukur dan berterima kasih. Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya saling membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, hal berkaitan sedekah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersedekah pahalanya 10, memberi hutang (tanpa bunga) pahalanya 18, menghubungkan diri dengan kawan-kawan pahalanya 20 dan silaturahim (dengan keluarga) pahalanya 24.” (riwayat Al Hakim)

Jelaslah, bersedekah membawa banyak pahala terutama di bulan Ramadan. Bersedekah juga dapat mendidik hati ke arah ketakwaan kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan-Nya. Dalam melaksana sedekah dan infak ini umat Islam digalakkan bersedekah dan infak sewaktu sihat dan dalam keadaan yang senang.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, Sedekah yang bagaimana yang paling besar pahalanya?” Nabi SAW menjawab, “Saat kamu bersedekah hendaklah kamu sihat dan dalam keadaan senang dan saat kamu takut melarat tetapi mengharap kaya. Jangan ditunda sehingga roh mu di tenggorok baru kamu berkata untuk si polan sekian dan untuk si polan sekian. (riwayat al Bukhari)

Membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan sangat digalakkan terutama bagi mereka yang berada. Bersedekahlah walaupun sedikit tetapi penuh keikhlasan akan memberi pahala dan keberkatan kepada pemberi sedekah.

Sedekah dan infak juga membentuk insan soleh dan bertakwa kepada Allah SWT. Ia juga pernyataan rasa syukur kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan kepada hamba-hamba-Nya.

Tiada batasan

Imam Al-Ghazali pernah menyatakan, dahulukan teman mu daripada diri mu sendiri dalam masalah duniawi, atau paling tidak hendaklah bersedia memberikan bantuan (sedekah) material kepada teman mu yang memerlukannya. Bantulah dengan sekuat tenaga, teman mu yang sedang memerlukan sebelum ia meminta bantuan.

Amalan bersedekah dalam bulan Ramadan ini bukan hanya terbatas kepada wang ringgit malah ia meliputi makanan seperti kuih-muih dan juga hidangan berbuka puasa yang pahalanya sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Menurut Muhammad bin Abdullah Al-Mashri, Imam Syafie adalah orang yang sangat dermawan. Sementara menurut Amr bin Sawad Al-Sirji, Imam Syafie orang yang gemar menderma daripada apa yang dimilikinya. Dia pernah berkata; “Aku pernah mengalami kegagalan, tak memiliki suatu apapun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”

Muhammad Al-Sijistani mengatakan: “Imam Syafie pernah tidak memiliki suatu apapun kerana sifat dermawannya.”

Dalam hal ini, Imam Syafie pernah berkata; “Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlalu tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendiri, tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya? Saat itulah, tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, pada hal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

Sesungguhnya, bersedekah dan menderma daripada harta dan wang lebihan adalah sifat yang sangat mulia dalam kalangan umat Islam terutama pada bulan Ramadan. Lakukan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas bagi mendapatkan balasan setimpal di akhirat nanti.