Seharusnya ketika ini, umat Islam semakin mendekatkan diri kepada Allah selepas menjalani proses tarbiah (didikan) 10 hari pertama Ramadan. Sepatutnya, kita kini semakin bersemangat melakukan ibadat terutama solat tarawih dan qiamullail. Qiamullail adalah amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan beribadat kepada Allah.

Malangnya, banyak masjid dan surau kini sudah makin sepi. Ramai yang hangat-hangat tahi ayam dan gagal berjuang sampai ke garisan penamat. Sedangkan, Rasulullah SAW dan para sahabat semakin memperbanyakkan amalan terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dengan bilangan jemaah yang makin kurang itu, ada pula pertikaian mengenai solat witir. Antara isu yang sering kedengaran, bolehkah solat witir bersama imam sedangkan kita mahu bangun tahajud nanti? Keadaan ini menyebabkan ada jemaah yang bangun atau lari mening­galkan imam apabila masuk solat witir. Sekali gus, saf yang kosong makin bertambah.

Niat qiamullail itu memang bagus. Cuma mari kita lihat apakah ganjaran yang disebut oleh Rasulullah SAW kepada mereka yang solat berjemaah isyak hingga selesai solat witir pada malam-malam Ramadan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai, maka ditulis untuknya pahala qiam satu malam penuh. (Riwayat Tirmidzi). Maksud solat bersama imam hingga selesai menunjukkan menjadi sunnah baginda solat tarawih bersama imam dari awal hingga selesai solat witir.

Hadis ini menjelaskan tentang fadilat yang besar kepada mereka yang solat berjemaah sehingga selesai dengan beroleh pahala solat sepanjang malam. Dengan kata lain, mereka yang ‘lari’ itu tadi telah kerugian dan tidak mendapat pahala qiam satu malam yang penuh.

Justeru, marilah kita merebut peluang istimewa ini yang hanya ditawarkan dalam Ramadan. Sebabnya, dalam bulan-bulan lain, kita perlu tidur dahulu sebelum boleh qiamullail. Dengan keadaan kita yang bekerja pada siangnya, tidak ramai yang mampu untuk bangun mengerjakan solat malam.

Timbul pula soalan kedua, perlukah kita solat witir sekali lagi semasa qiamullail sedangkan kita sudah melakukan solat witir bersama imam di masjid tadi?

Ada khilaf ulama dalam bab ini. Namun, pandangan jumhur ulama adalah tidak perlu lagi melakukan solat witir selepas selesai qiamullail. Barang siapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian mahu bersembahyang lagi selepas itu, maka ia boleh sembahyang tetapi tidak mengulangi witir kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada dua witir pada satu malam”. (Riwayat Ahmad)

Marilah kita berazam menerus dan meningkatkan pelbagai ibadat terutama bagi merebut kelebihan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam malam al-qadar. Sebabnya, umur kita tidak panjang. Justeru marilah kita manfaatkan ia sebaik-baiknya untuk menambah pahala.

Tidak terujakah kita dengan ganjaran pahala beribadat pada malam al-qadr iaitu lebih baik daripada 1,000 bulan?