Daftar baru Pondok Pasir Tumboh dibuka mulai 1 Ogos 2015 ini

Makluman bahawa daftar baru kemasukan Pondok Pasir Tumboh baru sesi baru 1436/1437H akan bermula pada Sabtu 16 Syawal 1436H / 1 Ogos 2015M ini.

Proses pendaftaran dibuka tiap hari Sabtu dan Ahad bermula dari tarikh tersebut hingga 2 minggu sebelum hari raya haji

maklumat lanjut layari al-bakriah.com.my

 

Antara syarat kemasukan pelajar baru Pondok Pasir Tumboh

1. Bersih daripada sebarang jenayah dan kes polis seperti dadah, mencuri dan sebagainya

2. Datang bersama ibubapa/penjaga atau waris terdekat

3. Mendapat keizinan untuk belajar terlebih dahulu daripada Tuan Guru Hj Wan Muhamad Mudir madrasah atau pun timbalannya (selepas siap proses daftar)

4. Bagi pelajar sementara disyaratkan sekurang-kurangnya belajar di pondok ini selama 2 bulan (jika sebulan boleh dipertimbangkan jika ada kekosongan tempat tinggal)

5. Bagi pelajar muslimin disyaratkan berumur 16 tahun ke atas tetapi dibenarkan juga pelajar berumur 13-15 tahun dengan syarat mempunyai penjamin yang berada dalam kawasan pondok yang sanggup mengawalnya ( bagi pelajar yang tidak cukup syarat ini sila rujuk pejabat bagi mendapat nasihat untuk belajar di beberapa pondok pilihan yang lain )

6. Tidak merokok atau sanggup meninggalkan tabiat merokok

7. Sanggup mematuhi segala peraturan madsarah sepanjang masa

 

Kelengkapan pendaftaran pelajar baru L/P ke Pondok Pasir Tumboh

1. Sila fotostat kad pengenalan atau passport antarabangsa

2. Fotostat kad pengenalan ibubapa pelajar

3. Sediakan gambar berukuran passport sebanyak 3 keping

4. Diwajibkan menyerah surat berhenti sekolah atau tempat pengajian terakhir ketika mendaftar diri ( sebarang proses pendaftaran tidak akan dibuat sehingga syarat ini dipenuhi)
– Bagi pelajar semntara dari kalangan siswa IPT boleh fotostat sjil SPM atau seumpamanya

5. Diwajibkan menghantar surat jaminan mengenai akhlak pelajar samada daripada Tuan Imam atau penghulu kampung ketika mendaftar diri

Duit raya, bersalam eratkan silaturahim

Ramadan sudah hampir ke penghujung dan lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di corong-corong radio serta televisyen. Anak kecil yang paling gembira bila tiba hari raya. Duit raya, baju raya, kasut raya, tudung raya, songkok raya adalah antara perkara yang tidak boleh tidak ada bila hari raya menjelang.
Kebanyakan persiapan telah disediakan pada awal Ramadan lagi, malah ada yang sudah membeli sebelum Ramadan tiba. Hanya duit raya yang akan diberikan pada hari raya nanti. Budaya bersalaman Pengalaman ketika kecil membuatkan kita yang dewasa memahami keseronokan anak kecil mendapat duit raya. Suatu ketika dahulu, walaupun diberikan 50 sen sebagai duit raya, anak kecil sudah amat gembira. Masa berlalu dengan pantas, zaman berubah. Pemberian duit 50 sen sebagai duit raya sudah ditelan zaman. Pada zaman serba canggih ini, jumlah minimum duit raya sekurang-kurangnya RM1 yang mana nilainya adalah lebih kurang sama dengan 50 sen pada era sebelum ini.
Setiap kali bersalaman dengan bapa saudara atau ibu saudara, mereka pasti menghulurkan duit raya. Ibu bapa akan memastikan anak kecil ini menyimpan duit raya yang diterima dengan baik. Antara budaya baik diterapkan sebelum menerima duit raya adalah anak kecil itu mesti bersalaman dengan orang tua dahulu. Budaya bersalaman adalah contoh budaya yang baik, walaupun dikatakan kita menggalakkan anak kecil untuk meminta duit raya. Dari sudut yang positif, dengan bersalaman juga, kita akan dapat mengenali anak saudara yang jauh yang mungkin hanya ketika hari raya sahaja kita berjumpa.
Dari segi sosial, bersalaman adalah satu tanda kemesraan sesama insan. Ia juga adalah simbol penghormatan antara generasi muda dan tua. Dalam konteks hari raya, bersalaman sebelum memberi duit raya kepada anak kecil dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama saudara. Ramai ibu bapa yang mengajar anak kecil mencium tangan orang tua ketika bersalaman dan ini adalah perkara yang baik, kerana ia mengajar anak kecil itu mengenai status generasi serta konsep penghormatan.
Dari sudut pandangan Islam, Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang bersalaman. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, yang bererti: “Sesungguhnya seorang Muslim itu jika bertemu saudaranya kemudian bersalaman oleh kedua-duanya, maka gugurlah dosa-dosa mereka seperti berguguran daun-daun dari pokok yang kering ditiup oleh angin kencang, melainkan kedua-duanya diampuni semua dosa mereka meskipun banyak seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Thibrani)
Ketika mereka sudah baligh, ibu bapa haruslah mengajar anak mengenai mahram dan menekankan hanya yang mahram sahaja dibenarkan bersalam, yang bukan mahram, adalah haram pula untuk bersalam. Galakan solat lima waktu Ibu bapa juga harus menekankan mengenai solat lima waktu ketika mengerjakan puasa. Ada sesetengah kita terlepas pandang mengenai kewajipan solat dalam mengajar ibadah puasa kepada anak kecil. Ada yang berpuasa penuh 30 hari, tetapi tidak cukup solat lima waktu sehari semalam. Hal ini bercanggah dengan ajaran agama iaitu solat adalah tiang agama. Solat lima waktu wajib ditunaikan.
Bagaimana duit raya dapat memotivasikan anak kecil bersolat lima waktu? Ada sesetengah ibu bapa akan memberikan duit raya berdasarkan jumlah hari anak berpuasa penuh. Contohnya, jika anak itu berpuasa 30 hari, maka duit raya yang akan diterima adalah RM30. Sekarang, cuba kita guna taktik baharu, iaitu jumlah hari berpuasa bergantung kepada cukupnya solat lima waktu. Contohnya, jika anak berpuasa penuh 30 hari, tetapi hanya 15 hari solatnya cukup lima waktu, maka duit rayanya akan dipotong dan dia hanya akan diberi duit raya sebanyak RM15.
Dalam hal ini, anak kecil disarankan mempunyai kalendar puasa dan solat yang mana mereka boleh menandakan hari yang cukup puasa dan cukup solat. Mudah-mudahan dengan cara ini, anak kecil kita akan terlatih untuk berpuasa serta cukup solat lima waktu. Secara tidak langsung, kita juga telah menekankan kewajipan solat lima waktu di samping berpuasa pada Ramadan.
Galakan menabung Apabila mendapat duit raya, ada sesetengah anak kecil yang kehilangan duit rayanya. Hal ini adalah kerana mereka tidak tahu mengenai kelebihan menabung. Sebagai ibu bapa, itu adalah peranan kita untuk mendidik mereka untuk menabung. Ibu bapa haruslah memastikan anak kecil mereka menyimpan duit raya yang diterima dengan sebaik-baik mungkin. Kita boleh belikan tas tangan atau dompet untuk mereka meletakkan duit raya itu. Kita juga harus memantau proses menyimpan duit raya itu. Aktiviti mengira duit raya adalah perkara yang amat disukai oleh anak. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi orang yang paling banyak mengumpul duit raya dalam kalangan adik-beradik. Di sinilah peranan ibu bapa, kita haruslah menggalakkan mereka menabung duit raya yang diterima. Ajaklah mereka ke bank untuk menyimpan duit raya supaya mereka berasa lebih bertanggungjawab dan tahu proses yang berlaku di bank.
Bagi anak yang sudah besar, berikan mereka tanggungjawab untuk menekan butang nombor giliran, mengisi borang menyimpan wang dan pergi ke kaunter bersama adik-adik yang lebih kecil. Beri sebahagian duit raya untuk anak beli barang diinginkan Berikan mereka peluang melihat jumlah wang yang terkumpul dalam buku bank. Sebelum menyimpan duit raya di bank, berikan 25 peratus daripada jumlah duit raya untuk anak membeli barang yang mereka ingini. Perkara ini adalah antara galakan untuk anak kecil menabung kerana dengan ini mereka tahu yang mereka akan mendapat ganjaran daripada menabung. Malah duit raya itu adalah hak mereka. Mereka akan lebih gembira untuk menabung pada masa akan datang. Justeru, pemberian duit raya sempena Aidilfitri ini bukanlah satu budaya yang tidak memberikan kebaikan, walaupun ada yang mengatakan bahawa pemberian duit raya ini mengajar anak menjadi materialistik. Lihatlah dari segi positifnya. Semoga Aidilfitri kali ini dapat memberikan kita banyak kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ganjaran puasa milik Allah

Oleh MOHD. AIZUDDIN ABD. AZIZ

 

ADAKAH ‘falsafah puasa’ ini membentuk jiwa kasihan belas, khususnya kepada para fakir dan miskin? Jiwa ini hasil daripada tarbiah Ramadan yang menegah umat Islam daripada makan dan minum di siang harinya.

Melalui tarbiah ini ia menatijahkan rasa sulit dan sengsaranya orang-orang fakir dan miskin melalui kehidupan mereka tanpa keperluan asas utama iaitu makanan. Oleh sebab itu, mereka akan banyak melakukan kerja-kerja kebajikan membantu golongan fakir miskin, khususnya memberi sumbangan kewangan dan makanan bagi menjamin kelangsungan hidup golongan tersebut.

Mereka akan lebih banyak bersedekah berbanding membelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sekiranya ini sahaja falsafah puasa, Ramadan tidak cukup untuk menjadi sebuah sekolah mendidik ummah yang objektifnya melahirkan ummah bertamadun.

Ini kerana orang yang berpuasa dalam erti kata menahan diri daripada makan dan minum memang boleh merasai keperitan lapar dan dahaga. Namun perlu diingati, dalam masa yang sama mereka mempunyai kelengkapan, kecukupan dan kemampuan makan dan minum yang boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja.

Jika tidak boleh secara terang-terangan, mereka boleh melakukan secara sembunyi. Tiada yang akan menyangka atau mengetahui, sama ada mereka berpuasa atau tidak. Kerana mereka berada pada bulan yang semua orang Muslim berpuasa pada adatnya.

Ia tidak seperti solat yang boleh diketahui buat atau tidaknya dengan melihat perbuatan tersebut, kerana ia suatu yang bersifat zahir. Namun puasa tidak begitu, hubungan puasanya antara dia dengan Allah SWT sahaja.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku yang akan menganjarinya. (riwayat Bukhari)

Betapa tingginya nilai puasa tersebut sehinggakan ganjaran berkenaannya dirahsiakan oleh Allah SWT daripada pengetahuan makhluk-Nya. Jika kehebatan puasa ini begitu agung nescaya ia mempunyai falsafah yang lebih tinggi demi membina generasi bermutu tinggi.

Maka, tiadalah falsafah yang lebih tinggi daripada puasa ini melainkan “falsafah ketakwaan.” Dengannya membentuk sifat ketakwaan dan nilai ketakwaan itulah pemacu kepada segala kemuncak kebaikan, kemajuan, ketamadunan dan kemodenan ummah.

Ini seperti diungkapkan oleh ketakwaan kepada Allah SWT itu punca kepada segala kebahagiaan dan mengikutkan hawa nafsu itu segala punca kejahatan.

Tuntutan Ilahi

Kenapa takwa? Kerana makna takwa itu adalah mengerjakan tuntutan Ilahi dan menjauhi larangan-Nya. Mereka yang mencapai tahap ini, tidak perlukan lagi merasai perasaan lapar untuk membuatkan mereka bersedekah. Namun, cukup dengan memahami perintah Allah SWT agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan, khususnya mereka pasti melakukan tanpa perlu merasai peritnya susah.

Objektif Ramadan membentuk generasi bertakwa dengan jelasnya disebutkan oleh Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan kepada umat sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.

Maka, segala falsafah puasa baik falsafah keimanan, falsafah jiwa, falsafah kesihatan dan sebagainya akan tercapai dengan ketakwaan. Iman tidak boleh meningkat tanpa ubudiyyah dan ubudiyyah juga tidak boleh berlaku tanpa ketakwaan. Seorang yang bertakwa akan mengerjakan ibadah seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya SAW.

Seorang yang bertakwa tidak menantikan saat kesulitan untuk sama-sama merasa perit. Namun, orang bertakwa akan sentiasa aktif kepada melakukan kebaikan.

Orang bertakwa juga tidak menantikan hikmah-hikmah kesihatan hasil puasa, kerana mereka telah dididik perihal makannya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Bukan pembuktian kesihatan menjadi pedoman mereka, tetapi cukup mengambil pedoman sunnah Nabi SAW.

Maka apabila mereka berpuasa mengikut tatacara atau aturan yang sempurna seperti yang telah diputuskan oleh syarak, insya-Allah mereka bakal beroleh sifat ketakwaan tersebut.

Natijahnya, setelah berlalunya Ramadan mereka sentiasa bersama Allah SWT dalam apa jua keadaan. Bagi mencapai matlamat ini, perlulah kita merenungi di mana tahap puasa kita sebagaimana pembahagian yang dibahagikan oleh Imam Ghazali:

  • Puasa orang awam – Sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa. (Golongan ini belum terlepas daripada hilangnya pahala puasa, kerana mereka masih melakukan maksiat seperti mengumpat dan sebagainya)
  • Puasa orang soleh – Mereka berpuasa seperti golongan di atas, namun mereka juga menjaga mata, telinga, lidah daripada perkara yang sia-sia.
  • Puasa para nabi dan kekasih Allah – Mereka seperti golongan kedua, tetapi mereka lebih lagi sehingga lintasan hati mereka pun dijaga daripada perkara selain Allah SWT.

 

Pecutan ibadah akhir Ramadhan

USTAZ IDRIS SULAIMAN
SEGALA puji bagi ALLAH yang menetapkan bagi hamba-Nya waktu fadilat yang tertentu untuk beribadah. Bagi membolehkan manusia berbuat amal soleh dan bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan buruk serta dilipat gandakan pahala mereka.
10 hari terakhir Ramadan kini sudah datang. Ia adalah sepuluh malam yang ALLAH khaskan dengan fadilat dan pahala yang banyak di samping kebaikan yang melimpah ruah.
Antara kelebihan sepuluh hari terakhir Ramadan ini ialah: Ia adalah waktu yang Nabi Muhammad SAW gigih melaksanakan amal ibadah lebih daripada waktu yang lain.
Aisyah RA meriwayatkan: “Bahawasanya Nabi SAW gigih melaksanakan amal ibadah pada 10 malam terakhir lebih daripada waktu yang lain.” (Riwayat Muslim)
Aisyah RA juga meriwayatkan: “Nabi SAW apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Baginda bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya daripada tidur.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hal ini merangkumi bersungguh-sungguh mengerjakan semua jenis ibadah sama ada  solat, membaca al-Quran, berzikir dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, beristighfar di samping bersedekah dan lain-lain.
Perbuatan Nabi SAW menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan sewajarnya menjadi ikutan dengan meninggalkan urusan dunia atau paling tidaknya kurangkan untuk fokus pada ibadah.
Juga termasuk dalam apa yang dianjurkan pada 10 hari terakhir Ramadan ialah bersungguh-sungguh mengerjakan qiamullail dengan memanjangkan solat dan melamakan tempoh berdiri, rukuk dan sujud.
Dianjurkan mengejutkan isteri dan anak-anak untuk turut berqiamullail agar dapat berkongsi pahala di samping mendidik mereka melazimi ibadah dan memuliakan hari-hari agama ini.
Hal ini ramai yang tidak ambil peduli. Mereka biarkan anak-anak mereka bermain di luar dan tidur lambat dengan melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat; baik untuk dunia mahupun akhirat.
Sangat mendukacitakan di kala melihat segelintir umat Islam membiarkan hari-hari yang berkat ini berlalu dengan begitu sahaja sedang mereka dan keluarga lalai tidak mahu mengambil manfaat daripadanya. Akhirnya mereka habiskan peluang keemasan ini dengan perkara yang tidak bermanfaat. Berjaga sehingga lewat malam dengan hiburan yang melalaikan. Dan apabila tiba waktu untuk bangkit melakukan qiamullail mereka tidur dan melepaskan peluang berharga ini. Peluang yang barangkali tidak akan tiba buat mereka di tahun akan datang.
Kesudahannya mereka memikul dosa berat atas diri sendiri, isteri dan anak yang kesudahannya membawa kepada penyesalan.
Ini adalah satu permainan syaitan yang mahu menghalang mereka daripada menempuh jalan yang lurus.
Barangkali ada yang berkata qiamullail adalah ibadah sunat maka amalan fardu sudah memadai. Jawapan kita, tidak dinafikan menjaga ibadah yang fardu adalah perkara penting. Tetapi daripada mana kita dapat pastikan ibadah fardu yang dilakukan itu sudah sempurna?. Kita perlukan ibadah sunat bagi menampung kekurangan yang ada dalam ibadah fardu di kala amalan kita dihisab pada hari kiamat.
ALLAH yang mewajibkan ibadah fardu mengetahui hamba-Nya akan melakukan kekurangan dan kecacatan pada ibadah fardu mereka itu. Kerana itu ALLAH dengan sifat rahmat-Nya juga mensyariatkan ibadah sunat bagi menampung kekurangan ini.
Kita dapati ALLAH mensyariatkan ibadah sunat daripada jenis ibadah yang sama dalam ibadah yang wajib. Maka dalam solat; ada yang wajib dan ada yang sunat. Begitu juga dengan sedekah; ada yang wajib dan ada yang sunat. Puasa pun begitu, ada puasa wajib ada puasa sunat. Bahkan tidak ada mana-mana ibadah yang wajib melainkan ada ibadah sejenisnya yang sunat.
Sekalipun kita melakukan ibadah fardu dengan selengkapnya, kita tetap disuruh supaya mencontohi Nabi SAW. Baginda SAW sentiasa mengerjakan qiamullail lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.
Aisyah RA bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail. Dan Baginda jika sakit atau berasa malas, Baginda akan solat duduk.” (Riwayat Abu Daud, sahih)
Malam Lailatulqadar
Antara kelebihan 10 malam terakhir Ramadan ialah adanya lailatulqadar yang ALLAH berfirman mengenainya: “Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadar: 3)
Berkata Imam Al-Nakha’ie: “Beramal padanya lebih baik daripada beramal pada seribu bulan di luarnya.”
Seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan 4 bulan. Ini bererti beramal pada malam lailatulqadar adalah lebih baik daripada beramal dalam 83 tahun dan 4 bulan pada selainnya.
Sabda Nabi SAW: “Barang siapa menghidupkan malam lailatulqadar kerana iman dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Malam lailatulqadar boleh didapati pada 10 malam terakhir Ramadan sejajar dengan sabda Nabi SAW: “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Tinggal lagi, seseorang itu tidak akan memperoleh malam lailatulqadar melainkan dengan dia menghidupkan kesemua 10 malam terakhir Ramadan. Ini kerana ALLAH menyembunyikan malam lailatulqadar itu daripada hamba-Nya agar mereka memperbanyakkan amal ibadah mereka dan bersungguh-sungguh mendapatkannya pada malam terakhir Ramadan itu dengan solat, zikir dan doa. Akhirnya mereka terus dapat mendekatkan diri mereka dengan ALLAH dan memperoleh pahala ganjaran yang banyak.
ALLAH menyembunyikan malam lailatulqadar supaya dapat dibezakan antara mereka yang bersungguh-sungguh dan prihatin untuk memperolehinya dengan mereka yang malas dan lalai. Maka bagi mereka yang prihatin, mereka akan bersungguh-sungguh mencarinya.
Tidakkah kita melihat apabila syarikat perniagaan membuat tawaran cabutan bertuah maka pelanggan akan berpusu-pusu menyertai peraduan tersebut? Malah mungkin sampai terpaksa berpenat-lelah dan mengeluarkan wang untuk menyertainya. Dan jika terlepas peluang tersebut mereka akan berasa sedih dan menyesal.
Di sini kita katakan, mengapa ada yang berpaling daripada tawaran yang ditawarkan oleh ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani untuk memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda dan masuk ke dalam syurga? Sungguh ia adalah satu kerugian dan satu penyesalan yang teramat.

Mujahadah dan Istiqamah hidupkan Lailatul Qadar

SEPULUH hari terakhir Ramadan adalah saat amat dinantikan oleh orang yang beriman. Jauh di lubuk hati tersimpan hasrat menggunung tinggi untuk menikmati kemanisan ibadah saat berlakunya malam al-Qadar, tawaran mega yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran ) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Justeru, carilah malam al-Qadar seperti saranan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Saidatina Aisyah: “Carilah malam al-Qadar itu pada malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir Ramadan.”
Tak lepas peluang beribadah sepuluh malam terakhir Ingatlah, Rasulullah SAW tidak pernah melepaskan peluang menggandakan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan bahkan Baginda SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun dari tidur dan beribadah bersama-sama. Di samping beribadah, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT supaya diberi pengampunan atas segala dosa yang telah lalu serta beriktikaflah di masjid kerana ia adalah sunah yang sangat dituntut. Iktikaf bermaksud berada di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta melakukan ibadah khusus.
Kesempatan beribadah pada akhir Ramadan ini, diharapkan kita bermuhasabah tahap iman dan takwa. Jika bertambah, teruslah beristiqamah. Jika dirasakan iman dan takwa masih pada tahap lama, bersegeralah taubat nasuha serta berusaha memperbaiki kesilapan sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita memasuki gerbang Syawal. Semestinya ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara tercinta.
Menurut statistik kemalangan dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman bermula Januari 2015 hingga Jun 2015 mencatatkan sejumlah 240,703 kemalangan, 3,010 kes kemalangan maut dan 3,252 kes kematian. Statistik kemalangan yang dikeluarkan ketika Op Selamat 5 pada 2014 mencatatkan sejumlah 18,484 kemalangan, 217 kes kemalangan maut dan 237 kes kematian. Jika hal ini dibiarkan tanpa ada penyelesaian, sudah tentu akan membawa kerugian kepada keluarga terbabit dan negara.
Berdasarkan kajian dijalankan, antara faktor utama menyumbang kepada kecelakaan ialah kelalaian, sikap tidak menghargai diri, tidak menghiraukan keselamatan orang lain dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Bahkan kebanyakan pemandu atau penunggang sering kali bersikap mementingkan diri, memandu melebihi had laju, memotong atau menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, memandu sambil menggunakan telefon pintar, tidak memakai topi keledar dan mengubah haluan secara tiba-tiba. Secara tidak langsung, mereka bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri, malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Kemalangan boleh dielakkan jika pengguna jalan raya mengamalkan pemanduan berhemah, sabar, bertimbang rasa, berbudi bahasa serta mematuhi undang-undang. Tidak perlu terburu-buru untuk cepat sampai kerana sikap terburu-buru hanya akan mengundang padah. Beberapa perkara penting yang wajar diberikan perhatian ialah memastikan kenderaan diselenggara dan diperiksa serta pastikan faktor keselamatan sebelum memulakan perjalanan jauh. Rancang perjalanan dengan baik. Pilihlah waktu yang sesuai dengan keadaan mental dan fizikal kita. Sentiasa mematuhi had laju ditetapkan kerana kebiasaannya tempat itu berkemungkinan boleh berlakunya kemalangan. Perhatikan juga setiap papan tanda yang disediakan supaya kita lebih berwaspada dengan keadaan jalan raya atau lebuh raya dilalui.
Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong dan memotong. Elakkan daripada mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat supaya kenderaan kita mempunyai jarak yang sesuai untuk berhenti jika berlaku brek kecemasan. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Amalkanlah sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Jangan memandu terlalu laju dan tidak terlalu perlahan sehingga membahayakan diri serta mengganggu pemandu lain. Jangan jadi lebuh raya gelanggang perlumbaan Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan atau perkuburan.
Nyawa manusia satu anugerah yang perlu dihargai. Hayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)
Tatkala bergembira untuk menyambut kedatangan Syawal, seharusnya kita telah berjaya menghayati sepenuhnya hikmah Ramadan. Sedarlah, pada saat kita menuju ke puncak tarbiah Ramadan, masih terdapat di luar sana mereka yang masih lagi dibelenggu kesusahan diperangi, dizalimi dan diseksa tanpa belas kasihan. Sebaliknya yang amat kita kesalkan, ramai juga rakyat di negara ini yang hilang anggota badan menjelang hari raya, bukan disebabkan perang, tetapi akibat bermain mercun yang dilarang. Alangkah baiknya jika wang yang dibakar kerana mercun disalurkan untuk membela mereka. Walaupun nilainya sedikit bagi kita tetapi nilaian Allah SWT itulah yang besar. Semoga kita semua mendapat pengampunan Allah SWT apabila berakhirnya Ramadan nanti

Khutbah Aidil Fitri 1436H

Khutbah Aidilfitri 1436 – pdf

خطبة عيد الفطري 1436 هـ – pdf

Khutbah Aidilfitri 1436H – word

خطبة عيدالفطري1436 – word

Jangan ditunda bersedekah

DR. AMINUDIN MANSOR

SEMPENA bulan Ramadan umat Islam digalakkan melakukan pelbagai ibadah dan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah dan infak wang dan harta bagi mendapatkan 70 kali ganda pahala. Ganjaran pahala yang dijanjikan-Nya sungguh lumayan dan digandakan.

BERSEDEKAH membawa banyak pahala terutamanya di bulan Ramadan. – GAMBAR HIASAN

Amalan ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi Islam malah dapat membantu fakir miskin serta mereka yang kurang bernasib baik. Bagaimanapun, sedekah dan infak itu mestilah dilakukan mengikut saluran yang betul dan disahkan oleh pihak berwajib seperti majlis agama Islam sesebuah negeri.

Berkaitan pahala infak Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai Anak Adam! Berinfaklah, pasti Aku akan limpahkan kurniaan-Ku kepadamu. Sesungguhnya Yaminullah (gudang nikmat dan kelebihan-Nya), sangat banyak melimpah-ruah tidak akan susut sedikit pun siang ataupun malam.” (hadis qudsi riwayat Daraquthni daripada Abu Hurairah ra)

Sifat gemar melaksanakan infak dan sedekah ini akan menjauhkan dan menghindarkan sifat tamak dan lokek dalam kalangan umat Islam terutama bagi golongan berada atau yang kaya bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Mendidik rasa syukur dan berterima kasih. Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya saling membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, hal berkaitan sedekah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersedekah pahalanya 10, memberi hutang (tanpa bunga) pahalanya 18, menghubungkan diri dengan kawan-kawan pahalanya 20 dan silaturahim (dengan keluarga) pahalanya 24.” (riwayat Al Hakim)

Jelaslah, bersedekah membawa banyak pahala terutama di bulan Ramadan. Bersedekah juga dapat mendidik hati ke arah ketakwaan kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan-Nya. Dalam melaksana sedekah dan infak ini umat Islam digalakkan bersedekah dan infak sewaktu sihat dan dalam keadaan yang senang.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, Sedekah yang bagaimana yang paling besar pahalanya?” Nabi SAW menjawab, “Saat kamu bersedekah hendaklah kamu sihat dan dalam keadaan senang dan saat kamu takut melarat tetapi mengharap kaya. Jangan ditunda sehingga roh mu di tenggorok baru kamu berkata untuk si polan sekian dan untuk si polan sekian. (riwayat al Bukhari)

Membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan sangat digalakkan terutama bagi mereka yang berada. Bersedekahlah walaupun sedikit tetapi penuh keikhlasan akan memberi pahala dan keberkatan kepada pemberi sedekah.

Sedekah dan infak juga membentuk insan soleh dan bertakwa kepada Allah SWT. Ia juga pernyataan rasa syukur kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan kepada hamba-hamba-Nya.

Tiada batasan

Imam Al-Ghazali pernah menyatakan, dahulukan teman mu daripada diri mu sendiri dalam masalah duniawi, atau paling tidak hendaklah bersedia memberikan bantuan (sedekah) material kepada teman mu yang memerlukannya. Bantulah dengan sekuat tenaga, teman mu yang sedang memerlukan sebelum ia meminta bantuan.

Amalan bersedekah dalam bulan Ramadan ini bukan hanya terbatas kepada wang ringgit malah ia meliputi makanan seperti kuih-muih dan juga hidangan berbuka puasa yang pahalanya sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Menurut Muhammad bin Abdullah Al-Mashri, Imam Syafie adalah orang yang sangat dermawan. Sementara menurut Amr bin Sawad Al-Sirji, Imam Syafie orang yang gemar menderma daripada apa yang dimilikinya. Dia pernah berkata; “Aku pernah mengalami kegagalan, tak memiliki suatu apapun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”

Muhammad Al-Sijistani mengatakan: “Imam Syafie pernah tidak memiliki suatu apapun kerana sifat dermawannya.”

Dalam hal ini, Imam Syafie pernah berkata; “Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlalu tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendiri, tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya? Saat itulah, tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, pada hal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

Sesungguhnya, bersedekah dan menderma daripada harta dan wang lebihan adalah sifat yang sangat mulia dalam kalangan umat Islam terutama pada bulan Ramadan. Lakukan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas bagi mendapatkan balasan setimpal di akhirat nanti.

Jom memburu “Bonus Akhirat”

dr. muhaya muhamad

Nilai manusia, sama ada baik atau buruk diukur dengan dua perkara sahaja. Pertama, ketakwaan kepada Allah SWT. Kedua, akhlak yang baik dengan manusia. Kalau kita hebat macam mana sekali pun, tetapi tidak bertakwa, di akhirat nanti ketika di sisi Allah SWT, kita tidak ada nilai sama sekali. Sebab kekayaan, harta, kedudukan atau pangkat yang kita miliki di dunia, yang menjadikan nilai hidup kita tinggi di mata manusia, semuanya akan ditinggalkan apabila kita mati. Jasad kita dibawa masuk ke liang lahad hanya dengan sehelai kain kafan, hanya dosa dan pahala yang kita bawa bersama untuk menghadap Allah.

Oleh sebab itulah kita perlu merancang kehidupan kita untuk dua kehidupan, iaitu merancang corak kehidupan dan merancang corak kematian. Sebagaimana kita merancang matlamat kehidupan kita di dunia, begitu jugalah kita merancang matlamat kehidupan di akhirat. Antara kepentingan dunia dan akhirat perlu seimbang, bahkan sepatutnya dilebihkan persediaan hidup di akhirat, kerana itulah kehidupan kekal kita, sedangkan dunia ini hanya kehidupan sementara.

Kita kini berada dalam minggu terakhir Ramadan, (bulan memohon keampunan dan bulan beribadah), yang perlu kita rancang dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak terlepas mendapatkan “bonus akhirat” (pahala) yang Allah sediakan melalui malam lailatulqadar. Analoginya, semua orang yang bekerja mengharapkan mendapat bonus dan ternanti-nanti berapakah jumlah bonus yang diberikan oleh majikan pada hujung tahun, sebagai balasan baik atas usaha kerja keras kita.

Demikian juga, kita akan sanggup bertungkus-lumus dan gigih bekerja untuk mendapatkan kenaikan pangkat supaya pada akhir perkhidmatan, kita mendapat tangga gaji yang tinggi. Hal ini sanggup kita lakukan dengan harapan, apabila kita bersara kita akan mendapat duit persaraan yang besar, sebagai jaminan hidup selesa selepas persaraan. Sebagaimana kita sanggup bersusah payah berusaha untuk mendapatkan “bonus dunia”, begitu jugalah sepatutnya usaha kita untuk mendapatkan “bonus akhirat”, yang ditawarkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan ini, melalui 10 malam terakhir Ramadan, yang menjadi kemuncak buruan orang yang beriman dan bertakwa.

Berusaha

Kajian saintifik mendapati, orang yang menulis “matlamat utama” hidupnya akan lebih berjaya mencapai cita-citanya, berbanding dengan orang yang tidak tahu apakah “matlamat utama” hidupnya. Umpama kita bermain bola tidak ada tiang gol, maka kita menendang sesuka hati tanpa hala tuju dan sasaran untuk matlamat mencapai kemenangan. Kita sepatutnya membuat rancangan amalan kita untuk menjadi orang yang dicintai Allah sebagai matlamat utama hidup, kerana perlu berusaha untuk mendapatkan kasih Allah SWT.

Tanda Allah sayang dan menganugerahkan hidayah kepada seseorang itu adalah pertama, apabila kita suka berbuat baik. Kedua, apabila Allah kurniakan kefahaman dalam agama. Ertinya audit diri kita, kalau sukar memahami pelajaran agama, kenalah banyakkan bertaubat. Mungkin Allah tidak sayang dan reda dengan kita, kerana itu digelapkan-Nya hati kita hingga tidak tembus cahaya iman. Ketiga, apabila akhlak kita semakin baik. Iaitu, jika semasa muda “kesedaran keegoan” kita tinggi, (panas baran, pemarah, berlagak, suka menunjuk-nunjuk, dendam dan sifat-sifat negatif yang lain). Tetapi sebaliknya, apabila usia semakin meningkat sifat kita bertukar kepada “kesedaran ketuhanan” yang tinggi, (sabar, tenang, berlembut hati, pemaaf dan sifat-sifat positif yang lain).

Jom audit diri, adakah kita semakin berubah menjadi bertambah baik atau sebaliknya.

Jadikan Ramadan ini sebagai satu transformasi untuk membangunkan keperibadian kita. Selama sebulan kita telah “disekolahkan” melalui “madrasah Ramadan”, alangkah sayangnya jika segala disiplin kehidupan yang telah kita lalui dalam bulan mulia ini, tidak kita teruskan untuk bulan-bulan seterusnya.

Empat perkara penting yang dididik melalui ibadah berpuasa, yang perlu menjadi disiplin kehidupan harian kita untuk bulan seterusnya selepas Ramadan ini. Pertama, puasa mendidik kita menjaga kesihatan fizikal, dengan cara mengawal pemakanan kita. Apabila kita tidak makan pada siang hari, limpa dan organ-organ lain dalam tubuh kita akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama disimpan dalam tubuh kita. Selain boleh mengawal berat badan, berpuasa dapat mengawal gula dalam darah bagi pesakit diabetes, bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol).

Kedua, puasa bagus untuk kecerdasan minda. Bagi menjaga kesempurnaan ibadah puasa, kita mengelakkan minda daripada berfikir yang negatif dengan membaca berita negatif dan sensasi, yang menjadi racun kepada minda, tetapi sebaliknya kita penuhkan minda kita dengan banyak membaca al-Quran. Ketiga, puasa mendidik kita meningkatkan hubungan silaturahim dengan banyakkan bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima, serta sentiasa berikhlas hati dan bersangka baik dengan orang sekeliling kita. Keempat, puasa mendidik kita dari segi pengurusan kewangan. Antara contohnya, dengan iman kita dapat mengawal nafsu daripada membazir di bazar Ramadan dengan membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan kita dan ahli keluarga. Empat disiplin kehidupan yang diperoleh melalui “madrasah Ramadan” ini, memberikan kita didikan bersepadu yang bermanfaat positif dari segi fizikal dan jiwa kerohanian.

Sempena bulan keampunan ini marilah kita bersujud kepada Allah, mohon keampunan kepada-Nya; sucikan hati kita dengan istighfar dan harumkan jiwa kita dengan tasbih. Jom kita renung jawapan seorang ulama, Ibnu al-Jauzi apabila ditanya manakah yang lebih penting antara istighfar dengan tasbih. Menurut beliau, pakaian yang kotor itu lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi. Istighfar itu ibarat sabun, manakala tasbih umpama minyak wangi. Maknanya daripada analogi ini, hati kita yang kotor ini lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi.

Orang yang memburu “bonus akhirat”, maknanya kita telah meletakkan “matlamat utama” dalam mendapatkan sebanyak mungkin pahala melalui ibadah berpuasa dan ibadah-ibadah lain, sejak hari pertama Ramadan lagi.

Tahajjud dari segi perubatan

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja. Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian – tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam.Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang athlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan. Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk ( drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti ‘berzikir’ dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antara agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao, Confusies dan Sikh.

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

BARAT Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang. Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : ” The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.” Maksudnya ” Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.” “The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.” – Longfellow Maksudnya ” Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. ” Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur. Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui. Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak merasa nikmat oksigen ini.

RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT

Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat.Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak
( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat – kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan. Ketika ruku’ dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar ( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin. Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki.dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan. Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawahan lain-lain otot lagi. Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk – pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain. Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita. Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam. Abdullah Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : ” Zikir yang termulia ialah LA ILAHA ILLALLAH dan doa yang terbaik ialah istighfar.” Moga Ada Manfaat

Oleh :mohd haikal amri mohd ismal

Pecutan 10 malam terakhir Ramadhan

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

RAMADAN amat pantas berlalu. Hari ini kita sudah berada pada 18 Ramadan. Bermakna telah separuh Ramadan meninggalkan kita. Hanya berbaki 13 atau 14 hari sahaja untuk kita terus memperhebatkan ibadat bagi mengejar pelbagai ganjaran pahala yang dilipatgandakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Seharusnya ketika ini, umat Islam semakin mendekatkan diri kepada Allah selepas menjalani proses tarbiah (didikan) 10 hari pertama Ramadan. Sepatutnya, kita kini semakin bersemangat melakukan ibadat terutama solat tarawih dan qiamullail. Qiamullail adalah amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan beribadat kepada Allah.

Malangnya, banyak masjid dan surau kini sudah makin sepi. Ramai yang hangat-hangat tahi ayam dan gagal berjuang sampai ke garisan penamat. Sedangkan, Rasulullah SAW dan para sahabat semakin memperbanyakkan amalan terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dengan bilangan jemaah yang makin kurang itu, ada pula pertikaian mengenai solat witir. Antara isu yang sering kedengaran, bolehkah solat witir bersama imam sedangkan kita mahu bangun tahajud nanti? Keadaan ini menyebabkan ada jemaah yang bangun atau lari mening­galkan imam apabila masuk solat witir. Sekali gus, saf yang kosong makin bertambah.

Niat qiamullail itu memang bagus. Cuma mari kita lihat apakah ganjaran yang disebut oleh Rasulullah SAW kepada mereka yang solat berjemaah isyak hingga selesai solat witir pada malam-malam Ramadan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai, maka ditulis untuknya pahala qiam satu malam penuh. (Riwayat Tirmidzi). Maksud solat bersama imam hingga selesai menunjukkan menjadi sunnah baginda solat tarawih bersama imam dari awal hingga selesai solat witir.

Hadis ini menjelaskan tentang fadilat yang besar kepada mereka yang solat berjemaah sehingga selesai dengan beroleh pahala solat sepanjang malam. Dengan kata lain, mereka yang ‘lari’ itu tadi telah kerugian dan tidak mendapat pahala qiam satu malam yang penuh.

Justeru, marilah kita merebut peluang istimewa ini yang hanya ditawarkan dalam Ramadan. Sebabnya, dalam bulan-bulan lain, kita perlu tidur dahulu sebelum boleh qiamullail. Dengan keadaan kita yang bekerja pada siangnya, tidak ramai yang mampu untuk bangun mengerjakan solat malam.

Timbul pula soalan kedua, perlukah kita solat witir sekali lagi semasa qiamullail sedangkan kita sudah melakukan solat witir bersama imam di masjid tadi?

Ada khilaf ulama dalam bab ini. Namun, pandangan jumhur ulama adalah tidak perlu lagi melakukan solat witir selepas selesai qiamullail. Barang siapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian mahu bersembahyang lagi selepas itu, maka ia boleh sembahyang tetapi tidak mengulangi witir kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada dua witir pada satu malam”. (Riwayat Ahmad)

Marilah kita berazam menerus dan meningkatkan pelbagai ibadat terutama bagi merebut kelebihan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam malam al-qadar. Sebabnya, umur kita tidak panjang. Justeru marilah kita manfaatkan ia sebaik-baiknya untuk menambah pahala.

Tidak terujakah kita dengan ganjaran pahala beribadat pada malam al-qadr iaitu lebih baik daripada 1,000 bulan?