3 sifat golongan fasik

Huraian Surah Al-Baqarah: Mencabuli perjanjian, putuskan silaturahim, tidak amanah

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 27)

 

Ayat ini memberi penjelasan siapakah dikatakan orang fasik. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi memberi takrifan orang fasik ialah mereka yang menjauhi daripada manhaj Allah SWT.

Untuk mewujudkan persaudaraan sebenar dan menghapuskan perbezaan yang sengaja diada-adakan ialah dengan menekankan sebenarnya tiada perbezaan keturunan dan bangsa. Bahkan berbangga-bangga dengan nasab dan keturunan adalah perbuatan batil.

 

Berdasarkan ayat itu, Allah SWT menjelaskan tiga ciri orang fasik, pertama, mencabuli perjanjian dengan Allah SWT. Perjanjian dicabuli itu ialah keimanan kepada Allah SWT iaitu fitrah bertuhan yang wujud dalam diri manusia. Mereka meletakkan diri lebih tinggi daripada janji yang sepatutnya dipatuhi.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Surah al-A’raf, ayat 172)

 

Kedua ialah memutuskan persaudaraan dan silaturahim. Sheikh Muhammad Syed Tantawi dalam tafsirnya berpandangan, memutuskan apa yang disuruh Allah SWT itu adalah berbentuk umum termasuk memutuskan hubungan silaturahim.

 

Bina hubungan baik sesama manusia

Allah SWT memerintahkan supaya dibina hubungan antara manusia merangkumi hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan selain ikatan hubungan atas akidah dan persaudaraan Islam. Apabila hubungan itu diputuskan, berlakulah kerosakan dan keadaan huru-hara yang berleluasa.

 

Mereka tidak akan menunaikan hak terhadap keluarga, anak yatim dan fakir miskin, malah mereka sanggup membelakangkan hak siapa saja asalkan kepentingan mereka tercapai.

 

Untuk mewujudkan persaudaraan sebenar dan menghapuskan perbezaan yang sengaja diada-adakan ialah dengan menekankan sebenarnya tiada perbezaan keturunan dan bangsa. Bahkan berbangga-bangga dengan nasab dan keturunan adalah perbuatan batil.

 

Perkara yang sentiasa ditekankan al-Quran ialah menegakkan keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya serta mengangkat taraf hidup orang miskin.

 

Namun, persaudaraan Islam bukan secara membuta tuli, tetapi atas dasar menegakkan kebenaran dan melenyapkan kebatilan seperti mencegah pencerobohan serta mengembalikan hak orang yang teraniaya.

 

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu tercegat berdiri melihat seseorang dipukul dengan penuh kezaliman kerana laknat akan turun ke atas sesiapa yang melihatnya tanpa mencegah perbuatan itu.” (Riwayat At-Tabrani)

 

Perasaan sedih terhadap orang lain yang ditimpa kesusahan menyebabkan seseorang berusaha menolong dan tidak akan berasa tenang selagi penderitaan orang itu tidak dapat dikurangkan atau dihilangkan.

 

Jika kita melihat sesuatu keburukan dilakukan kepada saudara seislam lain atau berlaku penghinaan dan pengaiban ke atas dirinya, maka kita bersedia membantu sehingga dia duduk kembali ke tempat selayak untuknya atau mengambil balik haknya yang telah dirampas.

 

Dabik dada dengan kuasa

 

Sudah tentu kewajipan itu menjadi semakin berat bagi mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa dalam masyarakat kerana kuasa bukan bererti seseorang itu boleh mendabik dada dan berbangga, tetapi hendaklah dia menggunakan pengaruh untuk membantu orang lain dengan penuh keikhlasan.

 

Ajaran Islam dalam semua sudut memupuk persaudaraan supaya ia tidak dicemari unsur yang boleh mengeruhkan. Justeru tidak dibenarkan seseorang itu walaupun sekadar mengganggu fikiran atau perasaan orang lain.

 

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakutkan Muslim yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

 

Bagi meneguhkan persaudaraan, Islam mengharamkan seseorang berbangga-bangga dan membesar-besarkan dirinya sehingga melahirkan sifat mazmumah seperti mengeji, menghina serta merendahkan orang lain.

 

Ciri ketiga orang fasik ialah membuat kerosakan dan bencana di bumi. Terdapat pelbagai bentuk kerosakan hasil penyelewengan manusia daripada kebenaran.

 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah saatnya (kehancuran). Abu Hurairah bertanya: Bagaimana amanah itu disia-siakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Jika suatu urusan diserahkan pada orang yang bukan ahlinya (tidak memenuhi syarat).” (Riwayat Bukhari)

 

Umat yang tidak amanah terbabit dengan kegiatan rasuah dalam urusan umum tanpa memikirkan kepentingan orang ramai, akhirnya mereka yang layak dan berkebolehan diketepikan dan yang tidak layak mengambil tempat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: