4 penyakit bakal hapus sifat mukmin umat akhir zaman

Mohd Rizal Azman Rifin

 

ADA empat penyakit dalam diri individu yang semestinya dibasmi kerana jika dibiarkan, penyakit itu akan membarah dan membudaya kukuh sehingga menenggelamkan perwatakan individu sebagai seorang mukmin sebenar.

Penyakit itu seperti kata Saidina Ali Abi Talib: “Kelak akan menimpa umat ini penyakit umat terdahulu iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, mensia-siakan masa dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus ke dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, dengki-mendengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.”
Ini senario dalam masyarakat Islam hari ini yang sentiasa lupa akibat perbuatan dan tingkah laku mereka yang menyeleweng daripada landasan agama, sedangkan Allah dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan serta pesanan supaya berwaspada. Sikap pertama mesti dibendung ialah sombong kerana ini senjata syaitan untuk menjerumuskan seseorang ke jurang kehinaan.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan jangan engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jangan engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sombong ialah penyakit hati yang akan memudaratkan hubungan dengan manusia lain. Bayangkan seandainya dia seorang peniaga. Bagaimanakah perniagaannya hendak berjaya dan dihormati pelanggan?

Tentu peniaga sebegini dibenci dan dijauhi. Jadi, siapakah yang rugi? Sebaliknya, jika seseorang peniaga itu sentiasa berwajah manis dengan senyuman, sudah tentu ia akan menjadi faktor tarikan dan secara tidak langsung mampu melonjakkan keberkesanan perniagaannya.
Perkara kedua kata Saidina Ali ialah kufur nikmat. Ini penyakit sangat berbahaya. Kufur nikmat ialah cepat lupa diri hingga lupa bersyukur kepada Allah yang memberikan nikmat. Ini warisan penyakit Firaun dan Qarun yang dilaknat Allah kerana sombong dan kufur dengan nikmat dikecapi.

Seseorang itu dikategorikan sebagai kufur nikmat apabila bakhil terhadap harta kekayaannya. Jiwa terasa kaku untuk menghulurkan sedekah jariah buat insan lain yang memerlukan, apatah lagi berzakat?

Ini semua akan mengundang padah dan laknat Allah serta bakal berhadapan seksa sengsara di akhirat nanti. Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang kufur nikmat.

Ditinjau dari perspektif psikologi, sikap kufur nikmat mencerminkan corak hati yang tamak dan rakus sehingga terbuai dalam keenakan harta dunia. Dari sisi pandang sosiologi pula, mereka dilihat insan yang ingin melihat hanya dirinya saja memperoleh nikmat.

Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Sesungguhnya harta yang punya itu hanya ada tiga, iaitu apa yang ia makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga usang dan apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain (diwariskan).” (Hadis riwayat Muslim)

Penyakit ketiga yang perlu dihindari ialah lalai dalam pengurusan masa. Jika diperhatikan, majoriti kaum muslimin yang leka dan melalaikan aspek mengurus masa. Lihat saja bagaimana anak muda saban malam berlumba haram, merempit di jalanan dan yang suka melepak di pusat beli belah.

Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat berguna buat kita semua, katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat dan amalku tidak bertambah.”

Sementara, pesan Ibnu Umar pula: “Jika kamu memasuki waktu petang, maka jangan menunggu pagi. Apabila kamu memasuki waktu pagi, maka jangan menunggu datangnya petang.” Kedua-dua pesanan sahabat Rasulullah SAW itu wajar direnungi untuk memperkasakan kualiti pengurusan masa kita.

Penyakit umat akhir zaman yang keempat sangat sinonim dengan situasi semasa yang sedang kita lihat iaitu bermegah dengan harta benda dunia. Manusia tidak lagi mempedulikan aspek etika dan aturan wajib dalam memperoleh harta, janji asal dapat.

Bagaimana cara atau kaedahnya tidak diberikan perhatian disebabkan rakus dan berlumba mengejar harta dunia. Apa dinyatakan Saidina Ali ada kebenarannya. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati supaya diri, keluarga, masyarakat dan negara tidak berada dalam bahaya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: