Kecapi ‘kemanisan’ solat menerusi amalan khusyuk

Asri Md Saman

 

Ibadat fardu lima kali sehari satu tanggungjawab tak boleh diabaikan

SOLAT, gabungan lima huruf yang mudah disebut, tetapi bagi sesetengah individu sukar melaksanakannya. Islam amat menitik berat soal solat kerana perintah mendirikan solat fardu lima waktu sehari semalam ialah perintah secara langsung daripada Allah SWT kepada Baginda Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj.
Kepentingan solat ini diulangi Allah SWT sebanyak 59 kali menerusi perkataan solat dalam al-Quran. Keistimewaan solat terlalu banyak antaranya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perbuatan yang menyebabkan dosa.
Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat semasa berumur 10 dan pisahkan tempat tidur mereka. – Riwayat al-Hakim dan Abu Daud.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut ayat 45).

Nabi Muhammad SAW turut bersabda, bermaksud: “Solat tiang agama, maka sesiapa yang mendirikannya, maka sesungguhnya dia mendirikan agama (addin) dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia meruntuhkan agama (addin).”

Sebagai seorang Muslim, kita akan menghadap Allah SWT secara fardu sebanyak lima kali menurut waktu yang sudah ditentukan di samping solat sunat. Lazimnya kita memulakan solat dengan niat dan mengangkat takbiratul ihram serta diakhiri dengan salam.

Solat sebagai tanda syukur dan berterima kasih kita kepada Allah SWT atas segala nikmat yang kita kecapi sepanjang hayat kita. Namun adakah kita sebagai seorang Muslim menghayati impak solat yang sebenar dalam kehidupan?
Ingatlah wahai umat Islam sekalian, tanpa penghayatan, solat tidak mampu memberi kesan yang positif. Malah ada sesetengah individu yang berfikir bahawa solat hanyalah satu kebiasaan dalam kehidupan, malah ada yang berfikir bahawa solat itu membebankan.

Tidak kurang juga yang merasakan solat sebagai penyebab kepada terganggunya tugasan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan.

Oleh itu, ilmu berkaitan solat wajar difahami setiap Muslim supaya kita dapat menunaikan solat dengan khusyuk dan merasai suatu kenikmatan luar biasa apabila menunaikan solat yang menjadi tiang bagi agama Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 132 bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Justeru, suami dan ayah sebagai pemimpin dalam rumah tangga wajib mengajar, menyuruh dan memerintahkan ahli keluarga khususnya anak-anak dengan penuh kesabaran sejak umur mereka tujuh tahun dan memukul mereka jika enggan sembahyang ketika berumur 10 tahun.

Tanggungjawab ini telah ditegaskan secara khusus dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat semasa berumur 10, dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud)

Persoalannya berapa ramaikah dalam kalangan ibu bapa yang sentiasa menitikberatkan persoalan solat terhadap anak mereka? Berapa ramai dalam kalangan ibu bapa yang sentiasa memastikan anak mereka pulang ke rumah sebelum masuknya waktu Maghrib?

Bahkan masih ada bapa yang mencuci kereta ketika azan Maghrib dilaungkan. Ada juga ibu bapa sendiri yang masih berbual bersama jiran sewaktu azan Maghrib. Ibu bapa sendiri masih lagi seronok dan leka menonton televisyen dan melayari internet. Usahlah kita sebagai ibu bapa mendidik dan mengajar anak-anak seperti ketam mengajar anaknya berjalan.

Marilah ibu bapa, kita melaksanakan amanah tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa dan tanggungjawab mendidik anak adalah amanah dan semuanya akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak.

Apabila semua ibu bapa melaksanakan amanah ini, nescaya kes gejala sosial yang membabitkan remaja akan dapat berkurangan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kekurangan didikan agama menjadi punca utama timbulnya gejala sosial.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan solat lima waktu seperti sebatang sungai yang bersih yang mengalir di hadapan pintu rumah seseorang dan beliau mandi di sungai berkenaan sebanyak lima kali sehari, Rasulullah bertanya adakah dengan mandi lima kali sehari masih meninggalkan kotoran pada badannya, sahabat Nabi menjawab tidak ada lagi kotoran yang masih tinggal pada badan beliau.

Rasulullah menjelaskan bahawa solat lima waktu itu seumpama air sungai yang membersihkan seseorang daripada sebarang kekotoran.”

Selain itu ibu bapa juga wajib berdoa mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 40 dan 41 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

“Wahai Tuhan kami!Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Kesimpulannya, sebagai ibu bapa kita wajib memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kekuatan untuk mendidik anak-anak lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang semakin mencabar ini.

Satu Respons

  1. mau tanya pak .. bedanya menjalankan solat dengan mendirikan solat itu seperti apa ya ?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: