5 Tips kawal nafsu jahat dalam diri

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Mukmin tak harus biar jiwa dibuai perasaan hingga terjebak ke lembah hina

SEMEMANGNYA sukar untuk membina keseimbangan dalam mengendalikan akal dan nafsu dengan sempurna kerana ada kalanya kita berjaya juga ditakluk nafsu liar yang membawa kita ke kancah bertentangan aturan agama.
Namun, sebagai mukmin tidak seharusnya membiarkan jiwa dan hati terus ‘ditumbangkan’ oleh nafsu yang hina, sebaliknya kita wajib berusaha sedaya upaya demi terbina kehidupan yang diredai Allah.
“Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati, menyinari hidup dan mati, dan memudahkan jalan ke syurga.” – Saidina Ali bin Abi Talib
Analogi kehidupan manusia ibarat berada di satu persimpangan jalan, antara jalan kiri dan kanan. Jalan kanan kita umpamakan akal fikiran dan jalan kiri adalah hawa nafsu. Seandainya kita memilih jalan ke kanan, menggunakan akal dengan maksimum akan menaikkan darjat berbanding malaikat.

Namun jika kita tersalah pilih melalui jalan kiri, iaitu menuruti saja kehendak hawa nafsu bermakna kita menjadi hina.

Dalam mengendalikan diri supaya dapat memerangi nafsu buruk, Saidina Abu Bakar As-Siddiq ada mengemukakan petua cukup efektif buat kita semua. Kata beliau, untuk memerangi nafsu liar atau buruk hendaklah seseorang itu menggunakan lima pendekatan iaitu;

Pertama : Menggunakan solat Jumaat sebagai pengatur nafsu.
Kata Abu Bakar, sebelum mendirikan solat Jumaat, makmum akan mendengar isi khutbah terlebih dulu yang di awalnya disisipkan nasihat supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kita mati melainkan dalam Islam.

Memang tepat, apa Abu Bakar sarankan itu kerana saban minggu golongan lelaki yang bersolat Jumaat secara berjemaah di masjid mengikuti khutbah. Nasihat khatib sedikit sebanyak akan menginsafkan kita supaya sentiasa bermuhasabah diri.

Rasulullah SAW ada berpesan supaya makmum tidak bercakap ketika khutbah disampaikan. Malah, Rasulullah SAW memberi amaran bahawa amalan solat Jumaat menjadi sia-sia tanpa sebarang pahala jika bercakap semasa khutbah disampaikan.

Jadi, amat malanglah kerana bukan perkara luar biasa yang dapat kita lihat dalam masyarakat, makmum datang lewat ke masjid sedangkan khatib hampir selesai bacaan khutbah. Khutbah Jumaat seharusnya menjadi penyegar motivasi yang menjana keperkasaan iman dan takwa kepada Allah.

Kedua : Membiasakan diri membaca al-Quran dengan memahami dan meyakini ertinya.
Kata Abu Bakar, nikmat membaca al-Quran hanya dapat dirasai mereka yang pernah mengamalkannya, kerana itu jadikanlah amalan membaca al-Quran sebagai sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Melihat kepada petua kedua beliau, jelas kepada kita meninggalkan atau memencilkan amalan membaca al-Quran boleh mengakibatkan seseorang cepat hanyut dibuai kegilaan mengejar duniawi tanpa batasan.

Membudayakan bacaan al-Quran akan mewujudkan keinsafan tinggi ke arah membina gaya hidup murni yang menepati kehendak agama.

Kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati, menyinari hidup dan mati, dan memudahkan jalan ke syurga.”

Ketiga : Jangan lupa daratan dan jangan sekali-kali mendekati tempat yang mendorong kepada perbuatan maksiat atau kejahatan.

Sesungguhnya mendekati lokasi maksiat akan menjadi penyebab tergelincirnya seseorang ke lembah hina. Pesanan Abu Bakar ini adalah langkah pencegahan berteraskan pemikiran proaktif. Maknanya, kita mengambil langkah awalan agar supaya tidak terjebak maksiat.

Keempat : Tunjukkanlah bahawa kita adalah makhluk sosial harus tunduk kepada kaedah umum yang diciptakan masyarakat dan kaedah ditentukan Allah.

Pesanan Abu Bakar ini mengajar kita supaya tidak menjadi seperti ‘kera sumbang’ yang mengasingkan diri daripada kegiatan bermasyarakat dengan mengikuti segala adat dan norma sosial setempat selagi tidak bertentangan agama.

Kaedah ini sebenarnya mampu membentuk jiwa mengutamakan hubungan ukhwah sesama ummah dan manusia sejagat. Bersosial secara aktif dalam acuan patuh dan taat dengan norma masyarakat serta perintah Allah akan memberikan spektrum kehidupan harmoni dan murni.

Kelima : Sering membaca ayat 6 hingga 7, surah al-Fatihah yang bermaksud, “Tunjuklah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang telah Engkau berikan atas mereka nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan-jalan mereka yang sesat.”

Memang kita sudah biasa sangat membaca ayat Allah ini semasa mendirikan solat, namun persoalannya apakah kita memahami dengan mendalam akan maknanya serta cuba bersungguh membina kehidupan atas landasan yang lurus dan benar di sisi Allah?

Percayalah, seandainya kita dapat hayati dengan teliti dan penuh insaf semasa membaca ayat surah al-Fatihah, tentu kita mengelolakan nafsu supaya tidak tersasar jatuh ke kancah yang hina.

Inilah lima petua untuk mengendalikan nafsu dengan sempurna

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: