Tomakninah, tadabbur elemen penting tambah kekhusyukan solat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

KEBANYAKAN umat Islam dalam kecanggihan masa kini kian menumpulkan kepekaan dengan kewajipan solat fardu yang menjadi tiang agama dan batas pembeza antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka sangat berani meringankan solat, malah lebih malang langsung tidak solat.

Tindakan yang mereka ambil ini tanpa rasa bersalah terhadap Allah SWT. Keadaan gerhana ini semakin memburuk dari sehari ke sehari yang bukan saja melanda golongan muda remaja, bahkan juga dewasa dan tua, yang sudah sewajarnya menginsafi dan memahami secara dalam tujuan hidup seorang Muslim di dunia ini. Benarlah apa yang digambarkan dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam: 59)

Dalam ayat lain, Allah memberi ancaman kepada golongan yang lalai dalam solat yang bermaksud: “Neraka wail bagi orang yang solat iaitu mereka yang lalai dalam solatnya.” (al-Ma’un: 4-5)

Sesungguhnya ada banyak pendapat dan tafsiran mengenai maksud lalai dalam solat iaitu:

* Cuai hingga habis waktu solat (ditunaikan secara qada atau ditinggalkan begitu saja).

* Tidak khusyuk (dalam solat terbayang perkara yang berlaku di luar solat, tidak mengetahui maksud lafaz dan perbuatan dalam solat).

* Tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dilakukan dalam solat (misalnya dalam solat mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, tetapi di luar solat tidak menghayati akhlak dan sunnah Rasulullah).

Kadang-kadang kita terfikir apakah yang akan berlaku kepada umat Islam yang meremehkan solat fardu, padahal kita sedia maklum, solat membentuk keperibadian luhur, terhormat dan berkualiti menepati sebaik-baik umat.

Kenyataan hari ini sudah cukup memberi jawapan kepada pertanyaan tadi.

Masyarakat bergelumang dengan maksiat, mengenyangkan nafsu syahwat, lupa kepada Allah dan menjalani kehidupan yang menjurus kepada kehidupan jahiliah yang tidak bertamadun. Di sini perlunya peranan ibu bapa, guru, pemimpin serta seluruh masyarakat sebagai penyuluh, pendorong dan pembimbing mereka agar kembali mendekati solat dengan penuh kebijaksanaan.

Bagi yang taat mengerjakan solat, perlulah mengemaskinikan solatnya agar benar-benar memenuhi kategori solat khusyuk yang diterima Allah SWT. Kadang-kadang kita menganggap solat kita telah baik dan sempurna, tetapi hakikatnya termasuk golongan lalai dalam solat. Apakah selama ini kita khusyuk dalam solat? Persoalan ini akan terjawab bila kita memahami pengertian khusyuk.

Khusyuk itu mengandungi dua makna, pertama tawaduk dan kerendahan serta kehinaan diri di hadapan Allah dan kedua ketenangan dan tomakninah. Hal itu adalah kenescayaan dari kelembutan hati dan menafikan kekerasan hati. Jadi, khusyuk itu adalah rasa takut kepada Allah yang ada di dalam hati dan tampak di atas aspek lahiriah, manakala ada juga Ulama’ berpandangan khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Rab dengan tunduk dan rendah.

Oleh itu, kita buat satu rumusan bahawa khusyuk adalah kerendahan hati, ketenangan serta memberi tumpuan hati kepada Allah dengan rasa takut (kepedihan azab-Nya), kagum (kebesaran-Nya) dan cinta.

Bagaimana jalan bagi mencapai solat yang khusyuk? Pedoman yang dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis dan al-Quran ini boleh kita tekuni iaitu:

* Membuat persiapan awal seperti pakaian, wuduk dan menunggu waktu solat. Dengan ini tidak ada istilah tergesa-gesa melakukan solat.

* Tomakninah (berhenti sejenak dari rukun ke rukun sampai salam). Kelakuan Rasulullah ketika solat contoh terbaik tomakninah. Rasulullah SAW ketika solat baginda melakukan tomakninah sehingga semua anggota badan baginda kembali pada tempatnya. (Hadis riwayat Abu Daud)

* Sentiasa ingat mati kerana mengingati mati akan memperelok solat dan menganggap solat yang dilakukan itu yang terakhir.

* Tadabbur (menghayati) ayat al-Quran, zikir dan bacaan lain yang dibaca ketika solat menjadikan hati diserap kekhusyukan.

* Beranggapan ketika solat kita sedang menghadap Allah. Dengan demikian, seseorang akan menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan Allah, lalu mendorongnya mengerjakan solat secara bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: