• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,092 orang
  • Kandungan Blog

Pentingnya doa dalam kehidupan

DOA adalah talian hayat sedia guna 24 jam sehari untuk seorang manusia. Ia boleh berfungsi di mana-mana pada bila-bila masa, kepada yang berkemahuan berkomunikasi secara langsung dengan Maha Pencipta.

Tetapi berapa ramai yang endah melakukannya dengan penuh iltizam tanpa tangguh-tangguh?

Malangnya melihat hakikat doa dalam rutin harian kita, jarang sekali keperluan berdoa termasuk dalam senarai. Fungsi doa tidak ubah seperti kertas tisu. Keperluan menggunakannya timbul apabila ada desakan sahaja. Ia cuma naik tempat pertama apabila dilanda kesusahan dan penderitaan.

Lupakah kita mengenai kunci kepada keislaman Saidina Umar Al-Khattab RA yang berperwatakan keras dan tegas adalah doa Rasulullah SAW?

Doa yang berbunyi, “Ya ALLAH, muliakanlah Islam dengan seorang  lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin Al Khattab atau Abu Jahl bin Hisham.” Doa ini dikatakan didengari oleh Abdullah Ibn Mas’ud, Anas dan Khabbab bin Al Arrat. Ternyata Umar RA lebih disukai ALLAH SWT.

ALLAH memilih Surah Al-Haqqah untuk menyentuh sanubari Umar RA, pada ketika itu berada di belakang tirai Kaabah, melalui bacaan dalam solat Rasulullah SAW.

Kata Umar RA, “Demi ALLAH, dia ini seorang penyair sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang Quraisy.”

Ketika Rasulullah SAW membaca  ayat 40–41 yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran itu ialah (wahyu daripada Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang! Amatlah sedikit kamu beriman.”

Barangkali tergamam dengan jawapan luar sangka, benak Umar RA terus meningkah Rasulullah SAW ini adalah pawang. Lalu Rasulullah SAW membaca ayat 42 – 43 yang bermaksud: “Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. Al-Quran itu diturunkan daripada ALLAH Tuhan Semesta Alam.”

Ayat-ayat tersebut, juga diambil kira sebagai doa, telah membenihkan Islam yang tumbuh perlahan-lahan dalam hati Umar RA yang masih berkecamuk dengan ketaasuban terhadap agama jahiliah Quraisy.

Pada hari keislamannya, Umar RA sebenarnya menanamkan niat di hatinya mahu membunuh Rasulullah SAW dengan pedang yang terhunus di tangan.

Perjalanannya menuju ke rumah Rasulullah SAW bertukar arah ke rumah adik perempuannya, Fatimah Al-Khattab, yang diberitakan orang, beliau dan suaminya, Said bin Zaid, masuk Islam.

Berlaku pergaduhan di rumah Fatimah dan Said sebelum mereka akhirnya mengaku telah Islam. Kesal dan malu kerana bergaduh ditambah dengan akidah jahiliah yang mula goncang, Umar RA meminta lembaran ayat al- Quran yang didengarnya tadi di luar pintu.

Umar RA mandi terlebih dahulu, setelah itu dimintanya Fatimah, dan kemudian membaca tulisan tersebut bermula dengan basmallah. Kata Umar RA, “Ini adalah nama yang baik dan suci.” Disambungnya dengan ayat, “Taha” sehingga firman ALLAH yang bermaksud, “Sesungguhnya Akulah ALLAH yang tiada tuhan selain-Ku maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

” Benih Islam yang telah pun tumbuh kini masak ranum dalam hati Umar RA yang terus meminta untuk bertemu Rasulullah SAW lalu mengucapkan kalimah tauhid.

Sepotong doa yang ikhlas merubah haluan pedang Umar RA daripada mahu membunuh Rasulullah SAW kepada melindunginya dengan nyawa sendiri. Ia merubah watak Umar RA daripada antara lawan paling jahat menjadi teman paling melindungi. Ia juga telah menukar kebencian Umar RA terhadap Islam kepada antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling mementingkan dan paling menyayangi Islam.

Kita ini bukan Umar RA. Jauh sekali mencium makam Nabi SAW yang terpuji. Takkan mampu menjadi wali suci atau alim yang tahan diuji. Kita sekadar hamba yang acap kali “menghadiahkan” solat-solat hambar kepada Tuhan yang tidak layak berkata, “doa itu bukan keperluan untukku.”

Titik permulaan rutin kehidupan setiap hari haruslah  bermula dengan doa, usaha dan tawakal. Kita mulakan titik tersebut dengan ilmu yang benar. Tidakkah kita berasa miskinnya jiwa yang meraih ilmu wujud pada setiap masa dan ketika?