Di negara kita, jalan raya dan kemalangan bagaikan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Hampir setiap hari pasti ada berita kemalangan jalan raya, baik di kota mahupun di desa.

Kadar kemalangan jalan raya semakin bertambah saban tahun. Ia bukan sahaja merosakkan harta awam malah meragut nyawa ramai orang, termasuklah yang tidak bersalah terbabit sama.

Adab-adab di jalan raya sering kali diabaikan oleh ramai pengguna. Jalan raya dijadikan tempat melepaskan tekanan, bersaing kelajuan dan tempat menunjukkan lagak kepada orang lain.

Sifat lemah-lembut orang timur seakan-akan berubah apabila memandu kenderaan di jalan raya. Kita berubah menjadi seorang yang kasar, terburu-buru, mudah marah dan sebagainya.

Mencegah lebih baik daripada merawat. Itulah garis panduan yang disemat dalam ajaran Islam sejak dahulu kala. Rasulullah SAW sentiasa berpesan agar seorang Muslim perlu berbuat baik kepada orang lain, baik sesama Muslim mahupun yang belum beragama Islam.

Antara pesanan yang boleh dijadikan panduan di jalan raya ialah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak boleh membuat bahaya dan tidak boleh membalas bahaya.” (riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini mengandungi banyak faedah dalam kehidupan seharian, sekali gus ia menjadi salah satu kaedah fikah yang penting di sisi para ulama.

Dalam konteks ini, pengguna jalan raya sepatutnya tidak melakukan apa jua perkara yang boleh mendatangkan bahaya sewaktu berada di jalan raya. Antaranya seperti memandu secara berbahaya, terlalu laju, menggunakan telefon bimbit, membuang sampah daripada kenderaan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang kelihatan remeh inilah yang biasanya menjadi punca kemalangan jalan raya, bahkan sehingga mengakibatkan kematian. Budaya memandu dengan laju dan secara berbahaya telah menjadi asam garam sebahagian masyarakat kita. Baik pembonceng motosikal, pemandu kereta, bas atau lori, pasti ada yang gemar memandu sedemikian.

Ia antara salah satu faktor utama kemalangan maut di jalan raya. Rasa ingin mencabar dan menunjukkan kehebatan memandu dengan laju sering menyelubungi fikiran pengguna jalan raya. Kadang-kala mereka bukanlah saling mengenali antara satu sama lain. Kerana itu kita selalu melihat “lumba haram” di lebuh raya sesama kereta, lori mahupun bas.

Meskipun kemalangan membabitkan motosikal sering terjadi dan membawa maut, namun akhir-akhir ini kemalangan yang melibatkan kenderaan berat kerap berlaku. Kesannya pula jauh lebih mengerikan, terutama kemalangan bas ekspres yang mana boleh mengakibatkan kematian puluhan orang dalam sekelip mata.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membahayakan orang lain maka Allah akan membalas bahaya kepadanya. Sesiapa yang menyusahkan orang lain maka Allah akan memberikannya kesusahan.” (riwayat Al-Baihaqi)

Inilah keadilan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Sebagaimana Allah akan sering membantu hamba-Nya yang suka membantu orang lain, begitu juga Allah akan membalas perbuatan buruk hamba-Nya ke atas orang lain.

Allah sentiasa membalas perbuatan kita terhadap orang lain dengan setimpal dan adil.

Perbuatan yang boleh menyebabkan kemalangan termasuk antara perbuatan yang boleh menzalimi orang lain. Disebabkan kesalahan yang dilakukan maka orang lain yang tidak bersalah turut menjadi mangsa, bahkan mungkin kehilangan nyawa. Islam menentang keras perbuatan yang zalim tidak kiralah dalam apa jua bentuk kezaliman.

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT berkata: Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan perbuatan zalim ke atas diriku dan aku menjadikan ia (perbuatan zalim) haram di antara kalian. Maka janganlah kalian saling menzalimi. (riwayat Muslim)

Para pengguna jalan raya hendaklah sentiasa rasional dan bertimbang rasa apabila berada di atas jalan raya. Jalan raya yang diguna sehari-hari adalah untuk keselesaan bersama. Sudah tentu kita tidak mahu hidup kita atau orang yang kita sayang berakhir di jalan raya. Hari ini mungkin kita tidak peduli kerana belum menghadapinya, esok lusa siapa tahu. Berhati-hatilah di jalan raya.