Hilang harga diri jika mungkir janji sendiri

Oleh Norhayati Paradi

Orang yang layak dihormati ialah mereka yang tidak mungkir janji pada diri sendiri. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menyambung perbincangan mengenai ‘ Janji pada diri’ dalam Islam Itu Indah

Tatkala seseorang itu kenal dan jelas dengan aib dirinya, bermakna dia telah mendapat manfaat daripada ilmu. Tanda seseorang kenal aib dirinya adalah kurang melihat atau membicarakan aib orang lain.

Jika semakin banyak ilmu diperoleh, tetapi semakin galak memperkata aib orang lain, ertinya dia hanya memperoleh ilmu tanpa meraih manfaat daripada ilmu itu. Inilah mukadimah program Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu bagi menyambung bab ‘Janji pada diri’.
Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri. Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri. Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji yang dimeterai oleh diri kita kepada diri sendiri.

Janji ini dikategorikan sebagai ‘self talk’. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi. Salah satu tanda seseorang miliki harga diri yang tinggi adalah dengan menghormati dirinya sendiri.

Sama ada sedar atau tidak, pelbagai janji ditabur pada diri sendiri contohnya untuk menunaikan solat lima waktu tepat pada waktunya, berjanji untuk membaca al-Quran setiap hari, tidak mengumpat, tiada hasad dan sebagainya.

Maka janji itu adalah percakapan diri kepada diri sendiri. Menurut ahli psikologi, dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri kita sendiri berbanding berbicara dengan orang lain. Ini dikenali sebagai suara hati.

Kesan daripada mungkir janji

Analoginya, andai janji dimungkiri berkali-kali, ia bakal membawa implikasi untuk tidak dipercayai sama sekali. Jika acap kali janji pada diri dimungkiri, kepercayaan akan hilang dan secara tidak langsung harga diri pada diri juga akan luntur. Justeru, Ustaz Pahrol berpesan, ‘usah bimbang jika diri tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika diri benar-benar tidak berharga.’

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa dengan diri sendiri. Secara langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Lebih daripada itu, diri seumpama bangkai bernyawa. Terasa letih tanpa mengetahui punca apa yang menyebabkan keletihan. Dijelaskan bahawa letih kerana tidak melakukan kerja adalah lebih letih daripada letih membuat kerja.

Hidup umpama sampah yang di bawa arus akibat tidak menunaikan janji pada diri. Akibatnya, individu itu sukar untuk mengawal diri. Dirinya hanya dibiar dicorak oleh suasana bak kata pepatah ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam.’ Saat ini keyakinan diri atau ‘self esteem’ akan jatuh sejatuh-jatuhnya, ‘self talk’ sudah tidak bermakna.

Penyelesaiannya ialah menerusi formula kembali pada Ilahi. Ketika janji dibuat, berusaha untuk menunaikan janji pada Ilahi terlebih dahulu bagi memperoleh kekuatan untuk melunas janji pada diri sendiri.

Apabila selesai urusan dengan Allah, insya-Allah, Allah akan membantu menyelesaikan urusan dengan manusia. Dengan mengutamakan urusan akhirat, Allah akan bantu menyelesaikan urusan dunia. Menunai janji kepada Ilahi akan memandu kepada iltizam menunai janji pada diri sendiri yang membawa kepada tertunai janji untuk insan lain.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah. Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Syarat pembahagian harta

Rasulullah SAW telah memberi panduan yang praktikal kepada seorang sahabat Sa’ad Abi Waqqas ra yang ingin menginfaqkan dua pertiga daripada hartanya. Lalu Rasulullah SAW mengatakan bahawa jumlah itu terlalu banyak.

Kemudian beliau mengurangkan kepada satu perdua. Namun Rasulullah tetap mengatakan ia satu jumlah yang masih banyak. Akhirnya, dikurangkan lagi atas nasihat nabi kepada satu pertiga. Itu juga dikatakan terlalu banyak oleh Rasulullah.

Rasulullah SAW membenarkan dengan syarat sebahagian harta itu ditinggalkan untuk anak, isteri dan keluarga. Begitulah Rasulullah tatkala sahabat sedang bersemangat, mereka dinasihati dengan penuh hikmah tanpa menggugat perasaan sahabat itu.

Ia cara Rasulullah mengajar bagaimana zuhud dapat dicapai. Ia bukan bererti tiada harta tetapi tidak terikat cinta pada harta kerana akhirat di hati dan dunia hanya di tangan dengan mudah mampu dilepaskan.

Faktor kedua untuk memastikan janji pada diri terlaksana ialah janji yang dibuat perlu mengikut keutamaan. Menurut Hukum Pareto oleh Vilfredo Pareto, yang menepati hukum sunatullah iaitu dalam kehidupan terdapat 20 peratus perkara sangat penting dan perlu tumpuan usaha sepenuhnya yang mana ia akan menggerakkan 80 peratus impak untuk diselesaikan.

Kenal pasti perkara utama dalam diri, fokus kepada 20 peratus daripada perkara utama itu dan usahakan bersungguh-sungguh, Insya-Allah baki 80 peratus akan selesai dengan sendiri apabila 20 peratus dapat diselesaikan.

Umpama menyatukan batu kecil, batu besar dan pasir di dalam satu balang. Jika memuatkan pasir diikuti batu kecil, percayalah ketika batu besar ingin dimasukkan, sudah tiada ruang untuknya. Tetapi jika mengikut hukum Pareto ini, batu besar perlu dimasukkan lebih diikuti batu kecil yang akan mengisi di celahan batu besar dan akhir sekali pasir yang akan memenuhi ruang-ruang kecil yang tertinggal.

Sebagai contoh, sekiranya merasakan hidup tidak tenang dan sering dirundung masalah silih berganti, ia mungkin disebabkan lalai mendirikan solat. Dalam situasi ini, kita perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah solat kerana ia adalah masalah terbesar yang menyumbang 20 peratus masalah untuk diselesaikan.

Dalam menyelesaikan cabaran tidak solat, secara tidak langsung akan dapat selesai masalah ketenangan dan kucar-kacir pada diri dan lain-lain cabaran yang terkandung dalam 80 peratus baki cabaran kehidupan.

Perkara pokok tatkala berjanji pada diri, memohonlah bantuan daripada Allah SWT untuk menunaikan janji itu. Sekiranya gagal untuk melunaskan janji, usah mengalah. Teruskan tekad dan azam kerana dengan tekad dan azam akan memastikan diri berada pada jalan yang benar.

Jika tersesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Tetapi jika berada di jalan yang benar tetapi masih ada halangan besar, maka teruskan perjalanan. Teruslah berjanji pada diri sendiri untuk melaksanakan perkara baik. Apabila gagal, berjanji lagi dan tambah dengan janji untuk tidak mungkir janji. Berjanji untuk tidak mengalah dan terus mujahadah kerana Allah SWT

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: