Perbanyakkan Doa di bulan Ramadhan

TIDAK dinafikan betapa manusia sentiasa dibebani dengan masalah dalam kehidupan. Tidak kira setinggi mana pun martabatnya di sisi Allah SWT, ia pasti berhadapan dugaan dan cabaran kehidupan. Malah semakin hampir hamba kepada Tuhan-Nya, semakin hebatlah ujian dan dugaan yang terpaksa ditempuhi bagi menilai sejauh mana keimanan yang berjaya disematkan dalam kalbu seseorang. Perkara ini jika diteliti merupakan antara ujian dan cabaran yang bakal dilalui oleh setiap insan yang ingin mendekatkan diri kepada Ilahi.

Dalam konteks manusia biasa lain pula, kerenah dan ujian yang terpaksa ditempuhi, yang tidak mampu dibilang dengan jari dan kadang-kadang belum pun selesai satu masalah, masalah yang lain pula menimpa diri.

Persoalannya, mengapa tidak kesempatan Ramadan dipergunakan dengan sebaik mungkin untuk mengadu hal dan bermunajat kepada-Nya yang mutlak berkuasa menjadikan sesuatu masalah dan berkuasa mutlak untuk memberikan penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

Mengapa tidak hari-hari Ramadan dipenuhi dengan berdoa yang sebenarnya merupakan amal ibadah yang dituntut. Dalam hal ini, perlu juga disedari betapa manusia merupakan makhluk yang kerdil lagi lemah dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Baik masalah peribadi, masalah rumah tangga dan anak-anak, masalah di tempat kerja, masalah dengan jiran tetangga, malah yang lebih menakutkan lagi ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT.

Jika diteliti lagi, Ramadan dan berdoa mempunyai perkaitan yang sangat rapat memandangkan ayat berkenaan adalah janji Allah SWT untuk memperkenankan doa makhluknya digandingkan dalam ayat yang menjelaskan tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadan serta hukum-hakam yang bersangkutan dengannya.

Perlu difahami betapa sesuatu masalah kadang-kadang terjadi disebabkan oleh diri sendiri. Contohnya, seseorang yang dengan sengaja tidak mengerjakan solat lima waktu atau enggan berpuasa di bulan Ramadan, pasti akan berhadapan dengan masalah ketika dihisab di hari kemudian, yang mana itu berlaku atas pilihan sendiri. Dan yang pasti, Allah SWT tidak pernah menzalimi sesiapa untuk menghukum sesuai dengan apa yang pernah dilakukan.

Yang lebih membimbangkan ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT dan berhadapan dengan proses timbangan amal sebagai neraca penentuan, sama ada diberi nikmat ataupun balasan azab oleh-Nya.

Oleh itu, dengan berdoa dan sering bermunajat kepada Allah SWT moga-moga segala kekusutan dan kebimbangan ini akan terlerai dek kerana dekatnya hamba dengan Pencipta.

Dalam pada berdoa, terdapat beberapa adab yang selayaknya dipatuhi agar diterima di sisi Allah SWT dengan sempurna. Antaranya;

1 Mengangkat tangan ketika berdoa seperti perlakuan Nabi SAW sehingga kelihatan putih ketiaknya ataupun mengangkat tangan selari dengan kedua-dua belah bahu. Jika terdapat hal yang mendesak, maka bolehlah diangkat lebih daripada itu kerana beramal dengan sunnah Rasulullah SAW.

2 Setelah selesai berdoa, bolehlah disapukan kedua-dua belah tangan ke muka.

3 Setiap doa hendaklah dimulakan dengan ucapan alhamdulillah sambil memuji-muji kebesaran-Nya. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: “Apabila seseorang antara kamu berdoa, maka hendaklah dimulai dengan mengucap syukur kepada Allah SWT sambil memujinya, kemudian hendaklah berselawat atas Nabi Muhammad SAW lalu diiikuti dengan memohon sebarang doa.” (riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmizi)

4 Kemudian berdoalah dengan khusyuk sambil bersangka baik kepada Allah SWT yang Maha mendengar lagi Maha memperkenankan segala doa. Ini disertai dengan perasaan takut kepada kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana Allah SWT tidak menerima doa dalam keadaan yang lalai.

5 Boleh juga doa tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Ibnu Mas’ud yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila berdoa, berdoa sebanyak tiga kali, dan apabila meminta kepada Allah SWT Baginda juga meminta sebanyak tiga kali. (riwayat Muslim)

6 Pintalah segala hajat sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi. Usah berdoa untuk keburukan dan kecelakaan orang lain. Seelok- eloknya diganti dengan doa-doa yang baik, semoga beroleh hidayah dan petunjuk daripada-Nya. Nabi Muhammad SAW pernah dibaling dengan batu oleh kanak- kanak semasa berdakwah di Taif hingga berdarah kakinya yang mulia, namun Baginda tetap mendoakan mereka dengan kebaikan.

Justeru, adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan keluarga, ibu bapa, jiran tetangga, dan kaum Muslimin seluruhnya. Berdoa supaya diampunkan dosa, diterima segala amal agar layak menempati syurga-Nya adalah antara doa yang baik untuk dilafazkan.

7 Selain itu, hendaklah berdoa dalam keadaan menghadap ke arah kiblat kerana sebaik-baik perhimpunan adalah dengan menghadap kiblat. Ini dikecualikan kepada imam yang berdoa setelah selesai solat berjemaah, yang mana dia disunatkan menghadap ke arah makmum, sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad SAW yang menghadap ke arah para sahabat.

8 Eloklah seseorang yang berdoa berada dalam keadaan berwuduk sambil banyak beristighfar dan bertaubat.

Berdoa dalam hati adalah lebih baik berbanding doa yang dilafazkan secara terang-terangan kerana hal ini lebih dekat kepada keikhlasan dalam berdoa.

9 Makruh jika berdoa dengan suara yang terlalu kuat. Malah jika berdoa setelah selesai solat berjemaah di masjid, imam hendaklah memperhatikan jemaah yang kemungkinan masbuq atau baru memulakan sembahyang yang kemungkinan terganggu dengan bacaan doa yang terlalu kuat.

10 Digalakkan juga bertawasul dengan nama-nama Allah SWT Yang Maha Agung, selain doa disertai dengan banyak bersedekah serta memilih waktu-waktu yang sesuai lagi mustajab untuk berdoa.

11 Pilihlah doa-doa yang pernah dibacakan oleh Nabi SAW kerana logiknya doa tersebut mustajab di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan apabila kita menyebutnya turut diperkenankan oleh Allah SWT. Ingatlah betapa doa adalah senjata Mukmin, gunakalah senjata tersebut dengan sentiasa menyandarkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: