Beribadatlah kerana Allah

RAMAI yang berpuasa mengetahui bahawa berpuasa sebulan di bulan Ramadan adalah wajib, malah tidak ramai yang berani untuk tidak berpuasa secara terangan-terangan, sebagaimana ramai yang sanggup tidak menunaikan sembahyang tanpa memerhatikan susunan kedudukan puasa dalam susunan Rukun Islam dan hikmah di sebalik susunan tersebut.

Antara faktor tidak ramai yang menzahirkan diri tidak berpuasa adalah kerana mereka terdedah kepada kemungkinan ditangkap oleh pihak berwajib dan akan diarak mengelilingi bandar menggunakan kenderaan jenazah. Sedangkan, tindakan yang sama tidak dilakukan kepada mereka yang tidak bersembahyang lima waktu, meskipun kedua-duanya adalah Rukun Islam.

Seharusnya, apabila bernama rukun, maka ia wajib disempurnakan. Jika tidak disempurnakan maka akan berlaku kecacatan. Walaupun berpuasa tetapi jika tidak sembahyang, maka dengan sendiri keislaman seseorang akan cacat.

Demikian juga jika sembahyang tetapi tidak berpuasa wajib di bulan Ramadan, maka ia turut mencacatkan keislaman seseorang itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu Ar-Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut): “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak ada lagi yang masuk melaluinya. (riwayat Muslim, daripada Sahl Ibnu Sa’ad)

Lailatulqadar

Iman Bukhari turut meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim telah menceritkan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Yahya daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang menegakkan Lailatulqadar (mengisi dengan ibadah) kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya daripada-Nya), maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya dan sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadan kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya daripada-Nya), maka akan diampuni dosa-doa yang telah dikerjakan.

Demikian nilai puasa yang menduduki tangga ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu sehari semalam dalam Rukun Islam. Dua lagi ialah mengeluarkan zakat, seterusnya menunaikan haji di Mekah sekiranya berkemampuan.

Yang menduduki tangga pertama secara automatik menandakan ia adalah yang terpenting dan merupakan keutamaan yang perlu diutamakan. Melihat kepada susunan Rukun Islam, puasa sebulan di bulan Ramadan adalah yang ketiga terpenting. Maknanya sebelum menunaikan kewajipan berpuasa, kena pastikan dahulu sempurna dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.

Mengucap dua kalimah syahadah adalah tanda Islamnya seseorang yang mana amal ibadat yang akan diterima oleh Allah SWT bagi umat Nabi Muhammad SAW adalah yang beragama Islam. Segala amal yang dibuat, termasuk puasa daripada kalangan yang bukan Islam yang menolak dua kalimah syahadah tidak akan diterima oleh-Nya. Sebelum berpuasa, Rukun Islam yang kedua, iaitu sembahyang lima waktu kenalah disempurnakan terlebih dahulu.

Kesempurnaan

Ertinya puasa hanya akan diterima kesempurnaan apabila sembahyang lima waktu disempurnakan. Berpuasa tetapi tidak sembahyang, apatah kalau puasa kerana takut ditangkap dan diarak di khalayak ramai dengan van jenazah kalau tidak menunaikan sembahyang fardu, akan berlaku kecanggungan dan kesumbangan bagi kesempurnaan keislaman.

Orang yang mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang lima waktu dan berpuasa wajib sebulan di bulan Ramadan, mestilah menyempurnakan keislaman dengan menunaikan kewajipan membayar zakat dan menunaikan fardu haji di Mekah jika berkemampuan bagi memaktubkan kesempurnaan keislaman bersandarkan kepada Rukun Islam.

Apabila telah sempurnanya Rukun Islam, maka akan sempurnalah keislaman dan keimanan seseorang. Bagaimanapun keimanan kena ditakwakan dengan berpegang kepada Rukun Iman iaitu; Percayakan Allah, Rasul, Kitab, Malaikat, Hari Kiamat dan qada’ dan qadar. Dengan itu akan terbentuklah iman dan takwa seseorang yang merupakan suatu tuntutan ke atas setiap umat Nabi Muahmmad SAW yang mukalaf.

Walaupun syurga dan neraka itu adalah hak mutlak Allah SWT untuk menentukan siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang akan ke salah satu daripadanya, namun setelah tergabungnya Rukun Iman dan Rukun Iman yang sekali gus akan terbinanya kemantapan iman dan takwa, maka dengan sendiri ada kelayakan untuk ke syurga.

Apapun kena bersiap sedia reda dengan segala ketentuan-Nya setelah dibina iman dan takwa tanpa mengharapkan balasan mengikut kehendak kita, termasuk mengharapkan balasan syurga, sebaliknya beramal dan iman serta takwa dimantapkan kerana ia adalah yang dituntut oleh Allah dan rasul-Nya ke atas kita semua.

Semoga Ramadan kali ini berkemungkinan yang terakhir buat kita, akan bertambah mantap iman dan takwa dengan disempurnakan Rukun Islam dan Rukun Iman serta jangan beribadat kerana mengharapkan syurga kerana ketentuan syurga-neraka itu adalah hak Allah.

Namun, beribadatlah, mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa, membayar zakat dan tunaikan haji serta percaya kepada Allah, Rasul, Kitab, Malaikat, Qada’ dan Qadar dan Hari Kiamat kerana Allah SWT menilai atas sifat kita sebagai hamba-Nya.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: