Nikmat di sebalik Puasa Ramadhan

 

Ramadan datang lagi dan bulan yang mulia ini hanya datang sekali setahun. Setiap individu Muslim mukmin menyambut ketibaannya dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah SWT menawarkan dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna.

Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik para hafiz al-Quran untuk membimbing solat tarawih, mengadakan tadarus al-Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadilat Ramadan, qiamullail dan sebagainya.

Segala macam program ini menarik minat jemaah untuk memenuhi ruang masjid dan surau. Mereka yang jarang datang ke masjid dan surau turut hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan penuh keberkatan dan melembutkan hati sesiapa sahaja yang ikhlas mencari kebajikan dan pahala.

Dengan atur cara yang padat ini,boleh katakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan itu. Sebenarnya, segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan Ramadan.

Namun secara khususnya, difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh, sihat tubuh badan dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ia halal.

Terapi baharu

Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikannya sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar diatasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan.

Dalam kalangan pengamal perubatan moden menganggap ia merupakan penemuan terapi baharu. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Hal ini dijelaskan oleh Henry G. Bieler dalam bukunya, Food Is Your Best Medicine. Namun demikian, sungguhpun puasa itu hebat fungsinya, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.

Dalam Islam, puasa Ramadan setiap tahun melatih penganutnya supaya kesihatan sentiasa terkawal. Perkara ini pernah dibahaskan dalam Kongres Antarabangsa di Casablanca Maghribi pada 1996 bertemakan Kesihatan dan Ramadan. Penemuan kongres ini bersepakat merumuskan bahawa puasa adalah satu mekanisme penuh berpotensi mencegah dan menyembuh pelbagai penyakit.

Nafsu perut

Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya Ihya ‘Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.

Perspektif al-Ghazali menjawab kesalahan tanggapan umum dengan mengambil makanan banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga, terutamanya ketika berbuka. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau. (rujuk al-A’raf: 31)

Secara amalinya, Nabi SAW memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal mengatasinya kerana dorongan ingin “balas dendam” disebabkan berlapar sepanjang hari.

Ditambah pula, bazar Ramadan menawarkan beraneka juadah makanan, kadang-kala membuatkan hilang pertimbangan kerana desakan perut kosong dan dahaga. Begitu juga hotel dan restoran berlumba-lumba mempromosikan bufet Ramadan.

Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulen dan serat buah. Di kala ini, kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok. Malah kebanyakan ulama memfatwakan merokok adalah haram. Kesilapan atau kealpaan kita mengambil makanan atau minuman yang tidak menepati syariah akan merosakkan ibadah puasa sepanjang hari.

Selain itu, Ramadan turut menekankan ketepatan pengurusan masa, termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjemaah dan membanyakkan membaca al-Quran.

Nikmat cabaran

Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya.

Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadan harus diperbetulkan. Kemeriahan Syawal hanyalah bagi mereka yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadan dengan menunaikan segala tawaran daripada Allah SWT. Bukannya mengejar Syawal sehingga terpinggir Ramadan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan.

Sekiranya, cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, namun generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi tetap cemerlang. Hakikat kecemerlangan ini terbukti dengan kemenangan tentera pimpinan Nabi SAW dalam perang Badar di bulan Ramadan. Kehebatan ini diteruskan di bulan Syawal iaitu dalam perang Ahzab dan Hunain. Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap.

Amalan berpuasa terutamanya di bulan Ramadan adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan penyakit fizikal manusia akibat mengejar nilai kebendaan yang tiada kesudahan. Penyakit moden hari ini boleh dikesan daripada kegagalan mengawal krisis mental dan rohani kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan tersepit di celah-celah krisis kehidupan.

Akibatnya fizikal manusia juga menjadi mangsa melalui pelbagai penyakit yang menimpa. Bagi yang menemui keberkatan bulan Ramadan, puasa akan menjadi modul tetap kehidupan bagi bulan-bulan seterusnya kerana kemampuannya memberi kekuatan, kesihatan pada rohani dan jasmani manusia.

Advertisements

Satu Respons

  1. Bismillah : mohun utk menhantar anak lelaki sy mendalami ilmu Quran di sin: umur 6 tahun : mohun bimbinggan tuan guru :

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: