• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,374 orang
  • Tetamu Online

Daftar baru Dibuka Mulai 16 Ogos 2014

Makluman bahawa daftar bagi sesi baru 1435/1436H akan bermula pada Sabtu 20 Syawal 1435H bersamaan 16 Ogos 2014M

 

 

 

Tazkirah Audio 1435H – Ustaz Mohd Fuad Melaka

Khutbah Aidilfitri 1435H

KhutbaH Aidilfitri 1435H

خطبة عيد الفطري 1435

Mengejar Lailatul Qadar penuh semangat

ALLAH SWT mengurniakan malam Lailatulqadar sebagai anugerah yang amat bernilai bagi kaum muslimin. Dinamakan Lailatulqadar kerana pada malam itu malaikat diperintahkan oleh Allah SWT untuk menuliskan ketetapan tentang kebaikan, rezeki dan keberkatan pada tahun itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar daripada sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus Rasul-rasul. (ad-Dukhan: 3-5)

Imam al-Qurtubi menyatakan, bahawa pada malam itu pula para malaikat turun dari setiap penjuru langit dan dari Sidratul Muntaha ke bumi dan mengaminkan doa-doa yang diucapkan manusia hingga terbit fajar. Para malaikat dan Jibril a.s turun dengan membawa rahmat atas perintah Allah SWT juga membawa setiap urusan yang telah ditentukan Allah pada tahun itu hingga yang akan datang.

Lailatulqadar adalah malam kesejahteraan dan kebaikan seluruhnya tanpa ada keburukan hingga terbit fajar, sebagaimana firman-Nya bermaksud: Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (al-Qadar: 4-5)

Berkaitan dengan berbagai tanda-tanda Lailatulqadar yang disebutkan beberapa hadis, ada Ulama’  mengatakan: “Semua tanda tersebut tidak dapat memberikan keyakinan tentangnya dan tidak dapat memberikan keyakinan yakni bila tanda-tanda itu tidak ada, bererti Lailatulqadar tidak terjadi malam itu, kerana Lailatulqadar terjadi di negeri-negeri yang iklim, musim, dan cuacanya berbeza-beza.

Rahsia Allah

Boleh jadi ada di antara negeri-negeri Islam dengan keadaan yang tidak pernah putus-putusnya turun hujan, pada hal penduduk di daerah lain boleh mengerjakan solat istisqa’. Negeri-negeri itu berbeza dalam hal panas dan dingin, muncul dan tenggelamnya matahari, juga kuat dan lemahnya sinarnya. Kerana itu tidak mungkin bila tanda-tanda itu sama di seluruh belahan bumi ini.” (Fiqih Puasa, hal. 177-178).

Lailatulqadar merupakan rahsia Allah SWT . Untuk itu dianjurkan agar setiap Muslim mencarinya pada 10 malam terakhir, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Carilah dia (Lailatulqadar) pada 10 malam terakhir di malam-malam ganjil. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Said bahawa Nabi SAW menemui mereka pada pagi ke-20, lalu Baginda SAW berkhutbah. Dalam khutbahnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku diperlihatkan Lailatulqadar, kemudian aku dilupakan atau lupa, maka carilah ia pada 10 malam terakhir, pada malam-malam ganjil. (riwayat Muttafaqun ‘Alaih)

Bermimpi

Pencarian malam Lailatulqadar ditekankan lebih-lebih lagi pada tujuh malam terakhir bulan Ramadan sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar, bahawa beberapa orang daripada sahabat Rasulullah SAW bermimpi tentang Lailatulqadar pada tujuh malam terakhir. Menanggapi mimpi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Aku melihat mimpi kamu bertemu pada tujuh malam terakhir. Kerana itu barang siapa hendak mencarinya maka hendaklah ia mencari pada tujuh malam terakhir.

Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Carilah ia pada 10 malam terakhir. Jika salah seorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah ia dikalahkan pada tujuh malam terakhir. (riwayat Muslim, Ahmad dan at-Tayalisi)

Oleh kerana tidak ada yang mengetahui bilakah jatuhnya Lailatulqadar itu kecuali Allah SWT, maka cara yang terbaik untuk meraihnya adalah beriktikaf pada 10 malam terakhir sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Wallahu’alam

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140724/ba_04/Malam-penuh-kesejahteraan#ixzz38QQm32iN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Syukuri nikmat sihat

 

SEBAGAI manusia kita kadang-kala terlupa betapa banyak dan besarnya nikmat Allah SWT di dunia ini, terutama di bulan Ramadan untuk kita memanfaatkannya. Hal ini disebabkan oleh kesibukan kita mengejar harta dan kekayaan dunia. Sebagai umat Islam kita diingatkan supaya sentiasa mensyukuri segala nikmat Allah SWT yang dianugerahkan kepada kita.

Antara nikmat kepada umat Islam yang paling besar ialah nikmat Islam dan nikmat iman. Dengan Islam dan beriman kita dapat berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan pahala dan keberkatan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang maksudnya: Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah cahaya dan kitab yang terang. Dengan itulah Allah memimpin siapa yang mahu mengikut keredaan-Nya ke jalan perdamaian dan dikeluarkan-Nya kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpin-Nya ke jalan yang lurus. (al-Maidah:15-16)

Melalui al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan dan as-Sunnah, umat Islam dapat mencari petunjuk hidup, bagi pembentukan akhlak dengan keimanan kepada-Nya. Segala-galanya adalah nikmat yang tidak terkira dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Nikmat yang paling besar adalah nikmat sihat. Apabila seseorang itu sihat tubuh badannya semua ibadah dan kerja boleh dilakukan dengan mudah dan senang. Nikmat sihat juga menjadikan kita dapat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna.

Sebagai umat Islam yang diberi akal dan fikiran melalui hati dan perasaan, mengapa kita tidak belajar menikmati sesuatu yang kecil yang sangat banyak terdapat di sekitar kita? Jika kita selalu memikirkan dan merasainya kita akan berasa betapa besarnya nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada kita.

Betapa banyaknya nikmat yang dianugerahkan oleh Allah, antaranya nikmat akal, nikmat hati, nikmat umur, nikmat rezeki, nikmat sihat, nikmat masa, nikmat kebahagiaan, dan nikmat ketenangan jiwa. Segala-galanya bertujuan menyempurnakan tingkat kepatuhan kepada Allah SWT.

Orang terkaya

Hukamak pernah berkata, “Kelemahan hidup melemahkan jiwa, kesusahan hidup mencerdaskan fikiran, pujian menjatuhkan martabat, celaan menyedarkan diri dan syukur mendatangkan tambahan nikmat. Apabila seseorang itu telah reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya, maka dia akan menjadi orang yang terkaya di dunia.”

Kenikmatan yang terapung dan terbesar adalah kenikmatan yang membawa kepada kenikmatan akhirat. Oleh sebab itu, perbuatan seseorang mukmin harus dibalas dengan pahala dan merasakan kenikmatan.

Ia akan diberi pahala dalam makan, minum, berpakaian, tidur, berjaga dan dalam perkahwinannya jika disertai niat ikhlas mencari reda Allah. Apa lagi jika dia menikmati keimanannya, ibadahnya, kerinduannya kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam harus bersyukur kepada-Nya.

Ada juga kenikmatan dunia yang tidak membawa apa-apa, bahkan menghalang seseorang itu untuk memperoleh kenikmatan di akhirat. Ini adalah kelazatan dan kenikmatan dunia yang harus. Kenikmatan seperti ini waktunya sangat singkat dan seharusnya seseorang itu mencari sesuatu yang lebih bermanfaat. Antara kenikmatan inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap mainan dan kesenangan yang di nikmati seseorang adalah batil, kecuali memanah, melatih kudanya dan bermesra dengan isterinya, kerana semua ini adalah benar” (riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Tentang kesyukuran Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. (Ibrahim: 7)

Jelaslah, dapat difahami bahawa Allah akan mengagungkan ilmu, menambah pemahaman, memberkati rezeki, memberikan pertolongan, dan memperbanyak kebaikan atas diri anda.

Selanjutnya dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Dia menyempurnakan untukmu nikmat-Nya zahir dan batin. (Luqman: 20)

Ini bermaksud termasuk nikmat yang khusus dan umum yang berkaitan dengan urusan dunia dan akhirat, keluarga dan harta dan yang berkaitan dengan potensi, jiwa dan raga.

Keredaan-Nya

Oleh itu, segala nikmat pancaindera ini hendaklah dijaga agar tidak disalah gunakan yang membawa kepada yang haram. Umat Islam juga diminta menjaga aurat atau kehormatan daripada melakukan segala macam larangan Allah SWT terutamanya di bulan Ramadan.

Dalam sebuah hadis daripada Abi Yahya Shuhaib Bin Sinan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sungguh baik nasib orang yang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan yang baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya dan apabila ditimpa musibah, maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya. (riwayat Muslim)

Kesimpulannya, kita umat Islam seharusnya mensyukuri nikmat Allah, terutamanya di bulan Ramadan. Antara nikmat yang paling besar adalah nikmat kesihatan. Justeru, sama ada nikmat kecil atau nikmat yang besar dalam bulan Ramadan dan bulan-bulan lain kita wajar bersyukur atas nikmat itu dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredaan Allah SWT, baik untuk kegunaan dirinya sendiri atau orang lain sebagai sedekah atau pertolongan kepada mereka

Ibadat terjemah kasih sayang kepada Ilahi

Abu Hurairah berkata: “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Allah menjadikan perasaan belas kasihan sebanyak 100 bahagian. Allah menyimpan 99 bahagian untuknya dan menurunkan satu bahagian saja ke bumi. Daripada satu bahagian itulah makhluk ciptaan Allah saling berkasih sayang, sehingga seekor haiwan mengangkat kakinya kerana bimbang terpijak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah ada 100 perasaan belas kasihan.

Dia menurunkan satu belas kasihan saja kepada jin, manusia, haiwan dan serangga. Dengan satu belas kasihan itulah mereka saling menyayangi dan mengasihani antara satu sama lain. Dengan satu belas kasihan itu juga haiwan buas menyayangi anaknya. Allah menangguhkan 99 lagi perasaan kasihan bagi mengasihani hamba-Nya pada hari kiamat nanti.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sentiasa bersyukur
Nikmat, rahmat dan kebahagiaan hidup dinikmati manusia hanyalah satu daripada 100 kasih sayang Allah SWT. Maka, bayangkan bagaimana keadaan manusia jika Allah SWT mencurahkan semua kasih sayang serta belas kasihan-Nya.

Justeru, hendaklah umat manusia bersyukur dengan kasih sayang Allah SWT dan sentiasa menterjemahkan perasaan itu melalui amal perbuatan seharian. Andainya ada antara kita melakukan dosa kepada Allah SWT, bertaubatlah kerana belas kasihan Allah SWT amat luas.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai hambaku yang melampaui batas kepada diri sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan setiap dosa. Sesungguhnya Dia-lah juga yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)
Umat Islam diingatkan supaya bersegera bertaubat apabila menyedari diri melakukan kesalahan dan jangan sekali-kali beranggapan Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa kerana Allah SWT suka kepada hamba-Nya memohon ampun.

Sentiasa terima taubat

Abu Musa berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi menghulurkan tangan-Nya pada waktu malam bagi menerima taubat orang yang berdosa pada waktu siang dan menghulurkan tangan-Nya pada waktu siang bagi menerima taubat orang yang berdosa pada waktu malam. Sehinggalah matahari terbit dari arah barat iaitu saat berlakunya kiamat.” (Riwayat Muslim)

Perbanyakkan Doa di bulan Ramadhan

TIDAK dinafikan betapa manusia sentiasa dibebani dengan masalah dalam kehidupan. Tidak kira setinggi mana pun martabatnya di sisi Allah SWT, ia pasti berhadapan dugaan dan cabaran kehidupan. Malah semakin hampir hamba kepada Tuhan-Nya, semakin hebatlah ujian dan dugaan yang terpaksa ditempuhi bagi menilai sejauh mana keimanan yang berjaya disematkan dalam kalbu seseorang. Perkara ini jika diteliti merupakan antara ujian dan cabaran yang bakal dilalui oleh setiap insan yang ingin mendekatkan diri kepada Ilahi.

Dalam konteks manusia biasa lain pula, kerenah dan ujian yang terpaksa ditempuhi, yang tidak mampu dibilang dengan jari dan kadang-kadang belum pun selesai satu masalah, masalah yang lain pula menimpa diri.

Persoalannya, mengapa tidak kesempatan Ramadan dipergunakan dengan sebaik mungkin untuk mengadu hal dan bermunajat kepada-Nya yang mutlak berkuasa menjadikan sesuatu masalah dan berkuasa mutlak untuk memberikan penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

Mengapa tidak hari-hari Ramadan dipenuhi dengan berdoa yang sebenarnya merupakan amal ibadah yang dituntut. Dalam hal ini, perlu juga disedari betapa manusia merupakan makhluk yang kerdil lagi lemah dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Baik masalah peribadi, masalah rumah tangga dan anak-anak, masalah di tempat kerja, masalah dengan jiran tetangga, malah yang lebih menakutkan lagi ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT.

Jika diteliti lagi, Ramadan dan berdoa mempunyai perkaitan yang sangat rapat memandangkan ayat berkenaan adalah janji Allah SWT untuk memperkenankan doa makhluknya digandingkan dalam ayat yang menjelaskan tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadan serta hukum-hakam yang bersangkutan dengannya.

Perlu difahami betapa sesuatu masalah kadang-kadang terjadi disebabkan oleh diri sendiri. Contohnya, seseorang yang dengan sengaja tidak mengerjakan solat lima waktu atau enggan berpuasa di bulan Ramadan, pasti akan berhadapan dengan masalah ketika dihisab di hari kemudian, yang mana itu berlaku atas pilihan sendiri. Dan yang pasti, Allah SWT tidak pernah menzalimi sesiapa untuk menghukum sesuai dengan apa yang pernah dilakukan.

Yang lebih membimbangkan ialah masalah untuk bertemu dengan Allah SWT dan berhadapan dengan proses timbangan amal sebagai neraca penentuan, sama ada diberi nikmat ataupun balasan azab oleh-Nya.

Oleh itu, dengan berdoa dan sering bermunajat kepada Allah SWT moga-moga segala kekusutan dan kebimbangan ini akan terlerai dek kerana dekatnya hamba dengan Pencipta.

Dalam pada berdoa, terdapat beberapa adab yang selayaknya dipatuhi agar diterima di sisi Allah SWT dengan sempurna. Antaranya;

1 Mengangkat tangan ketika berdoa seperti perlakuan Nabi SAW sehingga kelihatan putih ketiaknya ataupun mengangkat tangan selari dengan kedua-dua belah bahu. Jika terdapat hal yang mendesak, maka bolehlah diangkat lebih daripada itu kerana beramal dengan sunnah Rasulullah SAW.

2 Setelah selesai berdoa, bolehlah disapukan kedua-dua belah tangan ke muka.

3 Setiap doa hendaklah dimulakan dengan ucapan alhamdulillah sambil memuji-muji kebesaran-Nya. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: “Apabila seseorang antara kamu berdoa, maka hendaklah dimulai dengan mengucap syukur kepada Allah SWT sambil memujinya, kemudian hendaklah berselawat atas Nabi Muhammad SAW lalu diiikuti dengan memohon sebarang doa.” (riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmizi)

4 Kemudian berdoalah dengan khusyuk sambil bersangka baik kepada Allah SWT yang Maha mendengar lagi Maha memperkenankan segala doa. Ini disertai dengan perasaan takut kepada kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana Allah SWT tidak menerima doa dalam keadaan yang lalai.

5 Boleh juga doa tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Ibnu Mas’ud yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila berdoa, berdoa sebanyak tiga kali, dan apabila meminta kepada Allah SWT Baginda juga meminta sebanyak tiga kali. (riwayat Muslim)

6 Pintalah segala hajat sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi. Usah berdoa untuk keburukan dan kecelakaan orang lain. Seelok- eloknya diganti dengan doa-doa yang baik, semoga beroleh hidayah dan petunjuk daripada-Nya. Nabi Muhammad SAW pernah dibaling dengan batu oleh kanak- kanak semasa berdakwah di Taif hingga berdarah kakinya yang mulia, namun Baginda tetap mendoakan mereka dengan kebaikan.

Justeru, adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan keluarga, ibu bapa, jiran tetangga, dan kaum Muslimin seluruhnya. Berdoa supaya diampunkan dosa, diterima segala amal agar layak menempati syurga-Nya adalah antara doa yang baik untuk dilafazkan.

7 Selain itu, hendaklah berdoa dalam keadaan menghadap ke arah kiblat kerana sebaik-baik perhimpunan adalah dengan menghadap kiblat. Ini dikecualikan kepada imam yang berdoa setelah selesai solat berjemaah, yang mana dia disunatkan menghadap ke arah makmum, sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad SAW yang menghadap ke arah para sahabat.

8 Eloklah seseorang yang berdoa berada dalam keadaan berwuduk sambil banyak beristighfar dan bertaubat.

Berdoa dalam hati adalah lebih baik berbanding doa yang dilafazkan secara terang-terangan kerana hal ini lebih dekat kepada keikhlasan dalam berdoa.

9 Makruh jika berdoa dengan suara yang terlalu kuat. Malah jika berdoa setelah selesai solat berjemaah di masjid, imam hendaklah memperhatikan jemaah yang kemungkinan masbuq atau baru memulakan sembahyang yang kemungkinan terganggu dengan bacaan doa yang terlalu kuat.

10 Digalakkan juga bertawasul dengan nama-nama Allah SWT Yang Maha Agung, selain doa disertai dengan banyak bersedekah serta memilih waktu-waktu yang sesuai lagi mustajab untuk berdoa.

11 Pilihlah doa-doa yang pernah dibacakan oleh Nabi SAW kerana logiknya doa tersebut mustajab di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan apabila kita menyebutnya turut diperkenankan oleh Allah SWT. Ingatlah betapa doa adalah senjata Mukmin, gunakalah senjata tersebut dengan sentiasa menyandarkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.

3 elemen hidupkan ibadah Ramadan

Muhamad Aizuddin Kamarulzaman
Ramadan datang dan pergi, namun pernahkah kita menyemak keberkesanan Ramadan pada jasad dan rohani kita? Apakah nafsu masih tidak mampu dijinakkan? Apakah amukannya masih buas dan liar? Apakah segala peluang dan tawaran keemasan terlepas dan terbiar begitu saja?

Jawapannya hanya kita yang mampu menjawabnya. Sekiranya Ramadan masih lagi tidak mampu membawa perubahan kepada kita, ingatlah pada satu ancaman yang maha dahsyat. Hal ini dirakamkan melalui mutiara hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Rasulullah SAW mengaminkan tiga kali doa yang dibacakan oleh Jibril. Salah satu doanya adalah sangat rugilah seseorang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.
Ramadan dihidupkan melalui tiga elemen yang akan menghasilkan roh bagi Ramadan. Ketiga-tiga elemen ini adalah siyam (puasa), qiyam (solat malam) dan al-Quran. Tanpa ketiga-tiga ini, Ramadannya menjadi sia-sia.

Lalu, apakah kita termasuk dalam golongan ini? Apakah kekesalan Ramadan yang lalu telah dibaiki pada Ramadan kali ini? Semuanya berada di tangan kita. Bermujahadalah, usah mengalah di pertengahan jalan mujahadah.

Setiap jasad yang bernyawa pasti memiliki roh. Tanpa roh, jasad yang hidup akan terus lemah dan tidak bernyawa. Begitu jugalah dengan bulan Ramadan. Ramadan yang hidup mesti memiliki rohnya. Tanpa rohnya, Ramadan akan menjadi kendur.

Ramadan jadi sia-sia

Ramadan dihidupkan melalui tiga elemen yang akan menghasilkan roh bagi Ramadan. Ketiga-tiga elemen ini adalah siyam (puasa), qiyam (solat malam) dan al-Quran. Tanpa ketiga-tiga ini, Ramadannya menjadi sia-sia.
Keberkesanan Ramadan berbeza pada setiap orang. Ia bergantung pada tahap kita berusaha dan kemampuan menahan kesulitan untuk mendapatkan rahmat, pengampunan dan keberkatannya.

Andaikan Ramadan ini Ramadan yang terakhir kerana tiada sesiapa mampu memberi jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadan akan datang.

Apakah Ramadan kita kali ini sudah benar-benar berkesan? Apakah kita benar-benar boleh memperoleh takwa selepas tarbiah Ramadan? Apakah ada jaminan dosa-dosa kita sudah diampunkan?

Semaklah kembali amalan kita pada Ramadan kali ini. Pastikan Ramadan ini melayakkan kita memakai pakaian takwa, hadiah yang dijanjikan oleh Allah sejak dulu. Bukan lagi lapar dan dahaga serta-merta seperti yang diterima sekian dulu.

Tazkirah Audio – Ustaz Hj Ahmed Khairi

Memanfaat 10 hari terakhir Ramadan

Zamanuddin Jusoh
Beriktikaf, solat sunat, membaca al-Quran sangat dituntut hubungan dengan Allah SWT

Terlalu pantas masa berlalu dan antara sedar atau tidak, kita sudah melepasi fasa pertama serta kedua dalam menjalani ibadah puasa. Maknanya, kita sudah menempuh kepada 10 terakhir Ramadan. Sudahkah berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap ketakwaan dalam erti kata sebenar?

Jika tempoh itu belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, maka masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah keredaan dan ketakwaan itu. Justeru, hari-hari terakhir Ramadan perlu direbut dan digunakan supaya kita tidak ketinggalan mendapat manfaat berganda dalam meniti pemergian Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan di dalamnya ada Lailatulqadar, malam lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya maka ia diharamkan mendapatkan kebaikan seluruhnya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali ia benar-benar terhalang.” (Al-Hadis)

Sesungguhnya, panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan tinggi dan bernilainya detik terakhir Ramadan yang sedang kita lalui ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai melaksanakan ibadah pada saat-saat Ramadan kian melabuhkan tirainya.

Maka rugilah mereka yang meninggalkan Ramadan tanpa mendapat apa-apa ganjaran ataupun keampunan daripada Allah SWT. Justeru, kita perlu memastikan momentum peningkatan kebaikan dan amal soleh sentiasa menjadi perhatian. Itulah tugas dan kesibukan orang yang bertakwa.

Apatah lagi apabila memasuki sepuluh terakhir bulan Ramadan. Janganlah dibiarkan prestasi Ramadan setakat ini mempengaruhi prestasi pada 10 terakhir Ramadan. Baginda SAW telah menampakkan perbezaan dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Daripada Ummul Mukminin, Aisyah menceritakan keadaan Baginda SAW ketika memasuki 10 hari terakhir Ramadan, “Baginda jika memasuki 10 hari terkahir Ramadan, mengeratkan ikatan pinggangnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.”
Sebaik-baik amal

Ulama menafsirkan perkataan mengetatkan ikatan pinggang adalah simbolik kepada seriusnya Baginda SAW ketika menerima 10 malam terakhir Ramadan. Perubahan itu disebabkan amalan perbuatan manusia tergantung pada penutupan atau akhirnya.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah pada penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana saya berjumpa dengan-Mu kelak.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

Baginda SAW bersabda: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan di dalamnya ada Lailatulqadar, malam lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya maka ia diharamkan mendapatkan kebaikan seluruhnya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali ia benar-benar terhalang.” (Al-Hadis)

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan masih belum terlewat untuk memperbaikinya.

Oleh itu, marilah kita memerhati beberapa perkara yang akan mendekatkan kita kepada Lailatulqadar, antaranya memahami perkara sebenar yang berlaku pada malam Lailatulqadar dengan membaca surah al-Qadar dan tafsirannya.

Menghafal segala doa berkaitan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mengurangkan pengambilan makanan supaya dapat bangun dan bersedia untuk beribadah. Kita juga hendaklah melahirkan tenaga dari minda dan psikologi dengan mengenakan pakaian terbaik serta berwangian bagi menerima tetamu daripada kalangan malaikat yang turun meraikan Lailatulqadar.

Ibnu Jarir meriwayatkan, Rasulullah SAW mandi dan membersihkan diri, merapikan pakaian serta memakai wangi-wangian menjelang waktu Isyak selama 10 hari terakhir Ramadan dengan harapan memperoleh Lailatulqadar.

Curahkan sepenuh takwa

Putuskan hubungan dengan dunia buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada hubungan dengan Allah SWT. Pilihlah satu ruang di masjid atau di rumah untuk kita bersendirian dengan semua kelengkapan supaya sentiasa berada di situ pada masa yang lama.

Kesimpulannya, kita hendaklah memahami bahawa keampunan Allah SWT akan hadir pada bila-bila masa saja. Apa yang penting adalah berbaik sangka dengan Allah SWT serta mencurahkan sepenuh hati dan perasaan kita kepada-Nya.

Lailatulqadar akan dapat dikecapi pada 10 terakhir dan keberhasilannya adalah bergantung sejauh manakah usaha yang ditampilkan untuk sampai kepadanya. Janganlah diabaikan keluarga dan anak-anak untuk berqiyam walaupun sekejap.

Janganlah kita menunggu sehingga malam terakhir untuk bermujahadah dan jangan terlepas malam itu hanya dengan kebetulan. Pelbagaikan ibadat dengan menyusun zikir, doa dan pelbagaikan solat supaya perasaan letih dan mengantuk dapat dikurangkan.

Ingatlah bahawa kunci segala kejayaan pada 10 terakhir Ramadan adalah kesabaran. Tanamkan perasaan ghairah dalam jiwa kita bahawa ganjaran besar akan menanti dan syurga mestilah dibayar dengan harga yang tinggi.