Fenomena ‘pelik’ Ramadhan

PEJAM dan celik, dijangka kurang tiga hari lagi tibalah bulan yang penuh keberkatan dan dijanjikan ganjaran yang tidak ternilai oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam iaitu bulan Ramadan.

Bagi mereka yang beriman, pasti akan teruja menantikan kunjungan bulan yang mulia itu dan tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk mempelbagaikan amalan bagi menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik berbanding sebelumnya.

Pelbagai persiapan termasuk daripada segi mental dan fizikal dilakukan dalam usaha mengharungi cabaran ibadah, di samping menahan diri daripada lapar dan dahaga sepanjang bulan yang diwajibkan berpuasa bagi umat Islam itu.

Lazimnya pada bulan ini juga dilihat tidak kira individu mahupun pertubuhan akan bergerak aktif meningkatkan amalan dengan cara tersendiri seperti memperbanyakkan amal ibadah, memperluaskan sedekah dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ramadan pada tahun ini diharap dapat dijadikan penyuntik semangat sebagai langkah permulaan dalam meneruskan amal ibadah sebelum memasuki bulan-bulan seterusnya.

Pendakwah bebas, Muhammad Luqman Mukhtar berkata, ini kerana amalan Ramadan terbaik dinilai bukanlah pada sepanjang bulan tersebut sahaja tetapi dilihat daripada amalan yang dibawa selepas sebulan mengharungi Ramadan.

Menurut pemerhatian beliau yang juga kolumnis majalah, fenomena ‘pelik’ yang lazimnya berlaku kepada umat Islam pada bulan itu juga perlu ditamatkan daripada terus berulang dan menjadi tabiat bagi umat Islam.

“Sebelum Ramadan, kita membaca al-Quran dua, tiga hari sekalipun belum tentu. Berpuasa sehari sebulan pun berkira-kira. Solat witir satu rakaat sebelum tidur pun susah, apa lagi dua rakaat solat malam nanti.

“Namun semasa Ramadan, tiap-tiap hari membaca al-Quran, malah menetapkan sebulan ini mesti khatam 30 juzuk, 604 muka surat. Tiap-tiap hari menahan lapar dan dahaga, biasa sahaja, dan berpuluh-puluh rakaat solat malam mampu dilakukan.

“Dan lebih pelik, kerana selepas Ramadan, kita menjadi seperti sebelum Ramadan semula. Tiada lagi amalan itu dan ini pada setiap hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu terus berulang pada setiap tahun kerana matlamat serta falsafah sebenar diperintahkan berpuasa tidak dihayati, sebaliknya hanya menginginkan ganjaran pahala berlipat kali ganda semata-mata.

“Kita perlu sedar, matlamat sebenar di sebalik puasa Ramadan ialah takwa, bukan pahala semata-mata. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang Mukmin, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas kaum sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

“Oleh itu, orang bertakwa adalah orang yang sentiasa mengumpul bekalan amal soleh pada setiap waktu demi bertemu Ilahi. Bukannya bermusim atau pada masa tertentu dengan harapan mengumpul ganjaran untuk setahun,” ujarnya.

Pilih golongan kedua

Dalam pada itu, beliau membahagikan umat Islam yang melihat Ramadan kepada dua golongan iaitu yang memfokuskan amalan hanya pada bulan Ramadan dan mereka yang memfokuskan Ramadan sebagai permulaan untuk bulan seterusnya.

Kedua-dua golongan itu katanya, diterima ganjarannya oleh Allah SWT jika dilakukan dengan ikhlas, namun sebagai umat Islam perlu mengambil peluang Ramadan dengan memilih dalam kalangan golongan kedua.

“Ramadan adalah hadiah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam dengan ganjaran berganda sebagai pemangkin semangat untuk beribadah dan berubah. Tidak perlu terlalu berat melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan, tetapi ditinggalkan selepas Ramadan.

“Sebaliknya kita perlu meletakkan azam Ramadan kita adalah apa yang ingin jadi selepas Ramadan. Baru kita boleh merancang Ramadan. Ini kerana kajian menunjukkan, sesuatu perkara jika dibiasakan dalam tempoh tempoh 30 hari boleh menjadi tabiat.

“Sebagai contoh kalau nak buang tabiat merokok adalah puasa cara terbaik. Begitu juga amalan lain seperti solat berjemaah, bersedekah dan lain-lain,” jelasnya.

Luqman berkata, dalam usaha mencapai sasaran menjadi golongan kedua, umat Islam perlu melakukan perancangan strategik yang lebih berbentuk kuantitatif berbanding kualitatif.

Kuantitatif katanya, adalah amalan yang boleh diukur dengan kaedah hitung berbanding amalan yang hanya berkonsep teori atau subjektif.

“Membuat jadual atau meletakkan nombor yang ingin kita capai adalah kaedah terbaik yang boleh diukur untuk berubah. Sebagai contoh meletakkan sasaran berapa banyak nilai yang ingin didermakan atau jumlah helaian al-Quran yang ingin dibaca.

“Manakala kaedah kualitatif juga boleh dilakukan tetapi sukar diukur dan dikhuatiri kita mudah rasa berpuas hati. Sebagai contoh sasaran untuk menjadi lebih penyabar. Sasaran yang berbentuk subjektif ini sukar untuk dinilai tahap keberkesanannya,” katanya.

Justeru, gelaran bulan Ramadan sebagai madrasah (sekolah) yang membentuk keimanan dan keperibadian Muslim sejati dapat direalisasikan dengan adanya perubahan selepas tamat bulan tersebut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: