Pengubatan cara Nabi yang utama

IBRAHIM ABDULLAH

SESUNGGUHNYA perkembangan dunia medik berjalan seiring dengan arus kapitalisme global dan modenisasi yang kian sulit dikendalikan. Namun perkembangan jenis penyakit juga kian bertambah.

Sementara itu ramai kalangan manusia yang tidak menyedari bahawa ALLAH SWT juga tidak pernah menciptakan manusia tanpa adanya penyakit dan ubatnya.
Setiap kali penyakit muncul, pasti ALLAH menciptakan ubatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah ALLAH SWT menurunkan suatu penyakit, melainkan Dia turunkan penyembuhnya (ubatnya). (Riwayat Bukhari dan Ibnu Majah).

Faktanya, memang ada manusia mengetahui dan ada tidak mengetahuinya. Kenyataan lain yang harus disedari oleh manusia, apabila ALLAH SWT dan Rasul-Nya secara jelas dan tegas menetapkan suatu penjelasan, termasuk dalam memberikan petunjuk pengubatan.

Bukan sahaja petunjuk tentang kehidupan dan tata cara ibadat kepada ALLAH, tetapi juga memberikan banyak petunjuk praktis yang dapat digunakan untuk menjaga keselamatan lahir dan batin, termasuk berkaitan dengan terapi, pengurusan penyakit atau pengubatan secara holistik.

Petunjuk praktis dan kaedah medik tersebut sangat banyak dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan diajarkan kepada para sahabatnya. Bagi kaum Muslimin, dapat mengembangkan menjadi suatu sistem dan metod pengubatan yang tiada tandingan, di situlah akan terlihat hubungan erat antara sistem pengubatan Ilahi dengan sistem pengubatan manusia. ALLAH SWT menegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Telah diciptakan bagi kamu semua apa yang ada di muka bumi ini.” (Al-Baqarah : 29).

Ilmu pengubatan berserta segala media dan perkaranya, diciptakan oleh ALLAH tidak hanya untuk kaum Muslimin, tetapi kepentingan seluruh umat manusia.

Ingatlah Islam adalah agama dan ideologi yang sempurna, dibawa oleh Rasulullah SAW bukan hanya kepada orang sihat, tapi yang sakit. Maka cara pelaksanaannya juga disediakan.

Untuk itu, sudah seharusnya kaum Muslimin menghidupkan kembali kepercayaan terhadap berbagai jenis ubat (madu, habatussauda, zaitun dan lain-lain) serta metod pengubatan (al-Quran, berbekam, ruqyah dan lain-lain) yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sebagai metod terbaik untuk mengatasi berbagai macam penyakit.
Namun, tentu semua jenis pengubatan dan ubat-ubatan tersebut hanya terasa khasiatnya bila disertai dengan keyakinan.

Dinyatakan oleh Ulama’ terkenal: “Bahawa keyakinan adalah doa.” Dengan pengubatan yang tepat, dos yang sesuai disertai doa dan keyakinan (spiritual healing), tidak ada penyakit tidak boleh diubati, kecuali penyakit membawa kepada kematian.

Jabir ra membawakan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap penyakit ada ubatnya, maka bila ubat itu sesuai dengan penyakit akan sembuh dengan izin ALLAH SWT.” (Riwayat Muslim).

Al-Quran dan as-sunnah yang sahih sarat dengan bermacam penyembuhan dan ubat yang bermanfaat dengan izin ALLAH SWT.

Oleh itulah ulama salafus saleh, ahli kedoktoran dan pengubatan Islam, berkata: “Sesungguhnya mereka (para tabib) sepakat bahawa ketika memungkinkan pengubatan dengan bahan makanan, maka jangan beralih kepada ubat-ubatan kimia.

Ketika memungkinkan menggunakan ubat yang sederhana, maka jangan beralih menggunakan ubat yang kompleks. Mereka mengatakan setiap penyakit yang boleh ditolak dengan makanan-makanan tertentu dan pencegahan, janganlah mencuba menolaknya dengan ubat-ubatan kimia.”

Oleh itu tidak seharusnya seorang Muslim menjadikan pengubatan nabawiyyah (thibbun nabawi) sekadar pengubatan ‘tradisional’ mahupun alternatif lainnya. Sebaiknya jadikan ia sebagai cara pengubatan yang utama kerana kepastiannya datang daripada ALLAH SWT melalui lisan Rasulullah SAW.

Sementara pengubatan dengan ubat-ubatan kimia (pengubatan cara Barat), boleh sahaja manusia menggunakannya sebagai pelengkap dan pendukung pengubatan, namun kepastiannya tidak seperti kepastian yang didapatkan dengan thibbun nabawi (pengubatan cara Rasulullah SAW). Pengubatan yang diajarkan oleh Nabi SAW diyakini kesembuhannya kerana bersumber daripada Ilahi.

Berkaitan dengan kesembuhan suatu penyakit, seorang hamba tidak boleh bersandar semata-mata dengan pengubatan tertentu, dan tidak boleh meyakini bahawa ubatlah yang menyembuhkan sakitnya. Seharusnya ia bersandar dan bergantung kepada ALLAH SWT, yang memberikan penyakit dan menurunkan ubatnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: