• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Fenomena ‘pelik’ Ramadhan

PEJAM dan celik, dijangka kurang tiga hari lagi tibalah bulan yang penuh keberkatan dan dijanjikan ganjaran yang tidak ternilai oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam iaitu bulan Ramadan.

Bagi mereka yang beriman, pasti akan teruja menantikan kunjungan bulan yang mulia itu dan tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk mempelbagaikan amalan bagi menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik berbanding sebelumnya.

Pelbagai persiapan termasuk daripada segi mental dan fizikal dilakukan dalam usaha mengharungi cabaran ibadah, di samping menahan diri daripada lapar dan dahaga sepanjang bulan yang diwajibkan berpuasa bagi umat Islam itu.

Lazimnya pada bulan ini juga dilihat tidak kira individu mahupun pertubuhan akan bergerak aktif meningkatkan amalan dengan cara tersendiri seperti memperbanyakkan amal ibadah, memperluaskan sedekah dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ramadan pada tahun ini diharap dapat dijadikan penyuntik semangat sebagai langkah permulaan dalam meneruskan amal ibadah sebelum memasuki bulan-bulan seterusnya.

Pendakwah bebas, Muhammad Luqman Mukhtar berkata, ini kerana amalan Ramadan terbaik dinilai bukanlah pada sepanjang bulan tersebut sahaja tetapi dilihat daripada amalan yang dibawa selepas sebulan mengharungi Ramadan.

Menurut pemerhatian beliau yang juga kolumnis majalah, fenomena ‘pelik’ yang lazimnya berlaku kepada umat Islam pada bulan itu juga perlu ditamatkan daripada terus berulang dan menjadi tabiat bagi umat Islam.

“Sebelum Ramadan, kita membaca al-Quran dua, tiga hari sekalipun belum tentu. Berpuasa sehari sebulan pun berkira-kira. Solat witir satu rakaat sebelum tidur pun susah, apa lagi dua rakaat solat malam nanti.

“Namun semasa Ramadan, tiap-tiap hari membaca al-Quran, malah menetapkan sebulan ini mesti khatam 30 juzuk, 604 muka surat. Tiap-tiap hari menahan lapar dan dahaga, biasa sahaja, dan berpuluh-puluh rakaat solat malam mampu dilakukan.

“Dan lebih pelik, kerana selepas Ramadan, kita menjadi seperti sebelum Ramadan semula. Tiada lagi amalan itu dan ini pada setiap hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu terus berulang pada setiap tahun kerana matlamat serta falsafah sebenar diperintahkan berpuasa tidak dihayati, sebaliknya hanya menginginkan ganjaran pahala berlipat kali ganda semata-mata.

“Kita perlu sedar, matlamat sebenar di sebalik puasa Ramadan ialah takwa, bukan pahala semata-mata. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang Mukmin, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas kaum sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

“Oleh itu, orang bertakwa adalah orang yang sentiasa mengumpul bekalan amal soleh pada setiap waktu demi bertemu Ilahi. Bukannya bermusim atau pada masa tertentu dengan harapan mengumpul ganjaran untuk setahun,” ujarnya.

Pilih golongan kedua

Dalam pada itu, beliau membahagikan umat Islam yang melihat Ramadan kepada dua golongan iaitu yang memfokuskan amalan hanya pada bulan Ramadan dan mereka yang memfokuskan Ramadan sebagai permulaan untuk bulan seterusnya.

Kedua-dua golongan itu katanya, diterima ganjarannya oleh Allah SWT jika dilakukan dengan ikhlas, namun sebagai umat Islam perlu mengambil peluang Ramadan dengan memilih dalam kalangan golongan kedua.

“Ramadan adalah hadiah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam dengan ganjaran berganda sebagai pemangkin semangat untuk beribadah dan berubah. Tidak perlu terlalu berat melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan, tetapi ditinggalkan selepas Ramadan.

“Sebaliknya kita perlu meletakkan azam Ramadan kita adalah apa yang ingin jadi selepas Ramadan. Baru kita boleh merancang Ramadan. Ini kerana kajian menunjukkan, sesuatu perkara jika dibiasakan dalam tempoh tempoh 30 hari boleh menjadi tabiat.

“Sebagai contoh kalau nak buang tabiat merokok adalah puasa cara terbaik. Begitu juga amalan lain seperti solat berjemaah, bersedekah dan lain-lain,” jelasnya.

Luqman berkata, dalam usaha mencapai sasaran menjadi golongan kedua, umat Islam perlu melakukan perancangan strategik yang lebih berbentuk kuantitatif berbanding kualitatif.

Kuantitatif katanya, adalah amalan yang boleh diukur dengan kaedah hitung berbanding amalan yang hanya berkonsep teori atau subjektif.

“Membuat jadual atau meletakkan nombor yang ingin kita capai adalah kaedah terbaik yang boleh diukur untuk berubah. Sebagai contoh meletakkan sasaran berapa banyak nilai yang ingin didermakan atau jumlah helaian al-Quran yang ingin dibaca.

“Manakala kaedah kualitatif juga boleh dilakukan tetapi sukar diukur dan dikhuatiri kita mudah rasa berpuas hati. Sebagai contoh sasaran untuk menjadi lebih penyabar. Sasaran yang berbentuk subjektif ini sukar untuk dinilai tahap keberkesanannya,” katanya.

Justeru, gelaran bulan Ramadan sebagai madrasah (sekolah) yang membentuk keimanan dan keperibadian Muslim sejati dapat direalisasikan dengan adanya perubahan selepas tamat bulan tersebut.

Larangan pulau saudara seagama lebih daripada 3 hari

Anas berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saudara sekalian jangan saling membenci, jangan dengki mendengki, saling tidak menghiraukan dan memutuskan hubungan. Saudara sekalian jadilah hamba Allah yang bersaudara antara satu sama lain. Orang Islam tidak dibenarkan memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebebasan hak asasi manusia yang kini terus diperjuangkan pihak tertentu sewajarnya menjentik pemikiran kita terhadap kewajipan menjaga hubungan serta silaturahim sesama manusia tidak kira latar belakangnya.
Manusia semakin penting diri

Kita perlu beringat bahawa orang lain juga mempunyai hak mereka dan ada antaranya perlu diberi oleh kita. Oleh itu, hakikat sebenarnya ialah tiada siapa memiliki hak kebebasan yang mutlak.”
Kebebasan yang dilaungkan menyebabkan manusia semakin mementingkan diri dengan menganggap mereka bebas melakukan apa saja, malah ada yang merasakan diri mereka kebal hingga tergamak melukakan pihak lain.

Justeru, dalam memenuhi kehendak diri, kita perlu beringat bahawa orang lain juga mempunyai hak mereka dan ada antaranya perlu diberi oleh kita. Oleh itu, hakikat sebenarnya ialah tiada siapa memiliki hak kebebasan yang mutlak.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis lalu diampunkan dosa setiap hamba Allah yang tidak menyekutukan Allah dengan apa sekali pun. Kecuali orang yang ada konflik dengan saudaranya, dikatakan: Tunggu sehingga mereka berdua berdamai. Tunggu sehingga mereka berdua berdamai.” (Riwayat Muslim)

Istiqamah dalam beribadah tingkat keimanan

Abdullah in Amru bin al-‘As berkata, “Rasulullah berkata kepada saya: Wahai Abdullah! Janganlah saudara menjadi seperti si fulan itu. Dulu beliau suka berdiri kerana sembahyang pada waktu malam, tetapi kini beliau meninggalkan sembahyang pada tengah malam itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dinafikan agak sukar untuk istiqamah dalam perkara baik dan kerana itu Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam supaya banyak bersabar menempuh dugaan terutama hasutan syaitan yang memang kerjanya menyesatkan manusia.
Rugi jika lalai jaga ibadah

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang diberikan Kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, hati mereka menjadi keras.” (Surah al-Hadid, ayat 16)
Sementara itu, rugilah bagi yang sebelum ini menjaga ibadah mereka, tetapi akhirnya tewas dan lalai pula dalam usaha mendapatkan ganjaran baik serta keredaan Allah SWT. Sepatutnya iman mereka semakin meningkat.

Namun, itulah ujian perlu dihadapi hamba Allah SWT dan fitrah manusia, ada masa takwa mereka berada di tahap teratas dan ada kalanya, hati seperti malas untuk menunaikan kewajipan ditetapkan agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang diberikan Kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, hati mereka menjadi keras.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

Umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan kitab diturunkan kepada Rasulnya, tetapi pada akhir usianya mula meninggalkan kewajipan ditetapkan. Alangkah ruginya kerana untuk meraih syurga Allah SWT memerlukan komitmen tinggi.
Justeru, berdoalah semoga kita sentiasa ditetapkan hati untuk melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah SWT serta terus istiqamah menunaikan ibadah kerana-Nya dan jangan sekali hati kita dibalikkan daripada mengingati Allah Yang Maha Esa.

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya

Petikan daripada Bimbingan Mukmin

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya ada enam iaitu:

1.  Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.

2.  Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.

3.  Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya:

“Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”   (al-Maaidah: 42)

4.  Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasaya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”

Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.

5.  Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya.

Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahwa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa terbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasaannya.

Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan  dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.

6.  Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.

Bayar Fidyah Tinggal Puasa

http://almalakawi.wordpress.com

Disini akan dibahaskan mereka yang wajib membayar fidyah dan mereka yang tidak wajib membayarnya dengan itu saya mulakanmereka yang wajib membayar fidyah.

Mereka yang wajib membayar fidyah kerana meningalkan puasa ialah:

1. Orang yang meningalkan puasa ramadan dengan sebab uzur dan dia ada masa mengqada’nya dan dia tidak mengqada’nya sehinga dia mati maka wajib walinya mengeluarkan tiap-tiap satu hari satu cupak makanan yang diambil dari harta peningalannya. Ahli keluarga (wali) si mati boleh mengqada’kan puasa si mati sekiranya mereka mahu dan tak perlu mengeluarkan fidyah.

Sekiranya si mati tidak mengqada’ puasanya dan telah masuk ramadan yang lain maka wajib dua fidyah, satu fidyah puasa yang tak dapat diqada’nya kerana dia dah mati, dan satu fidyah melangkau qada’nya pada ramadan yang lain, begitulah seterusnya jika puasa yang tidak diqada’ melangkau dua tahun, tiga tahun …… hukum ini berbeza dengan orang yang hidup, sila lihat no. 5. Ahli keluarga si mati boleh mengqada’kan puasa si mati sekiranya mereka mahu dan hanya perlu mengeluarkan satu fidyah sekiranya puasa yang tidak diqada’ telah diselang oleh satu ramadan.

2. Orang yang meningalkan puasa ramadan dengan tiada uzur dan tidak ada masa mengqada’kannya sebelum dia mati, maka wajib atas walinya membayar fidyah secupak makanan untuk tiap-tiap hari yang ditingalkannya. Ahli keluarga si mati boleh mengqada’kan puasa si mati sekiranya mereka mahu dan tak perlu mengeluarkan fidyah.

3. Orang yang ada puasa nazar dan dia ada masa memperbuatnya tetapi dia tidak puasa sehinga dia mati, maka wajib mengeluarkan secupak makanan bagi tiap-tiap satu hari puasa yang dinazarnya. Fidyah itu hendaklah diambil dari harta peningalannya. Ahli keluarga si mati boleh berpuasa bagi pehak si mati sekiranya mereka mahu dan tak perlu mengeluarkan fidyah.

4. Orang yang ada puasa kafarah sama ada kafarah jimak dalam bulan ramadan, kafarah zihar, kafarah sumpah, atau kafarah bunuh, sedangkan dia ada masa mengerjakan puasa itu tetapi dia tidak berpuasa sehinga dia mati, maka wajib dikeluarkan setiap puasanya itu satu cupak makanan yang diambil dari harta peningalannya. Ahli keluarga si mati boleh berpuasa bagi pehak si mati sekiranya mereka mahu dan tak perlu mengeluarkan fidyah.

5. Orang yang melewatkan qada’ puasanya sehinga masuk ramadan yang lain, wajib keatasnya mengqada’ puasanya dan mengeluarkan fidyah iaitu secupak makanan bagi tiap-tiap hari yang dilewatkan itu, sekiranya yang dilewatkan itu dua tahun, maka dua cupak, jika yang dilewatkan itu tiga tahun maka tiga cupak begitulah seterusnya.

Orang yang melewatkan qada’ puasanya sehingga masuk ramadhan yang lain hanya wajib mengqada’kan puasanya sehari jua bagi tiap hari yang ditingalkan, dan tidak perlu dia menggandakan qada’nya hanya yang diganda bilangan cupak yakni bilangan fidyah.

6. Perempuan yang hamil yang meningalkan puasa ramadan sebab takut mudarat anak dalam perut sedang tadak takut mudarat dirinya. Dia wajib mengeluarkan fidyah dan wajib qada’.

7. Perempuan meningalkan puasa ramadan sebab takut mudarat anak dengan sebab kurang susu tetapi tidak takut mudarat dirinya. Dia wajib mengeluarkan fidyah dan wajib qada’

8. Orang yang terlalu tua, wajib membayar fidyah sahaja dan tidak wajib mengqada’ puasanya, sekalipun kemudian dari itu dia boleh berpuasa.

9. Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh wajib membayar fidyah sahaja dan tidak wajib mengqada’ puasanya, sekalipun kemudian dari itu dia boleh berpuasa.

10. Orang yang berbuak puasa ramadan kerana menolong orang yang tengelam air atau lainnya maka dia wajib qada’ serta fidyah.

Jadual wajib fidyah. Sila lihat di atas lebih terperinci

Puasa atau qada’ fidyah Catatan
1. Orang yang mati ada meningalkan puasa dengan uzur ada masa qada’ Harus diqada’ oleh wali dan tidak wajib fidyah Wajib satu cupak bagi setiap sehari jika tidak dipuasakan oleh wali Harus orang lain mengqada’ puasa dengan izin wali
2. Orang mati meningal puasa dengan tiada uzur tiada masa qada’ Harus diqada’ oleh wali dan tidak wajib fidyah Wajib satu cupak bagi setiap sehari jika tidak dipuasakan oleh wali Harus orang lain mengqada’ puasa dengan izin wali
3. Orang yang mati ada puasa nazar dan ada masa berpuasa tetapi tidak puasa Harus dipuasa oleh wali dan tidak wajib fidyah Wajib satu cupak bagi setiap sehari jika tidak dipuasakan oleh wali Harus orang lain berpuasa dengan izin wali
4. Orang yang ada puasa kafarah ada masa berpuasa tetapi tidak puasa Harus dipuasa oleh wali dan tidak wajib fidyah Wajib satu cupak bagi setiap sehari jika tidak dipuasakan oleh wali Harus orang lain berpuasa dengan izin wali
5. Orang yang melewatkan qada’ puasanya Wajib qada’ puasa Wajib satu cupak bagi setiap hari mengikut tempoh kelewatan Sekira dia mati dan puasa yang dilewatkan melangkau satu ramadan wajib dua cupak
6. Perempuan yang takut mudarat anak dalam kandungan shj. Wajib qada’ puasa Wajib satu cupak bagi setiap hari
7. Perempuan yang takut mudarat anak yang disusu shj. Wajib qada’ puasa Wajib satu cupak bagi setiap hari
8. Orang yang terlalu tua tidak mampu berpuasa Wajib satu cupak bagi setiap hari Sekiranya dia boleh berpuasa kemudian nya dia tidak wajib qada’
9. Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh dan tidak mampu berpuasa Wajib satu cupak bagi setiap hari Sekiranya dia boleh berpuasa kemudian nya dia tidak wajib qada’
10. Orang yang berbuak puasa ramadan kerana menolong orang dalam bahaya Wajib qada’ puasa Wajib satu cupak bagi setiap hari

Mereka yang tidak wajib membayar fidyah kerana meningalkan puasa.

1. Orang yang meningalkan puasa ramadan dengan sebab uzur dan dia tidak ada masa mengqada’nya sehinga dia mati. Contoh tidak ada masa mengqada’, seperti dia mati selepas ramadan, atau berkekalan sakit sehinga dia mati.

2. Orang yang ada puasa nazar dan dia tidak ada masa memperbuatnya sehinga dia mati. Contoh seorang yang bernazar sekiranya dapat anak dia akan berpuasa selama tiga hari, kemudian dia pun mendapat anak dan dia mati pada keesokkan harinya atau sakit pada keesokkan harinya sehinga mati maka tidak perlu dikeluarkan fidyah kerana dia tidak ada masa memperbuatnya.

3. Orang yang ada puasa kafarah dan di tidak sempat memperbuatnya dan dia pun mati atau sakit berterusan sehinga mati.

4. Perempuan yang menyusukan anak yang takut mudarat pada dirinya atau yang takut mudarat pada dirinya dan anak yang disusuinya.

5. Perempuan hamil yang takut mudarat dirinya atau mudarat dirinya dan anak di dalam kandungannya.

6. Perempuan yang meningalkan puasa ramadan dan dia tidak dapat mengqada’nya dengan sebab menyusukan anak atau hamil sehinga berselang beberapa ramadan. Perempuan ini tidak perlu membayar fidyah dan dia hanya perlu mengqad’ puasanya sahaja. Contoh, seorang perempuan beranak sebelum ramadan dan dia tidak berpuasa kerana dia di dalam nifas, setelah ramadan darahnya berhenti dan dia sedang menyusukan anak, dalam masa dia menyusukan anaknya dia hamil dan seterusnya dia beranak, dan masuk ramadan yang lain sedangkan dia tidak mengqada’ puasanya yang telah dia tingalkan kemudian dia menyusukan anak lagi begitulah seterusnya sehinga beberapa tahun. Oleh kerana dia hamil dan menyusukan anak maka dia dikira ada uzur. Dan dia boleh (tidak berdosa) menanguhkan qada puasanya sehinga masuk ramadan yang lain

Daurah Muslimat Sempena Ramadhan 1435H

Terbuka untuk  muslimat sahaja terutama  siswi IPT dan umum
 

Tarikh : Mulai 3 Ramadhan 1435H bersamaan 1 Julai 2014M dalam jangkamasa 17 hari

Cara Daftar :

Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 17 tahun ke atas
  • RM 50 untuk ulang alik
  • RM 180 untuk yang menginap termasuk makan berbuka puasa dan sahur

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Kitab Hidayah Sibyan
  • Kitab Minhaj Abidin
  • Kitab Muhimmah
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Us Nasharudin 0199859887 -Pondok Tunjung

Layari epondok.wordpress.com

Amalan meminta maaf dan memaafkan

Nurul Nadya binti Roslaili
MAAF. Nampak mudah tetapi berapa kali dalam sehari kita mengucapkan perkataan maaf kepada orang di sekeliling kita? Dan berapa kali pula kita meminta maaf kepada Yang Maha Esa?

Adakah cukup dengan hanya lima kali selepas solat jika dibandingkan dengan dosa yang telah dilakukan?

Memohon maaf dan mengakui kesilapan bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin kerana ada yang berasa dirinya tidak salah, jadi tidak perlu minta maaf? Atau perasaan ego serta mahu menjaga maruah diri? Atau mungkin juga kerana malu jikalau kesalahan itu diketahui, jadi lebih baik diam?

Persepsi masyarakat tentang mereka yang meminta maaf selalunya merekalah yang bersalah bukan?

Sekiranya mereka tidak salah, mengapa harus minta maaf? Tanggapan sebegini seolah-olah sudah sebati dalam diri masyarakat kita. Sesiapa yang mengucapkan perkataan maaf, maka orang itulah yang bersalah.

Kognitif masyarakat sebegini harus diubah. Ketahuilah mereka yang memulakan perkataan maaf dengan saudaranya yang lain adalah seorang yang berani dan mulia. Disaat orang lain mungkin akan menganggapnya bersalah, mereka ketepikan segala rasa ego itu dan meminta maaf agar ikatan silaturrahim terus terbina.

“Saya sudah meminta maaf, tetapi dia tidak mahu maafkan saya.” Perkara ini sering kita dengar bukan? Si A sudah meminta maaf kepada si B tetapi si B tidak juga mahu memaafkannya.

Penulis faham memang sukar untuk kita memaafkan seseorang yang telah menyakiti hati ini. Tetapi ketahuilah dengan memaafkan hati pasti menjadi tenang. Bahkan, orang yang pemaaf adalah orang yang paling mulia.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Musa bin Imran as pernah berkata, “Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandanganMu? Allah swt menjawab: Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(HR Baihaqi)

Dari Muaz R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak ALLAH akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai.”(HR Abu Daud).
Islam mendidik umatnya untuk bersikap pemaaf. Salah satu sifat ALLAH ialah Maha Pengampun. Saban hari ada sahaja dosa yang kita lakukan, tetapi selagi nyawa tidak di kerongkong, ALLAH masih membuka pintu taubat kepada hambanya. Kasih sayang ALLAH tidak ternilai, Dia tetap memberi kita nafas hingga ke hari ini untuk kita bertaubat.

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun kepada hamba-NYA yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada nyata mahupun tersembunyi. Firman ALLAH SWT di dalam al-Quran:
“Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,”

Surah al-Nisa’, ayat 25

Tetapi itu kalau dosa dengan ALLAH, bagaimana pula dosa sesama manusia? ALLAH itu sifatnya Maha Mengetahui setiap apa yang ada dalam hati kita tetapi bukan manusia. Manusia tidak akan tahu apa yang saudaranya fikir selagi dia tidak memberitahu. Jadi kita haruslah berani mengakui kesilapan dan meminta maaf, buang semua rasa ego dan malu.

Jangan jadikan amalan meminta maaf suatu amalan yang bermusim sahaja. Seringkali kita lihat amalan meminta maaf ini hanya dipraktikkan ketika musim perayaan yang hanya setahun sekali. Bagaimana jika kita ditakdirkan tidak sempat untuk meraikan raya pada tahun seterusnya? Bagaimana dengan dosa yang telah dilakukan?

Amalan meminta maaf harus diaplikasikan tidak kira bila, dimana dan dengan siapa. Hakikatnya, amalan meminta maaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja. Tidak semestinya mereka yang berpangkat tinggi, akan terlepas dari melakukan kesilapan. Kita semua manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Manusia tidak sempurna melainkan ALLAH SWT.
Malah, ibu bapa juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan kepada anak-anak, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf. Apatah lagi jika sebaliknya. Tanam sifat mudah berasa bersalah terhadap apa sahaja yang belaku meskipun ianya adalah perkara remeh-temeh.
Dikisahkan tentang Rasulullah SAW ketika selepas pembebasan kota Makkah. Baginda telah menunjukkan sifat sabar dan pemaaf di hadapan orang-orang yang memusuhinya. Rasulullah SAW berkata: “Wahai orang Quraisy, menurut pendapat kamu sekalian apakah yang akan aku lakukan terhadapmu sekarang?” Jawab mereka: “Yang baik-baik. Saudara kami yang pemurah. Sepupu kami yang pemurah.” Mendengar jawapan itu Nabi kemudian berkata: “Pergilah kamu semua, sekarang kamu sudah bebas.”
Selagi kita tidak maafkan orang tersebut, selagi itulah fikiran akan dipenuhi dengan hasad dengki, dendam dan juga segala aura negatif. Percayalah dengan memaafkan, seolah-olah satu beban telah terangkat dari bahu dan hidup akan terasa bebas dan ringan. Maafkan. Maafkan. Maafkan mereka. Mereka mungkin tidak tahu, tidak sedar dan jahil pada saat itu. Tetapi tidak mengapa. Maafkan mereka dan berdoalah supaya mereka berubah menjadi yang lebih baik di masa akan datang.
“Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Menurut buku Forgive for Good (Memaafkan demi kebaikan), Dr Frederic Luskin ada menyatakan setiap manusia di dunia ini pasti mempunyai kesalahan tetapi hanya yang berani sahaja mahu mengakui kesalahannya. Setiap manusia di dunia pasti pernah disakiti hatinya dan hanya yang berjiwa kesatria yang mampu menjadi pemaaf.

Akademi Ramadhan 1435H di Pondok Pasir Tumboh

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1435H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-6 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan terutama siswa/wi yang sedang cuti semester.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga Kitab Mukhtasor Mubatdi Edisi jawi / Rumi RM 8.00 ( 1 buah )
  • Harga kitab Hidayah Salikin edisi jawi RM4.00
  • Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00.
  • Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang)
  • Bagi muslimat yang ingin tinggal kawasan pondok sila hubungi Ustazah Fadhilah (0145429086)

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 2 Ramadhan 1435H bersamaan 30 Jun 2014M (Isnin)
jam 8.30 pagi

JADUAL AKADEMI PONDOK 1434H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.30 am Kitab : Mukhtasor Mubtadi

30 Jun 2014M

2 Ramadhan 1435H

hingga 23 Julai 2014M bersamaan 25 Ramadhan 1435H 3.00 – 4.00 pm Kitab : Hidayah Salikin

Setiap Jumaat cuti

# Kitab Mukhtasor Mubtadi melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah

# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir 
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786 H/P :019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Pengubatan cara Nabi yang utama

IBRAHIM ABDULLAH

SESUNGGUHNYA perkembangan dunia medik berjalan seiring dengan arus kapitalisme global dan modenisasi yang kian sulit dikendalikan. Namun perkembangan jenis penyakit juga kian bertambah.

Sementara itu ramai kalangan manusia yang tidak menyedari bahawa ALLAH SWT juga tidak pernah menciptakan manusia tanpa adanya penyakit dan ubatnya.
Setiap kali penyakit muncul, pasti ALLAH menciptakan ubatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah ALLAH SWT menurunkan suatu penyakit, melainkan Dia turunkan penyembuhnya (ubatnya). (Riwayat Bukhari dan Ibnu Majah).

Faktanya, memang ada manusia mengetahui dan ada tidak mengetahuinya. Kenyataan lain yang harus disedari oleh manusia, apabila ALLAH SWT dan Rasul-Nya secara jelas dan tegas menetapkan suatu penjelasan, termasuk dalam memberikan petunjuk pengubatan.

Bukan sahaja petunjuk tentang kehidupan dan tata cara ibadat kepada ALLAH, tetapi juga memberikan banyak petunjuk praktis yang dapat digunakan untuk menjaga keselamatan lahir dan batin, termasuk berkaitan dengan terapi, pengurusan penyakit atau pengubatan secara holistik.

Petunjuk praktis dan kaedah medik tersebut sangat banyak dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan diajarkan kepada para sahabatnya. Bagi kaum Muslimin, dapat mengembangkan menjadi suatu sistem dan metod pengubatan yang tiada tandingan, di situlah akan terlihat hubungan erat antara sistem pengubatan Ilahi dengan sistem pengubatan manusia. ALLAH SWT menegaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Telah diciptakan bagi kamu semua apa yang ada di muka bumi ini.” (Al-Baqarah : 29).

Ilmu pengubatan berserta segala media dan perkaranya, diciptakan oleh ALLAH tidak hanya untuk kaum Muslimin, tetapi kepentingan seluruh umat manusia.

Ingatlah Islam adalah agama dan ideologi yang sempurna, dibawa oleh Rasulullah SAW bukan hanya kepada orang sihat, tapi yang sakit. Maka cara pelaksanaannya juga disediakan.

Untuk itu, sudah seharusnya kaum Muslimin menghidupkan kembali kepercayaan terhadap berbagai jenis ubat (madu, habatussauda, zaitun dan lain-lain) serta metod pengubatan (al-Quran, berbekam, ruqyah dan lain-lain) yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sebagai metod terbaik untuk mengatasi berbagai macam penyakit.
Namun, tentu semua jenis pengubatan dan ubat-ubatan tersebut hanya terasa khasiatnya bila disertai dengan keyakinan.

Dinyatakan oleh Ulama’ terkenal: “Bahawa keyakinan adalah doa.” Dengan pengubatan yang tepat, dos yang sesuai disertai doa dan keyakinan (spiritual healing), tidak ada penyakit tidak boleh diubati, kecuali penyakit membawa kepada kematian.

Jabir ra membawakan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap penyakit ada ubatnya, maka bila ubat itu sesuai dengan penyakit akan sembuh dengan izin ALLAH SWT.” (Riwayat Muslim).

Al-Quran dan as-sunnah yang sahih sarat dengan bermacam penyembuhan dan ubat yang bermanfaat dengan izin ALLAH SWT.

Oleh itulah ulama salafus saleh, ahli kedoktoran dan pengubatan Islam, berkata: “Sesungguhnya mereka (para tabib) sepakat bahawa ketika memungkinkan pengubatan dengan bahan makanan, maka jangan beralih kepada ubat-ubatan kimia.

Ketika memungkinkan menggunakan ubat yang sederhana, maka jangan beralih menggunakan ubat yang kompleks. Mereka mengatakan setiap penyakit yang boleh ditolak dengan makanan-makanan tertentu dan pencegahan, janganlah mencuba menolaknya dengan ubat-ubatan kimia.”

Oleh itu tidak seharusnya seorang Muslim menjadikan pengubatan nabawiyyah (thibbun nabawi) sekadar pengubatan ‘tradisional’ mahupun alternatif lainnya. Sebaiknya jadikan ia sebagai cara pengubatan yang utama kerana kepastiannya datang daripada ALLAH SWT melalui lisan Rasulullah SAW.

Sementara pengubatan dengan ubat-ubatan kimia (pengubatan cara Barat), boleh sahaja manusia menggunakannya sebagai pelengkap dan pendukung pengubatan, namun kepastiannya tidak seperti kepastian yang didapatkan dengan thibbun nabawi (pengubatan cara Rasulullah SAW). Pengubatan yang diajarkan oleh Nabi SAW diyakini kesembuhannya kerana bersumber daripada Ilahi.

Berkaitan dengan kesembuhan suatu penyakit, seorang hamba tidak boleh bersandar semata-mata dengan pengubatan tertentu, dan tidak boleh meyakini bahawa ubatlah yang menyembuhkan sakitnya. Seharusnya ia bersandar dan bergantung kepada ALLAH SWT, yang memberikan penyakit dan menurunkan ubatnya.

99 CARA MENGUATKAN IMAN KITA

01.  Bersyukur apabila mendapat nikmat;
02.  Sabar apabila mendapat kesulitan;

03.  Tawakal apabila mempunyai rencana/program;

04.  Ikhlas dalam segala amal perbuatan;

05.  Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;

06.  Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;

07.  Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;

08.  Jangan usil dengan kekayaan orang;

09.  Jangan hasad dan iri atas kesuksessan orang;

10.  Jangan sombong kalau memperoleh kesuksessan;

11.  Jangan tamak kepada harta;

12.  Jangan terlalu ambitious akan sesuatu kedudukan;

13.  Jangan hancur karena kezaliman;

14.  Jangan goyah karena fitnah;

15.  Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.

16.  Jangan campuri harta dengan harta yang haram;

17.  Jangan sakiti ayah dan ibu;

18.  Jangan usir orang yang meminta-minta;

19.  Jangan sakiti anak yatim;

20.  Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;

21.  Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;

22.  Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);

23.  Lakukan shalat dengan ikhlas dan khusyu;

24.  Lakukan shalat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;

25.  Biasakan shalat malam;

26.  Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah;

27.  Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;

28.  Sayangi dan santuni fakir miskin;
29.  Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;

30.  Jangan marah berlebih-lebihan;

31.  Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;

32.  Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;

33.  Berlatihlah konsentrasi pikiran;

34.  Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila  karena sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;

35.  Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;

36.  Jangan percaya ramalan manusia;

37.  Jangan terlampau takut miskin;

38.  Hormatilah setiap orang;

39.  Jangan terlampau takut kepada manusia;

40.  Jangan sombong, takabur dan besar kepala;

41.  Berlakulah adil dalam segala urusan;

42.  Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;

43.  Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;

44.  Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;

45.  Perbanyak silaturrahim;

46.  Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;

47.  Bicaralah secukupnya;

48.  Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;

49.  Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;

50.  Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;

51.  Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;

52.  Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;

53.  Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan;

54.  Hormatilah kepada guru dan ulama;

55.  Sering-sering bershalawat kepada nabi;

56.  Cintai keluarga Nabi saw;

57.  Jangan terlalu banyak hutang;

58.  Jangan terlampau mudah berjanji;

59.  Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;

60.  Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti mengobrol yang tidak berguna;

61.  Bergaul lah dengan orang-orang soleh;

62.  Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;

63.  Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;

64.  Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;

65.  Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;

66.  Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;

67.  Jangan benci kepada orang yang membenci kita;

68.  Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan
sesuatu pilihan

69.  Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.

70.  Jangan melukai hati orang lain;

71.  Jangan membiasakan berkata dusta;

72.  Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;

73.  Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;

74.  Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;

75.  Hormati orang lain yang lebih tua dari kita

76.  Jangan membuka aib orang lain;

77.  Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang
lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita;

78.  Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;

79.  Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;

 

80.  Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;

81.  Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;

82.  Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;

83.  Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;

84.  Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;

85.  Hargai prestasi dan pemberian orang;

86.  Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;

87.  Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.

88.  Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kondisi diri kita;

89.  Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fisikal atau mental kita menjadi terganggu;

90.  Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;

91.  Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;

92.  Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;

93.  Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya;

94.  Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;

95.  Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;

96.  Jangan memforsir diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;

97.  Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;

98.  Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerusakan;

99.  Jangan sukses di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan kemiskinkan