• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,906 orang
  • Kandungan Blog

Sifat marah yang lemah turut dicela

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Manakala hasil sifat marah yang lemah, ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang menggangu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Ia bersifat acuh tak acuh saja, ketika peribadinya dihinakan oleh orang-orang yang rendah budinya. Ia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari kecaman orang lain. Ini juga termasuk sifat yang tercela, sebab ia menelurkan sikap tidak cemburu ke atas kehormatan diri dan keluarga, padahal melindunginya dari pencabulan adalah wajib.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya Sa’ad orang yang cemburu, dan saya lebih cemburu dari Sa’ad, manakala Allah pula lebih cemburu dari saya.”

Sifat cemburu itu dijadikan semata-mata kerana memelihara keturunan. Andaikata manusia amat bersenang-senang dalam soal cemburu ini, nescaya keturunannya akan bercampur aduk dan tidak terpelihara. Sebab itu ada pepatah mengatakan: Setiap ummat yang menentukan sifat cemburu pada kaum lelakinya, nescaya terpeliharalah kaum wanitanya.

Dari sebab lemahnya sifat marah, akan timbul pula sifat suka menganiaya diri, serta mendiamkan diri apabila menyaksikan berbagai-bagai kemungkaran yang dilakukan. Allah s.w.t. telah berfirman:

“Dan jangan kamu semua merasa belas kasihan terhadap kedua penzina itu dalam menjalankan agama (hukuman) Allah.” (An Nuur: 2)

Tegasnya, ketiadaan sifat marah dalam diri adalah tercela. Tetapi yang baiknya adalah sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintak agama.

Adakalanya marah itu perlu dan adakala penyantun pula yang perlu, tetapi sebaik-baiknya mengendalikan kedua-dua sifat marah dan penyantun itu menurut batas pertengahan, kalau marah jangan berlebih-lebihan, dan kalau penyantun pun jangan sampai melampaui batas. Biarlah yang dilakukan itu pertengahan, seperti yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. ke atas sekalian hamba-hambaNya; iaitu cara tengah yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam salah sebuah sabdanya:

“Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan.”

**********