• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

5 peristiwa penting di bulan Rejab

BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)….

Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka diugut.

Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu.

“Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak,” katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.

Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.

1. Hijrah pertama dalam Islam

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Menurut Lukmanul Hakim, walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.

Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.

“Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.

“Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah,” katanya.

2. Israk dan Mikraj

Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab.

Bagi Lukmanul Hakim, walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.

“Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.

“Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga,” katanya.

3. Peperangan Tabuk

Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.

Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.

“Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan.

“Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.

“Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW,” katanya.

4. Pembebasan dan

kejatuhan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan Islam.

Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.

Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.

Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.

5. Lahirnya Imam Syafie

Menurut Lukmanul Hakim, kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.

Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.

Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: “Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia.”

“Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm,” katanya.

Institusi pondok banyak bantu perjelas Islam – MB

MOHD NOR YAHYA |

KOTA BHARU: Gandingan ulama dan umara’ (pemerintah) dipertingkatkan lagi bagi memantapkan pentadbiran kerajaan negeri berlandas dasar Membangun Bersama Islam.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat perkembangan institusi pengajian pondok untuk memastikan kesinambungannya.

“Gandingan ulama dan umara’ membolehkan benteng kerajaan negeri di Kelantan dapat dipertahankan sehingga sekarang.

“Malah dengan adanya institusi pondok memudahkan usaha kerajaan negeri mempertingkatkan lagi kefahaman agama kepada rakyat,” katanya di majlis Menghayati Israk Mikraj dan Hari Murabbi Pondok Terusan Limbat di Pasir Tumboh hari ini.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus, ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah dan Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman serta pimpinan Pondok Terusan Limbat Pasir Tumboh.

Rasulullah saw bersabda, “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan  umara.”

Menteri Besar berkata, penat jerih dan titik peluh ulama pondok berdakwah sejak dahulu tambah rancak lagi dengan munculnya kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama pada 1990.

Katanya, tidak mudah untuk memberi kefahaman politik Islam kepada rakyat setelah negara berada lama di bawah penjajahan barat.

“Maka tidak hairanlah masyarakat Melayu Kelantan sebelum ini masih tebal dengan kefahaman memisahkan politik dan agama.

“Ia berlaku kesan penjajahan yang agak lama di negara kita. Umat Islam diresapi fahaman mengasingkan agama dan politik. Di sinilah besarnya peranan ulama bagi memecah kefahaman itu,” ujar beliau .

Pada majlis tersebut Tokoh Murabbi Terusan Limbat pasir Tumboh bagi  tahun 1435H/2014M telah dianugerahkan kepada Timbalan Mudir 1 Pondok Terusan Pasir Tumboh, Tuan Guru Hj Salleh Ismail.

Beliau pernah mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi dan Pondok Lubuk Tapah selama 10 tahun sebelum belajar dengan ketiga-tiga pengasas Pondok Pasir Tumboh

Hari Murabbi & Ceramah Isra’ Mikraj 1435H

banner madrasah

Aturcara Hari Murabbi & Isra’ Mikraj Pondok Pasir Tumboh 1435H

Tarikh   : 26 Rejab 1435H bersamaan 26 Mei 2014M (Isnin)

Tempat : Masjid Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan

 

8.30 pagi                    Pelajar dan tetamu jemputan mengambil tempat

 

8.50 pagi                    Ketibaan YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan

 

9.00 pagi                    -Ucapan Pengerusi majlis ( Ustaz Hj Ahmed Khairi b Muhamed)

 

– Bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Abdullah Fahmi

(Juara Musabaqah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 2014)

 

– Ucapan Aluan Oleh Ustaz Hj Abdul Halim b Abdul Ghani

(Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh)

 

–          Ucapan YB Ustaz Hj Abdul Rahman b Yunus

(Adun Pasir Tumboh)

 

–          Ucapan YB Dato’ Hj Hasan bin Mahmud

(Timbalan Exco negeri Kelantan)

 

–          Ucapan Perasmian oleh

YAB Dato’ Ustaz Hj Ahmad bin Yaakob

(Menteri Besar Kelantan )

 

–          Anugerah Tokoh Murabbi Pondok 1435H

 

–          Penyampaian saguhati kepada guru-guru pondok

 

11.00 pagi                  – Motivasi  Oleh YB Ustaz Hj Abdul Halim Abdul Rahman

(ADUN Chetok /Alumni pondok)

 

1.00 tengahari          Jamuan nasi

 

9.00 Malam               Ceramah Perdana Isra’ & Mikraj Oleh

 

YB Ustaz Hj Ahmad Baihaki b Hj Atiqullah

(Ahli Parlimen Kubang Kerian)

 

YBhg Ustaz Hj Mokhtar bin Senik

( Pondok Penor, Pahang / Pengerusi Alumni Pondok)

 

Semua Muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Pertanyaan yang pelik-pelik

Petikan daripada Kitab Bimbingan Mukmin

Memang tidak dilarang bagi orang-orang awam untuk memperbanyakkan amalan-amalan saleh dari berbagai-bagai rupa, tetapi sikap suka bertanya yang bukan-bukan itu memanglah mudah terlintas di dalam hati. Adakalanya orang-orang awam ini suka mendalami dalam perkara-perkara atau liku cabang ilmu pengetahuan, sebab syaitan sering menggambarkan kepada mereka, bahawa mereka itu adalah tergolong para alim ulama yang mempunyai keutamaan dalam ilmu pengetahuan. Hasutan syaitan ini akan terus-menerus mempengaruhi jiwa orang-orang ini, sehingga akhirnya mereka berani berkata sesuatu yang merupakan kekufuran atau terkeluarnya mereka dari Agama Islam, sedangkan mereka tidak mengetahui.

Sebab itulah, sesiapa yang suka bertanya ilmu yang pelik-pelik, sedangkan fahamannya masih belum mampu mencapai darjat fahaman itu, maka ia tentu dicela, tambahan pula jika ia seorang awam, yang pengetahuannya masih cetek dalam serba-serbi liku-liku agama.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:

“Rasulullah s.a.w. telah melarang keras dengan kata-kata qil dan qal (cakap-cakap yang tidak diketahui sumbernya dengan jelas), membelanjakan harta benda dengan boros dan terlampau banyak persoalan.”

Dalam kisah Nabi Musa dengan Khidhir a.s. ada menunjukkan larangan dari terlampau banyak bersoal-soalan sebelum tiba masanya, iaitu sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Ta’ala (yang bermaksud):

”Jika engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanyakan kepadaku tentang sesuatu, sehingga aku memberitahukan engkau tentangnya.”(Al Kahfi: 70)

Tetapi Nabi Allah Musa a.s. tidak sabar, lalu bertanya mengenai kapal layar kepada Khidhir, maka Khidhir pun menyngkalnya sebab pertanyaan itu. Kemudian Nabi Musa a.s. memint diuzurkan, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

”Janganlah engkau mengambil hati tersebab kelupaanku, dan janganlah memberati diriku tentang perkara ini seberat-beratnya.” (Al Kahfi: 73)

Tetapi Nabi Musa a.s. terus tidak bersabar sampai beliau bertanya tiga kali berturut-turut, maka Khidhir pun berkata kepadanya,

”Kini telah tiba masanya perpisahanku denganmu” (Al Kahfi: 78)

Lalu Nabi Khidir pun berpisah dengan Nabi Musa a.s.

Kalau begitu nyatalah bahawa pertanyaan orang-orang awam tentang persoalan-persoalan yang pelik-pelik, atau rumit di dalam agama itu, termasuk dalam perkara-perkara besar yang membahayakan, maka seharusnyalah mereka dilarang dari mengemukakan pertanyaan-pertanyaan serupa itu, dan jika mereka melakukan juga, maka haruslah ditegah dengan keras.

Menghina atau Mengejek

Petikan daripada Kitab Bimbingan Mukmin

Menghina orang ataupun mengejek-ejeknya adalah haram menurut syara’. Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.”   (al-Hujurat: 11)

Yang dimaksudkan dengan penghinaan, ialah memandang rendah atau menjatuhkan taraf orang lain, ataupun mendedahkan segala keaiban-keaiban dan kekurangan-kekurangan mereka dengan tujuan menjadikannya sebagai bahan tertawaan. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang dalam tutur katanya, dalam perilakunya ataupun dengan cara-cara lain yang boleh menunjukkan maksud dan tujuan yang sama. Punca utamanya ialah merendahkan diri orang lain, atau menjadikannya sebagai bahan tertawaan di mata orang ramai, menghina dan memperkecilkan kedudukannya.

Dalam hal ini, Allah telah mengingatkan kita seperti dalam firmanNya di atas: Mungkin sekali yang dihina itu lebih baik dari yang menghina, yakni jangan kamu merendahkan atau memperkecilkannya, sebab mana tahu barangkali orang itu lebih mulia dan baik dari kamu.

Dan kelakuan semacam ini, hanya dilarang terhadap orang-orang yang akan merasa tersinggung hatinya, bila ditujukan penghinaan serupa itu. Tetapi jika orang itu memang bersedia untuk menerima penghinaan, ataupun ia redha dijadikan dirinya sebagai bahan tertawaan orang, umpamanya ia merasa senang bila ditertawakan orang, maka penghinaan yang ditujukan kepadanya itu dikira sebagai senda gurauan saja. Dan mengenai senda gurauan pula, telah pun dijelaskan hukumnya, mana satu yang dicela atau dilarang, dan mana pula yang dikira baik atau dipuji.

Adapun penghinaan yang diharamkan itu, ialah apabila orang yang ditujukan penghinaan itu merasa kurang senang dan akan menjadi marah, disebabkan dirinya direndahkan ataupun diejek-ejek seperti yang sering juga berlaku bila seseorang mentertawakan percakapan orang lain kerana percakapannya salah, atau tidak teratur, ataupun ia mentertawakan kelakuannya tunggang balik dan tidak sempurna, ataupun seperti mentertawakan ingatannya yang selalu terlupa, atau terhadap rupa bentuknya disebabkan ada cacat padanya. Mentertawakan terhadap semua hal-hal yang dalam contoh-contoh di atas adalah terlarang dalam syara’.

Kadar yang dibolehkan untuk membalas umpatan

Petikan Kitab Bimbingan Mukmin

 

 

Ketahuilah bahawasanya setiap penganiayaan yang ditimbulkan oleh seseorang, tiadalah dibolehkan membalas dengan penganiayaan yang sama. Tidak dibolehkan membalas umpat dengan umpat, intip dengan intip, maki dengan maki, dan seterusnya terhadap semua maksiat dibalas dengan maksiat yang sama pula.

Rasulullah s.a.w. telah melarang orang membalas orang yang mengata-nista kepada mu dengan kata-nista juga dalam sabdanya:

“Jika seseorang mengata-nistamu dengan menyebut sesuatu keburukan yang ada pada dirimu, maka janganlah anda membalas dengan menyebut keburukan-keburukan yang ada pada dirinya pula.”

Setengah para ulama membolehkan membalas dengan mengatakan sesuatu yang tidak mengandungi perkara dusta. Mereka berkata: Larangan yang bersabdakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk membalas kata-caci orang itu, bukanlah merupakan suatu larangan yang haram atau dosa, hanya yang lebih baik lagi meninggalkannya, tetapi jika ia membalas juga, maka tidaklah terkira berdosa.

Tetapi yang dibolehkan membalas dengan berkata: Siapa engkau ini sampai berkata seperti ini? Ataupun: Wahai orang yang rendah budinya! Ataupun: Wahai manusia bodoh! Kerana setiap orang mestilah ada padanya sifat rendah budi dan sifat bodoh.

Begitu juga, jika dia memanggil dengan berkata: Wahai orang yang buruk akhlaknya! Ataupun: Wahai orang yang mencaci peribadi orang lain! Dan sebenarnya memanglah sifat yang dicacinya itu ada pada orang itu, maka tidaklah ditegah. Ataupun ia berkata: Jika ada sifat malu pada diri anda, tentulah anda tidak berkata seperti itu. Ataupun ia berkata: Alangkah buruknya kelakuanmu pada pandangan mataku!

Para alim ulama membolehkan ucapan-ucapan membalas seumpama itu, berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Dua orang yang bermaki-makian itu, selagi masing-masing sama kata-mengata, maka dosanya ke atas orang yang memulakan memaki dari keduanya, sehingga orang yang dizalimi (dimaki) itu pula melampaui batas ke atas orang yang memulakan.”

Hadis ini menentukan, bahawa bagi orang yang teraniaya itu boleh membuat pembalasan sekadar yang sama dengan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi hendaklah ia tidak melampaui batas, jika ia melampaui batas, maka ketika itu dialah yang akan menerima dosanya pula.

Itulah kadarnya yang diperbolehkan oleh para alim ulama dalam menuntut pembalasan, yakni suatu keizinan untuk menentang penganiayaan yang ditujukan kepada dirinya, iaitu kadar yang seimbang tanpa melampaui batas.

Berkata Iman Ghazali selanjutnya: Memang sudah jelaslah keizinan membalas itu diperbolehkan dalam kadar yang tersebut di atas, tetapi yang lebih utama meninggalkan saja niat untuk membalas itu, sebab yang demikian akan menariknya kepada suatu akibat yang lebih meruncing sesuatu itu. Bahkan mungkin nanti ia tidak dapat menguasai dirinya lagi untuk menuntut pembalasan dalam kadar hak yang diperbolehkan saja, dan dikhuatiri kelak ia akan melampaui batas. Dengan yang demikian, menahan diri dari membuat pembalasan itu adalah lebih baik dan lebih senang daripada memulakan pembalasan dan berhenti dalam kadar yang diperbolehkan oleh syara’.

Walau bagaimanapun, memanglah ada juga manusia yang tiada berkuasa untuk mengekang hawa nafsu dalam masa marahnya sedang meluap-luap. Tetapi tidak kurang pula ada yang insaf sesudah itu, lalu kembali tenang dan marahnya pun reda.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang lekas marahnya dan lambat pula reda marah itu.”

**********

Beberapa contoh sifat penyantun

Petikan Kitab Bimbingan Mukmin

Bersambung dari keutamaan sifat penyantun, berikut dipetik beberapa contoh sifat penyantun.

Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Bukanlah kebaikan itu bila harta kekayaamu bertimbun-timbun dan anak pinakmu bersusun-susun, bahkan kebaikan itu ialah bila ilmu pengetahuanmu bertambah, sifat penyantunmu dikenang orang, dan anda tidak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai mengenai ibadatmu kepada Allah, dan bila anda berbuat baik, anda sentiasa bersyukur kepada Allah, tetapi bila anda berbuat jahat, segera anda bertaubat dan meminta ampun kepadaNya.

Aktsam pula berkata: Tonggaknya akal ialah sifat penyantun, dan pokok segala perkara ialah sabar.

Berkata Mu’awiyah: Seseorang manusia tidak akan mencapai puncak pemikiran, melainkan sesudah penyantunannya mengalahkan kebodohannya, dan kesabarannya mengatasi keinginan syahwatnya, dan tidak akan tercapai semua itu, melainkan dengan kekuatan dan pengetahuan.

Bertanya Mu’awiyah kepada Amru Ibnul-Ahtam: Orang yang bagaimanakah yang dikata pemberani? Amru menjawab: Sesiapa yang dapat mengalahkan kebodohannya dengan penyantunannya. Kemudian Mu’awiyah bertanya lagi: Orang yang macam manakah yang dikatakan paling pemurah? Jawabnya: Orang yang membelanjakan kekayaan dunianya untuk maslahat akhiratnya.

Mu’awiyah pernah bertanya kepada Irabah: Dengan cara apakah engkau dapat mengetahui kaummu itu? Jawabnya: Saya sering bersikap penyantun terhadap orang yang bodoh di antara mereka dan memberi setiap permintaan mereka dan berusaha untuk menunaikan segala hajat keperluan mereka. Barangsiapa yang melakukan seperti yang saya lakukan, maka ia pun samalah seperti saya, malah barangsiapa dapat melebihi saya, tentulah ia menjadi lebih utama dari saya. Tetapi jika ia melakukan kurang dari saya, maka saya lebih baik daripadanya.

Ketika memberi keterangan terhadap firman Allah Ta’ala:

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang bermusuhan antaramu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia, dan kelakuan seumpama itu tiada dikurniakanNya kepada sesiapa pun, melainkan orang-orang yang bersabar, dan tidak diberikanNya melainkan kepada orang-orang yang bersabar, dan tiada diberikanNya melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Fushshilat: 34-35)

Anas bin Malik berkata: Itulah orang yang bila dicaci-maki oleh saudaranya, lalu ia berkata: Andai kata anda telah berdusta dalam caci-makimu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni anda. Tetapi jika anda benar dalam ucapanmu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni saya.

Dari Saiyidina Ali bin al-Hussain radhiallahu-anhuma, pada suatu ketika beliau telah dimaki oleh seorang, maka beliau pun menghadiahkan kepada orang itu sehelai pakaian, dan memberikannya pula sebanyak seribu dirham. Setengah orang yang mendengar cerita itu telah membuat komen, kata mereka: Telah terkumpul pada peribadi Saiyidina Ali bin al-Hussain itu lima sifat yang terpuji, iaitu:

  1. Penyantun
  2. Melenyapkan sakit hati.
  3. Melepaskan orang itu dari sesuatu yang boleh menjauhkannya daripada Allah azzawajalla.
  4. Menyebabkannya merasa kesal terhadap perbuatannya lalu bertaubat.
  5. Mengubah sikapnya yang mencela tadi kepada sikap memuji pula.

Beliau telah membeli kesemua sifat-sifat yang terpuji ini dengan sesuatu yang tidak terpandang dari harta dunia.

**********

Keutamaan sifat penyantun

Petikan Kitab Bimbingan Mukmin

 

Ketahui bahawasanya sifat penyantun itu adalah lebih utama dari sifat menahan marah, sebab menahan kemarahan itu diumpamakan sebagai perbuatan sementara dari sifat penyantun, yakni memaksa diri untuk bersifat penyantun ketika sedang marah. Sedangkan menahan kemarahan itu tidak perlu, melainkan bagi orang yang sedang berkobar-kobar kemarahannya. Kemudian untuk melenyapkan kemarahan itu, perlu pula kepada perjuangan yang sungguh-sungguh, tetapi apakala perkara seumpama itu telah dijadikan suatu kebiasaan, maka tentulah tidak dikhuatiri lagi bahawa kemarahan itu akan berkobar-kobar lagi, andai kata kemarahan itu berkobar-kobar juga tidaklah menjadi sukar lagi untuk memadamkannya. Itulah yang dikatakan penyantun tabi’i yang telah menjadi sifat yang utama dan terpuji.

Tegasnya penyantun itu adalah tanda-tanda kesempurnaan akal fikiran dan penguasaanya terhadap keinginan hawa nafsu yang dapat mematahkan segala kekuatan dan kegejolakan sifat marah dalam diri, serta menundukkannya menurut pertimbangan akal fikiran. Tetapi pada mulanya mestilah dicuba dengan menyantunkan diri dan menahankan kemarahan secara paksaan, sehingga akhirnya perbuatan itu menjadi suatu kebiasaan.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Hanyasanya ilmu pengetahuan itu didapati dengan belajar, dan sifat penyantun didapati dengan bersopan santun”

Hadis itu menunjukkan kepada kita, bahawasanya untuk melengkapkan diri dengan sifat penyantun itu, mestilah mula-mula dibiasakan diri dengan sifat itu secara paksaan, sebagaimana kalau hendak mendapatkan ilmu pengetahuan pula, mestilah dengan memaksakan diri supaya tekun belajar.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya seseorang Muslim itu akan mencapai darjat orang yang berpuasa (pada siagd hari) dan beribadat (pada malam hari) menerusi sifat penyantun.”

Ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut:

“Dan apabila orang-orang bodoh itu berkata kepada mereka, nescaya dijawabnya: Selamat sejahtera.” (al-Furqan: 63)

Al-Hasan berkata: Maksudnya orang-orang itu bersifat penyantun, mereka tidak ingin membalas orang-orang bodoh itu dengan cara yang setimpal, seperti yang diperlakukan kepada diri mereka.

Ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut:

“Dan apabila mereka melalui di hadapan orang-orang yang beromong kosong itu, mereka berlalu secara hormat (tidak pedulikan mereka itu)” (al-Furqan: 72)

Mujahid berkata: Maksudnya apabila mereka disakiti dan dianiayai, nescaya mereka memaafkan saja. Ini juga termasuk sifat penyantun.

Bersambung dalam kiriman dengan topik – Beberapa contoh sifat penyantun, insha Allah.

Kecelaan sifat marah

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

 

Allah s.w.t berfirman:

“Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenananganNya ke atas RasulNya dan ke atas kaum Mu’minin.” (al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum Mu’minin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t., disebabkan sikap mereka yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda kepadanya: Jangan marah! Diulangi permintaannya lagi maka baginda sekali lagi bersabda: Jangan marah!

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya.

Sabda baginda; Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya.

Berkata Ja’far r.a.: Kemarahan itu kunci segala kecelakaan.

Setengah para sahabat berkata; Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah.

Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri atau tidak melayani pertanyaan seorang yang bodoh adalah jawabnya.

Berkata al-Hasan pula: Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah, tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam tangan, bersedia mengampuni orang yang menganiayai, suka memaafkan orang bodoh, biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam kesenangan.

**********