Tahap ujian ikut keimanan, taqwa

Oleh Mohamad Thaqif Mustafa Kamal

Setiap ummah kena bersangka baik, sabar hadapi dugaan

SETIAP manusia pasti pernah menghadapi ujian atau masalah hidup dan ia dibebankan kepada mereka dalam bentuk yang berbeza mengikut kemampuan individu itu sendiri. Ada manusia diuji dengan kemiskinan melampau sehingga terpaksa berlapar beberapa hari, kehilangan orang dikasihi dan ada diuji dengan bala bencana seperti gempa bumi yang berlaku di Aceh, April lalu.
Semua bentuk ujian ini telah dinyatakan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Sesungguhnya kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan. – Surah al-Qamar, Ayat 49
Setiap ujian atau masalah hidup yang ditimpakan kepada kita mengikut tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT kerana Dia tidak akan membebankan masalah yang melangkaui kemampuan manusia itu untuk menghadapinya.

Ibnu Khathir dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir menyatakan, Allah SWT pasti akan menguji setiap jiwa yang beriman melalui harta dimilikinya, dirinya sendiri, anak serta isterinya. Namun, setiap daripada mereka diuji mengikut kadar agama, jika agamanya kuat, maka bertambahlah ujian kepadanya.

Dengan bertambahnya ujian kepada mereka, bukan bererti Allah SWT sengaja membebankan dan menjadikan mereka lemah dengan ujian itu tetapi ia adalah batu aras menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa tidak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah manusia itu patut dibiarkan begitu saja berkata ‘kami telah beriman’. Maka dengan ujian itu, nyatalah apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyatalah pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)
Oleh itu, sebagai seorang mukmin, kita seharusnya menghadapi setiap ujian dengan jiwa tenang dan menguruskannya secara baik. Langkah pertama perlu diambil ketika ditimpa ujian ialah bersikap reda dan bersangka baik dengan Allah kerana Dialah yang menentukan takdir terjadi kepada kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.” (Surah al-Qamar, ayat 49)

Begitu juga apabila kita melihat ujian berlaku ke atas orang lain, kita seharusnya bersangka baik dan tidak menyatakan perkara yang buruk kepada mereka kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam.

Tambahan lagi, ujian yang diterima mereka adalah ketetapan khusus untuk mereka dan mungkin jika kita ditimpa ujian sedemikian rupa, kita tidak mampu menghadapinya.

Selain itu, seorang mukmin yang baik mengamalkan sifat sabar kerana sabar mampu menghasilkan kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara di luar norma ditetapkan Islam.

Ali bin Abi Talib berkata: “Ingatlah! Sesungguhnya sabar itu sebahagian daripada iman seperti kedudukan kepala daripada tubuh badan. Apabila kepala dipotong, rosaklah tubuh badan.

Kita boleh mengambil iktibar daripada kisah hidup Nabi Ayyub yang diuji dengan kehilangan anak disayangi, harta benda hangus terbakar serta penyakit ganjil yang berterusan. Namun, beliau tetap sabar dan terus melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Ketika ditanya syaitan laknatullah mengapa beliau masih beribadat kepada Allah SWT walaupun setelah diuji dengan pelbagai ujian, beliau lantas menjawab: “Hai Iblis terkutuk, Alhamdulillah! Dia telah memberi dan mengambilnya pula dari saya. Semua harta dan anak adalah fitnah untuk lelaki dan wanita, maka Dia mengambilnya dari saya, sehingga saya dapat bersabar lagi tenang untuk beribadah kepada Tuhan saya.”

Melalui kisah ini, dapat kita merenung bagaimana Nabi Ayyub menghadapi pelbagai ujian dengan sabar dan reda, serta hanya mengeluh di dalam doa beliau saja seperti yang termaktub dalam surah Al-Anbiya’, ayat 83: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa kepayahan, dan engkaulah yang Maha Mengasihani.”

Imam Nawawi menyatakan, seseorang itu boleh mengeluh apabila ditimpa ujian, selagi mana dia tidak marah dan menyalahkan takdir yang diterimanya.

Islam juga tidak mengatakan salah jika seorang mukmin itu menangisi atas perkara buruk yang berlaku kepadanya. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan At-Tarmizi yang menceritakan ketika anak perempuan Baginda meninggal dunia di pangkuan Baginda sehingga Ummu Aiman yang berada di situ menangis, lantas ditanya oleh Baginda mengapa dia menangis di hadapan Baginda, lalu dijawab oleh Ummu Aiman, Baginda juga pernah menangis.

Baginda lalu bersabda: “Aku tidak bermaksud menangis, tapi sebagai bentuk kasih sayang. Sesungguhnya orang beriman itu selalu merasa tenang dalam setiap keadaan. Ketika melihat seseorang meninggal dunia, ia tetap memuji Allah.”

Syukur juga antara sikap yang perlu ada ketika dilanda ujian iaitu dengan cara berterima kasih kepada Allah SWT kerana masih lagi mengurniakan kita nikmat tidak ternilai serta tidak menarik kembali nikmat paling besar diberikan iaitu iman dan takwa.

Kita mampu menghadapi apapun ujian yang datang jika tahu serta mampu mengurus jiwa dengan baik dan ini akan menjadikan setiap ujian menghasilkan kebaikan, bukannya menjadikan kita bertambah lemah atau berputus asa.

Satu Respons

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: