Daripada maksiat kepada ketaatan

SETIAP insan baik seorang agamawan, tokoh masyarakat, bangsawan, ahli korporat atau masyarakat awam tentu tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Hanya Rasulullah SAW yang maksum iaitu bebas dari melakukan sebarang dosa.

Dunia ini menjadi tempat buat kita semua untuk diuji keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT. Di dalam ujian itu, sudah tentu ada yang rebah dan leka, terlupa pada tujuan dan matlamat asal diciptakannya ke dunia.

Begitu pun, Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-hambanya yang tersasar dari jalan yang lurus. Sentiasa ada waktu dan kesempatan yang diberikan buat hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada petunjuk-Nya. Peluang itu dinamakan sebagai taubat.

Itulah seluas-luas pintu keampunan yang diberikan kepada Allah buat seluruh hamba-Nya. Menurut Ibnu Manzur, taubat bermaksud kembali daripada maksiat kepada ketaatan.

Taubat paling sempurna ialah taubat nasuha. Ia adalah taubat yang sebenar-benarnya sebagaimana firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. (al-Tahrim: 8). Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini di dalam tafsirnya menyebutkan: “Maksud ayat ini ialah taubat yang sebenar dengan penuh tekad, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah dilakukan sebelumnya dan menahan diri daripada melakukan pelbagai perbuatan yang keji.” (Tafsir Ibnu Kathir 8/168)

Imam An-Nawawi dalam kitabnya Riadh As-Solihin menyebutkan bahawa taubat daripada dosa-dosa wajib dilakukan. Dosa pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu dosa terhadap Allah dan dosa terhadap sesama manusia.

Antara syarat taubat daripada dosa terhadap Allah ialah dengan cara berhenti melakukan dosa tersebut, menyesali perbuatan dosa tersebut dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Sementara jika dosa terhadap manusia, maka ia perlu ditambah dengan menyelesaikan terhadap orang yang berkaitan dengan dosanya. Jika barang dicuri hendaklah dipulangkan, jika mencaci-maki haruslah meminta maaf dan begitulah seterusnya.

Kita semua tidak terlepas daripada melakukan salah dan dosa. Maka disebabkan itu seharusnya kita sentiasa muhasabah diri, dan memohon ampun kepada Allah SWT sebanyak yang mungkin.

Sikap melengah-lengahkan taubat dan memohon ampun kepada-Nya hanya akan membuatkan kita terus lalai dibuai dosa. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu bila kematian akan menjemputnya. Rasulullah SAW yang bebas daripada dosa turut meminta ampun kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (meminta ampun) dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada 70 kali setiap hari. Dalam riwayat lain disebutkan sebanyak 100 kali. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: