• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Daripada maksiat kepada ketaatan

SETIAP insan baik seorang agamawan, tokoh masyarakat, bangsawan, ahli korporat atau masyarakat awam tentu tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Hanya Rasulullah SAW yang maksum iaitu bebas dari melakukan sebarang dosa.

Dunia ini menjadi tempat buat kita semua untuk diuji keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT. Di dalam ujian itu, sudah tentu ada yang rebah dan leka, terlupa pada tujuan dan matlamat asal diciptakannya ke dunia.

Begitu pun, Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-hambanya yang tersasar dari jalan yang lurus. Sentiasa ada waktu dan kesempatan yang diberikan buat hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada petunjuk-Nya. Peluang itu dinamakan sebagai taubat.

Itulah seluas-luas pintu keampunan yang diberikan kepada Allah buat seluruh hamba-Nya. Menurut Ibnu Manzur, taubat bermaksud kembali daripada maksiat kepada ketaatan.

Taubat paling sempurna ialah taubat nasuha. Ia adalah taubat yang sebenar-benarnya sebagaimana firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. (al-Tahrim: 8). Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini di dalam tafsirnya menyebutkan: “Maksud ayat ini ialah taubat yang sebenar dengan penuh tekad, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah dilakukan sebelumnya dan menahan diri daripada melakukan pelbagai perbuatan yang keji.” (Tafsir Ibnu Kathir 8/168)

Imam An-Nawawi dalam kitabnya Riadh As-Solihin menyebutkan bahawa taubat daripada dosa-dosa wajib dilakukan. Dosa pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu dosa terhadap Allah dan dosa terhadap sesama manusia.

Antara syarat taubat daripada dosa terhadap Allah ialah dengan cara berhenti melakukan dosa tersebut, menyesali perbuatan dosa tersebut dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Sementara jika dosa terhadap manusia, maka ia perlu ditambah dengan menyelesaikan terhadap orang yang berkaitan dengan dosanya. Jika barang dicuri hendaklah dipulangkan, jika mencaci-maki haruslah meminta maaf dan begitulah seterusnya.

Kita semua tidak terlepas daripada melakukan salah dan dosa. Maka disebabkan itu seharusnya kita sentiasa muhasabah diri, dan memohon ampun kepada Allah SWT sebanyak yang mungkin.

Sikap melengah-lengahkan taubat dan memohon ampun kepada-Nya hanya akan membuatkan kita terus lalai dibuai dosa. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu bila kematian akan menjemputnya. Rasulullah SAW yang bebas daripada dosa turut meminta ampun kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (meminta ampun) dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada 70 kali setiap hari. Dalam riwayat lain disebutkan sebanyak 100 kali. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bencana akibat kealpaan manusia syukuri nikmat

Nik Salida Suhaila

Walaupun sukar untuk bersyukur, tiada manusia yang akan menolak nikmat anugerah Allah SWT. Nikmat kehidupan, keselesaan dan keselamatan serta seluruh pancaindera yang berfungsi adalah anugerah tidak ternilai serta terbayar dengan wang ringgit.

Jika Dia belum berkehendakkan kita mengecapi atau tidak mahu kita merasainya lagi, pasti ada alasan yang tidak mampu kita fahami, melainkan harus juga bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik, hikmahnya disedari selepas segala-galanya Dia suratkan.
Lupa untuk bersyukur

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Waktu itulah kita mengerti betapa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu rupa hingga kadangkala ada yang lalai dan tamak haloba, lupa untuk menadah syukur, malah mencabar pula kekuasaan-Nya.

Sesungguhnya segala bencana yang diturunkan di bumi adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri yang tidak tahu bersyukur apabila dibuai kesenangan. Maksiat, pembohongan, kezaliman dan fitnah adalah antara malapetaka yang berlaku ke atas umat Muhammad pada zaman ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Sesungguhnya nikmat Allah SWT tidak terhitung, tetapi kerana kasih sayang-Nya kepada setiap hamba, selagi itulah kita akan terus mengecapi nikmat yang ada pada hari ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Jika ditakdirkan suatu hari nanti tiada lagi orang yang bersyukur, pastilah akan ada balasannya terhadap seluruh umat manusia kerana al-Quran telah memberi peringatan antaranya kisah Kabilah Saba’, seperti dirakamkan dalam al-Quran.

Al-Quran turut menjelaskan bagaimana kisah orang yang kufur terhadap nikmat diberikan Allah SWT dengan memberikan balasan yang tidak tertanggung oleh mereka. Bencana diturunkan Allah SWT adalah peringatan terhadap sikap manusia yang tidak taat perintah serta lupa akan kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Muhasabah bantu kenal pasti kelemahan diri

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Umat Islam wajar menilai amalan untuk kesenangan dunia, akhirat

Muhasabah adalah kata kunci kepada salah satu metod penting pengukuhan pencapaian yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan. Rasulullah SAW mendidik umat Islam menilai dirinya sendiri dan beramal sesuai dengan penilaian itu untuk kesenangan dunia serta akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bijak itu adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Riwayat Imam al-Tirmizi)

firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Saidina Umar bin al-Khattab berkata: “Hisablah (nilailah) diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan hitunglah (amal kebaikan) kamu sebelum kamu dihitungkan (di hari akhirat kelak).”

Bermuhasabah akan membolehkan seseorang itu peka serta menyedari kelemahan dirinya seterusnya bersedia melakukan penambahbaikan. Kesedaran yang terhasil daripada amalan muhasabah adalah anugerah Allah SWT kerana dari padanya seseorang boleh mengorak langkah mengubah nasib diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali merekalah yang mengubah nasib mereka sendiri.”

Sebaliknya apa yang amat membimbangkan akibat tiada muhasabah diri ialah seseorang tidak menyedari kelemahan dan kesilapannya menyebabkan ia berterusan dilakukan. Sedangkan pada masa sama, peka pula terhadap kelemahan orang sehingga suka mencari dan mendedahkan kelemahan orang lain.
Sedangkan larangan ini jelas disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Bina karektor individu

Muhasabah juga mampu mengenalkan kekuatan dan potensi sendiri. Kesedaran ini amat berguna untuk memacu kejayaan serta membentuk sikap, membina karakter individu atau pekerja dengan nilai murni seperti bersifat terbuka, positif, yakin diri serta bercita-cita tinggi meningkatkan kejayaan.

Sifat diri untuk menjadi pekerja terbaik melalui usaha muhasabah adalah akhlak mulia lagi terpuji. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah SWT menyukai mereka yang berbuat kebaikan.”

Sebagai langkah untuk meningkatkan kejayaan diri serta organisasi, muhasabah dalam pelbagai cara dan sistem perlu dibudayakan. Langkah strategik muhasabah diri boleh dilakukan dengan memikirkan sasaran kerja harian, mingguan dan bulanan meliputi beberapa soalan asas.

Contohnya, apakah tugasan atau kerja yang telah berjaya dilakukan semalam, sejauh manakah ia telah menepati apa yang dirancang. Jika tidak menepati sasaran, mengapa? Adakah kerja dilakukan dengan cara betul dan benar? Bagaimana untuk mengatasi kelemahan serta meningkatkan kualitinya?

Muhasabah terhadap sasaran kerja harian bukan saja dapat mengenalpasti masalah tetapi secara tidak langsung mewujudkan momentum kerajinan kerja. Apabila status pencapaian kerja sentiasa dikemaskini, kekuatan dan kelemahan dikenal pasti, maka semangat kerja akan dapat dibajai.

Bagi organisasi, muhasabah kerja yang telah dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme dan sistem pengurusan seperti perbincangan, mesyuarat, taklimat pagi, audit nilai, pengaduan awam, Hari Bertemu Pelanggan, penyediaan laporan kerja perlu dihayati serta dibudayakan.

Tujuan muhasabah kerja keseluruhannya untuk mengelakkan kerugian pada diri, organisasi dan masyarakat sama ada pada nilai usia, tenaga, masa mahupun wang ringgit yang ditegah selaras firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu meletakkan diri kamu pada kehancuran.”

Usaha sentiasa diredai

Selain matlamat keseluruhan, tindakan bermuhasabah ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya segala usaha titik peluh dan diri diredai oleh-Nya, selain mengelak diri daripada menjadi muflis kerana pekerjaan dibuat tiada kebenarannya.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu? Sahabat menjawab: Orang yang muflis di antara kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak memiliki kesenangan. Rasulullah bersabda: Orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun ia juga datang dengan membawa (dosa) menuduh, mencela, memakan harta orang lain, memukul orang lain. Maka orang itu diberikan pahala kebaikan yang dimiliki. Hingga habis pahala kebaikannya lalu dia pun dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Imam Muslim)

Besarnya hikmah bermuhasabah ini, marilah kita sentiasa melakukannya supaya kerja hari ini lebih baik dari semalam dan sentiasa mendapat rahmat serta keredaan Allah SWT.

Kehilangan MH370 mengajar erti pergantungan bantuan Allah

MISTERI kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak Sabtu terus menjadi tanda tanya yang kini telah memasuki hari ketujuh namun tiada menunjukkan sebarang berita.

Walaupun pelbagai kaedah telah diambil termasuk menggunakan bantuan teknologi dari dalam dan luar negara, namun masih menemui jalan buntu.

Tidak kurang pelbagai teori, cadangan dan andaian daripada pelbagai pihak juga dilihat mula memenuhi pelbagai ruangan termasuk media alternatif dan juga sosial.

Justeru, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, umat Islam disaran agar memperbanyakkan bertaubat dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.

“Islam menyeru semua umat Islam untuk berdoa dengan sesungguh berdoa, kembali memohon, merintih dan memperbanyakkan taubat kepada-Nya. Sebagaimana merujuk kisah Nabi Yunus a.s yang terpenjara di perut ikan Nun. Baginda tidak berhenti-henti bertaubat dan bertasbih kepada Allah SWT dengan tasbih, Laailahaillaanta subhanainni kuntum minazzalimin (Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim).

“Manakala doa yang juga boleh kita amalkan adalah merujuk kepada ayat 10 surah al-Kahfi yang bermaksud: Ya tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah pentunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami,” katanya.

Tambahnya, umat Islam harus menyakini bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakal tanpa berputus asa dengan keputusannya.

“Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan, maka kita sebagai hamba Allah SWT harus terus berdoa bermohon kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.

“Selain itu, saya juga memohon agar para alim ulama dan seluruh ahli keluarga penumpang pesawat di Malaysia untuk turut sama berdoa dan memohon kerana doa adalah senjata bagi orang beriman.

“Oleh itu, marilah kita kembali menjadi hamba yang mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah dengan berdoa dan solat hajat secara istiqamah, bersabar dan juga bertawakal,” ujarnya.

Othman turut menasihati masyarakat agar tidak melakukan apa-apa tindakan atau perbuatan yang bercanggah akidah dan syariat dalam usaha membantu mencari pesawat MH370 itu