• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Cara solat sunat Istisqa’ Minta Hujan

Solat ini biasa dilakukan bertujuan untuk memohon kepada Allah Taala supaya menurunkan hujan. Ini disebabkan kerana waktu kemarau yang panjang.

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah untuk solat ini ialah :

Puasa tiga hari, sambil itu bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa dan kezaliman.

1. Pada hari yang keempat, semua penduduk disuruh keluar dengan berpakaian sederhana menuju ke tanah lapang. Di samping itu binatang-binatang ternakan juga perlu dibawa bersama. Maka pada hari tersebut semua penduduk disuruh supaya memperbanyakkan membaca istighfar.
2. Pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah bacalah Surah Sabbihisma Rabbikal A’la, dengan suara keras. Dan pada rakaat kedua pula dibaca surah Hal Ataaka Hadithul Ghasyiah.
3. Sesudah itu, khatib harus membaca dua khutbah, pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua pula dimulai dengan 7 kali istighfar.

4. Sunnah memperbanyak membaca do’a minta hujan di dalam khutbah yang kedua, yang diucapkan oleh khatib (pengkhutbah) terkadang dengan jahir (suara keras) dan terkadang dengan sir (suara perlahan) menzahirkan harapan dari alunan suara. Adapun jika do’a itu diucapkan dengan jahir maka ma’mum mengucapkan “amin” dengan jahir pula, dan jika diucapkan dengan sir maka ma’mum berdo’a sendiri dengan sir.

i)Sunnah pada akhir khutbah yang kedua ;

1) khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)
2) Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (sorbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi kebawah dan yang sebelah kanan menjadi kekiri.
3) kemudian berpaling lagi oleh khotib membelakangi kiblat pada akhir khutbah yang kedua itu.

NIATNYA

أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat ististiqa’ 2 rakaat kerana Allah Taala.

DOA SOLAT ISTISTIQA’

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ .

Maksudnya : “Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.

DOA2 LAIN

اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا ، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Maksudnya : “Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami”

‏اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا‏ مُغِيثًا ‏ ‏مَرِيئًا ‏ ‏مَرِيعًا ‏ ‏نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ

Maksudnya : “Ya Allah siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan dan yang baik kesudahannya yang bertapis-tapis yang memberi manafaat tidak memberi mudharat segera tidak berlambat-lambat”

‏اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ

Maksudnya : “Ya Allah siramilah hambaMu dan haiwan-haiwan ternakanMu dan sebarkanlah rahmatMu dan hidupkanlah negeriMu yang mati”

Waspada penghapus pahala

SUATU hari, Abdurahman bin Auf berkunjung ke rumah isteri Nabi yang bernama Ummu Salamah. Beliau memang terkenal sangat berbakti kepada isteri-isteri Nabi selepas kewafatan baginda. Beliau sering memberikan wang dan menyediakan semua keperluan rumah mereka.

Namun ziarah Abdurahman kali ini untuk meminta nasihat. Beliau berkata: “Wahai ibuku (setiap isteri Nabi merupakan ibu kaum mukmin), aku bimbang akan mendapat kesukaran di akhirat nanti akibat terlalu banyak harta yang aku miliki. Aku orang Quraisy yang paling kaya.”

Ummu Salamah berkata: “Wahai anakku, perbanyaklah berinfak. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sebahagian daripada sahabatku tidak akan berjumpa denganku lagi selepas aku meninggal dunia.”

Hadis yang disebutkan Ummu Salamah ini sangat mengejutkan Abdurahman. Beliau berasa kecut. Wajahnya masih terlihat pucat apabila keluar dari rumah Ummu Salamah.

Di tengah perjalanan, beliau berjumpa dengan Umar bin al-Khattab. Abdurahman menceritakan kepada beliau perihal hadis Ummu Salamah ini.

Sepertimana Abdurahman, Umar turut terkejut. beliau segera mendatangi Ummu Salamah dan berkata: “Demi Allah, adakah aku termasuk orang yang dimaksudkan Nabi itu?”

Ummu Salamah menjawab: “Tidak. Dan aku tidak akan membuka rahsia ini lagi kepada selain dirimu.” (riwayat Ahmad)

Hadis Nabi yang diceritakan Ummu Salamah ini jelas bukan ditujukan kepada para sahabat Nabi yang telah mengorbankan nyawa dan harta untuk Islam. Mereka telah dijamin akan mendapat ganjaran besar daripada Allah di akhirat.

Kaum munafik

Hadis ini berbincang tentang segelintir kaum munafik yang tubuhnya bersama Nabi, namun hatinya bersama kaum musyrikin. Mereka ialah seperti Abdullah bin Ubay bin Salul dan tokoh-tokoh munafik yang berkomplot hendak membunuh Nabi semasa perjalanan pulang dari Tabuk. Mereka inilah yang tidak akan melihat wajah Nabi di akhirat nanti sebab berada di neraka selama-lamanya.

Namun begitu, Umar dan Abdurahman berasa bimbang termasuk daripada kumpulan ini. Ini menunjukkan sikap mereka yang tidak pernah merasa baik dan suci kerana amal kebaikan yang mereka lakukan. Sebaliknya, mereka terus bimbang dan khuatir Allah SWT tidak menerima amal ibadah itu kerana kekurangan dan kelemahan mereka.

Berkenaan dengan ini, Imam Al-Syafii pernah berkata: “Orang yang paling tinggi darjatnya ialah orang yang tidak merasa tinggi. Dan orang yang paling mulia ialah orang yang tidak berasa mulia.”

Sikap seperti Umar dan Abdurahman ini terlahir daripada jiwa yang selalu bermuhasabah diri. Setiap kebaikan yang dilakukan tidak patut dingat-ingat. Apalagi dihitung-hitung pahala yang akan didapatkan lalu merasa tidak perlu meningkatkan amalan.

Amalan

Sebanyak apapun amalan yang kita lakukan, hakikatnya kita tidak pasti adakah Allah SWT menerima ataukah menolaknya.

Ibadah yang bernilai tinggi di sisi Allah SWT ialah yang ikhlas dilakukan untuk-Nya semata-mata. Sementara ibadah yang bukan kerana Allah SWT tidak akan berharga sama sekali.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah menceritakan bahawa orang pertama yang dicampakkan ke neraka ialah mereka yang berjuang, beribadah dan mengaji bukan kerana Allah SWT. Sebaliknya, mereka melakukan semua amalan ini agar menjadi sebutan ramai.

Sikap seperti ini disebut riak dan sum‘ah, iaitu melakukan ibadah kerana manusia. Sesiapa beramal agar dilihat manusia, maka itu riak. Siapa beramal agar berita amalan itu didengar oleh manusia, maka itu sum‘ah. Kedua-duanya menghapus pahala ibadah.

Rasulullah bersabda: Allah berfirman: Aku tidak memerlukan kepada sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. Dan amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu. (al-Bukhari dan Muslim)

Kerana ikhlas sangat sukar dipastikan, Umar dan Abdurahman selalu berasa bimbang meskipun mereka telah melakukan yang terbaik. Bagaimana kita yang selalu bergelimang kesalahan dan kekurangan?

Punca Kenakalan Anak

1. Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.

2. Faktor Peribadi Yang Kotor
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional (nafsu kehaiwanan), hasil daripada pengalaman yang diterima sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

3. Faktor sekolah
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Akhir-akhir ini ini dunia pendidikan kita pula tercabar melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Dahulu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu. Daripada hati kecil kita timbul persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan pelajar kita hari ini?
Mengikut kajian, faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

4. Faktor Persekitaran
Dalam Islam, persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik. Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan kehidupan beragama.

Tanggungjawab Mendidik Anak Menurut Islam

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Sebagai ibu bapa, seharusnya mereka mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Falsafah pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keislaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Satu hal yang amat penting dan wajar diberi perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti mengetahui cabaran yang menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT. Didikan ibubapa di rumah masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah SWT. Memang benar ibu bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka tetapi adakah didikan itu mencukupi dan diberi secara menyeluruh?

Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan bacaan dan lain-lain sumber ilmu pengetahuan kebanyakkannya tidak menjurus kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang tua, guru atau pelajar itu sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini. Ibubapa hari ini begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak mereka berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah ataupun menolong kedua-ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga sendiri.

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, seharusnya kita merenung dan mendalami punca kerosakan dan kaedah penyelesaian melalui sistem pendidikan anak yang diajarkan dalam Islam.

Kepentingan Pendidikan Awal Anak-Anak

Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ilmu/kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang. Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk dan perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlak perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya. Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlak, akibatnya generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya.

Jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.
Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilai dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut. Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia.
Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan. Justeru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang

Pendorong Tabiat Manusia Dari Perspektif Islam Dan Barat

1.0 MUQADDIMAH

Anak-anak yang dilahirkan merupakan satu ujian Allah SWT kepada kita. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang berbunyi :

Maksudnya “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal : 28).
Allah SWT telah menjelaskan kepada kita dalam ayat ini bahawa harta benda dan anak-anak yang kita sayangi ini merupakan satu ujian kepada kita. Jika harta benda yang kita perolehi dengan secara yang halal dan menggunakan ke jalan yang halal maka beroleh ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Dalam ayat ini juga Allah SWT telah menyebut anak-anak juga merupakan ujian kepada orang yang beriman. Jika anak-anak yang kita didik mengikut acuan Islam, maka kita akan beroleh ganjaran yang besar hasil ketaatan mereka.

2.0 PENDORONG TABIAT MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN BARAT

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia seperti berikut:

1. Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

2. Teori Analisis Transaksi. Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

3. Teori Behaviorisma. Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

4. Teori Pemusatan Klien. Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.

5. Dari perspektif Islam. Terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
a) Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
b) Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.
c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d) Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani tanpa dibimbing oleh al-Quran serta kajian itu dibuat berdasarkan kehidupan masyarakat di barat.

Contohi romantis Nabi s.a.w dalam cintai isteri

Rasulullah SAW sangat mencintai dan lembut pada isteri-isterinya. Yang berikut adalah contoh sikap luar biasa baginda yang harus diteladani oleh setiap suami:

1. Rasulullah SAW tidak pernah menyusahkan isterinya.

Jika pakaiannya koyak, Rasulullah SAW menjahit dan menampalnya sendiri tanpa menyuruh isterinya.

Rasulullah SAW selalu bertanggung jawab mencari nafkah untuk keluarganya. Contoh: Rasulullah SAW memerah sendiri susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2. Rasulullah SAW tidak segan membantu isterinya di dapur.

Contoh: Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum Rasulullah SAW menyingsingkan lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Rasulullah SAW sering memanggil isterinya dengan panggilan mesra. Contoh: Aisyah RA dipanggil dengan panggilan Khumaira (yang kemerah-merahan) oleh baginda.

3. Rasulullah SAW tidak pernah mendesak isterinya menyediakan makanan.

Contoh: Suatu ketika, Rasulullah SAW pulang pada waktu pagi. Beliau pasti sangat lapar saat itu. Tetapi dilihatnya tidak ada apapun untuk sarapan, bahkan yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka baginda bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?”

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.”

Rasulullah SAW lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari ini,” tanpa sedikit pun tergambar raut kesal di muka beliau.

4. Rasulullah SAW sangat marah ketika melihat seorang suami sedang memukul isterinya.

Contoh: Suatu ketika beliau melihat seseorang memukul isterinya. Baginda menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”

Orang itu menjawab, “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap berdegil juga, jadi aku pukul dia.”

Rasulullah SAW berkata lagi, “Aku tidak menanyakan alasanmu, aku bertanya mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu dari anak-anakmu?”

5. Rasulullah SAW tetap lembut dan santun kepada isteri.

Rasulullah selalu memperlakukan isterinya sangat istimewa sekalipun baginda adalah pemimpin umat Islam tertinggi, bahkan saat itu adalah pemimpin terbesar di dunia.

http://peribadirasulullah.wordpress.com/

Ustaz Mohammad Ismail meninggal dunia

Pondok Pasir Tumboh kehilangan seorang lagi tenaga pengajar yg juga merupakan anak didik pengasas pondok iaitu al-Marhum Ustaz Mohammad Ismail yg lebih trkenal dgn Us Mat Siam yang meninggal sebentar tadi. Jenazah baru sampai dari Hospital tanah Merah di mana al-Marhum 2 hari lepas dimasukkan ke awad kecemasan USM ttp trpaksa dipindahkan malam semalam di hspital Tanah Merah…moga jasa al-Marhum dlm melahirkan ramai pelajar yg hebat dijadikan suatu amalan yg tidak trputus pahalanya….

Solat jenazah akan ditunaikan selepas solat Isya’ nanti di masjid pondok. ..al-Fatihah…..

Makan ikut sunnah

 

SELAIN memberi penekanan terhadap aspek halal dan bersih dalam pemilihan makanan, bertitik-tolak daripada asas itu pula Islam turut menetapkan beberapa adab tertentu ketika menjamah makanan dan minuman agar dengan itu, maksud dan tujuan daripada keharusan makan dan minum itu tercapai secara syarie dan diredai Allah SWT. Antaranya;

1 Memulakan makan dan minum dengan

lafaz Bismillah. Rasullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah menyebut nama Allah, jika seseorang itu lupa untuk menyebut nama Allah apabila telah mula makan, hendaklah dibaca, ‘dengan nama Allah pada permulaan dan juga akhirnya. (riwayat Muslim)

2 Mengakhiri makan dan minum

dengan mengucapkan Alhamdulillah. Ini menandakan seseorang itu bersyukur dengan limpah kurnia rezeki yang diberikan Allah SWT, di samping bersyukur kerana Allah SWT masih memberikan selera dan keinginan untuk kita menikmati rezeki daripada-Nya.

3 Menggunakan tangan kanan ketika

makan, tidak gelojoh menyuap makanan, mengecilkan suapan serta mengunyah dengan baik supaya tidak menyakitkan halkum. Mulakan dengan mengambil makanan yang hampir dengan kita. Kegelojohan ketika makan amat bertentangan dengan naluri kesopanan manusia, ini kerana makan dan minum turut dianggap ibadat di sisi agama.

Rasulullah SAW bersabda: Wahai Umar, Ibnu Salamah, ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dengan apa yang ada di sekeliling kamu (yang hampir). (riwayat Bukhari dan Muslim).

4 Membersihkan sisa makanan yang

melekat di jari terlebih dahulu sebelum tangan dibersihkan. Islam menghendaki sisa-sisa makanan dihabiskan dengan mengulum atau menjilat jari kerana perbuatan membasuh tangan yang masih melekat dengan makanan adalah suatu penghinaan kepada rezeki Allah itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu makan, maka janganlah kamu menyapu jari-jari tangan kamu sehingga kamu mengulum terlebih dahulu (supaya sisa-sisa makanan benar-benar bersih terlebih dahulu).

5 Memungut semula makanan yang

terjatuh. Bersihkan dan bolehlah dimakan dan janganlah dibuang dengan sewenang-wenangnya. Tindakan membuang terus makanan adalah bermakna menyediakan makanan untuk syaitan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila terjatuh sesuap makanan seeorang kamu, maka hendaklah dikutipnya, dibersihkan kekotorannya dan makanlah dan jangan dibiarkannya untuk syaitan. (riwayat Muslim)

6 Janganlah meniup makanan yang

panas, tunggu sehingga makanan atau minuman itu sejuk. Begitu juga ketika minum, janganlah bernafas sambil meminum air. Daripada Ibnu Abbas r.a Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Nabi Muhammad menegah dari bernafas di dalam bejana (bekas air) atau meniup ke dalamnya.”

7 Menjauhkan diri daripada terlalu

kenyang. Biarpun tidak dinafikan bahawa kerana laparlah kita makan, tetapi kekenyangan yang diperlukan biarlah munasabah dan sederhana. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak seharusnya seseorang anak Adam itu memenuhi punca kejahatan dari perutnya. Memadailah dengan beberapa suapan yang dapat memelihara perutnya. Jika ini sukar dilakukan hendaklah sepertiga dari perutnya diisi dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan. (riwayat Bukhari dan Muslim)

8 Untuk mengedarkan makanan

atau minuman di dalam majlis jamuan hendaklah diedarkan kepada tetamu yang lebih tua umurnya. Suatu ketika dalam suatu majlis jamuan yang dihadiri Baginda Rasulullah, ketika itu duduk di kiri Baginda ialah seorang yang lebih tua umurnya, manakala di sebelah kanan pula ialah Ibnu Abbas. Maka ketika makanan diedarkan Ibnu Abbas memohon izin Baginda supaya didahulukan hidangan itu kepada orang tua yang duduk di sebelah kiri Baginda dan tidak kepada Baginda.

9 Bersama-sama yang lain yang

sehidang dengannya memulakan makan, tidaklah seseorang itu tergesa-gesa menyuapnya, sedangkan yang lain masih belum bersedia.

10 Setelah hidangan siap diatur dengan

sempurna, jemputlah yang hadir untuk menikmatinya dengan bahasa yang lembut dan beradab. Tidaklah dengan bahasa yang kasar, menyindir atau dengan suara yang kasar.

11 Islam juga memberi perhatian supaya

dapat diseimbangkan makanan dengan sahabat yang ada bersama ketika makan. Ini bermakna bukanlah makan dengan tergesa-gesa melebihi daripada sahabat yang lain. Apa lagi sekiranya makanan yang dihidangkan dalam saiz yang terhad.

12 Tidak mengambil kesempatan

memerhatikan orang lain sewaktu makan. Perbuatan ini boleh mengundang rasa malu atau boleh mengganggu tumpuan orang lain terhadap makanan.

13 Tidak melakukan sebarang

perbuatan buruk dan keji ketika makan, sama ada dengan kata-kata atau perlakuan. Elakkan menumpahkan makanan dari makanan yang diambil tertumpah di sana-sini atau sebarang suapan ke mulut turut mengenai orang lain. Dilarang juga berbual-bual dengan kuat ketika makan, apatah lagi ketawa berdekah-dekah yang boleh menganggu tumpuan orang lain yang sedang makan.

14 Makan secara berjemaah adalah

amat dituntut agama, lebih-lebih lagi jika dapat sehidangan dengan mereka yang kurang berkemampuan atau golongan fakir miskin.

Justeru, makan dan minum adalah merupakan satu perantaraan atau wasilah kepada yang lebih penting daripada itu. Ia jua buka bertujuan untuk mengecap dan merasai nikmat makan itu sendiri semata-mata, bahkan lebih daripada itu.

Ia bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan tubuh badan, di mana dengan tubuh badan yang kuat dan sihat akan membolehkan ibadat terhadap Allah SWT dilakukan dengan sempurna.