• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Ilmu lebih utama daripada amal

ALLAH SWT akan mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu sebagaimana firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah: 11)

Ketahuilah bahawa ilmu lebih utama daripada amal. Amal ibadah tidak diterima kecuali dengan ilmu. Ibnu Ruslan dalam kitab Zubadnya menulis syair yang bermaksud, setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalnya ditolak dan tidak diterima.

Ilmu pengetahuan adalah kawan yang setia ketika sepi, pembimbing ke jalan petunjuk agama dan modal dalam perjuangan untuk mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

Orang yang malas mencari dan menambah ilmu pengetahuan bagaikan lampu kehabisan minyak dan dia akan hidup dalam kegelapan.

Hidup akan cemerlang jika dibekalkan dengan ilmu pengetahuan.

Teman

Al-Jahiz berpesan supaya banyak membaca agar dapat mengusir kesedihan yang kamu rasakan. Beliau berkata: Buku adalah teman yang tidak dapat mengusirmu, sahabat yang tidak menyesatkanmu dan sahabat yang tidak memberatkanmu.

Buku adalah seperti orang yang tidak dapat meletihkanmu, tetangga yang tidak membuatmu kesal, sahabat yang tidak ingin mengeluarkan apa yang kamu miliki dengan rayuan, tidak memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak menipumu dengan kemunafikan dan tidak memperdayamu dengan pembohongan.

Buku merupakan barang yang jika kamu melihatnya, maka akan semakin menambahkan kesenanganmu, buku dapat mengasah otakmu, menyederhanakan pembicaraanmu sehingga mudah difahami, dapat memperbaiki tugas-tugasmu, mengagungkan ucapanmu, menjadikan dirimu nyaman, memanjangkan umurmu, menghadiahkan penghargaan besar bagimu daripada orang awam dan dapat menjadikanmu sebagai kepercayaan penguasa.

Dengan buku, dalam jangka waktu sebulan kamu dapat mengetahui sesuatu hal yang tidak dapat diketahui daripada orang lain selama hidupmu. Dengan buku kamu selamat daripada kerugian, kerja keras dan berlama-lama menunggu pelajaran yang sebenarnya dapat kamu pelajari sendiri.

Dengan buku juga kamu akan menjadi orang yang paling mulia akhlaknya dan paling mulia keturunannya di antara orang-orang yang ada di sekitarmu. Kamu juga akan selamat daripada orang yang membencimu ketika duduk bersama mereka.

Hakikatnya menerusi pembacaan, seseorang itu akan memperoleh banyak manfaat apatah lagi sekiranya mengkaji sebuah buku. Antaranya;

1. Menghilangkan perasaan was-was, gelisah dan sedih.

2. Menjauhkan seseorang dari berbuat kejelekan.

3. Dapat menyibukkan diri seseorang dari kegiatan para penganggur.

4. Memperbaiki dan melatih ucapan seseorang, menjauhkannya daripada kesalahan berbicara dan menghiasinya dengan kata-kata yang indah ketika berbicara dengan orang lain.

5. Mengembangkan akal, meningkatkan pemikiran, dan menjernihkan hati.

6. Dengan membaca seseorang dapat memperolehi ilmu yang berlimpah serta pelbagai pemahaman dari satu masalah.

7. Dapat memperolehi manfaat dan percubaan yang dilakukan oleh orang lain dan kesimpulan para ulama.

8. Dengan membaca dapat membentuk kemampuan untuk memecahkan suatu ilmu yang masih menjadi perkara misteri di samping menelaah kebudayaan-kebudayaan yang berpengaruh terhadap kehidupan manusia.

9. Dapat menambahkan keimanan, terutama ketika membaca buku-buku yang berkaitan dengan Islam. Ini kerana, buku itu seperti penasihat, pemberi peringatan yang terpenting, pencegah yang terbesar dan hakim yang paling adil untuk memutuskan sesuatu perkara.

10.  Kitab dapat menyelamatkan fikiran manusia, menyelamatkan hati daripada kehancuran dan menyelamatkan masa daripada kesia-siaan.

11.  Dengan membaca, seseorang dapat menetapkan suatu kalimat yang diambil, dipakai, membentuknya, mengetahui maksud dari suatu ibarat dan dapat mengetahui rahsia-rahsia hikmah yang terkandung di dalam suatu bacaan.

Selain itu terdapat lima kemahiran yang amat perlu bagi generasi pelajar membangunkan dirinya supaya mampu menjadi modal insan yang menyumbang ke arah pembangunan negara dan pembangunan umat manusia.

Selama ini kita menjadi umat pengguna dan umat penciplak terhadap keunggulan orang lain. Kita belum mampu menjadi umat penyumbang terhadap pembangunan umat dan pembangunan umat manusia.

Oleh itu, beberapa asas kemahiran yang penting dan utama perlu dikuasai oleh umat Islam atau pelajar di samping memiliki kecemerlangan akademik. Asas kecerdasan berfikir (IQ) harus dapat diseimbangkan dengan keteguhan emosi (EQ) dan menjadi ketangkasan rohaniah (SQ) sebagai pedoman utama dalam melakukan sesuatu amal.

Antara lima kemahiran itu adalah;

1. Kemahiran ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem.

2. Kemahiran berfikir.

3. Kemahiran berorganisasi.

4. Kemahiran berstrategi.

5. Kemahiran berkomunikasi.

Ubati strok dengan al-Quran

ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Dua minggu lalu ayah saya diserang angin ahmar. Doktor menerangkan berlaku pendarahan besar di dalam otak ayah. Kini ayah terlantar di hospital, lumpuh sebelah kanan badan. Ayah tidak boleh bercakap dan bergantung kepada kami untuk mengurus diri. Saya meminta tolong Tuan Haji menerangkan rawatan al-Quran untuk angin ahmar. Terima kasih.

* Khairul, Permatang Pauh

Jawapan

Penyakit angin ahmar atau strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus tiba-tiba. Otak memerlukan bekalan oksigen berterusan daripada darah. Jika bekalan darah terputus, sel otak yang terjejas akan rosak atau mati.

Kadangkala strok dipanggil ‘serangan otak’. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemia dan Strok Haemoragik.

Strok Iskemia berlaku bila terdapat darah beku di dalam saluran darah di otak menyebabkan tersumbat. Iskemia bermaksud pengurangan bekalan darah dan oksigen ke bahagian badan tertentu.

Dalam setengah penyakit strok, darah beku boleh terbentuk dalam saluran darah otak sendiri dan menyebabkan strok iskemia. Dalam kes strok iskemia lain, darah beku boleh terbentuk di luar otak dan bergerak ke otak seterusnya menyumbat saluran darah otak.

Strok Haemoragik (pendarahan) berlaku apabila saluran darah otak lemah, rosak dan pecah menyebabkan pendarahan dalam otak.

Terdapat dua jenis pendarahan otak iaitu Pendarahan Intracerebral dan Pendarahan Subarachnoid.

Pendarahan Intracerebral berlaku apabila saluran darah pecah di dalam otak kemudian mengalir ke dalam otak menyebabkan bekalan darah ke sel otak terputus dan sel otak akan rosak atau mati. Pendarahan jenis ini berlaku dalam satu daripada 10 kes strok.

Pendarahan Subarachnoid berlaku jika saluran darah pecah di ruang antara otak dan tengkorak. Ruang tersebut biasanya diisi cecair otak – cerebrospinal. Setiap satu daripada 20 kes disebabkan jenis ini.

Strok di Malaysia Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), setiap seorang daripada enam orang di Malaysia akan diserang strok.

Setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Strok adalah punca kematian ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser. Strok menyerang sesiapa sahaja.

Punca Punca berisiko tinggi berlaku strok terbahagi kepada dua tidak boleh diubah dan boleh diubah.

Risiko tidak boleh diubah:

* Umur

* Genetik

* Jantina

* Sejarah serangan jantung atau strok Risiko boleh diubah:

* Tekanan darah tinggi

* Merokok

* Kencing manis

* Kolesterol

* Obesiti

Simptom serangan strok Setiap fungsi tubuh yang berbeza dikawal oleh bahagian otak berbeza. Oleh itu, setiap simptom strok berbeza mengikut bahagian otak terjejas dan saiz otak yang rosak.

Satu atau lebih simptom tiba-tiba:

1. Tangan kaki lemah atau lumpuh.

2. Sebelah muka lemah. Air liur sentiasa

meleleh tanpa kawalan.

3. Masalah kestabilan, koordinasi badan,

percakapan, penglihatan, sukar menelan.

4. Rasa pening atau sakit kepala

5. Kebas di sebahagian daripada badan

6. Pengsan atau menjadi keliru

Kesan jangka panjang Jenis dan kadar kelumpuhan disebabkan serangan strok berbeza mengikut kadar kerosakan otak selepas serangan strok.

Serangan teruk boleh menyebabkan kematian. Jenis kesan jangka panjang serangan strok adalah seperti berikut:

1. Sebelah badan lemah.

2. Masalah kestabilan, koordinasi badan.

3. Masalah menelan.

4. Masalah percakapan dan komunikasi.

5. Masalah penglihatan.

Apa yang tersenarai di atas adalah contoh yang mungkin berlaku selepas serangan strok. Setiap strok berbeza dan kesan strok harus diteliti untuk setiap seorang pesakit.

Minggu terawal selepas strok, bengkak di sekeliling bahagian otak yang rosak akan kurang. Sebahagian simptom mungkin kurang atau hilang. Dengan rehabilitasi dan terapi, keadaan pesakit mungkin bertambah baik.

Rawatan moden Rawatan untuk strok melibatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja serangan strok berlaku dan rawatan rehabilitasi atau fisioterapi selepas pesakit strok stabil. Pesakit strok yang mengalami simptom awal serangan harus dihantar ke wad kecemasan secepat mungkin.

Rawatan segera penting untuk mengelak kematian. Rawatan kecemasan awal boleh mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan kesembuhan.

Rawatan kecemasan melibatkan penggunaan ubatan dan/atau pembedahan akan mengeluarkan darah beku dari otak.

Rawatan rehabilitasi dilakukan selepas pesakit stabil untuk membantu mendapat kekuatan fizikal, mengembalikan keupayaan fungsi badan dan membolehkan pesakit berdikari.

Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat membantu penyembuhan strok. Daripada pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengubati pesakit strok, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.

Kami mendapati ada unsur gangguan makhluk halus menyebabkan serangan strok dalam sebahagian pesakit.

Sejenis jin digelar Jin Ahmar masuk dalam badan pesakit dan merosakkan saluran darah dalam otak menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan pesakit mendapat strok.

Perubatan moden mengakui strok disebabkan pendarahan dalam otak, tetapi sukar menerangkan puncanya. Kita selalu mendengar pesakit muda, tiada sejarah keluarga, sihat, tiada darah tinggi atau diabetes tetapi mendapat strok.

Dalam kes demikian selalunya mereka diganggu Jin Ahmar dan perlu dikeluarkan daripada badan pesakit sebelum dirawat.

Setiap pesakit strok yang datang berubat, akan diperiksa jika ada gangguan Jin Ahmar. Selalunya jin Ahmar berada di dalam otak atau tulang belakang pesakit. Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan izin Allah mengeluarkannya jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. InsyaAllah ayat al-Quran yang dibaca pesakit dapat merangsang sel otak yang rosak akibat strok berfungsi semula.

Ayat-ayat tersebut adalah:

Surah Al-Israa’ ayat 40 hingga 55

Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89

Surah Az-Zumaar ayat 24 hingga 37

Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47

Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali waktu malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”

Penutup Kita sebagai umat Islam yang diberi nikmat Islam dan iman harus berpegang teguh, beramal dan yakin mukjizat al-Quran.

Keistimewaan al-Quran pasti membantu setiap insan di dalam kehidupan dunia yang silih berganti antara bahagia dan sengsara.

Apabila kita atau insan tersayang ditimpa strok, kita kena kuat dan tabah. Kadangkala keluarga pesakit tertekan menjaga pesakit strok. Ramai keluarga pesakit mengadu susahnya menjaga pesakit strok.

Bersabar, berikhtiar dan percaya semua dugaan dan ujian Allah ada hikmahnya. Antara cara memperkuatkan rohani dan hati apabila dilanda penyakit hati akibat musibah strok adalah membaca al-Quran setiap hari.

Penawar rohani paling mujarab sudah lama diberi kepada manusia, iaitu al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Yunus ayat 57: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”

Bacalah surat istimewa daripada Allah kepada hamba-Nya setiap hari. Jadikan amalan ini rutin, semoga kita mendapat keberkatan.

Bertawakal tanda kesempurnaan iman, tauhid

Tawakal kepada Allah SWT mampu mengangkat darjat hamba di tempat yang tertinggi di syurga seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, jadi bertambahkan iman mereka, dan hanya kepada Tuhan merekalah, mereka bertawakal. Iaitu orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).” (Surah al-Anfal, ayat 2-4)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah apabila disebut nama Allah hati mereka merasa takut, apabila dibacakan ayat-ayat Allah ke atas mereka keimanan mereka semakin meningkat, sentiasa bertawakal kepada Allah, tekun menegakkan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Merekalah golongan yang benar-benar beriman, tersedia bagi mereka di sisi Allah pelbagai darjat, maghfirah (keampunan) dan ganjaran yang mulia (syurga).” (Surah al-Ankabut, ayat 58-59)
Bertawakal kepada Allah adalah kewajipan atau tugas hati yang juga penyimpul keimanan. Tugas ini wajib ditunaikan kepada Allah SWT kerana kesempurnaan tauhid dan kesempurnaan iman tidak akan dicapai melainkan dengan kesempurnaan sifat tawakal terhadap Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kepada Allah saja kamu berserah (bertawakal), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 23)

Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kepada Allah saja kamu berserah (bertawakal), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 23)

Menggantungkan harapan kepada Allah

Hamba yang benar-benar bertawakal kepada Allah tidak akan menggantungkan harapan dan tidak akan takut kepada selain Allah, ia tidak mencari sesuatu matlamat selain daripada keredaan Allah, tidak meminta ditunaikan hajat kecuali daripada-Nya, tidak menggantungkan keinginan kecuali kepada Allah, tidak memohon sesuatu kecuali kepada Allah.

Kita mesti menyedari kesempurnaan tawakal ialah melaksanakan segala amal usaha yang patut dijalankan tanpa menggantungkan harapan kepada usaha itu, dan hendaklah memutuskan tali temali hati dengannya.
Sesiapa bertawakal kepada Allah, cukuplah baginya Allah dan Allah akan membimbingnya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq, ayat 3)

Intensif Kitab Muslimat 2014 (ditangguh)

Terbuka untuk 40 orang muslimat sahaja terutama lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan umum

Tarikh : Mulai 1 – 13 Januari 2014 (ditangguh pada suatub tarikh yang belum ditetapkan lagi. Harap maaf)

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 40 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

 Tarikh Lapor Diri & Bayar Yuran

2.30 petang Rabu 1 Januari 2014

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 16 tahun ke atas (terhad 40 orang sahaja)
  • RM 250 (termasuk makan minum, tempat tinggal dan kitab)

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Bab Haidh dan Nifas
  • Kitab Penawar Bagi Hati
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : pppb1995@gmail.com

Isteri solehah tonggak keluarga bahagia

Oleh Asri Md Saman @ Osman

Taat perintah agama, setia kepada suami jamin kerukunan mahligai dibina

Agama adalah faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai umat manusia zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri.

Namun, ramai yang masih tidak menyedari faktor pemilihan isteri berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia serta akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibn Hibban)

Sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Menjaga harta suami, kehormatan diri

Isteri yang solehah jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taat dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya serta memelihara kehormatan dirinya.

Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah taat kepada ajaran ajaran dan perintah Allah, rasul serta setia kepada suami.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara lemah lembut dan penuh sopan santun. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara, isteri dibenarkan membantah jika perintah suami boleh membawa dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhaka Allah SWT.” (Riwayat Ahmad)

Kepatuhan isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama kerana di samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, suami juga bertanggungjawab membimbing isteri. Maka, isteri harus setia kepada suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.” (Riwayat Abu Daud)

Laksanakan kewajipan dengan baik

Seterusnya, seorang isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT supaya sentiasa berada di rumah dan tidak dibolehkan pergi ke mana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri, tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri dan melaksanakan kewajipannya.

Hikmah arahan Allah SWT ialah supaya isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah, tetapi ia sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara urusannya itu.” (Riwayat Bukhari)

Sifat tabii wanita ialah suka menghias diri. Namun, ada yang tidak faham dan akan berhias diri ketika hendak keluar rumah. Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami supaya suami berasa terhibur.

Jika suami pulang disambut oleh isteri dengan wajah berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia akan menjadi penawar bagi suami hingga keletihan mencari rezeki hilang dan bertambah kasih sayangnya terhadap isteri.

Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Jabir, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW bersabda: Bersabarlah, masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.” (Riwayat Muttafaqun alaihi)

Berhias untuk suami

Berhias bukan saja ketika menyambut suami pulang, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri. Ia dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga.

Bagi memastikan kerukunan rumah tangga, isteri yang solehah perlu menunaikan tanggungjawab dan menghormati suami. Pada masa sama, suami hendaklah membimbing isteri supaya keluarga dapat dipimpin ke arah mencapai keredaan Allah SWT.

5 Cara berfikir capai fadhilat Tafakkur

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, penulis ingin mengajak perbincangan berkenaan dengan galakkan untuk sama-sama kita menjana akal, untuk berfikir. Inilah yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Adapun memikirkan ayat-ayat tentang kekuasaan Allah, dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya malam dan siang serta kejadian manusia itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di bumi bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat? (al-Zariyat: 20-21)

Keistimewaan ciptaan Allah SWT yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akal yang membolehkan manusia berfikir dan mendapat hidayah ke arah yang benar dan betul dengan taufik Allah SWT.

Berfikir adalah aktiviti menggunakan maklumat yang sedia ada dan diketahui untuk mengenali hakikat sesuatu yang belum diketahui.

Selagi maklumat tersebut menepati syarat yang benar, selagi itulah ia menghasilkan natijah yang baik.

Adapun maklumat dan pengetahuan itu benar dan tepat, ia akan mendorong seseorang ke arah keperibadian yang mulia dan beramal soleh yang membawa mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Manusia ialah makhluk yang tidak boleh dikuasai dengan paksaan semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh dibentuk dan dipimpin melalui pemikiran dan prinsip nilai dan harga diri.

Justeru, apabila manusia mengamalkan nilai-nilai tersebut maka seluruh tingkah laku dan akhlak mereka menjadi cemerlang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berfikir ialah menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu mempertimbangkan baik-baik dan sebagainya.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan akal fikiran untuk mencapai kepada matlamat kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan fikiran yang bernas bersumberkan wahyu Ilahi dan petunjuk Nabi. Begitu juga pengalaman orang-orang soleh sudah tentu dapat menyelesaikan banyak kemelut kehidupan.

Bukan sekadar itu sahaja, tetapi ia boleh melonjakkan seseorang untuk merentasi masa dan kemajuan tamadun dengan pantas. Ini bermula dengan fikiran dan langkah yang pertama akan dapat melahirkan dan merealisasikan perkara yang dianggap mustahil pada hukum adat. Itulah kekuatan fikiran.

Abu Laith berkata: Jika seseorang ingin mencapai fadilat tafakur, maka hendaklah berfikir dalam lima cara.

1. Memikirkan ayat-ayat yang membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah.

2. Memikirkan nikmat pemberian Allah.

3. Memikirkan pahala yang dijanjikan oleh Allah.

4. Memikirkan seksaan hukuman Allah.

5. Memikirkan apa yang diredai dan dimurkai oleh Allah.

Ada juga pendapat: Ala’ itu tibanya nikmat, dan na’ma itu terhindarnya bala. Firman Allah yang bermaksud: Jika kamu akan menghitung nikmat Allah nescaya tidak terhitung. Maka apabila seorang memikirkan nikmat-nikmat Allah akan timbul rasa cinta kepada para walinya, maka memikirkan yang demikian menambah kerajinan, ketangkasan beribadat dan taat.

Malah apabila memikirkan azab yang telah diperingatkan Allah pada orang-orang yang kafir, maka itu akan menimbulkan rasa takut sehingga lebih ringan untuk meninggalkan segala larangan Allah.

Adapun kebaikan Allah ketika menutupi dosa-dosanya dan tidak terburu-buru menyeksa, bahkan masih tetap dipanggil supaya bertaubat, maka memikirkan yang demikian ini menimbulkan rasa malu pada Allah SWT.

Apabila seorang memikirkan yang lima ini, maka ia termasuk dalam golongan orang yang disebut dalam hadis Nabi SAW: “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadat satu tahun. Dan jangan berfikir selain yang tersebut itu, kerana timbulnya fikiran pada yang lain-lain itu hanya berupa was-was belaka.”

Apabila fikiran manusia berkembang, ia menyebabkan daya tafakur manusia berkembang sama. Oleh itu, wujud kepelbagaian dalam kejadian dan kehidupan. Manusia cenderung mengambil perspektif dalam berfikir.

Daya tafakur menyebabkan manusia bersikap kreatif dan kreativiti manusia melakukan rekaan dan gubahan menyebabkan fikirannya berkembang dan memberi manfaat kepada yang lain. Sekiranya fikiran manusia membeku tidak akan ada kemajuan dan perubahan dan ia menyebabkan pemikiran menjadi beku dan kadang-kadang jumud.

Semoga Allah memberi kepada kita kelapangan dalam hidup, untuk menjadi hamba Allah yang soleh, yang sentiasa menjana akal fikiran kearah kebaikan. Amin.

Halaqah Ilmu 2013 (Telah tutup pendaftran)

Istimewa Cuti Sekolah/IPT

Tarikh : 30 November  – 14 Disember 2013

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 80 orang (telah penuh)

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms / facebook

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 11 – 24 tahun (terhad 80 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

30 November 2013 (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban

Pelajar yang lemah jawi dan al-Quran

  • Diletakkan dalam kelas khusus
  • Tekan Fardhu ‘Ain berdasarkan kertas kerja khusus
  • Tekan pembelajaran Iqra’
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Sila hubungi :

019- 9388902(Ust. Shairazi ) / 013-2756400 (Hafiz) / 0135936295 (Shukri)

facebook : albakriah

Blog : albakriah.wordpress.com

Web : www.al-bakriah.com.my

7 tanda taubat diterima

Taubat yang benar dan diterima Allah SWT itu ada tanda-tandanya yang dapat dilihat.

Pertama, selepas bertaubat, dia lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Selalu menyesal

Kedua, hatinya selalu dihiasi rasa takut kepada Allah SWT, tidak pernah berpisah dengan-Nya siang dan malam sehingga ia mendengar malaikat berbicara pada ketika mencabut nyawanya seperti firman

Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Ketiga, selalu menyesal kepada Allah SWT, penyesalan yang datangnya dari lubuk hati, menghadap Allah SWT dengan rasa malu, takut dan hina.

Keempat, merasa dan menyedari buruknya perbuatan dosa dan bahayanya.

Bahayanya perbuatan dosa antaranya ialah menyempitkan hati, wajah menjadi suram, urusan menjadi sulit, malas beribadat, dibenci oleh ramai manusia, badan menjadi lemah, terbiasa melakukan perbuatan dosa, hilangnya rasa malu, berkurangnya nikmat hidup, hidup sengsara, mati su’ul khatimah dan mendapat seksa di akhirat.

Kelima, menjauhi dan meninggalkan kawan-kawan yang berperangai buruk kerana seseorang akan selalu mengikuti kebiasaan temannya. Allah SWT mengingatkan akibat berkawan dengan mereka.

Firman Allah SWT: “Dan Allah ingin menerima taubatmu, sedangkan orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran).” (Surah an-Nisa’, ayat 27)

Justeru, berhati-hatilah dengan kawan-kawan yang berperangai buruk, berpalinglah dari mereka dan ikutilah selalu jalan orang soleh. Ibn Atha’illah berkata: “Janganlah kamu berteman dengan seseorang yang keadaannya tidak membuatmu terdorong untuk berbuat baik dan ucapannya tidak membimbingmu menuju Allah.”

Elak dosa kecil

Keenam, tidak menganggap remeh dosa-dosa kecil seperti melihat perempuan yang bukan mahram dan bersalaman dengannya. Bilal bin Sa’ad berkata: “Jangan kamu melihat kecilnya dosa yang kamu lakukan tetapi lihatlah pada besarnya yang kamu langgar perintah-Nya.”

Ketujuh, melenyapkan segala sesuatu yang menjadi sebab berlakunya maksiat seperti majalah lucah dan sebagainya. Jika tanda-tanda itu ada dalam diri saudara, Insya Allah taubat saudara diterima Allah SWT.

Jaga silaturahim dengan jiran terdekat

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu aku mengenai amalan yang membolehkan aku masuk syurga”.

Jawab Rasulullah SAW: “Beribadahlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan solat, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim”.
Islam mementingkan hubungan silaturahim sesama manusia. Tanpa mengira bangsa, pangkat kedudukan atau agama sekali pun.

Malah, Rasulullah SAW berkali-kali menekankan perkara itu kerana ia dipuji dan dimuliakan Allah SWT.

Dalam Surah an Nisaa’ ayat 36 yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan hamba sahaya mu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan berbangga diri.”

Menurut huraian ayat itu, jauh dan dekat di sini ada yang mengertikannya sebagai tempat, hubungan kekeluargaan dan apa pula di antara Muslim dan bukan Muslim.

Justeru, di sini, dapatlah kita melihat bahawa Islam terlalu mementingkan hubungan antara jiran kerana dapat memperkukuhkan perpaduan dan yang membawa kepada keamanan hidup berjiran.
Kena jaga tepi kain orang

Mungkin sesetengah pihak menganggap sikap menjaga tepi kain orang adalah tabiat yang tidak elok, tetapi cuba lihat dari segi positifnya apabila seorang jiran itu mengambil tahu apa yang terjadi kepada jirannya tentunya banyak perkara tidak diingini boleh dielakkan seperti merompak atau menculik.

Islam juga mengajar umatnya banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha meningkatkan hubungan silaturahim dengan jiran termasuk menghadiahkan sebahagian juadah kepada jiran dan bertegur sapa.

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda supaya sahabat memberikan juadah masakan kepada jiran khususnya jika masakan itu berbau kuat sehingga menyebabkan jiran itu berhajat dengannya.

Daripada Abu Dzar ra katanya, sabda Rasulullah SAW: “Wahai Abu Dzar apabila kamu merebus daging (membuat sup) banyakkan airnya (kuahnya) dan hendaklah engkau ingat jiran engkau.”

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Dzar juga katanya: “Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) berpesan kepadaku, apabila engkau memasak daging banyakkan airnya, kemudian lihatlah kaum keluarga jiran engkau dan berilah sebahagian daripadanya dengan cara yang baik.”

Isteri kesayangan Baginda SAW sendiri, Aisyah ra pernah berkata. “Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, aku mempunyai dua jiran tetangga yang berdekatan maka yang mana satukah boleh aku berikannya hadiah?” Jawab Rasulullah SAW: “Berikan (hadiah itu) kepada jiran yang paling dekat pintu rumahmu.”

Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim.”

Benci golongan putus silaturahim

Rasulullah SAW amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim itu menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

Mewujudkan silaturahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa saja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

Jauhi azab muflis di akhirat

Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bertanya: “Tahukah kamu siapakah sebenarnya orang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki wang dan harta.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang nanti pada hari kiamat datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu, dia juga pernah mencaci maki si polan ini, menuduh si polan,  memakan harta si polan ini, menumpahkan darah si polan ini dan memukul si polan ini. Maka si polan ini akan diberinya pahala kebaikan orang itu. Kemudian jika pahala kebaikannya itu habis sebelum mencukupi apa yang menjadi tanggungannya, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diambilnya untuk dipikul kepada orang yang menzaliminya, kemudian sesudah itu barulah dia dilemparkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)
Demikianlah dialog menarik antara Rasulullah SAW dengan sahabat yang diriwayatkan Imam Muslim mengenai orang yang muflis. Sahabat menjawab pertanyaan Rasulullah SAW mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan orang muflis itu. Mereka berkata, “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta.”

Orang yang rugi

Itu adalah persepsi umum, iaitu orang muflis itu, orang yang kerugian sehingga kehabisan wang dan hartanya. Namun ia berbeza dengan sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas. Dosa orang muflis itu dianggap perbuatan mazmumah dan Rasulullah SAW menjelaskan seperti berikut:

Pertama, mencaci maki orang lain. Bila seseorang mencaci-maki orang lain, biasanya akan keluarlah kata-kata yang tidak senonoh dari mulutnya sehingga mengakibatkan hilangnya harga diri orang itu.

Padahal, harga diri seseorang manusia dalam Islam sangat dimuliakan. Apabila seseorang manusia merendahkan dan melecehkan harga diri seseorang yang lain, dia pada hakikatnya melampaui kekuasaan Allah SWT.
Hal ini kerana Allahlah saja yang paling berhak merendahkan manusia yang menyekutukan-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan ketika hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 19)

Kedua, menuduh orang lain. Fitnah adalah amalan paling keji kerana fitnah lebih kejam daripada membunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana saja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang yang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Memakan harta orang lain

Ketiga, memakan harta orang lain. Perbuatan ini menimbulkan banyak mudarat kepada pihak lain, apatah lagi harta itu diambil dengan cara kasar, tidak benar dan tanpa berperasaan, termasuk amalan rasuah, lebih-lebih lagi merampas harta anak yatim adalah perbuatan yang amat dimurkai Allah SWT.

Ini adalah satu peringatan kepada pemegang amanah dana atau harta umat Islam terutama harta anak yatim, seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala”. (Surah al-Nisa’, ayat 10)

Keempat, membunuh orang lain. Islam sangat memuliakan manusia sehingga nilai nyawa seseorang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Membunuh seorang manusia adalah sama dengan membunuh semua manusia di seluruh alam semesta ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Kelima, memukul atau menganiayai orang lain. Islam sangat menjunjung tinggi jalinan persahabatan dan ikatan persaudaraan antara sesama manusia. Islam menolak permusuhan dan perbalahan sehingga terjadinya penganiayaan baik menghina mahupun memukul seseorang.