• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,205,002 orang
  • Tetamu Online

Jakim bantah konsert kumpulan “Lamb of God’

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantah kehadiran kumpulan heavy metal ‘Lamb Of God’ yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur, pada 28 September depan.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, bantahan berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

“Kumpulan itu juga pernah mengundang kontroversi sebagai sebuah kumpulan yang memuatkan unsur spiritual jahat dan anti ketuhanan oleh masyarakat Kristian sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bantahan itu juga, selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Justeru, Jakim bimbang dengan kemasukan artis heavy metal seumpama itu dikhuatiri akan menyuburkan semula aliran black metal di negara ini.

“Diharapkan pihak berkaitan tidak meluluskan kemasukan kumpulan tersebut dengan mengambil kira sensitiviti umat Islam di samping tidak membuka ruang kepada berlakunya krisis akidah, permasalahan moral dan keruntuhan akhlak,” menurut Jakim.

Kumpulan yang berasal dari Amerika Syarikat itu sebelum ini dikenali dengan nama ‘Burn The Priest’.

– Bernama

Erti kemerdekaan hakiki

ESOK genaplah ulang tahun ke-56 negara tercinta kita Malaysia. Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang bergema di setiap pelosok negara pastinya perlu dihayati sepenuhnya agar semangat laungan tidak tinggal laungan semata-mata.

Pun begitu dalam keghairahan menyambut kemerdekaan ini, perlu ditanyakan dalam diri setiap daripada kita, adakah kita benar-benar memahami serta menguasai erti kemerdekaan itu? Ataupun ia sekadar rutin melepasi tarikh 31 Ogos yang ditempoh setiap tahun.

Hakikatnya, sebuah negara boleh dikatakan merdeka secara hakiki apabila kemerdekaan tersebut terjadi secara menyeluruh dalam semua bidangnya. Kemerdekaan tersebut bukan hanya dalam konteks negara semata-mata tetapi juga individu dan masyarakat yang menjadi pengisi sebuah negara.

Dalam konteks individu, kemerdekaan bererti terbebasnya seseorang itu daripada tekanan hawa nafsunya dalam melakukan segala aktiviti yang membinasakan dirinya.

Pengertian individu yang merdeka ialah seorang yang ketika ia bersikap dan berperilaku selalu didasarkan kepada pertimbangan rasional.

Bagi orang yang beriman, pertimbangan rasionalnya adalah apabila ia melandaskan segala perbuatan dan tingkah lakunya bermatlamat kepada undang-undang dan sunnatullah.

Saidina Ali mengibaratkan hal tersebut dalam satu ungkapan, “Seorang hamba beramal kerana takut hukuman, pedagang beramal kerana menginginkan keuntungan dan orang merdeka beramal kerana mengharap keredaan Allah SWT.”

Jika ada seorang manusia dalam kehidupannya yang sentiasa dikendalikan hawa nafsunya, maka bererti dia belum menjadi orang yang merdeka sebenarnya. Kerana ia terbelenggu oleh hawa nafsunya yang sentiasa memaksanya untuk melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan akal sihat manusia.

Kehidupannya yang selalu terjajah oleh hawa nafsunya sendiri sehingga mengakibatkan dirinya sendiri terjerumus ke jurang kebinasaan di dunia mahupun di akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Adapun orang yang melampau batas dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. (an-Naazi’at: 37-39)

Dalam Tafsir Fathul Qadir, Imam as-Syaukani menyatakan, orang yang melampau batas adalah dalam kekufuran dan maksiat kepada Allah. Lebih mengutamakan dunia berbanding akhirat.

Manakala Imam al-Baidhawi menyebutkan, maksud ayat di atas adalah orang yang melampaui batas hingga dia kufur serta memilih kehidupan dunia dan tidak mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat dan membersihkan diri daripada hawa nafsu, maka tempat kembalinya adalah neraka.

Sedangkan dalam konteks masyarakat pula, erti kemerdekaan adalah apabila mereka tidak lagi menjadi pengikut pemikiran dan budaya bahkan agama penjajah. Masyarakat yang merdeka memiliki pemikiran, budaya dan agama yang khas yang membezakan mereka dengan masyarakat lain.

Kita boleh mencontohi masyarakat Madinah (Madani) sebagai masyarakat yang merdeka secara hakiki. Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda mulai membina masyarakat di sana dengan kehidupan yang Islamik jauh berbeza dengan sebelumnya.

Kemudian diubah Nabi SAW menjadi berlandaskan agama yang kukuh serta memunculkan ketenteraman dan keselamatan.

Budaya yang dahulunya jahiliah yang diwarisi daripada nenek moyang, dipenuhi tahyul dan khurafat diganti menjadi budaya yang Islamik, rasional dan bernilai luhur.

Adakah masyarakat kita memiliki pemikiran dan budaya yang terlepas daripada budaya para penjajah?

Jawapannya kita sendiri yang perlu menilaikannya di sekeliling kita hari ini. Mulai dari cara berpakaian, makan, bergaul, berjiran dan lain-lainnya. Apa lagi jika disebut hal-hal jenayah, tembak sana sini, rompak, bunuh, ragut, buang bayi, rempit, rasuah, dadah, pecah rumah, curi kenderaan, pergaulan bebas dan macam-macam lagi, masyarakat kita sangat jauh daripada ciri khas masyarakat Madani dan Islam.

Ternyata kita baru terlepas daripada belenggu penjajahan secara fizikal sahaja walaupun sudah 56 tahun merdeka. Mengapa hal ini terjadi? Kerana racun yang ditinggalkan oleh para penjajah terus kita ‘minum’ dan kita ‘makan’ setiap hari. Bahkan, seolah-olah kita masih ketagihan meminum racun tersebut.

Racun itu bermakna pemikiran dan budaya para penjajah. Kebebasan berekspresi, pornografi dan pornoaksi, sikap individualistik, hedonisme dan seumpamanya adalah sederet pemikiran penjajah yang masih membudaya, malah seperti telah menjadi ciri khas masyarakat kita.

Padahal masyarakat kita adalah masyarakat yang kuat beragama, memiliki budaya luhur yang berlandaskan kepada agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

Semua itu diresap oleh badai dan gelora budaya asing penjajah sehingga kita tidak lagi memiliki identiti yang unik dan kental sebagai sebuah masyarakat yang berlandaskan agama.

Negara yang merdeka adalah yang terbebas daripada penjajahan secara fizikal, politik, ekonomi, sosial dan budaya. Negara tersebut bebas menerapkan undang-undang yang tegas serta peraturannya dan hukum-hukumnya dalam melindungi rakyat dan tanah air daripada pencerobohan luar dan dalam. Tidak ada tekanan dari negara-negara penjajah dan luar.

Bagi umat Islam tentu sahaja negara tersebut haruslah sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebuah negara yang menerapkan peraturan Allah dalam berbagai dasar dan kebajikannya.

Ini kerana dengan menjalankan peraturan Allah mereka akan menjadi umat yang selamat, maju dan dinamik serta tidak boleh dijajah oleh negara mana sekalipun jua di dunia ini. Hal ini telah dibuktikan oleh kaum muslimin di masa lalu.

Inilah kemajuan dan kebangkitan umat yang dijanjikan Allah dengan firman-Nya bermaksud : Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. (an-Nur: 55).

Tiga waktu dilarang ziarah

Kunjungan pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam tak sesuai kerana ia masa beristirahat

Pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih dengan kehangatan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Dalam keghairahan menyambut Syawal, pelbagai aktiviti disusun untuk memeriahkan sambutan seperti amalan berziarah, mengadakan kenduri, rumah terbuka dan sebagainya.
Amalan berziarah amat dituntut dalam Islam, apatah lagi dalam bulan Syawal sempena sambutan hari raya ini. Bahkan, Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas untuk kita mempraktikkan ajaran Islam melalui konsep berkenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama Muslim.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh yang demikian, amalan ziarah bukan saja untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim, tetapi ke arah pembentukan semangat perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Satu-satu kaum itu tidak dapat bersatu padu sekiranya tiada semangat perpaduan dan tidak wujud perasaan hormat-menghormati sesama Muslim atau bukan Muslim.

Nabi SAW menggambarkan bagaimana rapatnya hubungan antara individu Muslim dengan orang lain. Keimanan seorang Muslim itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dan tidak dapat dipisahkan dengan kasih sayang antara mereka.
Jika tidak wujud kasih sayang antara anggota masyarakat, sudah pasti sukar untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Malah, perasaan kasih sayang sesama Muslim akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

Amalan ziarah dapat merapatkan hubungan yang renggang, mendekatkan yang jauh, mendamaikan antara individu yang bersengketa, mempertautkan kasih-sayang, mengikis perasaan benci dan menghilangkan segala hasad dengki.

Walaupun demikian, sudah menjadi lumrah anak dibiarkan oleh ibu bapa untuk menonton televisyen di rumah berbanding diajak bersama untuk menziarahi sanak saudara.

Sedangkan tindakan itu, bukan saja menjauhkan anak kita daripada mengamalkan sunnah Nabi SAW, malah secara tidak langsung merenggangkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.

Kurang ambil berat renggang hubungan

Bahkan menyebabkan anak-anak juga tidak memandang berat mengenai hubungan kekeluargaan serta menyisihkan diri daripada bergaul dengan orang lain.

Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah penting bagi mendidik anak-anak supaya memandang berat soal hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Jika orang sihat pun disuruh untuk menziarahi apatah lagi orang yang sakit. Apabila amalan ini dipraktikkan, sudah pasti individu yang sakit itu akan merasakan bahawa dirinya diingati dan dihargai.

Dengan lahirnya perasaan gembira di dalam hati pesakit sudah pasti boleh membawa kepada ketenangan jiwa dan cenderung kepada kesembuhan daripada penyakit yang dialami.

Bukankah banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan mengenai galakkan untuk menziarahi orang yang sakit?

Bukankah dengan berziarah kita sebenarnya menyempurnakan hak yang patut diperoleh oleh saudara kita?

Hayatilah hadis ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, bermaksud: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima iaitu: menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan atau jemputan dan mendoakan orang yang bersin”.

Adab dalam memenuhi tuntutan ziarah

Dalam memenuhi tuntutan menziarahi, kita perlulah memelihara adabnya supaya pelaksanaan tuntutan itu sejajar dengan kehendak syariat. Antaranya, pertama: Meletakkan niat ziarah kerana Allah SWT untuk mengeratkan lagi hubungan, silaturahim tidak kira antara orang kaya ataupun miskin.

Menghubungkan silaturahim itu adalah satu tuntutan dan mempunyai banyak kelebihannya. Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik ra berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Kedua, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah sama ada menziarahi orang sakit, jiran tetangga, adik-beradik atau sahabat handai. Elak daripada mengunjungi pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam.

Hal ini kerana pada kebiasaan waktu tersebut adalah waktu beristirahat atau persiapan untuk keperluan ahli keluarga. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 58:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isya’, itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ketiga, apabila bertemu dengan tuan rumah, digalakkan untuk mendahului dengan mengucapkan salam dan seterusnya berjabat tangan dengan tuan rumah, dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada al-Barra’ ra, Rasulullah bersabda:

“Tidaklah dari kalangan dua orang Islam yang bertemu, lalu berjabat tangan bersalaman kecuali kedua-dua mereka diampunkan dosa sehingga sebelum mereka berpisah”.

Keempat, bertanya khabar dan tidak bercakap perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang yang dikunjungi.

Kelima, memelihara diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

Keenam, elakkan daripada bersikap sombong, riya’, takabbur dan bongkak. Sewajarnya perasaan bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk kesenangan yang ada

Keistimewaan puasa sunat

Oleh Anisah Ibrahim

Amalan boleh pelihara kesihatan jasmani dan rohani

Amalan puasa sunat sangat dituntut dalam Islam dan dilaksanakan kerana Allah untuk mengharapkan keredaan, keampunan serta mendekatkan diri kepada-Nya. Puasa sunat boleh dilakukan pada bila-bila masa jika seseorang itu berkemampuan kecuali pada hari diharamkan atau makruh untuk berpuasa.
Puasa sunat amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW khususnya pada hari Isnin dan Khamis. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah) pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Oleh itu, aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa.” (Hadis Hasan Gharib, riwayat Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.” Sabda baginda lagi: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.”

Hari Isnin dan Khamis adalah hari istimewa bagi Rasulullah SAW. Keistimewaan hari itu ialah hari Rasulullah SAW di lahirkan dan di turunkan wahyu kepadanya.

Sabda Baginda: “Hari itu (hari yang bersejarah) kerana padanya aku dilahirkan dan padanya aku di utuskan menjadi Rasul, pada hari itulah (mula-mula) diturunkan al-Quran kepada aku.” (Riwayat Muslim)

Kelebihan puasa sunat

Puasa sunat mempunyai banyak hikmah dan kelebihan antaranya, tanda bersyukur kepada Allah atas rezeki serta kurniaan nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya. Berpuasa juga membantu memelihara kesihatan jasmani dan rohani.
Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.” Sabda baginda lagi: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.”

Berpuasa juga dapat mendidik nafsu amarah supaya berubah menjadi nafsu lawwamah, seterusnya meningkatkan kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang tenang tenteram.

Puasa juga akan menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong, hasad dengki dan sebagainya. Apabila seseorang itu berpuasa ia akan membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung merasa rendah diri terhadap orang lain.

Di samping itu, ia juga melatih dan mendidik jiwa dengan sifat belas kasihan terhadap orang lain yang hidup susah atau menderita. Dengan ini, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang kurang bernasib baik dan merasai keadaan hidup serba kekurangan.

Puasa sunat dapat membantu kita memperoleh kecerdasan akal dan fikiran seperti disebut dalam satu riwayat: “Orang yang berlapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya.”

Latih jiwa tanggung kesusahan

Puasa sunat sangat dituntut bertujuan untuk menampung ibadah fardu. Puasa sunat adalah latihan jiwa yang luar biasa supaya kita bersedia menanggung segala kesusahan serta pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.

Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia di akhirat kelak.

Aisyah berkata, bersabda Rasulullah SAW kepadaku pada suatu hari: “Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )? Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan). Baginda bersabda: (Jika begitu) maka aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.

Puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan serta persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadan.

Rezeki berkat bila jaga solat

Oleh Radiatuladamiah Daud

Peniaga perlu jujur, tidak menyalahi syariat dalam urusan jual beli

Berniaga atau melakukan pekerjaan yang dibolehkan untuk memperoleh rezeki adalah sesuatu yang diperintahkan Islam kerana besarnya manfaatnya. Allah telah memerintahkan kita mencari rezeki mengikut cara dibenarkan.
Namun, di sebalik usaha mencari rezeki itu, umat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan ibadah kepada Allah kerana sering kali disebabkan terlalu sibuk bekerja hingga lupa bersolat.

Nabi SAW bersabda: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi, syuhada dan orang-orang soleh.”

Firman Allah SWT: “Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk memuliakan dan menyebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingat Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat.” (Surah an-Nuur, ayat 36-37)

Perniagaan kerja terpuji

Begitu juga apabila menjalankan perniagaan kerana kerja itu adalah perkara yang terpuji dan penting selagi ia tidak melalaikan ibadah seseorang atau menyebabkan dia menunda pelaksanaan solat berjemaah di masjid.

Nabi SAW bersabda: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi, syuhada dan orang-orang soleh.”
Berniaga memerlukan kemahiran dan elemen penting dalam perniagaan ialah jujur kerana berniaga membabitkan muamalah dengan orang ramai. Jika peniaga tidak jujur, memang boleh mendapat kekayaan mudah, tetapi adakah rezeki itu berkat?

Nabi SAW pernah melewati sekumpulan Muslim yang sedang berjual beli di pasar Madinah. Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai para pedagang. Maka mereka mendongak menunggu apa yang akan baginda katakan, dan baginda berkata: Sesungguhnya peniaga akan dibangkitkan sebagai pelaku kejahatan yang berdosa kecuali mereka yang takut kepada Allah, yang benar dan jujur.” (Riwayat Tirmidzi, dan berkata hadis ini hasan sahih)

Mencari sumber rezeki dengan jalan yang terbaik adalah jual beli yang padanya banyak kebaikan. Jual beli ini harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan syariat, sehingga seorang Muslim dapat menghindari daripada terjerumus ke dalam jual beli yang dilarang.

Jual beli yang dilarang ialah apabila urusan itu menyebabkan seseorang lupa beribadah atau menghalangnya daripada solat berjemaah di masjid.

Allah SWT berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 9-10)

Dilarang menjual barang yang cacat dan jika ada kecacatan hendaklah peniaga memberitahu pembeli mengenainya. Jika sengaja tidak memberitahu pembeli, maka ini adalah penipuan yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Sabda baginda: “Kedua-dua penjual dan pembeli berada dalam kebaikan selama mereka tidak berpisah satu sama lain. Maka jika kedua-duanya jujur dan saling memberikan keterangan dengan jelas, semoga jual belinya diberkati. Namun, jika kedua-duanya berdusta dan ada yang saling disembunyikan, hilanglah berkat jual beli kedua-duanya.”

Jika barang jualan itu cacat maka peniaga harus menampakkannya sehingga pembeli dapat melihat dan menyedari hal itu, supaya mereka dapat menawar dengan harga yang sesuai. Andainya pembeli tidak mahu, itu adalah hak mereka dan peniaga sudah menunaikan haknya juga.

Sebenarnya, di sebalik jaminan keuntungan yang mampu diperoleh daripada bidang perniagaan, banyak perkara yang perlu diberi perhatian serta dipelihara supaya rezeki daripada perniagaan dijalankan adalah rezeki yang halal.

Jangan ambil kesempatan

Jangan sesekali mengambil kesempatan daripada jaminan keuntungan dalam bidang perniagaan dengan melakukan perkara menyalahi syariat. Hasilnya mungkin besar, tetapi keberkatannya bagaimana. Selalunya rezeki daripada jalan salah, susah untuk kekal.

Oleh itu, bagi yang beriman kepada Allah, hatinya tidak akan tergamak melakukan penipuan dalam perniagaan. Justeru, hendaklah sentiasa memohon pertolongan Allah supaya tidak mudah terpedaya dengan keuntungan yang banyak hingga lupa untuk mencari keredaan Allah.

Khususnya umat Islam, hendaklah menunjukkan contoh terbaik dengan mengamalkan sikap jujur dalam berjual beli. Peniaga yang jujur akan dihormati dan rezekinya dengan izin Allah tidak akan berkurangan.

Amal 7 sunnah bentuk jiwa kental

Oleh Zamanuddin Jusoh

Tiga elemen penting dalam ibadat jana kekuatan, tingkat iman

Kehidupan manusia dipenuhi ribuan kisah sebagai pengalaman dan pedoman. Begitu juga al-Quran yang menghimpunkan antara 30 hingga 40 kisah kehidupan sebagai teladan untuk persediaan menghadapi hari kiamat.
Antara perkara diberi keutamaan oleh Allah SWT ialah jiwa manusia. Ada berjiwa kental dan ada sebaliknya. Sifat berani, pengecut, keterbukaan dan keakuan atau hanya melihat pada diri sendiri semata-mata, semuanya adalah daripada cetusan jiwa manusia.

“Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya mengikut hawa nafsu melainkan setelah datangnya wahyu” (Surah as-Syams, ayat 7-10)

Jelasnya, sifat berani, kental, keterbukaan dan ingin melihat kebahagiaan kepada semua manusia adalah sifat paling terpuji serta berkualiti tinggi.

Jiwa kental atau sebaliknya dapat dinilai melalui kemampuan seseorang. Kata hikmat pernah diungkapkan, “Jadilah seorang lelaki sehebat seribu lelaki, jika tidak mampu, maka jadilah seorang lelaki. Tetapi janganlah kamu menjadi separuh daripada lelaki kerana itu bukanlah lelaki sejati.”

Rasulullah SAW pernah membuat penilaian terhadap kualiti iman Abu Bakar dalam sabda Baginda: “Jika ditimbang iman Abu Bakar dan iman seluruh umat, maka beratlah timbangan Abu Bakar.”

Baginda SAW menjelaskan lagi dalam sabdanya bermaksud: “Abu Bakar tidak mendahului kamu dengan banyaknya solat ataupun puasa, tetapi beliau mendahului kamu dengan apa yang terpahat di hatinya.”
Sahabat bernama Amr As ketika membuka kota Mesir, memohon bantuan 4,000 tentera daripada Khalifah Umar Al-Khattab. Namun, Khalifah Umar hanya menghantar empat orang. Apabila ditanya, beliau menjawab: “Sesungguhnya aku menghantar seseorang yang lebih baik daripada seribu tentera. Demi Allah, Tuhan sekalian alam, suara yang dimiliki mereka adalah bersamaan 4,000 bala tentera.”

Wujud manusia berkualiti

Ini menjelaskan kewujudan manusia yang berkualiti dalam kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun, mereka yang memiliki jiwa pengecut juga ada seperti dijelaskan Allah SWT melalui kisah Nabi Musa dan Bani Israel.

Kisah bermula selepas Nabi Musa diselamatkan Allah SWT daripada kekejaman Firaun. Dalam keadaan kaki yang masih basah dengan air Laut Merah, Allah SWT berfirman: “Musa berkata, wahai kaumku, masuklah ke bumi yang suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah kepada kamu dan janganlah kamu berpaling kerana ia akan merugikan kamu. Mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya di dalamnya ada orang yang sangat kuat dan kejam. Kami tidak akan memasukinya selagi mereka berada di sana.” (Surah al-Maidah, ayat 21-22)

Kisah Talut dan Jalut yang dipaparkan melalui kisah penindasan terhadap Bani Israel. Antara mereka yang berani iaitu Talut. Mereka menuntut berjuang, namun hanya 313 yang melepasi ujian daripada Allah SWT, antaranya pemuda berumur 16 tahun iaitu Nabi Daud.

Hanya bilangan kecil berjaya bersama Talut adalah mereka yang berkualiti tinggi. Mereka menempah kejayaan ketika berhadapan tentera apabila Nabi Daud membunuh Jalut. Inilah kejayaan hasil daripada disiplin, kesabaran tinggi serta keberanian luar biasa.

Sayyid Qutb menekankan aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia adalah peradaban bagi manusia. Dunia hari ini didominasi perkara bersifat material. Ia hanya dapat dibendung dengan pendidikan rohani.

Untuk menjana kekuatan dan keberanian jiwa memerlukan beberapa panduan iaitu membina kekuatan melalui ibadat kerana amalan bersifat ubudi akan membina kekuatan jiwa. Setiap ibadat mesti mempunyai tiga elemen penting iaitu ilmu, kefahaman dan penghayatan.

Latihan bersaing antaranya istiqamah pada solat Subuh berjemaah, riadah harian untuk fizikal, susun jadual membaca setiap minggu, berdoa dan memasang niat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

Kita juga mestilah menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari iaitu tahajud, membaca al-Quran, jangan tinggalkan masjid khususnya pada waktu Subuh dan Asar, menjaga solat Dhuha, bersedekah, memelihara wuduk dan beristighfar.

Melakukan kerja kemasyarakatan kerana ia amalan Nabi dan solihin. Nabi Musa membantu golongan yang lemah seperti kisah bantuan Baginda kepada dua wanita (anak Nabi Syuib) untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki gagah perkasa.

Nabi Khidir pula membantu membangunkan tembok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak yatim untuk menyelamatkan harta itu daripada jatuh kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sahabat Nabi Muhammad SAW pula, sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama umpama kisah pembinaan Masjid Quba’ di Madinah.

Tak tuntut balasan

Al-Arqam bin Abi al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah Islamiah di Makkah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia dan lain-lain kisah dalam al-Quran.

Jadikanlah diri ikhlas dalam semua perkara dan bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan ganjaran. Marilah kita berusaha meningkatkan keimanan supaya tidak terputus proses tarbiah

5 pesanan penting Rasulullah s.a.w

Baginda SAW merumuskan peristiwa Israk dan Mikraj dengan beberapa pesanan penting dalam sabdanya: Pada waktu malam Israk dan Mikraj, Allah SWT telah memberikan lima pesanan berguna, antaranya:

Janganlah engkau terlalu cenderungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
Jabir bin Abdullah berkata: Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah? Berkata Rasulullah SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam neraka Sair. Jadikan cintamu hanya kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

Firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa kamu, dan anak kamu, dan saudara kamu, dan isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah, ayat 24)

Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga kerana tiada istilah rehat semasa di dunia.
Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya bilakah manusia akan merasakan kerehatan? Jawabnya: Manusia akan merasai kerehatan selepas kakinya melangkah ke syurga. Adapun sebelumnya tiada istilah yang bernama rehat.

Janganlah menaruh harapan daripada makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak berkuasa mengubah sesuatu pun.
Orang mukmin akan berputus asa dengan makhluk kerana makhluk tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kerana kekuatan sebenar adalah kekuatan Allah SWT. Dia bertawakal dan berserah diri hanya kepada Allah SWT.
Galakan mengerjakan solat tahajud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.
Ini adalah kerana malam mempunyai kelebihan tersendiri sehingga Allah SWT memilih peristiwa penting ini pada malam hari. Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu berqiamullail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi)

Konsep Idkhal as-surur sambut hari raya

Ustaz Zainudin Hashim
Idkhal as-surur bermaksud (memasukkan rasa senang/gembira) kepada ahli keluarga khususnya pada menyambut hari raya adalah satu amalan sunat yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.Kerana Idkhal as-surur itu bermatlamat agar dapat mewujudkan rasa gembira, mesra, kasih sayang antara sesama insan terutamanya terhadap kedua ibu bapa, adik beradik, sanak saudara atau kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai, kanak-kanak dan anggota masyarakat amnya. Ia adalah amalan mulia yang boleh dikatakan berpaksi kepada firman Allah SWT menerusi ayat 13 surah al-Hujurat (49) yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.”Jelas ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah untuk berbaik-baik berdasarkan perkenalan sesama mereka, bagi mengeratkan hubungan intim di kalangan mereka.Islam telah menetapkan garis panduan yang utuh dengan memasukkan rasa senag dan gembira di kalangan mereka sendiri bagi menjalani kehidupan yang penuh harmoni dan kedamaian yang hakiki.

 

Bagaimana keberkesanan idkhal as-surur di kalangan anggota masyarakat dijayakan?

Ia boleh diadaptasi menerusi pelaksanaannya secara praktikal:

1- Idkhal as-surur terhadap kedua-dua ibu bapa Iaitu dengan menunjukkan sikap hormat serta kasih terhadap mereka berdua, bukan kerana dengan kedatangan Syawal, malah sepanjang masa, kerana dengan sikap positif itu akan menggembirakan hati mereka dan tidak jadi masalah bagi mereka merestui setiap tindakan yang terbit dari diri anak-anak.

2- Idkhal as-surur terhadap adik-beradik Saling hormat-menghormati antara adik-beradik akan melahirkan rasa suka, mesra, kasih, dengan erti kata yang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati dan mengasihi yang lebih tua.

3- Idkhal as-surur terhadap sanak saudara/kaum kerabat Dengan menziarahi bapa serta ibu saudara, sepupu dan sebagainya dengan penuh erat khususnya pada hari raya, akan menambahkan keutuhan kekeluargaan, kerana apabila seseorang itu menziarahi bapa saudaranya pada hari raya sebagai contoh, dia tidak akan ditanya kenapa dia datang, berbanding dengan hari biasa, jika ada kunjungan ziarah diadakan, sudah pasti tanggapan bapa saudara bahawa anak saudaranya itu mahu pinjam wang atau sebagainya.

Kesempatan bertemu perlu dimanfaatkan dengan memohon maaf, apatah lagi sebagai pangkat anak saudara, dengan cara ini akan menimbulkan rasa kasih bapa saudara terhadapnya, matlamat Idkhal as-surur tercapai dengan salang bermaafan.

4- Idkhal as-surur terhadap jiran tetangga, sahabat handai. Ia boleh dibuktikan dengan saling bermaafan, bertukar-tukar juadah hari raya untuk sama-sama rasa masakan masing-masing, menyahut undangan untuk ke rumah mereka dan mengundang mereka ke rumah kita. Kerana menyahut undangan mereka walaupun kesibukan dengan kunjungan dan sebagainya, akan membahagiakan tuan rumah yang rasa bangga dengan kehadiran, maka akan tercapailah maksud kegembiraan pada hari raya, ia tidak perlu menunggu apabila ada anjuran rumah terbuka.

5- Idkhal as-surur terhadap kanak-kanak Mereka adalah golongan yang sentiasa bersyukur terhadap apa yang mereka terima dari tuan rumah, apatah lagi mereka digembirakan dengan pemberian duit raya yang semakin tersohor mutakhir ini, walaupun ia mungkin diadaptasi dari budaya kaum lain, namun pendekatannya tidak merosakkan intipati ajaran Islam.

Mudah-mudahan dengan kesyukuran yang mereka tunjukkan itu, menjadi penyebab keluasan rezeki bagi mereka yang memberikan duit raya tersebut. – lanh

Khutbah Aidil Fitri 1434H

خطبة عيدالفطري 1434

Khutbah Aidil Fitri 1434H

Kelebihan orang yang meraih lailatul Qadar

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan yang menjanjikan pembebasan daripada api neraka. Ini seperti dibahagikan Rasulullah pada 10 hari pertama sebagai bulan penuh kerahmatan dan 10 hari pertengahan Ramadan pula sebagai hari pengampunan segala dosa umat manusia. Lebih penting daripada itu, kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersepakat bahawa malam al-Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka berselisih pendapat malam yang ke berapa. Pendapat masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27. (Hadis riwayat Ahmad). Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan. Mereka yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan soleh.

Kelebihan malam al-Qadar tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu pada Ramadan. Fadilat malam itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan kehidupan sehariannya. Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga.

Kata Imam al-Qurtubi, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah dan umatnya.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 80 tahun lebih.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.” Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi Ramadan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal pada kemudian hari.