Selamatkan wanita dari neraka

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

KEDUA-dua hadis di atas adalah rentetan daripada peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW yang mana antara natijah terbesarnya adalah perintah kefarduan solat lima waktu sehari semalam.

Selain itu, hadis di atas juga amat memberi kesan kepada umat Islam waima kaum lelaki atau pun perempuan.

Walaupun ia merujuk kepada ramainya kaum hawa menghuni neraka, kaum lelaki tidak boleh pandang dingin atau berasa selamat.

Hakikatnya, setiap daripada kita mempunyai hubung kait dengan wanita. Siapa yang melahirkan kita ke dunia kalau bukan seorang wanita yang bergelar ibu.

Bagi seorang suami yang beriman, sudah pasti mereka mahukan isteri yang sama-sama melayari bahtera kehidupan di dunia ini bersama anak-anak turut berada di syurga yang penuh dengan kenikmatan.

Demikian juga bagi seorang bapa, sudah tentu mahu bergembira dengan anak-anak lelaki dan perempuan di dalam syurga Allah. Ayah yang soleh tidak akan rela melihat anak perempuan ditatang ibarat minyak yang penuh menjadi penghuni neraka.

Membuka bicara, Dr. Sharifah Hayati melontarkan persoalan mengapa ramai wanita menjadi penghuni neraka berbanding kaum lelaki.

“Ini jelaskan oleh sabda Nabi SAW yang antara lain maksudnya, kerana wanita mulutnya nakal suka mengata dan mengingkari suami dalam melaksanakan perintah yang baik,” katanya.

Dr. Sharifah Hayati juga mengingatkan umat Islam walaupun syurga itu adalah balasan Allah kepada orang beriman di akhirat kelak, masyarakat masih boleh memilih untuk berada di ‘taman-taman syurga’ semasa di dunia.

Ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu”. (riwayat at-Tirmidzi).

Untuk itu, kata Dr. Sharifah Hayati, orang soleh sebenarnya sudah boleh memasuki taman-taman syurga semasa hayat mereka sebelum memasuki syurga Allah di akhirat kelak.

Cara, jelas beliau, adalah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu baik di masjid, surau atau pun di pejabat.

“Orang yang menghadiri majlis ilmu, Allah akan anugerahkan kepadanya ketenangan tatkala mutiara-mutiara ilmu itu diserap dan disemat di minda dan jiwa-jiwa mereka.

“Malaikat juga akan sentiasa mendoakan orang yang sedang berada dalam majlis ilmu. Para malaikat sangat suka akan majlis ilmu sehinggakan para malaikat mengembangkan sayapnya untuk memayungi orang-orang yang berada dalam majlis ilmu,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Dr. Sharifah Hayati mengajak para suami mencontohi peribadi Rasulullah dalam melayan para isteri.

“Rasulullah biasa membangunkan Aisyah pada waktu malam bertanya adakah engkau mahu apa-apa lagi dan selepas itu barulah baginda berqiamullail.

“Para isteri pula, jangan perhati hanya yang buruk pada suami tetapi kena perhati kebaikan yang suami lakukan pada kita, barulah rumah tangga bahagia,” tambahnya.

Tugas suami

Sementara itu, Asni pula menekankan kepentingan para suami membimbing isteri masing-masing ke syurga.

“Para suami bertanggungjawab mendidik dan membimbing isteri masing-masing. Kalau isteri tidak pandai ambil wuduk, tidak pandai baca al-fatihah, Allah akan tanya si suami kenapa kamu tidak ajar isteri kamu?

“Sebab itu, suami kena melengkapkan diri dengan ilmu agama lebih-lebih lagi dalam bab fardu ain supaya isteri dan anak-anak dapat dibimbing seterusnya bersama-sama memasuki syurga Allah di akhirat kelak, insya-Allah,” katanya.

Menurut Asni, suami isteri itu diciptakan Allah untuk saling melengkapi selain ia sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah kepada para hamba-Nya.

Ini sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum: 21)

“Sebab itu, dalam suami mengharapkan isterinya menjadi sehebat Saidatina Fatimah, para isteri juga mengharapkan suami mereka persis Saidina Ali,” katanya.

Asni menambah, Nabi SAW juga menasihatkan golongan wanita agar membanyakkan sedekah kerana golongan itu cenderung bersikap kedekut.

Ketika baginda selesai berkhutbah hari raya yang berisi perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT dan anjuran untuk mentaati-Nya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda: Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api neraka jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya: “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami. (riwayat Bukhari)

“Saranan supaya bersedekah itu dibuat agar golongan wanita tidak terlalu cintakan dunia,” jelas Asni.

Kaum wanita, kata Asni, boleh menjadi penghuni syurga jika mengamalkan petua yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai”. (riwayat Ahmad)

Selain itu, katanya, para isteri hendaklah reda jika suami berkhidmat atau melebihkan ibu mereka dalam hidup berumah tangga.

“Sebagai isteri jangan pula cemburu kalau suami berkhidmat kepada ibu dan bapa mertua sebab tanggungjawab suami kepada ibu dan bapa mereka adalah hingga ke akhir hayat,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: