• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Sifat solat munafik

SOLAT adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat.

Apabila seseorang dapat menyempurnakan solat seperti yang ditunjukkan oleh nabi maka sempurnalah solatnya. Ia tergolong daripada orang yang beruntung di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Di dunia kerana solatnya itu dapat mencegah daripada melakukan kejahatan dan di akhirat, solatnya itu dapat mencegah daripada api neraka.

Lantaran itu, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakannya. Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara iaitu kemungkaran di dunia dan azab api neraka di akhirat kelak.

Solat yang sempurna merupakan pembersih kepada diri daripada dosa dan kejahatan.

Hal ini diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, apakah pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya?

Para sahabat menjawab: “Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya.”

Lalu baginda bersabda: “Begitulah perumpamaannya dengan solat lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka.”

Pun begitu kita kenalah berwaspada agar tidak tergolong dalam sifat-sifat solat orang yang munafik. Apakah itu ciri-ciri sifat solat munafik?

1. Solat bukan kerana Allah

Allah SWT berfirman dalam ayat 107 surah al-Taubah bermaksud, Dan di antara orang munafik juga ialah golongan yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang-orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka buruk itu ketara mereka akan bersumpah dengan berkata: ‘Tidaklah yang kami kehendaki mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata’. Padahal, Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Dalam perjalanan pulang dari perang Tabuk, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya pulang segera ke Madinah dan membakar masjid berkenaan bersempena turun ayat tersebut.

Abu Amir al-Rahib bersama rakan-rakannya dianggap musuh-musuh Islam sehingga para sahabat Rasulullah SAW menyelar lelaki itu dengan perkataan jahat.

2. Solat dalam keadaan malas

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu-daya terhadap agama Allah dengan berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batin dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas hanya bertujuan riak kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali.”

3. Merasa berat dalam solat

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seberat-berat sembahyang bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada kedua-dua solat ini, nescaya mereka tetap datang walaupun merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia bersembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api.

Keajaiban Air Zam-zam

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

TIDAK ramai orang mengetahui bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter air pada musim haji dan tidak pernah kering walaupun sekali.

Pernah seorang ilmuwan diperintahkan oleh Raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar daripada seorang doktor dari Mesir mengenai air zam-zam.

Berapa juta liter air zam-zam yang diambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara ringkas. Jika jemaah haji yang datang dari seluruh dunia pada setiap musim haji berjumlah lebih kurang dua juta orang.

Semua jemaah diberi lima liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika dua juta orang membawa pulang masing-masing lima liter air zam-zam ke negaranya, ini sudah menjadi 10 juta liter.

Di samping itu sepanjang berada di Mekah, katakan kebanyakan jemaah haji tinggal selama 25 hari di sana dan setiap orang menghabiskan satu liter sehari. Maka jumlahnya sudah mencapai 50 juta liter.

Pada 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada media di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.

Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu adalah di bawah garis permukaan laut, air zam-zam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zam-zam.

Berita itu telah sampai ke pengetahuan Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar contoh air zam-zam ke makmal-makmal di Eropah untuk dilakukan uji kaji.

Tariq Hussain seorang ahli kimia yang bekerja di Institut Peresapan Air Laut untuk air minuman di Jeddah ditugaskan melakukan penyelidikan.

Pada awal memulakan tugasnya, Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.

Ketika sampai dalam telaga zam-zam, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18×14 kaki sahaja (kira-kira 5×4 meter).

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil itu boleh mengeluarkan jutaan gelen air setiap kali musim haji dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang silam semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.

Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11 hingga 18 liter air perdetik dengan demikian setiap minit sejumlah 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang menakjubkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga zam-zam dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya lima kaki lapan inci.

Kemudian dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya.

Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apa-apa pun.

Dia berfikir mungkin air telaga itu diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar. Jika begitu keadaannya maka dia boleh melihat turun naiknya permukaan air secara tiba-tiba.

Tetapi dugaannya meleset, Tariq tidak menemui gerakan air yang mencurigakan dan alat yang dapat mendatangkan air dalam jumlah yang besar.

Seterusnya dia meminta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam di tempatnya sambil mengamati sekelilingnya.

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil mana pun. Setelah melakukan proses tersebut dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: “Alhamdulillah, saya temuinya! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku dan air itu keluar dari dasar telaga.”

Lalu pembantu Tariq diminta berputar mengelilingi telaga ketika tiba masa penghisapan air oleh paip air untuk keluar. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum dipam.

Aliran air yang keluar sama besarnya di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.

Sementara itu, hasil penyelidikan contoh air zam-zam di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan air zam-zam mengandungi zat fluorida yang berkesan membunuh kuman seperti sudah mengandungi ubat.

Perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah kuantiti kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua mineral itu lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain, komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil dan sama dari sejak terbentuknya telaga itu. “Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun.

Nabi SAW menjelaskan: “Sesungguhnya air zam-zam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi.”

Nabi SAW menambahkan: “Air zam-zam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail.” (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas)

Rasulullah SAW pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas daripada kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan air zam-zam itu digunakan Rasulullah untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah iaitu;

1. Kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.

2. Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3.  Yang menakjubkan lagi, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam. Air zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

4.  Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga zam-zam tetap berair. Air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.Beberapa ulama fikah mencadangkan agar jemaah haji dan umrah membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam dapat menjadi sebagai ubat untuk penyembuhan.

Ini terbukti jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Sifat malu benteng keimanan diri

Lokman Ismail

Allah SWT mencipta manusia dengan pelbagai sifat semula jadi yang menjadi tingkah laku seharian. Antara sifat semula jadi itu ialah malu, marah, gembira, takut dan sebagainya. Bagaimanapun, setiap perasaan itu mempunyai tahap berbeza bagi setiap orang.

Malu bertempat
Seperti sifat semula jadi lain, perasaan malu juga ada kebaikan dan keburukannya. Sebab itu kita diingatkan supaya malu secara bertempat.

Sabda Rasulullah SAW: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.” (Riwayat Baihaqi)

Ada individu yang tahap perasaan malu agak tinggi hingga sukar berkomunikasi dengan orang lain. Keadaan itu memberi kesan buruk terutama kepada mereka yang perlu berhubung dengan orang ramai untuk melaksanakan tugasan.

Islam mengaitkan perasaan malu dengan tahap keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.” (Riwayat Abu Hurairah)

Diriwayatkan Muslim dan Tirmizi, Rasulullah bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” Sudah menjadi kemestian, kita akan berasa malu apabila melakukan perbuatan menyalahi tuntutan agama, kebiasaan adat atau undang-undang.

Bagaimanapun, bagi mereka yang dikategorikan ‘muka tidak malu’ atau ‘tidak tahu malu’ akan menganggap perbuatan itu biasa saja, bahkan berasa bangga melakukannya.
Sesiapa tidak malu melakukan perkara memalukan, terbukti tahap imannya amat lemah. Dia tidak merasa malu biarpun secara terang-terang tidak mematuhi perintah Allah. Dalam dirinya terdapat sikap terlalu angkuh dan tidak kisah pandangan orang lain terhadap dirinya.

Sesungguhnya, seseorang yang di dalam dirinya dihiasi dengan perasaan malu tidak sanggup menanggung malu sesama manusia di dunia ini dan tambah-tambah lagi di hadapan Allah SWT pada hari pembalasan nanti.

Sebab itu penting bagi kita sentiasa ikhlas dalam melakukan semua perkara dalam kehidupan ini.

Usaha mengelak melakukan perbuatan memalukan bukan saja daripada pengetahuan manusia kerana jika dilakukan secara sembunyi, Allah tetap mengetahui perkara itu.

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling tinggi sifat malu. Baginda amat mengambil berat supaya tidak melakukan sebarang perkara aib. Perkara ini sesuai dengan kedudukan Baginda yang menjadi contoh kepada seluruh ummah manusia dan maksum daripada melakukan dosa.

Perisai jauhi kesalahan

Bagi orang yang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielak daripada melakukannya. Perasaan malu menjadi perisai diri daripada melakukan perkara ditegah oleh agama, undang-undang dan tatasusila kemanusiaan.

Rasulullah SAW mengumpamakan iman dan perasaan malu berada dalam satu rumpun atau seiringan yang tidak dapat dipisahkan. Sebab itu dikiaskan orang yang tidak ada perasaan malu sebenarnya tidak ada benteng keimanan dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.” (Riwayat Baihaqi)

Pengorbanan ibu tidak terbalas

IBRAHIM ABDULLAH

ALLAH SWT telah menempatkan darjat dan kedudukan ibu melebihi dari kedudukan ayah dalam hubungan keluarga. Dalam konteks ini tidak ada hubungannya dengan pengertian demokrasi, melainkan hubungan rapat dengan moral yang membina karakter yang terpuji.

Justeru, tiada seorang atau sesuatu kekuasaan pun di dunia ini yang dapat menggugat kelebihan kedudukan ibu dalam hubungan keluarga. Apakah sebab ALLAH Taala memberikan kedudukan yang melebihi ibu dalam hubungan keluarga ini?

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Ibunya telah mengandung dia (anak) dengan susah payah dan melahirkan dia dengan susah payah pula.” (Surah al-Ahqaf : 15). Oleh itu susahnya ibu mengandung dan melahirkan anaknya, maka Islam memberikan sebesar-besar hak dan tanggungjawab atas anaknya dalam pengertian berbakti kepada ibunya.

Diriwayatkan, seorang pemuda Arab cuba membalas kebaikan ibunya sebagaimana caranya dia menggendong ibunya dari Yaman sampai ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji.

Setelah berjaya melakukannya, pemuda itu pergi menemui Ibnu Masud, seorang sahabat Nabi SAW dan ulama. Dia pun menceritakan segala apa yang telah dilakukannya terhadap ibunya.

Kemudian dia bertanya kepada Ibnu Masud : “Adakah saya telah berhasil membalas kebaikan (jasa) ibu saya?” Ibnu Masud menjawab : “Belum, bahkan apa yang engkau lakukan itu belum sebanding dengan tiga titik air susu yang diberikan oleh ibumu kepadamu.”

Ibu yang telah mengandung dan melahirkan kita dengan mempertaruhkan nyawanya. Ibu yang telah memelihara dan membesarkan kita menjadi manusia. Jasa ibu tidak terbalaskan. Memperingati Hari Ibu bukan sekadar memperingatinya, tetapi kita jadikan Hari Ibu untuk mulai lebih mencintai orang tua kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda ketika ditanya seorang sahabat : “Siapakah yang harus kita cintai setelah ALLAH dan Rasul-Nya?” Nabi SAW menjawab : “Ibumu.” Sahabat itu bertanya lagi : “Selepas itu siapa?” “Ibumu,” jawab Nabi. “Kemudian siapa lagi?” tanya sahabat. “Ibumu,” kata Nabi. “Kemudian siapa lagi?” tanya sahabat lagi. “Ayahmu,” kata Nabi. (Riwayat Bukhari).

Oleh itu betapa pentingnya kita mencintai ibu kita, tiga kali ganda lebih sayang daripada ayah kita. Bukan bererti kita kurang sayang kepada ayah. Mengapa demikian? Hal itu kerana beberapa faktor antara lain ialah: Ibu yang telah bersusah payah mengandung kita selama 9 bulan, tidak boleh makan kerana mual, tidak tidur secara nyaman, menahan rasa sakit, mempertaruhkan nyawanya ketika proses kelahiran, kadang-kadang ada ibu yang bersedia perutnya dibedah demi kelahiran anaknya yang tidak boleh lahir secara normal, dan ada ibu yang rela mati demi melahirkan anaknya.

Hadis Muawiyah bin Jahimah, bahawa beliau datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, saya hendak berperang, kini saya datang untuk meminta pendapat engkau.” Rasulullah menjawab: “Adakah engkau mempunyai ibumu?” Jawabnya : “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda bermaksud: “Berbuat baiklah kepadanya. Sesungguhnya syurga itu berada di bawah kedua kakinya.” (Riwayat Ibnu Majah).

Adapun maksud “Syurga di bawah kaki ibu” adalah bahawa tawaduk (rendah hati) kepada seseorang ibu merupakan sebab masuknya seseorang ke syurga.” Demikian dikatakan oleh az-Zarkasyi dan as-Sakhawi.

Bagaimana pula jika anaknya beragama Islam dan ibunya beragama Kristian? Kewajipan anak untuk berbuat baik kepada ibunya, tidaklah dibatasi oleh berlainan agama. Tidaklah dibenarkan oleh Islam untuk mengurangi perbuatan baik terhadap ibunya.

Bersabda Rasulullah SAW: “Telah berkata Siti Asma’ binti Abu Bakar pada Rasulullah: “Ibu saya penyembah berhala, datang kepada saya minta pertolongan. Bolehkah saya menolongnya?” Jawab Rasulullah: “Jangan engkau putuskan hubungan dengan ibumu.” (Riwayat Bukhari).

Akhirnya kita berdoa kepada ALLAH agar menjadikan kita anak yang berbakti kepada orang tua kita, khususnya ibu.

Cara nabi Muhammad s.a.w Bina Keluarga Bahagia

Ros Amira Ismail

Keperibadian Rasulullah terhadap isteri, anak wajar dicontohi pasangan zaman ini

Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan masyarakat sejahtera kerana kehidupan setiap individu bermula di rumah atas didikan dan bimbingan ibu bapanya. Apabila individu itu dibentuk dengan baik maka masyarakat di sekelilingnya akan harmoni dan sejahtera.
Melahirkan keluarga sejahtera dan harmoni, ibu bapa hendaklah berusaha membentuk anak menjadi generasi hebat dan berkualiti. Contoh membina keluarga boleh diperoleh daripada pendekatan Rasulullah kepada ahli keluarganya.

Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga”

Rasulullah SAW adalah bapa yang sangat penyayang. Walaupun baginda pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi. Rasulullah SAW juga seorang suami yang sangat romantik.

Ringan tulang bantu isteri urus rumah tangga

Baginda bersikap adil kepada isterinya dan dapat menguruskan kehidupan rumah tangga dengan baik. Nabi SAW juga seorang suami yang ringan tulang, sering membantu isteri dalam urusan rumah tangga tanpa disuruh.

Saidatina Aisyah menceritakan, jika Nabi berada di rumah, Baginda selalu membantu. Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda menyinsing lengan baju membantu isteri di dapur.
Diriwayatkan oleh Ahmad: “Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan Baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”

Ada ketikanya romantis Nabi SAW sehinggakan Baginda sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya ke pangkuan isterinya seperti dinyatakan oleh Aisyah dalam Sahih Bukhari, “Nabi SAW membaca al-Quran iaitu mengulang hafalan dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”

Isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Baginda ketika ingin pergi ke masjid.

Keperibadian Baginda terhadap isteri seharusnya dicontohi pasangan zaman ini. Ia sangat sesuai dipraktikkan bagi memikat pasangan dan melahirkan kasih sayang antara suami isteri.

Luang masa bersama keluarga

Contohnya, keluar bersiar pada hujung minggu. Semua maklum setiap pasangan zaman ini mempunyai tugas dan karier, namun pasangan perlu meluangkan masa untuk bersama keluarga. Hal ini selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang suka keluar bersama isterinya.

Diceritakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim: “Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

Hadis riwayat Muslim juga menyebut Rasulullah SAW suka membawa Aisyah makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika, Nabi SAW pernah menolak pelawaan jirannya berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka jika Aisyah tidak turut diundang bersama.

Penyayang terhadap anak

Baginda Rasulullah SAW juga ayah yang penyayang. Baginda lemah lembut kepada Qassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Umi Kalthum dan Siti Rakiah. Baginda sangat mencintai dan mengasihi putera dan puterinya.

Diriwayatkan, setiap kali puteri Baginda, Fatimah ingin masuk ke dalam bilik, Baginda akan bangun dan memimpin tangan Fatimah dan didudukkan di sebelahnya. Sesungguhnya Nabi SAW sungguh peka terhadap diri anak Baginda.

Begitulah kasih sayang Baginda melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Putera Nabi SAW, iaitu Ibrahim meninggal dunia ketika usianya masih kecil. Walaupun Baginda sibuk dalam urusan dakwah, ketika Ibrahim sakit tenat, Baginda akan sentiasa menziarahi anaknya, bermain dan menggembirakan hati Ibrahim.

Baginda SAW cuba menghilangkan derita yang ditanggung anakandanya tercinta walaupun buat seketika. Nabi Muhammad SAW sangat sedih ketika Ibrahim menghembuskan nafas yang terakhir sehinggakan mengalirkan air mata.

Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarganya. Marilah kita berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebahagiaan rumah tangga dan memberikan kekuatan serta petunjuk untuk membina rumah tangga harmoni.

Ciri-ciri lelaki Dayus

SOALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?

Jawapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat Al-Tabrani)

Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.

Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”
“Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”

“Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”

“Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).”

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”

“Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.”

Cemburu dituntut Islam

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.

Bergembiralah si suami yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).” (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.

Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumah tangga mereka.

Jika hal ini dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk memastikan tiada yang diragui.

Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya: “Berkata Ubadah bin Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteri ku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedang ku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?

Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.
Lelaki menjadi dayus apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.

3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.

4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka sporting dan memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!

9.  Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahan kan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.” (Riwayat Ahmad)

Kelebihan Rejab berdasarkan dalil

Muhammad Naim Che Berahim

 

Ulama muktabar sokong kelebihan beramal, tingkat hemah diri sempena
bulan mulia

Rejab ertinya mulia kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini. Pada 1 Rejab, mereka akan menyembelih unta sebagai korban. Selain itu, pada 27 Rejab jumhur, ulama bersepakat berlaku peristiwa penting dalam hidup Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj.

 

Kita perlu yakin berlakunya peristiwa itu kerana ada dalil qatie dalam al-Quran dan hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila diteliti kepelbagaian sumber daripada ulama, Rejab ada keistimewaannya tersendiri.

Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas seperti direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Matan hadis tak bertentangan nas al-Quran

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah, ayat 36, mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW menegaskan Rejab adalah bulan Allah iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab.

Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam lain.

Tiada larangan puasa

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi, apa yang disunatkan ialah kerana sunnah puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu daripadanya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) pada zaman jahiliah. Maka, apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab: “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulama salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Fahami isu, dalil secara menyeluruh

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam supaya kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab.

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya

Amalan di bulan Rejab

 

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

HARI ini kita telah memasuki bulan Rejab. Tidak lama lain Syaaban akan menjelang lalu Ramadan menyusul.

Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah. Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.”

Itu kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim merasakan keindahan dan kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah diberi ganjaran berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi harapan setiap orang yang mencintai negeri akhirat.

Kesempurnaan Ramadan mustahil diraih tanpa persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan bermula. Persiapan Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab bulan yang sangat baik untuk kita memulai persiapan itu.

Bulan haram

Apa lagi sebenarnya Rejab memiliki kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)

Sejak masa jahiliah, keempat-empat bulan haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang untuk meraikan para jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan pada bulan-bulan tersebut.

Dalam Islam hukum ini memang dimansuhkan. Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada bulan-bulan tersebut itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap memiliki kelebihan tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa padanya.

Berkata Ibnu Abbas: “Allah mengkhaskan beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan mengagungkan kadarnya. Dosa maksiat yang dilakukan padanya sangat besar. Sebagaimana pahala ibadah yang dilakukan padanya juga sangat besar.” (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)

Amalan

Tiada amalan khas yang mesti dilakukan pada bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah apa yang kita mampu lakukan.

Siapa yang mampu memperbanyak solat sunat dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab. Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali: “Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama.”

Siapa yang hendak memperbanyak puasa sunat, juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)

Imam Al-Nawawi menjelaskan: “Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat.”

Adapun ibadah umrah, maka sunat melakukannya pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Ibnu Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf sangat menyukai ibadah umrah di bulan Rejab.

Selain ibadah-ibadah ini, lakukanlah ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan al-Quran dan selawat.

Jika tidak mampu melakukan ibadah dan kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri daripada maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat, lucah, ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah, ganjaran besar telah menunggu untuknya.

Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk melakukan kebaikan sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.

 

Pilih pasangan soleh dalam berumahtangga

Oleh Hashim Ahmad

PERKAHWINAN adalah fitrah semula jadi manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan memberi kasih. Namun begitu, ramai yang sering terlupa bahawa pemilihan jodoh amat dititikberatkan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya.
Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Bagi mereka yang merancang mendirikan rumah tangga, aspek pemilihan jodoh yang tepat berupaya menjadikan perkongsian hidup dengan pasangan kelak baik atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah. Apa gunanya sekiranya kehidupan selepas berumah tangga menjadikan diri lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah. Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah? Dengan mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak yang baik serta dapat menjadi contoh teladan kepada anak. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.
Ramai mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga itu? Adakah dengan kekayaan kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Lihat saja berapa banyak sebenarnya kes perceraian berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang mempunyai kemewahan hidup? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya? Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga. Antara ciri isteri solehah adalah apabila dia taat kepada Allah, Rasulullah dan suaminya. Selain itu, dia menjaga solat lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga adalah isteri yang solehah. Suami yang soleh juga adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah dengan tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami perlu banyak bersabar, selain menunjukkan contoh yang baik serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

Amalan hindari Sihir Pemisah

Soalan

SALAM Tuan Haji Lokman. Saya telah berkahwin dua tahun belum mempunyai cahaya mata. Kebelakangan ini suami saya bersikap dingin, kelakuannya sangat berubah dan kami selalu bertengkar atas perkara remeh temeh.

Saya syak suami saya ada perempuan lain dan ramai sahabat memberitahu kami mungkin dikenakan sihir pemisah.

Harap Tuan Haji dapat menjelaskan berkenaan sihir pemisah dan ayat yang boleh diamalkan untuk mengatasinya. Terima kasih.

Puan Tina

Jawapan

Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan atau gangguan. Seorang dari mereka berkata, “Aku telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis, “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata, “Ya, kamulah (yang betul hebat)”. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menjelaskan, iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sasaran utama misi mereka untuk memecah belah anak cucu Adam.

Menjadi kebanggaan mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara pasangan yang berumah tangga.

Merujuk statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 sebanyak 27,116 kes perceraian dicatatkan daripada 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama.

Meskipun ia bukan jumlah dominan jika dibanding dengan kadar perkahwinan, namun ia wajar digusarkan.

Sekadar mengintai statistik kadar penceraian mengikut negeri pada tahun 2008, Selangor mendahului dengan rekod kes sebanyak 3,558, diikuti Kedah 2,407, Johor 2,329, Kelantan 2,266 dan Perak 1,951.

Itu baru catatan lima buah negeri. Ia bagi kes yang didaftarkan secara rasmi, bagaimana pula jumlah kes yang tidak dicatat dan mungkin terlepas pandang.

Banyak perkara menjadi pencetus penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan ialah tidak wujud persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan orang ketiga dan tidak terkecuali unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Apa itu sihir pemisah?Sihir pemisah merupakan sihir yang seringkali dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu selalunya berkaitan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.

Sihir ini juga dikenali sebagai sihir ‘at-Tafriq’ dan mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Ia lebih fokus kepada pasangan suami isteri agar hubungan bermasalah dan penceraian.

Ibnu Kathir menjelaskan setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk sama ada dari rupa paras atau perilaku.

Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir adalah menggunakan barang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa atau dimasukkan ke dalam makanan mangsa tanpa disedari.

Sebenarnya apa yang digunakan hanya hiasan luar oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan. Pengamal sihir sebenarnya menggunakan jin simpanan atau belaan sebagai pengantara ilmu sihir mereka.

Apabila pengamal sihir menghantar sihir kepada seseorang, mereka sebenarnya menghantar jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada mereka. Jin yang dihantar memasuki tubuh mangsa dan melakukan kerosakan dalam badan manusia.

Jin tersebut mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia bagi melakukan perkara yang dikehendaki pengamal sihir.

Antara simptom yang sering diberitahu pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:

1 Timbul rasa benci amat sangat tanpa sebab jelas pada salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya sekali.

2 Berlaku perselisihan faham, pertengkaran

antara pasangan tanpa sebab atau sebab kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir.

3 Timbul rasa was-was syaitan dalam hati

menyebabkan isteri takut mendekati suami. Seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya.

4 Timbul rasa cemburu melampau hingga

menyebabkan isteri berang kerana syak suami menduakannya, padahal suami tidak berbuat demikian. Ini menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami atau tidur sebilik.

5 Rasa resah gelisah, sakit kepala dan

buntu selagi pasangan berada di samping, dan merasa lega sebaik saja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan.

6 Berlaku perubahan rupa pada pandangan

mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa menakutkan atau sentiasa marah dan bengis atau suami melihat isteri kelihatan hodoh. Apa yang dilakukan serba tak kena.

7 Timbul desakan dalam jiwa suami untuk

menceraikan isteri tanpa sebab. Dalam hati timbul bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal suami tidak berhasrat.

Kadang-kala lafaz cerai benar-benar keluar dari lidah seolah ada kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri kadang-kala meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami dalam keadaan tidak terkawal dan membawa kepada pergaduhan.

Rawatan sihir pemisahPusat Rawatan Islam Al Hidayah tidak menggunakan khidmat makhluk halus (sama ada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak menggunakan sebarang perantaraan.

Ia berdasarkan tiga amalan utama iaitu:

1. Amalan bacaan al-Quran,

2. Berdoa memohon kepada Allah SWT

3. Perbanyakkan zikir (Laila hail’lallah)

Selain tiga amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral. Untuk rawatan sihir pemisah, perawat sedaya upaya berusaha menangkis sihir yang dikenakan kepada mangsa dengan izin Allah SWT Antara prosedur rawatan:-

1 Jin dan/atau sihir didalam tubuh badan

hendaklah dikeluarkan melalui kaedah yang dipraktikkan perawat Al-Hidayah (dengan izin Allah) dan pesakit hendaklah datang berjumpa perawat untuk rawatan.

2 Membaca ayat al-Quran khusus serta

mohon doa kepada Allah untuk sembuh.

Senarai ayat penawar sihir pemisahDi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit sihir pemisah diberi ayat berikut untuk diamal, disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

1 Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186,

baca tiga kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah.

2 Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159, baca

tiga kali selepas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah.

PenutupAncaman sihir yang berlaku bukan metafora atau omong kosong. Ia adalah realiti yang terpaksa dihadapi masyarakat. Selagi ada dendam, dengki dan iri hati, selagi itu iblis serta bala tenteranya berusaha menjerumus manusia kepada perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam.

Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir selain mendekatkan diri kita kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud;

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)” (At-Taghaabun: Ayat 11)

Dirikanlah solat dan berdoa kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita terus istiqamah beribadah, diberi kekuatan bermujahadah melawan serta menangkis hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah.