Hati mati kerap lakukan maksiat

Saya selalu rasa ringan untuk melakukan maksiat dan susah mendirikan solat walaupun tahu solat hukumnya wajib. Kalau sibuk dengan kerja, saya tidak solat dan tidak pula rasa berdosa. Bagaimanakah hendak menjadikan diri takut kepada Allah.

Man, Lembah Keramat, Kuala Lumpur

Takut kepada Allah adalah sifat orang beriman. Seseorang yang sudah terbiasa melakukan maksiat akan menyebabkan hatinya mati dan dia tidak berasa salah melakukan dosa. Untuk menjadikan diri kita takut kepada Allah hendaklah ada ilmu yang mendorong kepada amal.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fathir, ayat 28)
Firman-Nya lagi: “Tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 175)

Takut yang disuruh mendorong pelakunya untuk mengerjakan perbuatan diwajibkan di samping perkara disunatkan serta mendorong meninggalkan perkara diharamkan, syubahat dan makruh.

Takut benteng elak maksiat
Jika tidak mempunyai rasa takut, sudah tentu seseorang mudah melakukan segala larangan Allah dan sukar melaksanakan perintah-Nya. Orang yang tidak takut Allah di dunia akan menjadikan dirinya takut di akhirat kelak, manakala orang yang takut kepada Allah di dunia akan menghilangkan perasaan takut di akhirat. Sebenarnya banyak faedah diperoleh seseorang hamba jika ia takut kepada Allah.

Antaranya, ia membuatkan hamba berada di bawah naungan Arasy pada Hari Kiamat kelak.
Diriwayatkan al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut akan Allah.”

Makna zahir hadis menunjukkan lelaki itu mengungkapkan bahasa lisan supaya wanita yang mengajaknya melakukan maksiat, menghentikan perbuatannya sekali gus mengingatkan dirinya untuk tetap menolak dan tidak berganjak sedikit pun daripada prinsipnya. Disebutkan lagi dalam hadis yang bermaksud: “Dan lelaki yang berzikir mengingati Allah bersendirian, lalu berlinanganlah air matanya.”

Rasa takut terhadap Allah SWT menyebabkan lelaki itu menangis, membuatkan matanya tidak tersentuh oleh api neraka pada hari kiamat kelak. Selain itu, takutkan Allah SWT akan mendatangkan keampunan daripada-Nya.

Bukti atas kebenaran ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari yang menceritakan perihal seorang lelaki dalam kalangan orang sebelum kita. Dia seorang yang sangat jahil dalam masalah agama tetapi Allah memberinya rezeki berupa harta yang banyak.

Hari pembalasan

Ketika lelaki itu mendekati ajal, dia bertanya kepada anaknya: “Hai anak-anakku! Bagaimanakah menurut pendapat kamu keberadaanku bagi kamu semua? Mereka menjawab: Engkau adalah ayah yang paling baik. Lelaki itu berkata: Sesungguhnya aku belum pernah melakukan amal kebaikan sama sekali. Oleh itu, apabila aku mati bakarlah jenazahku, kemudian lumatlah arangku sehingga menjadi abu, lalu taburkanlah pada hari yang ada angin besar. Seterusnya, anak-anaknya melakukan apa yang dipesan oleh ayah mereka.

Padahal bagi Allah amat mudah untuk mengembalikannya seperti semula. Lalu Allah SWT bertanya: “Apakah yang mendorongmu berbuat demikian? Dia menjawab: Kerana takut akan-Mu. Akhirnya Allah merahmatinya dan memaafkan kejahilannya.

Ternyata rasa takutnya yang amat sangat kepada Allah dapat menolongnya. Dia dikatakan sedemikian kerana dia masih termasuk dalam kalangan orang yang mempercayai hari pembalasan. Seandainya dia mengingkarinya bererti dia adalah orang kafir dan tentu dia tidak akan beroleh keampunan daripada-Nya.

Tulus dalam beramal

Orang yang takut kepada Allah dapat memasukkan pelakunya ke dalam syurga kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang takut tentulah dia berangkat sejak permulaan malam. Sesiapa yang berangkat pada permulaan malam, pasti akan sampai ke tempatnya. Ingatlah, sesungguhnya barang dagangan Allah itu mahal.

Ingatlah sesungguhnya barang dagangan Allah itu ialah syurga.”

Ertinya, sesiapa yang takut diserang musuh pada penghujung malam tentu dia akan berangkat sejak permulaan malam sehingga sampai ke tempat dengan aman dan tercapai tujuannya.

Ungkapan ini adalah perbandingan dibuat oleh Rasulullah SAW untuk orang yang menempuh jalan akhirat. Sesungguhnya syaitan menghalang di tengah jalan berserta nafsu yang sentiasa memerintahkan kepada keburukan dan angan-angan kosong.

Jika seseorang sentiasa berwaspada dalam perjalanannya dan berniat tulus dalam beramal, pasti akan aman daripada gangguan syaitan, tipu muslihatnya serta terhindar daripada rompakan di tengah jalan. Inilah barang dagangan Allah.
Sesiapa yang menerimanya, pasti akan termasuk kalangan orang yang beroleh keamanan.

Advertisements

2 Respons

  1. Salam.sy nk tnye,knpe sy ni kuat nfsu yg tramat sgt,smpykn sy ni xdpt cntr0l nfsu dri ni?sy prmpuan,sy blaja agama,tp sy rase mlu kpd Allah krna mlakukn maksiat yg btin,org xthu,tp Allah thu,sy tk0t ble mti nt,Allah seksa,tp sy msih lakukn,krna sy mmg brnfsu kuat.tlong la sy bg org yg brilmu,sy hina,lemh,sy prlukn dorongn dri kalian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: