3 panduan ikhlas kekal dalam jiwa

Oleh Zamanuddin Jusoh

Ketika mengejar impian dan cita-cita, terkadang kita alpa terhadap suatu penilaian yang sedang di lakukan Allah SWT terhadap setiap pekerjaan hambanya. Penilaian itu berdasarkan sejauh manakah tujuan dan matlamat pekerjaan yang dilakukan.

Ia berkaitan sekeping hati yang terdapat dalam setiap jiwa manusia. Di sinilah terbinanya cetusan matlamat setiap pekerjaan datang daripada satu perasaan murni dalam hati dan jiwa yang bersih beriman kepada Allah SWT.
Kemungkinan hasil daripada kerja keras yang dilakukan telah membuahkan kejayaan duniawi berupa harta dan pangkat kekayaan. Persoalannya, adakah kejayaan itu akan berkekalan hingga ke akhirat. Ia tidak mungkin dapat dipisahkan dengan iman kerana yang beriman saja akan memiliki sifat ini.

Ungkapan lain yang selalu diperkatakan ialah berkaitan ketelusan atau keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai)

Keikhlasan

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat yang dilakukan hanyalah keranaNya.” (Surah Az-zumar, ayat 2)

Oleh kerana ia adalah urusan dalaman seseorang, maka ia satu rahsia daripada rahsia Allah SWT hatta malaikat sekalipun tidak dapat menyingkapnya. Ia seumpama semut hitam yang berjalan dalam kepekatan malam gelap gelita di atas sebuah batu hitam yang tidak dapat dikesan.
Tugas Malaikat hanyalah mencatat apa dilakukan secara zahir terhadap perbuatan dan amalan manusia. Keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ulama telah meletakkan tiga garis panduan supaya sifat ikhlas ini sentiasa berada dalam jiwa seseorang. Antaranya, penguasaan ilmu pengetahuan yang menjadi asas utama untuk memiliki keikhlasan.

Ilmu dapat membezakan antara suruhan dan larangan Allah SWT serta dapat memahami jenis sifat terpuji di sisi Allah SWT. Oleh itu, ulama menghasilkan ilmu kesufian dinamakan ilmu tasauf yang memfokuskan amalan hati serta ciri-ciri amalan yang ikhlas kepada Allah SWT.

Membaca dan mengambil iktibar daripada sirah perjalanan hidup Baginda SAW, sahabat baginda, generasi selepas sahabat SAW, wali Allah, ahli sufi, alim ulama dan syuhada dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Segala amalan mereka dapat dijadikan pelajaran dan pengajaran.

Memahami teknik godaan iblis untuk menguasai nafsu manusia bagi menghindarkan daripada perasaan ujub, riak dan takbur kerana sifat itu akan menghapuskan pahala amalan kepada Allah SWT.

Pemahaman gerak kerja iblis ini agak sukar kerana kesungguhan mereka telah digambarkan oleh Allah SWT dan hanya mereka yang benar-benar ikhlas akan terselamat. Firman Allah SWT: “Berkatalah iblis, demi kemuliaanMu, pasti aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hambaMu yang ikhlas saja.” (Surah Sad, ayat 82-83)

Bersahabat dengan mereka yang melakukan kebaikan di mana segala kebaikan yang dilakukan akan menjadi galakkan kepada kita. Firman Allah SWT: “Sabarlah dirimu dalam melakukan kebaikan di pagi dan petang semata-mata mengharap keredaanNya.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Sombong

Kesannya, akan lahir sesuatu pekerjaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti. Tidak akan mengungkit kebaikan yang dilakukan dan tidak akan merungut dengan kerenah dihadapi. Apabila lahirnya tanda seseorang itu mencapai keikhlasan dalam pekerjaannya, dia akan merasa positif melakukan tugasnya.

Mereka yang ikhlas tidak suka kepada kemasyhuran dan pujian kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perangkap syaitan iaitu sombong bangga diri. Tiada perasaan jemu menunaikan hak Allah SWT yang diamanahkan kepadanya.

Kemanisan dan ketenangan akan terus dirasai menyebabkan dia sentiasa gemar melakukan kebaikan. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara, barang siapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah, dan membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana ia membenci untuk dilemparkan ke neraka.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara bertentangan sifat ikhlas yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT. Tanda awal apabila merasa malas ketika bersendirian dan bersemangat ketika berada di khalayak ramai.

2 Respons

  1. Reblogged this on jiwa hamba.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: