8 Ciri pemimpin adil, berwibawa

Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.
Merasai denyut hati rakyat

Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubat, ayat 128)

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.
Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin.

Ciri pemimpin wibawa

Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT, bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah.

Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya saja.

Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.

Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi.

Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral.

Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya.

Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab.

Diharamkan syurga jika menipu rakyat

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

Remaja perlu bijak hindari stres

MASALAH perhubungan dengan rakan sebaya dan keluarga sering timbul dalam kalangan remaja di sekolah menengah yang boleh menyebabkan tekanan atau stres. Antara situasi yang boleh menyebabkan tekanan adalah berkaitan dengan masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga.

Masalah ini walaupun nampak kecil, namun ia boleh menjejaskan perkembangan sosial anak-anak remaja yang sedang membesar. Kajian psikologi dan pembangunan manusia menjelaskan bahawa anak remaja memerlukan dorongan, bimbingan dan juga perhatian dalam permasalahan sosial mereka.

Kajian menunjukkan lebih 27 peratus atau sekitar 1,765 daripada 6,540 pelajar enam sekolah menengah di seluruh negara yang terbabit dalam projek perintis kelolaan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dikesan mengalami tanda-tanda masalah kesihatan mental yang teruk.

Kajian menunjukkan sebanyak 4.8 peratus atau 313 pelajar didapati mengalami masalah tekanan yang teruk (17.1 peratus atau 1,118 pelajar) dan tanda kemurungan yang teruk (5.2 peratus atau 340 pelajar).

Jika di kaji terdapat beberapa masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga. Antara sebabnya, kehilangan sahabat baik kerana berpindah rumah atau sekolah dan disebabkan kematian. Tidak dapat menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seperti ipar, kelahiran adik atau pasangan baru membabitkan ibu atau bapa.

Ibu atau bapa yang pilih kasih. Berasa terasing dan rendah diri dengan kekurangan diri berbanding dengan rakan sebaya atau adik-beradik. Perbezaan umur antara adik-beradik yang terlalu jauh. Sukar menyesuaikan diri dengan rakan sebaya ketika berpindah ke sekolah baru.

Remaja daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan etnik minoriti selalunya menghadapi masalah di sekolah jika dibandingkan dengan rakan mereka daripada golongan sosioekonomi yang sederhana.

Lantaran itu, beberapa pandangan telah diambil kira iaitu pihak sekolah tidak mengambil inisiatif untuk membaiki keadaan remaja daripada keluarga golongan ini.

Mengikut pandangan tokoh psikologi, yang mengatakan remaja yang miskin selalunya berdepan dengan masalah sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah mereka mungkin mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan mereka tidak mampu membantu dari segi pencapaian akademik anak-anak.

Selain itu, mereka juga tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membeli kemudahan pembelajaran seperti membeli buku rujukan, menghantar anak ke kelas tuisyen dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, semua masalah ini akan mematangkan kehidupan seseorang remaja dalam menuju ke alam dewasa. Ibu bapa sewajarnya berperanan memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak dan tidak membiarkan mereka hanyut serta menyelesaikan masalah ini sendirian. Masalah ini jika tidak ditangani akan menjejaskan masa depan pelajar dan juga masalah dalam hubungan sosial mereka pada masa depan.

Seterusnya jika tidak ditangani, masalah ini akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan kegiatan merokok, mengasingkan diri, dan juga terbabit dengan penagihan dadah. Perhubungan kendiri yang baik akan dapat memperbaiki diri, mempertingkatkan keyakinan dan berfikiran positif. Sayidina Ali bin Abi Talib mewasiatkan: “Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka adalah jahil.”

5 Keburukan dosa maksiat

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

MAKSIAT yang kita lakukan bukan hanya memberi kesan kepada kehidupan kita di akhirat. Dosa-dosa akibat maksiat itu juga sangat mempengaruhi kehidupan kita di dunia.

Berikut ini dijelaskan beberapa kesan maksiat yang boleh kita temui sepanjang hidup kita di dunia. Penjelasan ini berpandukan hadis-hadis dan ucapan para ulama yang muktabar.

1Gelap hati

Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang hamba melakukan dosa, maka akan terbit noda hitam di hatinya. Jika ia bertaubat, maka terhapuslah noda itu. Namun jika ia mengulanginya, maka noda itu akan bertambah hingga memenuhi seluruh hatinya.” (riwayat al-Tirmizi)

Salah satu tanda hati yang gelap adalah enggan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kaifiat menjadi hamba Allah yang taat. Jika dia pernah mempelajarinya, sukar baginya untuk memahami apa lagi mengamalkannya.

Imam Al-Syafii pernah berkata: “Barang siapa yang ingin Allah buka dan terangi hatinya, maka jauhilah ucapan yang tidak berguna, tinggalkan dosa dan maksiat dan hendaklah ia memiliki ibadah tersembunyi antara dirinya dengan Allah SWT.”

2Hati tak tenangIslam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Siapa yang hidup mengikut aturan yang digariskan Islam, ia akan merasakan kedamaian di dalam hati. Sebaliknya, siapa yang bermaksiat, hakikatnya ia tengah melakukan sesuatu yang bertembung dengan fitrahnya sendiri.

Pertembungan itu akan melahirkan perasaan bersalah di dalam diri pelaku sehingga hidupnya menjadi sempit dan tidak selesa. Jika perasaan itu belum terasa hari ini, ia pasti akan timbul suatu saat nanti.

Allah berfirman: Dan siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Taha: 124)

3Menutup pintu rezeki Rasulullah SAW diriwayatkan pernah bersabda: “Sesungguhnya pintu rezeki ditutup daripada seseorang kerana dosa yang pernah ia lakukannya.” (riwayat Ibnu Hibban)

Anda mungkin berasa pelik, mana mungkin maksiat menutup pintu rezeki, padahal ramai orang-orang yang rajin bermaksiat namun hidup dalam kemewahan?

Jangan salah faham, rezeki bukan hanya berbentuk wang ringgit dan harta benda. Rezeki boleh juga berbentuk iman, Islam, jodoh, anak, teman, kefahaman, kesihatan, ilmu dan lain-lain. Bahan semua ini lebih mahal dan berharga berbanding wang dan harta.

Maksiat dapat menutup pintu-pintu rezeki ini daripada manusia. Seseorang boleh memiliki kereta besar dan rumah mewah. Namun jika ia bermaksiat, maka terlepas daripadanya bentuk-bentuk rezeki lain yang jauh lebih mahal.

Lagi pula, rezeki yang dimiliki menerusi jalan maksiat tiada keberkatan padanya. Dan rezeki yang tiada keberkatan padanya hanya akan melahirkan kebahagiaan palsu. Ia nampak berbahagia di mata orang lain. Namun tersimpan dalam hatinya kepedihan dan seksaan batin yang hanya diketahui oleh orang-orang yang dekat dengannya.

4Menyebabkan kekalahan Naik turun nasib sebuah bangsa berada di tangan Allah SWT, apatah lagi sejarah berkali-kali memperlihatkan hilangnya kekuasaan yang semula berada di tangan orang-orang tertentu apabila mereka menentang perintah-Nya.

Al-Hafiz Al-Zahabi menceritakan dalam kitab Siyar A’lam Al-Nubala menjelaskan, apabila kaum muslimin menundukkan negeri Siprus (Turki), mereka berjaya menawan musuh yang sangat ramai. Melihat pemandangan itu, Abu Darda malah menangis.

Seseorang bertanya kepadanya: “Mengapa anda menangis di hari kemenangan Islam ini?”

Sahabat Nabi ini menjawab: “Mereka ini dahulunya adalah bangsa yang kuat dan berkuasa. Namun apabila mereka bermaksiat, maka Allah menghinakan mereka seperti mana yang berlaku pada hari ini. Sungguh hina seorang hamba di sisi Allah apabila ia bermaksiat kepada-Nya.”

Oleh itu, maksiat yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam adalah pertanda awal kemenangan akan beralih kepada kaum muslimin. Berkata Jaafar al-Ahmar: “Cukuplah kemenangan bagi seorang mukmin, apabila ia melihat musuhnya bermaksiat kepada Allah.”

5Kematian yang burukKesan maksiat yang paling parah adalah apabila Allah mengunci mulut seseorang daripada mengucapkan kalimat tauhid sebagai kata terakhirnya. Nauzubillah.

Semoga Allah menjaga kita dan orang-orang yang kita cintai daripada keberanian menentang perintah Allah SWT dan bermaksiat kepada-Nya.

Sifat nabi Muhammad s.a.w dalam Taurat, Injil

FIRMAN Allah SWT dalam hadis Qudsi bermaksud: “Allah telah memberi wahyu kepada Musa, Nabi Bani Israel, bahawa barang siapa bertemu dengan Aku, pada hal ia ingkar kepada Ahmad (Nabi Muhammad), nescaya Aku masukkan dirinya ke neraka. Musa berkata: Siapakah Ahmad itu, wahai Tuhanku? Allah berfirman: Tidak pernah Aku ciptakan satu ciptaan yang lebih mulia menurut pandangan-Ku daripadanya.

Telah Ku tuliskan namanya bersama nama-Ku di Arasy sebelum Aku ciptakan tujuh lapis langit dan bumi. Sesungguhnya syurga itu terlarang bagi semua makhluk-Ku, sebelum ia dan umatnya terlebih dahulu memasukinya. Musa berkata: Siapakah umatnya itu?

Firman-Nya: Mereka yang banyak memuji Allah sambil naik, sambil turun dan pada setiap keadaan. Mereka mengikat pinggang (menutup aurat) dan berwuduk membersihkan anggota badan. Mereka berpuasa siang hari, bersepi diri dan berzikir sepanjang malam.

Aku terima amal yang dikerjakan dengan ikhlas, meskipun sedikit. Akan Ku masukkan mereka dalam syurga kerana kesaksiannya tiada Tuhan yang sebenar disembah melainkan Allah. Musa berkata lagi: Jadikanlah saya nabi umat itu.

Allah berfirman: Nabi umat itu daripada mereka sendiri. Musa berkata: Masukkanlah saya dalam golongan umat nabi itu. Lalu Allah menerangkan: Engkau lahir mendahului nabi dan umat itu, sedangkan dia lahir kemudian. Aku berjanji kepadamu untuk mengumpulkan engkau bersamanya di Darul Jalal (syurga).” (riwayat Abu Nu’iam).

Perhatikan betapa kuatnya keinginan Nabi Musa AS untuk meminta dimasukkannya ke dalam lingkungan umat Nabi Muhammad SAW setelah mengetahui bahawa ia tidak dapat dijadikan rasul-Nya, kerana rasul-Nya harus daripada keturunan Ismail, daripada golongan bangsa Arab sedangkan dia daripada golongan dan keturunan Yaakob, daripada golongan Bani Israel.

Adapun sifat-sifat umat Nabi Muhammad SAW itu sebahagiannya seperti berikut

* Suka memuji Tuhannya, walaupun di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Lisan mereka selalu basah kerana berzikir kepada Tuhan serta menghormati kehadiran Allah di dalam hati mereka.

* Suka menjaga diri dengan memelihara kehormatan, dimulai daripada suka menutup aurat, berkain, berpakaian dan sebagainya sesuai dengan tuntutan syariat Islam.

* Suka berwuduk, bersuci daripada hadas kecil dan diiringi dengan melakukan sembahyang serta menjaga diri daripada kekotoran maknawi. Nur Ilahi sentiasa di wajahnya sehingga mukanya selalu kelihatan berseri-seri. Nur Ilahi itu bersinar terus sehingga nyata kelihatan pada anggota wuduknya di hari kiamat.

* Suka berpuasa pada siang hari, terutama pada bulan Ramadan dan hari-hari yang tertentu oleh agamanya, menahan hawa nafsu, menjaga kesihatan badan rohani dan jasmani, sering mengingat kehidupan fakir miskin, sering mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri dan mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segalanya.

* Suka beribadat pada malam hari, jauh daripada riak dan benar-benar ikhlas pada Tuhannya, suka munajat dan menyatakan hasrat langsung ke hadrat Ilahi tanpa perantaraan dan sebarang wasilah yang menghalanginya.

Mengenai sifat-sifat Nabi Muhammad SAW seperti digambarkan di dalam riwayat at-Tabarani dan az-Zubair bin Bakar bermaksud: “Sifatnya bersesuaian dengan erti namanya Ahmad (yang terpuji) lagi tawakal. Tempat lahirnya Mekah al-Mukarramah dan tempat hijrahnya iaitu Tayybah (Madinah al-Munawwarah).

Beliau tidak keras dan kasar peribadinya, tidak pula pemarah orangnya. Membalas kebaikan dengan kebaikan dan tidak melayani keburukan dengan keburukan.

Umatnya suka memuji Tuhannya. Mereka berkain terikat pada pinggangnya, menjaga kehormatan aurat, suka berwuduk menjaga kebersihan badan, kitab suci mereka berada dalam hatinya, suka menghafaz ayat-ayat suci dan mengamalkannya.

Mereka bersaf-saf melakukan solat berjemaah seperti juga mereka suka berbaris menyusun kekuatan menegakkan dan membela agama Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Korban mereka sampai titisan darahnya dilakukan untuk bertaqarub (mendekatkan diri kepada Allah). Mereka bersemadi pada malam hari dalam keadaan tenang, hening sepi, sunyi dan jauh daripada riak, tekun munajat dan memanjatkan doa harapan rahmat dan reda Tuhan Yang Maha Kuasa. Namun mereka laksana seekor singa lapar pada siang hari dan siap sedia bertempur perang fisabilillah.”

Saidina Ali bin Abu Talib berkata: “Ketika Nabi SAW duduk bersama sahabat Muhajirin dan Ansar, tiba-tiba datang rombongan orang-orang Yahudi, lalu berkata: Ya Muhammad, kami akan tanya kepadamu kalimah-kalimah yang telah diberikan Allah kepada Musa AS yang tidak diberikan kecuali kepada nabi-nabi utusan Allah atau malaikat muqarrabin. “Silakan bertanya,” jawab Nabi SAW. Lalu mereka berkata: Terangkan kepada kami tentang sembahyang lima waktu yang diwajibkan Allah atas umatmu?

Jawab Nabi SAW: “Adapun sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, bertasbih segala sesuatu kepada Tuhannya, adapun sembahyang Asar maka itulah waktu (saat) Nabi Adam makan buah khuldi, adapun sembahyang Maghrib maka itulah saatnya Allah memberi taubat (menerima taubat nabi Adam), maka setiap Mukmin yang sembahyang Maghrib dengan ikhlas lalu memohon sesuatu pada Allah pasti diterima-Nya. Adapun sembahyang Isyak, maka itulah sembahyang yang telah dikerjakan oleh para rasul sebelumku.

Adapun sembahyang Fajar (Subuh) maka kerana matahari bila terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan waktu itu sujudlah setiap orang kafir.”

Mereka berkata: Benar Muhammad, maka apakah pahala orang yang bersembahyang itu? Jawab Nabi SAW: “Jagalah waktu-waktu sembahyang yang pertengahan, maka tiada seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang 40 hari dalam berjemaah melainkan diberi oleh Allah dua kebebasan, kebebasan dari neraka dan kebebasan daripada nifaq (munafik).” Maka orang Yahudi itu berkata: Benar engkau ya Muhammad.

Kemudian Allah berfirman yang menggambarkan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang perlu umat Islam contohi: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap tegas terhadap orang yang tiada beriman, bersifat kasih sayang antara sesama mereka, engkau lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dan reda Tuhan, pada wajah mereka terdapat tanda-tanda bekas sujud (membayang cahaya keimanan dan kesucian batin), itulah perumpamaan mereka di dalam Taurat.

Sedangkan perumpamaan mereka di dalam Injil, bagaikan tanaman yang mengeluarkan tunasnya yang lembut, kemudian bertambah kuat dan bertambah besar, dapat tegak di atas batangnya menyebabkan orang-orang yang menanam menjadi takjub, menjadikan orang yang tiada beriman itu marah kerananya. Tuhan telah menjanjikan kepada orang-orang beriman dengan mengerjakan amalan baik di antara mereka akan memperoleh ampunan dan pahala ganjaran yang besar (syurga). (al-Fath: 29)

Hati mati kerap lakukan maksiat

Saya selalu rasa ringan untuk melakukan maksiat dan susah mendirikan solat walaupun tahu solat hukumnya wajib. Kalau sibuk dengan kerja, saya tidak solat dan tidak pula rasa berdosa. Bagaimanakah hendak menjadikan diri takut kepada Allah.

Man, Lembah Keramat, Kuala Lumpur

Takut kepada Allah adalah sifat orang beriman. Seseorang yang sudah terbiasa melakukan maksiat akan menyebabkan hatinya mati dan dia tidak berasa salah melakukan dosa. Untuk menjadikan diri kita takut kepada Allah hendaklah ada ilmu yang mendorong kepada amal.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fathir, ayat 28)
Firman-Nya lagi: “Tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 175)

Takut yang disuruh mendorong pelakunya untuk mengerjakan perbuatan diwajibkan di samping perkara disunatkan serta mendorong meninggalkan perkara diharamkan, syubahat dan makruh.

Takut benteng elak maksiat
Jika tidak mempunyai rasa takut, sudah tentu seseorang mudah melakukan segala larangan Allah dan sukar melaksanakan perintah-Nya. Orang yang tidak takut Allah di dunia akan menjadikan dirinya takut di akhirat kelak, manakala orang yang takut kepada Allah di dunia akan menghilangkan perasaan takut di akhirat. Sebenarnya banyak faedah diperoleh seseorang hamba jika ia takut kepada Allah.

Antaranya, ia membuatkan hamba berada di bawah naungan Arasy pada Hari Kiamat kelak.
Diriwayatkan al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut akan Allah.”

Makna zahir hadis menunjukkan lelaki itu mengungkapkan bahasa lisan supaya wanita yang mengajaknya melakukan maksiat, menghentikan perbuatannya sekali gus mengingatkan dirinya untuk tetap menolak dan tidak berganjak sedikit pun daripada prinsipnya. Disebutkan lagi dalam hadis yang bermaksud: “Dan lelaki yang berzikir mengingati Allah bersendirian, lalu berlinanganlah air matanya.”

Rasa takut terhadap Allah SWT menyebabkan lelaki itu menangis, membuatkan matanya tidak tersentuh oleh api neraka pada hari kiamat kelak. Selain itu, takutkan Allah SWT akan mendatangkan keampunan daripada-Nya.

Bukti atas kebenaran ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari yang menceritakan perihal seorang lelaki dalam kalangan orang sebelum kita. Dia seorang yang sangat jahil dalam masalah agama tetapi Allah memberinya rezeki berupa harta yang banyak.

Hari pembalasan

Ketika lelaki itu mendekati ajal, dia bertanya kepada anaknya: “Hai anak-anakku! Bagaimanakah menurut pendapat kamu keberadaanku bagi kamu semua? Mereka menjawab: Engkau adalah ayah yang paling baik. Lelaki itu berkata: Sesungguhnya aku belum pernah melakukan amal kebaikan sama sekali. Oleh itu, apabila aku mati bakarlah jenazahku, kemudian lumatlah arangku sehingga menjadi abu, lalu taburkanlah pada hari yang ada angin besar. Seterusnya, anak-anaknya melakukan apa yang dipesan oleh ayah mereka.

Padahal bagi Allah amat mudah untuk mengembalikannya seperti semula. Lalu Allah SWT bertanya: “Apakah yang mendorongmu berbuat demikian? Dia menjawab: Kerana takut akan-Mu. Akhirnya Allah merahmatinya dan memaafkan kejahilannya.

Ternyata rasa takutnya yang amat sangat kepada Allah dapat menolongnya. Dia dikatakan sedemikian kerana dia masih termasuk dalam kalangan orang yang mempercayai hari pembalasan. Seandainya dia mengingkarinya bererti dia adalah orang kafir dan tentu dia tidak akan beroleh keampunan daripada-Nya.

Tulus dalam beramal

Orang yang takut kepada Allah dapat memasukkan pelakunya ke dalam syurga kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang takut tentulah dia berangkat sejak permulaan malam. Sesiapa yang berangkat pada permulaan malam, pasti akan sampai ke tempatnya. Ingatlah, sesungguhnya barang dagangan Allah itu mahal.

Ingatlah sesungguhnya barang dagangan Allah itu ialah syurga.”

Ertinya, sesiapa yang takut diserang musuh pada penghujung malam tentu dia akan berangkat sejak permulaan malam sehingga sampai ke tempat dengan aman dan tercapai tujuannya.

Ungkapan ini adalah perbandingan dibuat oleh Rasulullah SAW untuk orang yang menempuh jalan akhirat. Sesungguhnya syaitan menghalang di tengah jalan berserta nafsu yang sentiasa memerintahkan kepada keburukan dan angan-angan kosong.

Jika seseorang sentiasa berwaspada dalam perjalanannya dan berniat tulus dalam beramal, pasti akan aman daripada gangguan syaitan, tipu muslihatnya serta terhindar daripada rompakan di tengah jalan. Inilah barang dagangan Allah.
Sesiapa yang menerimanya, pasti akan termasuk kalangan orang yang beroleh keamanan.

3 panduan ikhlas kekal dalam jiwa

Oleh Zamanuddin Jusoh

Ketika mengejar impian dan cita-cita, terkadang kita alpa terhadap suatu penilaian yang sedang di lakukan Allah SWT terhadap setiap pekerjaan hambanya. Penilaian itu berdasarkan sejauh manakah tujuan dan matlamat pekerjaan yang dilakukan.

Ia berkaitan sekeping hati yang terdapat dalam setiap jiwa manusia. Di sinilah terbinanya cetusan matlamat setiap pekerjaan datang daripada satu perasaan murni dalam hati dan jiwa yang bersih beriman kepada Allah SWT.
Kemungkinan hasil daripada kerja keras yang dilakukan telah membuahkan kejayaan duniawi berupa harta dan pangkat kekayaan. Persoalannya, adakah kejayaan itu akan berkekalan hingga ke akhirat. Ia tidak mungkin dapat dipisahkan dengan iman kerana yang beriman saja akan memiliki sifat ini.

Ungkapan lain yang selalu diperkatakan ialah berkaitan ketelusan atau keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai)

Keikhlasan

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat yang dilakukan hanyalah keranaNya.” (Surah Az-zumar, ayat 2)

Oleh kerana ia adalah urusan dalaman seseorang, maka ia satu rahsia daripada rahsia Allah SWT hatta malaikat sekalipun tidak dapat menyingkapnya. Ia seumpama semut hitam yang berjalan dalam kepekatan malam gelap gelita di atas sebuah batu hitam yang tidak dapat dikesan.
Tugas Malaikat hanyalah mencatat apa dilakukan secara zahir terhadap perbuatan dan amalan manusia. Keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ulama telah meletakkan tiga garis panduan supaya sifat ikhlas ini sentiasa berada dalam jiwa seseorang. Antaranya, penguasaan ilmu pengetahuan yang menjadi asas utama untuk memiliki keikhlasan.

Ilmu dapat membezakan antara suruhan dan larangan Allah SWT serta dapat memahami jenis sifat terpuji di sisi Allah SWT. Oleh itu, ulama menghasilkan ilmu kesufian dinamakan ilmu tasauf yang memfokuskan amalan hati serta ciri-ciri amalan yang ikhlas kepada Allah SWT.

Membaca dan mengambil iktibar daripada sirah perjalanan hidup Baginda SAW, sahabat baginda, generasi selepas sahabat SAW, wali Allah, ahli sufi, alim ulama dan syuhada dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Segala amalan mereka dapat dijadikan pelajaran dan pengajaran.

Memahami teknik godaan iblis untuk menguasai nafsu manusia bagi menghindarkan daripada perasaan ujub, riak dan takbur kerana sifat itu akan menghapuskan pahala amalan kepada Allah SWT.

Pemahaman gerak kerja iblis ini agak sukar kerana kesungguhan mereka telah digambarkan oleh Allah SWT dan hanya mereka yang benar-benar ikhlas akan terselamat. Firman Allah SWT: “Berkatalah iblis, demi kemuliaanMu, pasti aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hambaMu yang ikhlas saja.” (Surah Sad, ayat 82-83)

Bersahabat dengan mereka yang melakukan kebaikan di mana segala kebaikan yang dilakukan akan menjadi galakkan kepada kita. Firman Allah SWT: “Sabarlah dirimu dalam melakukan kebaikan di pagi dan petang semata-mata mengharap keredaanNya.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Sombong

Kesannya, akan lahir sesuatu pekerjaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti. Tidak akan mengungkit kebaikan yang dilakukan dan tidak akan merungut dengan kerenah dihadapi. Apabila lahirnya tanda seseorang itu mencapai keikhlasan dalam pekerjaannya, dia akan merasa positif melakukan tugasnya.

Mereka yang ikhlas tidak suka kepada kemasyhuran dan pujian kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perangkap syaitan iaitu sombong bangga diri. Tiada perasaan jemu menunaikan hak Allah SWT yang diamanahkan kepadanya.

Kemanisan dan ketenangan akan terus dirasai menyebabkan dia sentiasa gemar melakukan kebaikan. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara, barang siapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah, dan membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana ia membenci untuk dilemparkan ke neraka.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi perkara bertentangan sifat ikhlas yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT. Tanda awal apabila merasa malas ketika bersendirian dan bersemangat ketika berada di khalayak ramai.

Aturcara Ijtima’ Ulama’ dan Guru-guru Pondok Kelantan 2013

Tarikh : 14 April 2013 (Ahad)

Masa : 4.00 petang

Tempat : Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu

Terbuka untuk semua lapisan masyarakat

4.21 ptg           Solat Asar berjemaah

5.00 ptg          Pembentangan Kertas Kerja 1

Oleh Dr Hj Abdul Basit b Hj Abdul Rahman (Musyrif Pondok Sungai Durian)

Pembentangan Kertas Kerja 2

Oleh Dr Hj Mohd Fadzli b Hj Hassan (Exco Kerajaan Kelantan)

6.30 ptg          Makan malam

7.20 mlm         Solat Maghrib berjemaah

7.50 mlm         Ucapan daripada Mudir atau wakil Pondok-pondok Kelantan

8.40 mlm         Solat Isya’ Berjemaah & Solat hajat serta bacaan Yaasin

9.45 mlm         Deklerasi Pondok-pondok Kelantan

Ucapan Aluan Timbalan Menteri Besar Kelantan

Ceramah Umum Oleh Ustaz Hj Nasaruddin b Hj Daud

(Speaker Kerajaan Negeri Kelantan)

Ucapan Menteri Besar Kelantan

Bacaan Doa Wahdah

Bersurai