• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

Adab dalam memuji

Petikan dari kitab Bimbingan Mukmin

Memuji orang, adakalanya dilarang pada setengah-setengah tempat. Mencela pula samalah seperti mengumpat atau merendahkan kedudukan orang lain, dan hukumnya telah kita sebutkan sebelum ini.

Dalam pujian itu, ada enam pula bahayanya. Empat bahaya bersangkut-paut dengan orang yang memuji dan dua bahaya yang lain ialah orang yang dipuji.

Bahaya-bahaya yang bersangkut-paut dengan si pemuji itu ialah; Pertama: Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.

Pertama: Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.

Kedua: Dengan adanya pujian itu, timbul perasaan riya’ di dalam diri seolah-olah ia menunjukkan cintanya terhadap orang yang dipujinya itu. Adakalanya dalam pujian itu ia, memendamkan perasaan yang tak senang terhadap orang yang dipujinya ataupun ia sendiri tidak meyakinkan semua kata-kata pujiannya itu, maka dengan demikian, ia telah menjadi seorang yang riya’ dan munafik sama.

Ketiga: Dengan adanya pujian itu, ia telah mengatakan sesuatu yang ia sendiri belum tahu, sama ada betul atau tidak yakni ia belum sempat menyelidiki hakikat kata-kata pujiannya itu.

Keempat: Dengan adanya pujian itu, mungkin sekali ia telah menggembirakan hati orang yang dipujinya, meskipun orang itu seorang yang zalim atau fasik, manakala memberikan pujian kepada mereka itu dalah tidak harus.

Berkata al-Hassan r.a.: Sesiapa yang mendoakan bagi seorang yang zalim supaya panjang umur, maka seolah-olahnya ia suka dan redah orang itu melakukan maksiat terhadap Allah di bumiNya.

Tentang bahaya-bahaya yang boleh menimpa orang yang dipuji pula, iaitu:

Petama: Dengan menerima pujian itu, akan timbul dalam dirinya perasaan bongkak dan ujub, dan kedua-duanya termasuk sifat yang membinasakan.

Kedua: Dengan menerima pujian itu, hatinya akan merasa gembira dan sangat senang, dan sesudah itu akan menjadi cuai tentang kesalahan-kesalahannya, dan menganggap dirinya sudah sempurna disebabkan pujian itu. Kemudian usahanya akan berkurang untuk membuat amalan-amalan yang baik.

Sekiranya pujian itu dapat menyelamatkan orang dari bahaya-bahaya ini, sama ada pada diri si pemuji mahupun yang dipuji, maka tidak mengapalah untuk memberikan pujian itu, malah dalam setengah-setengah perkara mungkin menjadi sunnat, yakni digalakkan.

Seterusnya orang yang dipuji itu hendaklah berhati-hati menjaga dirinya dari bahaya-bahaya sifat bongkak dan ujub, dan juga dari bahaya keteledoran. Hendaklah ia sentiasa ingat, bahawa ia lebih mengetahui tentang dirinya dari yang diketahui oleh si pemuji itu, dan andaikata segala rahsia dirinya terbongkar di hadapan orang  yang memujinya itu, dan segala lintasan hatinya dapat disingkapkan olehnya tentulah orang itu tidak mahu memujinya.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika ia dipuji orang, selalu berdoa begini: Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku terhadap segala yang mereka tidak mengetahuinya. Janganlah menyalahkan aku kerana apa yang mereka katakana itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.

Sepatutnya orang yang mahu memuji terhadap seseorang itu, hendaklah ia tidak tergesa-gesa memberikan pujiannya, melainkan setelah ia mengetahui benar-benar tentang diri orang yang hendak dipujinya serta kebatinannya.

Sekali peristiwa, pernah Saiyidina Umar Ibnul Khattab mendengar seorang memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau bepergian bersama-sama orang itu? Jawab si pemuji itu: Belum pernah! Berkata Umar lagi: Pernahkah engkau membuat perjanjian atau bermu’amalah dengannya? Kata orag itu: Belum. Umar berkata lagi: Pernahkah engkau bersama-samanya pada pagi dan petang? Katanya: Tidak. Lalu Saiyidina Umar berucap: Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, aku tak fikir engkau sudah benar-benar mengenalnya.

Dalam sebuah Hadis:

“Sekiranya seseorang kamu terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah ia berkata: Saya kira si fulan itu begini dan saya tidak mensucikan seseorang manusia pun atas Allah”

Solat hajat mohon dilindungi musibah

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Tatkala negara diancam musuh dan kestabilan negara diganggu-gugat, peranan pasukan keselamatan seperti polis dan perajurit amat penting. Pada bahu merekalah kita sandarkan harapan supaya kedamaian serta ketenteraman kembali seperti sedia kala.

Semasa negara digugat oleh pihak musuh yang tidak senang dengan suasana dalam negara, peranan rakyat awam juga harus digerakkan secara aktif. Meskipun tidak menggalas senjata ke medan tempur, kita masih mampu memberikan sumbangan mengikut kadar yang terdaya.
Antaranya ialah dengan mengadakan solat hajat. Memohon kepada Allah supaya keselamatan rakyat dan anggota keselamatan negara dilindungi daripada bala bencana yang tidak diingini, satu kaedah yang sangat dianjurkan oleh agama.

Petunjuk selesai masalah

Ketika kita sedang berdepan sebarang keinginan atau masalah dalam kehidupan, Baginda SAW ada memberikan petunjuk untuk melaksanakan solat hajat.

Ibnu A’uf ada menceritakan, Rasulullah SAW pernah memberitahunya, “Barang siapa yang mempunyai keperluan kepada Allah atau kepada salah seorang manusia dari anak cucu Adam, maka berwuduklah dengan sebaik-baiknya wuduk. Kemudian solatlah dua rakaat (solat hajat), lalu memuji kepada Allah dengan mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Setelah itu, mengucapkan, “Laa ilaaha illaahul haliimul kariimu.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Solat hajat adalah alternatif untuk memohon secara terus kepada Allah apa-apa yang dihajati sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi mahupun akhirat.
Seorang lagi sahabat Baginda SAW, Abu Darda melaporkan, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berwuduk dan menyempurnakannya, lalu solat dua rakaat secara sempurna, maka Allah akan memberinya apa yang dia minta, sama ada cepat atau lambat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kisah orang buta

Kisah ini satu iktibar menunjukkan Baginda SAW sangat menggalakkan kita mengamalkan solat hajat semasa menghadapi sebarang isu dalam kehidupan. Kisah ini direkodkan oleh Imam at-Tirmidzi.

“Pada zaman dulu, ada seorang buta yang datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku mendapat musibah pada mataku. Maka, berdoalah kepada Allah untuk kesembuhanku.

Kemudian Rasulullah SAW berpesan kepada orang itu: “Pergilah, lalu berwuduklah, kemudian lakukan solat dua rakaat. Setelah itu berdoalah: Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dan aku menghadap kepada-Mu atas (perintah) nabiku, Muhammad sebagai nabi rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku meminta syafaat kepada Tuhanku dengan dirimu agar Dia mengembalikan penglihatanku.”

Dalam waktu yang singkat, lelaki itu dapat melihat seperti sedia kala, seperti tidak pernah mengalami kebutaan. Kemudian Baginda SAW berpesan kepada kita semua dengan penuh ikhlas di hatinya: “Jika kamu memiliki keperluan atau hajat, maka lakukanlah seperti itu.”

Sesungguhnya solat hajat adalah hadiah berharga yang Allah kurniakan semasa kita sangat memerlukan pertolongan-Nya seperti isu semasa yang mengocakkan sedikit kestabilan dan keamanan dalam negara.

Amalan solat hajat adalah suatu manifestasi rasa cinta kepada keamanan negara dan rasa kasih terhadap seluruh pasukan keselamatan negara kita.

Hargai pengorbanan ibu bapa

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Tuhan makbul doa anak soleh, sayangi orang tua

Firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)
Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan Allah ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151

Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Firman Allah SWT, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151)

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah SAW menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menunaikan solat dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayan dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32)

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Justeru, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka.

Malik Bin Rabiah menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka? Rasulullah SAW menjawab: Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan disediakan untuk orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa pula akan mendapat laknat daripada Allah SWT, disegerakan hukuman di dunia ini, dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya, ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka Allah SWT.

Pada hari ini, kita menyaksikan penderhakaan terhadap kedua-dua ibu bapa menjadi fenomena biasa dalam masyarakat daripada herdikan, cacian, pemulauan dan sampai ke peringkat membunuh. Sudah pasti orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Setiap kita harus bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita.

Info: Anak hormati ibu bapa
@ Doa anak mustajab;
@ Doa ibu bapa juga mustajab;
@ Melihat wajah ibu bapa dikira ibadah;
@ Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan
@ Kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Anak derhaka
@ Dilaknat Allah SWT;
@ Disegerakan hukuman di dunia;
@ Dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya
@ Ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka

7 cara cuci hati

Oleh HASHIM AHMAD

SUATU ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.

Ashim bertanya kepada Hatim: “Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?”

Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: “Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat.”

Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: “Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:

1 Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) – menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.

Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: “Dari manakah kalian?” Jawab para sahabat: “Kami baru pulang daripada berjemaah Asar.”

Dengan segera Umar berucap “Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin.”

Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji’: Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.

2 Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) – iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.

3 Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia – Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.

4Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.

5Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.

6 Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.

7Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.

Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: “Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa.”

Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.

Janji kemenangan tegak kebenaran

Dr Mansor Sulaiman
Pertembungan dengan musuh Islam uji keimanan

Setiap hari dunia memaparkan kisah kezaliman dan kedurjanaan yang dilakukan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam. Pada masa sama turut dipaparkan penentangan dan perjuangan yang dilakukan kelompok umat Islam dalam menghadapi kejahatan itu.
Apabila diimbas peristiwa yang telah menjadi sejarah, apa yang berlaku hari ini seperti perulangan pelbagai peristiwa yang melanda dunia dan umat Islam sejak sekian lama. Realiti juga menunjukkan kita sedang berada pada zaman umat Islam dalam keadaan yang sangat lemah dan musuh Islam bermaharajalela melakukan kejahatan serta kezaliman.

Firman Allah SWT: “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini.” (Surah al-Baqarah, ayat 251)

Disebut dalam bentuk penceritaan Pertembungan antara Islam dan musuh-musuhnya telah disebutkan Allah secara berulang kali antaranya didatangkan dalam bentuk penceritaan peristiwa berlaku pada zaman silam, kisah pertembungan antara rasul dan pendukung fahaman batil pada zaman tertentu.

Oleh kerana banyaknya ayat yang menceritakan kisah pertembungan itu, maka ramai sarjana Islam telah mentafsirkannya sebagai salah satu daripada ketetapan yang telah ditentukan Allah dalam perjalanan kehidupan manusia, iaitu pertembungan antara hak dan batil.

Firman Allah SWT: “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini.” (Surah al-Baqarah, ayat 251)

Berhubung sunnah atau pertembungan ini, al-Quran menjelaskan ia berlaku sepanjang zaman dan telah bermula sejak awal kejadian manusia menerusi kisah pertembungan Adam dan syaitan yang disebutkan beberapa kali dalam al-Quran.
Penelitian terhadap nas al-Quran seperti diutarakan pengkaji al-Quran akan membawa kita kepada suatu kesimpulan iaitu antara lain tujuan penceritaan sejarah untuk menunjukkan pertembungan dua golongan iaitu umat yang benar dan batil.

Apa yang berlaku di Palestin, Bosnia, Iraq, Afghanistan, Lubnan, Kashmir, Chechnya dan sebagainya adalah sebahagian daripada perulangan sunnah ini.

Persoalan pertembungan yang disebutkan itu ada jawapannya yang antara lainnya adalah sebagai sebahagian daripada ujian keimanan kepada umat Islam. Ia juga sebagai peringatan kepada umat Islam, bahawa kebatilan akan sentiasa cuba menguasai keadaan.

Jika tiada siapa yang bangkit untuk menghadapinya, maka kebatilan akan melata dan kejahatan tidak dapat terbendung lagi. Jika keadaan ini berlaku, kedahsyatan lebih besar akan berlaku seperti pernah berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, kaum Ad, Thamud dan sebagainya.

Kejahatan tak dapat dibendung

Firman Allah SWT: “Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu maha mengetahui lagi maha melihat dosa hamba-hambanya.” (Surah al-Isra’, ayat 16)

Walaupun begitu, al-Quran memberikan isyarat bahawa kebatilan tidak akan dibiarkan berleluasa sehingga mendominasi kerosakan secara menyeluruh.

Al-Quran menjelaskan pertembungan akan berlaku dengan perencanaan Allah antara lainnya menerusi kebangkitan orang beriman.

Firman-Nya: “Sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.” (Surah al-Haj, ayat 40)

Dizalimi kuasa besar

Nas berkaitan pertembungan itu turut memberi jawapan kepada realiti hari ini yang memperlihatkan umat Islam serta gerakan yang cuba memartabatkan Islam terlalu teruk ditindas dan dizalimi kuasa besar, sekutu dan ejen mereka.

Seperkara yang perlu diambil perhatian, khususnya mereka yang bertekad untuk bersama kebenaran, bahawa Allah menjanjikan kemenangan kepada golongan benar yang sanggup menghadapi cabaran pertembungan ini.

Allah berfirman: “Allah telah menetapkan: ‘Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang’. Sesungguhnya Allah maha kuasa lagi maha perkasa.” (Surah al-Mujadilah, ayat 21)

Nas ini secara tidak langsung sebagai motivasi kepada umat Islam untuk menjadi umat yang bersedia menghadapi cabaran, bukan umat yang lemah dan mudah tunduk kepada cabaran

Doa harapkan bantuan Allah

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Nasib boleh berubah jika ada usaha perbaiki diri

Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau besar, mudah atau susah, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu boleh berubah menerusi doa.
Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk berdoa bersumberkan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60)

“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” Surah al-Nahl, (ayat 61)

Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan, mana mungkin Allah SWT menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang lain, Allah SWT turut memerintahkan hamba-Nya berusaha memperbaiki diri dan tidak hanya menyerah urusan hidup kepada takdir-Nya.

Firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Takdir boleh berubah ikut usaha

Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan insan jika diizinkan Allah SWT bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)
Abu Hurairah juga menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa untuk berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang menyusahkan.” (Riwayat Imam Muslim)

Menurut Ulama’ : “Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah ditulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna anda meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa anda telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir).”

Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah SWT. Dia tahu pada sekian masa individu itu akan berdoa dan sama ada doanya dimakbulkan serta bila dimakbulkan, tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah SWT.

Dalam erti kata lain, sebab yang kita usahakan, semua itu termasuk dalam takdir Allah SWT. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang dibincangkan ini.

Kematian tidak akan tertunda

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal itu dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal itu termasuk takdir Allah. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Menurut Ulama’ lagi: “Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah, begitu juga segala sebab mempunyai pengaruh terhadap musababnya dengan izin Allah. Maka semua sebab telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis.”

Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman-Nya: “Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” (Surah al-Nahl, ayat 61)

Timbul pula persoalan kedua, jika waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah dengan doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah SWT.

Doa panjang umur

Oleh itu, dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah SAW pernah mendoakan supaya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah keampunan kepadanya.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Ternyata dengan izin Allah SWT Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun.

Bukan berdoa saja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia seseorang. Diriwayatkan: “Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambah umur melainkan amal kebaikan.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk mendapat bantuan Allah SWT, doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.

Misteri di sebalik azan

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

SETIAP hari azan dikumandang terutama di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sebagai tanda masuknya waktu solat.

Di sebalik kemerduan azan, ada misteri dan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga bagi muazin (orang yang menyerukan azan), Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kepadanya.

Kalimah penyeru (muazin) yang mengandungi kehebatan lagi menakjubkan telah tertanam dalam jiwa setiap Muslim, sehinggakan seusai laungan azan, seluruh tubuh serta pancaindera kita bergerak untuk menunaikan ibadat solat.

Menurut fakta, kebanyakan bukan Muslim menerima hidayah Ilahi setelah mendengar azan. Biarpun tidak memahami maksudnya, namun mendengarkannya sahaja telah menggetarkan hati, sekali gus menyentuh jauh di sudut hati nurani. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka dibangkitkan melalui alunan suara azan tersebut.

Kementerian Urusan Agama Turki pernah menyatakan sekurang-kurangnya 634 orang telah memeluk Islam pada 2011, termasuk 407 wanita, yang rata-rata mereka berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Malah mereka berasal daripada pelbagai bangsa Jerman, Maldive, Belanda, Perancis, China, Brazil, Amerika Syarikat, Rumania, Estonia dan lain-lain dan merupakan pelancong yang sedang melancong ke Turki.

Di Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang memeluk agama Islam pada empat tahun terakhir, termasuk 10 wanita.

Mufti kota Kayseri, Syeikh Ali Marasyalijil berkata, umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan.

Chauncey L. Hawakins dari Amerika Syarikat mengakui pengislamannya bertitik-tolak selepas mendengar azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu.

Hakikatnya, penghijrahan akidah asbab daripada alunan azan memang berlaku.

Melalui mimpi

Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu satu cara untuk mengingatkan umat Islam apabila tibanya waktu solat. Ada sahabat yang menyampaikan usul untuk mengibarkan bendera, meniup trompet, membunyikan loceng dan sebagainya. Namun, semua saranan itu dianggap kurang sesuai.

Sehingga datanglah Abdullah bin Zaid yang bercerita bahawa beliau bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz sebagaimana yang dibuat kini.

Lalu dikhabarkan perihal mimpi itu kepada baginda. Umar bin Khattab sebaik mendengar hal tersebut, spontan mengakui beliau juga bermimpi yang sama.

“Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi).”

Lalu Rasulullah bersabda: “Segala puji bagimu.” Rasulullah menyetujui untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu solat tiba.

Selain digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, azan juga dikumandangkan pada peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah.

Misalnya ketika kelahiran bayi dan ketika pasukan Rasulullah menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan.

Pada waktu itu Bilal bin Rabbah mengalunkan azan dari atas Kaabah.

Peristiwa kejatuhan Constantinopel yang sekali gus mengakhiri kekuasaan empayar Rom Timur juga disambut dengan laungan azan sebagai tanda kemenangan Islam ketika itu.

Di muka bumi ini, laungannya azan berlaku hampir setiap minit dan saat. Disebabkan Bumi berbentuk bulat, maka berlaku perbezaan waktu solat antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Sebab it, ketika azan telah selesai berkumandang di satu daerah, tempat atau negara, ia akan diikuti oleh azan di tempat lain sehingga seterusnya tanpa henti.

Satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, disusuli pula Sumatera. Sebelum azan berakhir di Indonesia, ia sudah dimulai di Malaysia.

Selepas itu azana kan berkumandang di Myanmar diikuti Dhaka, Bangladesh; seterusnya Kolkata ke Srinagar, terus ke Bombay dan seluruh India.

Seterusnya laungan azan singgah di Mekah dan Madinah, Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq hinggalah ke Eropah dan Amerika.

Begitulah seterusnya azan terus berkumandang di bumi dan tidak pernah berhenti hingga kiamat.