• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,090 orang
  • Kandungan Blog

Pengajaran Dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w.

Petikan daripada kitab Bimbingan Mukmin

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Barangsiapa yang masih menyangsikan terjadinya perkara-perkara yang luar biasa ini atas diri Rasulullah s.a.w. serta menganggap bahawa berita tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang luar biasa itu tidak dibawa menurut tawatur (bersambung-sambung sehingga sukar dibohongi lagi) seperti tawaturnya Al-Quran, maka yang demikian itu samalah seperti seorang yang masih menyangsikan ketangkasan Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. atau seperti seorang yang masih meragui tentang kemurahatian Hatim at-Tha’i.

Memang benar, bahawa tiap-tiap satu dari kejadian-kejadian tadi tidak tawatur pemberitaanya, akan tetapi pada umumnya keseluruhan kejadian-kejadian itu memberitahu kepada kita semacam pengetahuan yang dharuri. Dan tawatur al-Quran al-Karim itu sudah tidak dapat dipertelingkahkan lagi, dan ia juga merupakan satu-satunya mukjizat yang paling utama dan terbesar sekali, yang masih ada di antara manusia hari ini. Tidak ada seorang Nabi yang mempunyai mukjizat yang masih tinggal, selain dari mukjizat Rasulullah s.a.w. telah mencabar sekalian pakar ilmu bahasa dalam kalangan manusia dan sasterawan-sasterawan Arab seluruhnya.

Kebetulan di masa itu, Jazirah Arab penuh dengan pakar-pakar ilmu bahasa dan sasterawan-sasterawan ulung, sehingga mencapai bilangan ribuan. Orang-orang ini memanglah kerjanya memajukan kesusasteraan dan kefasihan bahasa Arab, maka dengan mukjizat al-Quran itulah Rasulullah s.a.w. telah mencabar mereka dan mengatasi ilmu pengetahuan mereka.

Seringkali pula Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan mereka seraya menyeru mereka mencipta seperti al-Quran, kiranya mereka masih meragui al-Quran. Kemudian meminta mereka mencipta sepuluh Surah saja seperti al-Quraan. Kemudian dengan satu Surah saja … tetapi semua cabaran dan rayuan Rasulullah s.a.w. itu, mereka tetap tidak berkuasa menandinginya.

Baginda s.a.w. lalu membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang berbunyi:

“Katakanlah sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan (mencipta) seperti al-Quran ini, mereka tidak akan mampu mendatangkan sepertinya, meskipun sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.” (al-Isra’: 88)

Baginda s.a.w. telah berkata demikian untuk membuktikan kelemahan mereka itu. Sememangnyalah mereka itu menjadi lemah sekali, bila mereka berhadapan dengan al-Quran al-Karim, sehingga mereka mendedahkan diri mereka kepada penawanan oleh kaum Muslimin dalam peperangan-peperangan yang mereka masih tidak berkuasa untuk menetang al-Quran. Juga tidak mampu untuk mencacatkan keindahan dan kemurniaan al-Quran.

Sesudah itu tersebarlah cerita I’jaz al-Quran ini ke seluruh antero dunia, baik di timur mahupun di barat, dari satu abad ke abad yang lain, dan dari suatu masa ke masa yang lain, hinggalah sampai ke zaman kita ini, tidak ada seorang pun yang sanggup menentangnya.

Adalah suatu kebodohan yang besar, orang yang melihat pada hal-ehwal Rasulullah s.a.w. kemudian kepada tutur katanya, perilakunya, perbuatannya, akhlaknya, budi pekertinya dan seterusnya kepada mukjizat-mukjizatnya, kemudian kepada penyebarannya ke seluruh antero alam, kemudian melihat pula bagaimana sekalian raja-raja dalam zamannya dapat ditundukkan, kemudian raja-raja sesudah zamannya juga dapat ditundukkan sama, padahal Baginda tiada lain, melainkan seorang anak yatim yang lemah saja.

Kemudian sesudah orang itu melihat segala-gala yang tersebut di atas tadi, lalu ia cuba mahu mempertelingkahkan tentang kebenarannya? Alangkah besarnya taufiq dan petunjuk orang yang sudah beriman dengan Nabi s.a.w. kemudian ia membenarkannya pula seraya mengikut jejak langkahnya terhadap semua perintah yang diwahyukan.

Marilah kita memohon Allah Ta’ala agar kita diberikanNya taufiq dan pentunjuk untuk mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. dalam akhlak dan budi pekertinya dalam perilaku dan perbuatannya, dalam segala hal dan keadaannya, dalam kata-kata dan tutur bicaranya dengan kurniaannya dan keluasan kasih sayangnya. Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: