• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,081 orang
  • Kandungan Blog

Tegur menegur penuh hikmah

Tegur menegur adalah salah satu perbuatan dan sikap yang baik pada pandangan Islam. Bersesuaian dengan kelemahan di dalam diri manusia yang memerlukan teguran untuk memperbaiki kesilapan diri.

Kita bukannya maksum seperti Nabi dan Rasul yang sentiasa terpelihara oleh Allah SWT daripada dosa. Kita juga bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Dengan teguran, manusia akan sedar atas kesilapan, kelemahan dan kesalahan dalam diri. Pastinya kita yang hidup bermasyarakat ini pernah mengalami peristiwa ditegur dan menegur kerana kesilapan yang dilakukan.

Kemudian kita dapati ada sebahagian yang dapat menerima teguran dan tidak kurang juga sebahagian yang tidak dapat menerima teguran.

Segala puji bagi Allah bersama-sama orang yang terbuka hatinya untuk menerima teguran dan memperbaiki kesilapan. Namun, cuba kita fikirkan sebab-sebab orang yang tidak dapat menerima teguran. Bahkan kesalahan yang dilakukan tidaklah sebesar mana pun.

Salah satu kebarangkalian orang yang ditegur tidak dapat menerima teguran itu bukanlah kerana dia tidak boleh berubah dan memperbaiki kesalahan, tetapi disebabkan cara dan kaedah teguran yang kurang bijak atau tidak sesuai pada orang yang ditegur itu.

Tidak dinafikan walaupun perkara yang ditegur itu sememangnya satu kesalahan yang perlu ditegur. Tetapi teguran dengan cara yang tidak betul dan berhemah menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk.

Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak dapat menerima teguran kerana kesilapan cara menegur seperti sindiran, perlian, cacian, makian, terlalu emosi semasa menegur, menegur dikhalayak ramai, seterusnya memalukan orang yang ditegur dan sebagainya.

Lebih malang lagi apabila teguran menjadi penyebab terjadinya permusuhan, saling benci-membenci, putus kawan, putus saudara dan saling ungkit mengungkit dan menyalahkan satu sama lain dan seterusnya menimbulkan perasaan dendam dalam diri masing-masing. Akhirnya matlamat untuk memberi kesedaran pada niat asalnya tidak kesampaian.

Teladani Rasulullah

Marilah kita meneladani keperibadian Rasulullah SAW ketika baginda menegur sahabatnya sepertimana hadis berikut; Daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Seorang lelaki membonceng Rasulullah SAW pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu memandang ke arah mereka. Rasulullah SAW pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah SAW bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni [Musnad Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]

Hadis ini memberikan pengajaran kepada kitamethodologi dan pendekatan Rasulullah SAW dalam menegur kesilapan yang dilakukan oleh para Sahabat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peranan kita sebagai individu dalam masyarakat, antara tanggungjawab yang perlu kita mainkan ialah menegur kesilapan dan kesalahan orang.

Berfikiran positif ciri Mukmin sejati

Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bersabar hadapi kesusahan, bersyukur nikmati kesenangan

Jika menilai ibadah, amal salih dan ketaatan lain kita kepada Allah SWT, ia masih kurang dibandingkan rahmat serta kasih sayang tidak terhingga yang dilimpahkan Allah SWT untuk hamba-Nya.

Paling banyak kita lakukan sepanjang masa adalah kemaksiatan dan dosa terhadap Allah SWT seakan-akan murka-Nya tersembunyi di sebalik kasih sayang diberikan. Setiap hari kita akan melakukan dan menabung dosa, namun kita masih lagi dinaungi oleh rahmat-Nya.
Bukankah kita masih diperkenankan untuk meneruskan perjalanan hidup. Udara di dunia masih boleh dihirup dan dihembus setiap detik. Bahkan, pelbagai jenis keperluan kehidupan masih lagi dipenuhi dan ditunaikan oleh Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.

Alam yang sementara ini masih relatif bersahabat dengan kita apabila dibandingkan dengan umat terdahulu yang langsung diazab dan dihukum oleh alam ketika dosa serta kemaksiatan semakin bermaharajalela.

Ini menandakan betapa luasnya rahmat Allah berbanding kemurkaan-Nya. Oleh itu, di hadapan sahabatnya, Rasulullah SAW berpesan: “Tatkala Allah menciptakan seluruh makhluk, Allah menuliskan dalam kitab-Nya, yang kitab itu berada di sisi-Nya di atas Arasy, yang isinya adalah: “Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pernah terjadi pada suatu ketika, ada satu rombongan tawanan perang dihadapkan kepada Rasulullah SAW. Di tengah-tengah rombongan itu, ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya.

Tatkala dia berhasil menemui bayinya itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan lalu menyusuinya. Pada saat itu, Rasulullah SAW bertanya kepada rombongan: “Apakah menurut pandangan kalian semua ibu ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam api yang panas membakar? Rombongan itu menjawab: Tidak mungkin, demi Allah. Sebaliknya si ibu sanggup mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan bayinya daripada terlempar ke dalamnya. Maka Rasulullah SAW bersabda: Memang benar, Allah SWT lebih sayang kepada hamba-Nya daripada ibu ini yang menyayangi anaknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, setiap Muslim wajib menginsafi jika kini kita semakin yakin betapa luasnya rahmat Allah SWT, seharusnya kita lebih bersemangat dan jangan sama sekali terlintas dalam benak fikiran untuk berputus asa. Sikap berputus asa sebenarnya adalah sifat orang kafir dan sesat.

Benarlah firman Allah SWT bermaksud: “Mereka menjawab: Kami menggembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar, oleh itu janganlah engkau menjadi orang yang berputus asa. Nabi Ibrahim berkata: Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah al-Hijr, ayat 55-56)

Oleh itu, Rasulullah SAW menyanjungi seorang mukmin yang berfikir positif dalam hidupnya, bahkan sifat itu antara ciri mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Mukmin sejati sudah pasti menginsafi baik mahupun buruk dalam kehidupan ini akan datang silih berganti menimpa dirinya. Pada satu ketika, dia mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin pada ketika lain dia akan ditimpa kesusahan yang menguji kesabarannya.

Keadaan itu bertepatan firman Allah SWT bermaksud: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya).” (Surah Ali-Imran, ayat 140)

Pelukis Sweden hina Rasulullah s.a.w

Oleh AFP

STOCKHOLM 21 Feb. – Pelukis Sweden yang pernah menerima ancaman bunuh selepas menggambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai anjing, mendedahkan akan mempamerkan lukisan baharu tentang Nabi Muhammad dalam satu pameran di bandar Malmoe, Julai ini.

“Adalah penting untuk meneruskannya kerana jika anda tunduk kepada ancaman itu dan beralah, anda meninggalkan asas-asas demokrasi,” dakwa Lars Vilks (gambar).

Pelukis itu berdepan dengan beberapa ancaman bunuh sejak lukisannya yang memaparkan Nabi Muhammad dengan berbadan anjing disiarkan buat pertama kalinya di akhbar harian Sweden, Nerikes Allehanda pada 2007.

Vilks mendakwa, lukisan baharu itu akan terus menggambarkan Nabi Muhammad dengan berbadan anjing.

Katanya, adalah sukar untuk menilai sama ada pameran yang akan diadakan di galeri bandar ketiga terbesar di Sweden ini akan mencetuskan lebih banyak bantahan atau ancaman.

Dengan satu pertiga daripada penduduk Malmoe lahir di luar Sweden, bandar itu menjadi tumpuan perdebatan tentang imigran.

Pusat Islam di bandar itu menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 penduduk yang beragama Islam di kawasan itu.

Sabar, istiqamah dalam berjihad

Lokman Ismail

Elak sikap gopoh, ekstrem apabila berdepan provokasi musuh

Sikap sabar dan tertib dalam melakukan sesuatu usaha penting untuk mencapai kejayaan. Ibarat menaiki anak tangga, ia perlu dilakukan dari bawah satu persatu secara berperingkat-peringkat.

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana sikap sabar dan istiqamah Baginda melaksanakan tugas menyebarkan Islam. Rasulullah SAW terpaksa menempuh kesukaran dan cabaran besar tanpa berputus asa dan jemu.
Setiap perkara dilakukan mengikut sunnatullah dan sebab itu Rasulullah SAW sanggup berdepan cabaran sebelum mencapai apa yang dihajati biarpun Baginda boleh memohon terus kepada Allah SWT untuk jalan mudah. Allah SWT tentu akan memperkenankan doa Baginda sesuai kedudukannya sebagai kekasih Allah SWT.

Tolak mohon kemenangan segera

Perkara ini dapat difahami melalui kisah Rasulullah SAW menolak permintaan Khabbab bin Al-Art supaya memohon kemenangan segera bagi Islam. Kata Khabbab: “Mengapa engkau tidak mendoakan untuk kita ya Rasulullah? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?”

Nabi Muhammad dengan muka yang merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda: “Sesungguhnya orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga tergelupas daging dari tulang dan dibelah dua dengan gergaji, tetapi tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, ia akan memberi kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga tidak takut serigala menerkam kambingnya, tetapi kamu minta disegerakan.” (Riwayat Bukhari).

Kita digalakkan berdoa memohon kepada Allah SWT, di samping berusaha dan bertawakal. Apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW adalah kita perlu bersusah untuk mendapat keredaan Allah SWT biarpun terpaksa berdepan ujian besar.
Setiap perkara dilakukan demi menegakkan agama mendapat pembalasan setimpal biarpun tidak membuahkan hasil seperti diharapkan. Allah SWT menilai berdasarkan niat dan keikhlasan melakukan sesuatu, bukannya berdasarkan apa yang mampu dihasilkan.

Firman Allah SWT: “Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 1-2)

Jiwa tak tenang mudah dipesong syaitan

Mereka yang berjihad di jalan Allah SWT perlu bersabar menempuh cabaran. Sikap terburu-buru akan menimbulkan banyak kesan buruk. Jiwa yang tidak tenang mudah dipesongkan oleh syaitan. Sabar, istiqamah dan bijaksana mesti diamalkan ketika berdepan kepayahan dan halangan.

Umat Islam perlu mengelak daripada sikap gopoh serta ekstrem apabila berdepan provokasi musuh-musuh Islam. Disebabkan tidak sabar menyebabkan kita tidak mampu mendepani provokasi sebaliknya bertindak membabi buta hingga memperlihatkan sifat tidak matang.

Bibit-bibit kejayaan hancur disebabkan tidak ada kesabaran. Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya bersabar dan mendidik mereka memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma atau sebelum tiba masanya.

Firman Allah SWT: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Jika sesuatu usaha tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan, bukan bermakna tidak ada satu pun kebaikan diperoleh. Sepanjang usaha itu tentunya telah berjaya mengubah daripada keadaan tidak baik kepada baik dan yang baik menjadi lebih baik.

Tak wajar korbankan prinsip perjuangan

Kegagalan tidak seharusnya merenjatkan usaha yang dilakukan selama ini. Malah tidak patut sekali-kali kita mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata ingin berjaya dengan cepat. Ingatlah, kejayaan yang dicapai tidak memberi apa-apa makna jika kesan sebenarnya adalah keburukan.

Semai sikap rendah diri hormati guru

Oleh Mohd Adid Ab Rahman
Sikap, tingkah laku dan perangai segelintir pelajar di sekolah hari ini sangat menyedihkan serta cukup membimbangkan. Mereka bukan saja terbabit gejala ponteng, pergaulan bebas tiru budaya Barat, penagihan dadah, pergaduhan, membuli bahkan ada yang berani mencederakan guru.

Seakan lenyap sudah rasa kasih sayang, hormat dan kecenderungan ingin memuliakan guru di jiwa mereka. Akhlak buruk ini tidak sedikit pun mencerminkan keperibadian murni seorang pelajar Islam.
Islam sememangnya sangat menitikberatkan soal adab pelajar terhadap gurunya. Setiap kita yang menerima ilmu pengetahuan dari guru, menjadi satu kewajipan menghormati dan memuliakannya. Walaupun apa yang diajar itu hanya satu perkara kecil, patut mengiktirafkan dirinya sebagai guru.

Saidina Ali berkata: “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan (guru) kepada ku.”

Tugas guru murni

Seorang pelajar haruslah menyedari kedudukan guru mulia di sisi Allah SWT kerana tugas guru sangat murni, membawa manusia daripada kejahilan menuju kebijaksanaan dan berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Dengan adanya ilmu, menjadikan kehidupan sempurna bahkan negara berada di puncak kemajuan lantaran masyarakatnya berilmu pengetahuan. Ada sesetengah ulama mengatakan, guru umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka adalah pelita yang menyinari ahli zamannya.
Lantaran itulah, memuliakan dan mengagungkan guru termasuk perkara yang dianjurkan Islam seperti sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengerti hak ulama kami.” (Riwayat Ahmad)

Sepadan dengan hadis itu, Imam Nawawi pernah menyarankan seorang pelajar memperhatikan gurunya dengan pandangan penghormatan.

Contohi Imam Syafie

Kita patut mencontohi Imam Syafie menghormati guru. Suatu waktu, Imam Syafie yang sedang mengajar lantas bangun lalu memeluk seorang Badwi yang selekeh dan nampak susuk tubuhnya tak terurus dengan sempurna yang baru tiba.

Perbuatan Imam Syafie tadi sudah tentu menghairankan pelajarnya. Imam Syafie memberi hormat dengan cara memeluk si Badwi tadi kerana telah mengajarnya perihal anjing. Badwi itu pernah menerangkan kepada Imam Syafie, anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya ketika kencing.

Dengan penerangan itu, dapatlah Imam Syafie menyudahkan mengarang kitab fiqh setelah menghadapi satu kesulitan untuk membezakan antara anjing cukup umur dengan anjing yang belum cukup umurnya.

Malangnya ada sebilangan pelajar yang melenting marah dan meluat apabila guru menegur atau memberi nasihat. Tindakan demikian bukan saja tidak dapat membina diri menjadi insan berguna, tapi lebih menyerlahkan sikap biadap yang didorong hawa nafsu dan dimurkai Allah SWT.

Teguran tanda sayang

Sepatutnya pelajar banyak bersabar, mendengar dengan rendah hati serta mematuhinya dan berterima kasih kerana guru telah memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya. Anggaplah marah dan teguran tanda sayang seorang guru terhadap muridnya.

Enggan menerima nasihat menunjukkan sifat keras hati dan tinggi diri. Bukankah ilmu baru dapat dimiliki jika selalu merendah diri seperti diungkapkan Imam Ghazali: “Ilmu itu hanya akan diperoleh dengan merendahkan diri dan memerhatikannya.”

Sikap sesetengah ibu bapa hari ini yang tidak suka anaknya dijentik, didenda dan dirotan guru di sekolah atas salah laku tertentu boleh membantutkan proses pendidikan anak-anak. Tindakan sebegini bukanlah tanda sayang kepada anak tetapi hanya menggalakkan mereka melanggar disiplin.

Kita selaku ibu bapa harus elakkan bersikap sombong, sebaliknya mempercayai kepakaran guru mendidik anak ke arah kebaikan. Dengan demikian, nescaya terbinalah anak tadi sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya di dunia serta akhirat

7 Asas bina keluarga bahagia

Hasliza Hassan

Pergaulan baik perkukuh hubungan kasih sayang suami isteri

TUJUH asas pembinaan keluarga bahagia jika diberi perhatian dan diamalkan secara istiqamah akan menghasilkan kehidupan berkeluarga yang bahagia, seimbang serta mencapai kedudukan keluarga syurgawi.

Asas bina keluarga

Asas pertama membina keluarga bahagia ialah keimanan serta ketakwaan kepada Allah kerana perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Hanya mereka yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah mampu melayari kehidupan berumah tangga yang bahagia. Malah, perkara itu turut dijelaskan Rasulullah SAW mengenai cara memilih pasangan.

“Apabila kita berkahwin, pastinya kita ingin bahagia. Hakikatnya, bahagia itu subjektif kerana ada melihat bahagia dari segi material yang dimiliki tetapi ada juga yang kaya namun hidup tidak bahagia.
“Oleh itu, Rasulullah sudah memberi panduan jika ingin memilih pasangan, pilih yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Jika kita pilih pasangan yang memiliki ciri-ciri ini, akan bahagia dunia dan akhirat,” katanya.

Asas kedua ialah mawaddah warahmah atau kasih sayang yang juga ditunjukkan Rasulullah SAW melalui dua pendekatan iaitu dengan kata-kata dan perbuatan yang melambangkan kasih sayang antara suami isteri.
Beri hadiah

Selain memanggil pasangan dengan panggilan elok penuh penghormatan, kasih sayang juga perlu ditunjukkan menerusi kebiasaan memberi hadiah, sentuhan, khidmat serta meluangkan masa bersama.

Untuk hidup yang seimbang pula, Muslim perlu ada empat unsur yang sentiasa dipelihara dengan bersungguh-sungguh.

“Empat unsur itu ialah fizikal yang merujuk kepada perlunya menjaga makan minum. Emosi membabitkan kasih sayang diikuti rohani iaitu ibadat kita kepada Allah. Akhirnya, akal yang makanannya adalah ilmu. Semua unsur ini dapat membantu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat,”

Asas lain ialah pergaulan yang baik, amanah dan tanggungjawab, rezeki halal, berdoa kepada Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa. Kesemua asas itu jika dipelihara oleh suami dan isteri akan melahirkan kehidupan bahagia serta membina anak salih.

Pergaulan baik penting

Pergaulan yang baik antara suami, isteri dan anak penting kerana suasana yang baik itu secara tidak langsung akan mendorong setiap ahli keluarga menghargai serta menghormati, akhirnya mengukuhkan hubungan kasih sayang.

Maksud pergaulan baik ialah berbicara dengan penuh lemah lembut terhadap pasangan masing-masing dan anak-anak. Beliau mengajak peserta supaya meniru cara Khadijah bergaul dengan Rasulullah SAW.

“Ketika Khadijah ingin menghidangkan makanan kepada Rasulullah, Jibril sudah memberitahu Baginda akan kedatangan Khadijah yang membawa makanan. Jibril meminta Baginda menyampaikan salam Jibril dan salam daripada Allah yang sudah membina istana untuk Khadijah di syurga.

“Apabila ditanya kenapa Khadijah mendapat penghormatan itu, Allah berkenan dengan dua perkara yang dilakukan Khadijah kepada Rasulullah SAW iaitu tutur katanya yang lembut dan layanan baik diberikan kepada Baginda.

“Justeru, bagi isteri atau suami yang menginginkan ganjaran syurga, maka berkatalah dengan lemah lembut dan berikan layanan baik kepada pasangan. Inilah yang sepatutnya dilakukan untuk membina keluarga bahagia,”

Ramai yang tidak memberi perhatian kepada sumber rezeki kerana beranggapan ia bukan sebahagian daripada faktor yang membantu keluarga mencapai kebahagiaan sedangkan aspek itu memainkan peranan penting.

Rasulullah SAW sudah menjelaskan bahawa makan yang dimakan akan menjadi darah daging. Makanan yang haram tempatnya di neraka sementara makanan daripada sumber halal serta suci membolehkan doa dimakbulkan.

Begitu juga berbuat baik kepada ibu bapa kerana selain menjaga hati kedua-duanya, anak juga bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada ibu bapa termasuk menyelesaikan hutang serta tuntutan haji mereka.

Bertunang tempoh kenali pasangan

Asri Md Saman@Osman

Patuhi hukum, tak hebohkan majlis untuk jaga kemaslahatan

Khitbah atau bertunang adalah mukadimah bagi sebuah perkahwinan. Ia dilakukan selepas seorang lelaki mencari dan berpuas hati dengan semua sifat yang ada bagi seorang wanita untuk disunting menjadi isterinya.

Sesungguhnya Allah SWT mengharuskan khitbah (bertunang) sebagai salah satu daripada syariat atau perundangan dalam Islam. Dalam tempoh inilah pasangan perlu mengenali hati budi masing-masing supaya mereka dapat membina keserasian dalam membina mahligai cinta abadi.
Peminangan telah wujud zaman Rasulullah SAW. Fatimah binti Qais telah berjumpa Rasulullah SAW menceritakan Mu’awiyah dan Abu Jahm telah meminangnya. Baginda bersabda: “Mua’awiyah seorang yang miskin tiada harta, manakala Abu Jahm pula seorang yang sentiasa menggantung tongkat di atas tengkoknya (garang dengan isterinya), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Baginda SAW tidak melarang, malah Nabi SAW membantu Fatimah binti Qais untuk mendapatkan pasangan yang sesuai dengannya. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan.

Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam edah dan bukan tunangan orang.

Sabda Rasulullah SAW: “Kamu tidak boleh meminang tunang saudara kamu sehingga dia (membuat ketetapan untuk) memutuskannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis yang dinyatakan di atas tegas menunjukkan sesungguhnya haram bagi seorang lelaki untuk meminang seorang perempuan yang telah pun menjadi tunangan lelaki lain. Tujuan larangan ini adalah bagi mengelakkan pergaduhan dan permusuhan sesama Muslim disebabkan seorang perempuan.
Islam melarang umatnya bermusuhan antara satu sama lain. Sebaliknya, jika lelaki pertama mengizinkan atau meninggalkan perempuan yang telah dipinangnya, maka ia tidak dilarang sama sekali dan lelaki lain masih boleh meminang perempuan itu bagi menjaga maruah pihak perempuan.

Islam menggariskan, selagi belum melafazkan akad nikah, hubungan pasangan yang bertunang seperti orang asing ataupun ajnabi, yang mana mereka tidak boleh bermesra, berpegangan tangan dan sebagainya seperti mana pasangan suami isteri.

Pasangan yang bertunang juga tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani ahli keluarga selagi mereka tidak sah diijabkabulkan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 30-31)

Satu lagi fenomena yang berlaku dalam masyarakat ialah menghebohkan majlis pertunangan. Amalan ini bertentangan dengan sabda Nabi SAW: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan/ hebahkan) perkahwinan.” (Riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair )

Jelaslah pertunangan sepatutnya tidak boleh diheboh-hebohkan seperti perkahwinan. Islam sangat mengambil berat perkara ini demi menjaga maslahat kedua-dua pihak khususnya perempuan kerana ia membabitkan maruah jika perkahwinan tidak berlaku.

Selain itu, antara hikmah disembunyikan pertunangan kerana perkara itu belum pasti terjadi atau berlangsung pernikahan. Kita sebagai hamba hanya mampu merancang, namun Allah juga yang akan menentukan sama ada takdir itu terjadi ataupun tidak.

Seterusnya, pertunangan disembunyikan untuk mengelakkan daripada fitnah dan perbualan umum masyarakat. Adalah lebih baik jika hanya dalam kalangan ahli keluarga saja yang mengetahui mengenai pertunangan itu.

Apabila pertunangan ini disimpan kemas oleh ahli keluarga bagi kedua-dua belah pihak, ia dapat mengelakkan seseorang yang mempunyai niat tidak baik untuk menjatuhkan atau meleraikan ikatan pertunangan.

Hanya apabila sudah tiba masanya barulah berita mengenai perkahwinan pasangan dihebahkan kepada masyarakat sekeliling untuk meraikan kedua-dua mempelai di samping memberitahu orang ramai majlis pernikahan yang bakal berlangsung

Hari Valentine bertentangan syarak

Roh perayaan bercampur perbuatan maksiat bercanggah dengan akidah Islam

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan, hadiah, menyanyikan lagu cinta, membuat upacara tari-menari dan mengadakan acara makan malam disinari cahaya lilin.
Bertukar perasaan di taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.

Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah”

Menurut Ken Sweiger, perkataan Valentine berasal dari bahasa Latin bermaksud ‘yang maha perkasa, yang maha kuat, dan yang maha kuasa’, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine? maka ia telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana telah meminta seseorang menjadi “sang maha kuasa”. Hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan pandangan tokoh agama, menyambut atau meraikan Hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan itu haram dan bertentangan ajaran Islam.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu bercampur perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.
Justeru, ditegaskan pengharaman dan larangan bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend zaman moden tetapi berlandaskan kepada apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, umat Islam diminta tidak merayakan hari berkenaan yang bertentangan ajaran Islam sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah.

Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.

Berdasarkan pemerhatian, perkara ini berlaku kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim.

Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisaa, ayat 119)

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu perkara menjadi jelas.

Jangan kita mengikut contoh umat jahiliah yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan di hati dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Pengajaran Dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w.

Petikan daripada kitab Bimbingan Mukmin

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Barangsiapa yang masih menyangsikan terjadinya perkara-perkara yang luar biasa ini atas diri Rasulullah s.a.w. serta menganggap bahawa berita tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang luar biasa itu tidak dibawa menurut tawatur (bersambung-sambung sehingga sukar dibohongi lagi) seperti tawaturnya Al-Quran, maka yang demikian itu samalah seperti seorang yang masih menyangsikan ketangkasan Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. atau seperti seorang yang masih meragui tentang kemurahatian Hatim at-Tha’i.

Memang benar, bahawa tiap-tiap satu dari kejadian-kejadian tadi tidak tawatur pemberitaanya, akan tetapi pada umumnya keseluruhan kejadian-kejadian itu memberitahu kepada kita semacam pengetahuan yang dharuri. Dan tawatur al-Quran al-Karim itu sudah tidak dapat dipertelingkahkan lagi, dan ia juga merupakan satu-satunya mukjizat yang paling utama dan terbesar sekali, yang masih ada di antara manusia hari ini. Tidak ada seorang Nabi yang mempunyai mukjizat yang masih tinggal, selain dari mukjizat Rasulullah s.a.w. telah mencabar sekalian pakar ilmu bahasa dalam kalangan manusia dan sasterawan-sasterawan Arab seluruhnya.

Kebetulan di masa itu, Jazirah Arab penuh dengan pakar-pakar ilmu bahasa dan sasterawan-sasterawan ulung, sehingga mencapai bilangan ribuan. Orang-orang ini memanglah kerjanya memajukan kesusasteraan dan kefasihan bahasa Arab, maka dengan mukjizat al-Quran itulah Rasulullah s.a.w. telah mencabar mereka dan mengatasi ilmu pengetahuan mereka.

Seringkali pula Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan mereka seraya menyeru mereka mencipta seperti al-Quran, kiranya mereka masih meragui al-Quran. Kemudian meminta mereka mencipta sepuluh Surah saja seperti al-Quraan. Kemudian dengan satu Surah saja … tetapi semua cabaran dan rayuan Rasulullah s.a.w. itu, mereka tetap tidak berkuasa menandinginya.

Baginda s.a.w. lalu membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang berbunyi:

“Katakanlah sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan (mencipta) seperti al-Quran ini, mereka tidak akan mampu mendatangkan sepertinya, meskipun sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.” (al-Isra’: 88)

Baginda s.a.w. telah berkata demikian untuk membuktikan kelemahan mereka itu. Sememangnyalah mereka itu menjadi lemah sekali, bila mereka berhadapan dengan al-Quran al-Karim, sehingga mereka mendedahkan diri mereka kepada penawanan oleh kaum Muslimin dalam peperangan-peperangan yang mereka masih tidak berkuasa untuk menetang al-Quran. Juga tidak mampu untuk mencacatkan keindahan dan kemurniaan al-Quran.

Sesudah itu tersebarlah cerita I’jaz al-Quran ini ke seluruh antero dunia, baik di timur mahupun di barat, dari satu abad ke abad yang lain, dan dari suatu masa ke masa yang lain, hinggalah sampai ke zaman kita ini, tidak ada seorang pun yang sanggup menentangnya.

Adalah suatu kebodohan yang besar, orang yang melihat pada hal-ehwal Rasulullah s.a.w. kemudian kepada tutur katanya, perilakunya, perbuatannya, akhlaknya, budi pekertinya dan seterusnya kepada mukjizat-mukjizatnya, kemudian kepada penyebarannya ke seluruh antero alam, kemudian melihat pula bagaimana sekalian raja-raja dalam zamannya dapat ditundukkan, kemudian raja-raja sesudah zamannya juga dapat ditundukkan sama, padahal Baginda tiada lain, melainkan seorang anak yatim yang lemah saja.

Kemudian sesudah orang itu melihat segala-gala yang tersebut di atas tadi, lalu ia cuba mahu mempertelingkahkan tentang kebenarannya? Alangkah besarnya taufiq dan petunjuk orang yang sudah beriman dengan Nabi s.a.w. kemudian ia membenarkannya pula seraya mengikut jejak langkahnya terhadap semua perintah yang diwahyukan.

Marilah kita memohon Allah Ta’ala agar kita diberikanNya taufiq dan pentunjuk untuk mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. dalam akhlak dan budi pekertinya dalam perilaku dan perbuatannya, dalam segala hal dan keadaannya, dalam kata-kata dan tutur bicaranya dengan kurniaannya dan keluasan kasih sayangnya. Amin.

Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (2)

Petikan daripada kitab Bimbingan Mukmin

… bersambung dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (1) dengan menyebutkan lagi berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

8.  Dalam suatu peristiwa pula, Suraqah bin Malik telah mengejar baginda (ketika berhijrah ke Madinah), lalu tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam tanah, sehingga Suraqah meminta tolong kepada Rasulullah supaya melepaskannya. Baginda pun berdoa dan kaki kuda itu pun terlepas.

9.  Rasulullah s.a.w pernah menelah bahawa akan diletakkan ke atas dua belah bahunya gelang Kisra/Kaiser (Maharaja Parsi) dan ini juga telah berlaku.

10. Baginda s.a.w. telah memberitahu tentang pembunuhan al-Aswad Al-Ansi, pendakwa Nabi yang bohong. Ia akan di bunuh pada malam hari, ketika berada di Sana’a (Yaman). Diberitahukan sekali pembunuhnya.

11. Baginda s.a.w. telah memberitahu bahawa ia sendiri akan membunuh Ubai bin Khalaf al-Jumahi. Maka pada peperangan Uhud, Baginda berjaya memancung leher Ubai dengan sekali pancungan yang lembut saja, di mana Ubai telah menemui ajalnya.

12. Baginda s.a.w. pernah dihidangkan makanan yang beracun. Orang yang makan bersama-sama Baginda telah mati kerana racun itu, tetapi Baginda terselamat dan masih terus hidup empat tahun lagi sesudah peristiwa itu. Baginda terselamat disebabkan daging itu memberitahunya yang ia beracun.

13. Baginda s.a.w. memberitahu perihal tempat pertempuran dengan pasukan-pasukna Quraisy, maka Rasullah s.a.w telah menghentikan mereka itu seorang demi seorang, tidak seorang pun dapat maju lagi ke hadapan dari tempat itu.

14. Baginda s.a.w. memberitahu juga, bahawa segolongan dari ummatnya akan mengharungi lautan, yang kemudian berlaku tepat seperti telahannya.

15. Allah Ta’ala telah menggulung bumi bagi Baginda sehingga terlihat olehnya sudut timur sampai sudut barat. Lalu diberitahukan kepada Baginda, bahawasanya kekuasaan ummatnya akan meliputi segala tempat dalam bumi yang terlihat olehnya tadi. Maka hal ini sebenarnya telah pun berlaku. Sebab kaum Muslimin pernah berkuasa dari sudut timur bermula dari negeri Turki, hingga ke sudut barat dari laut Andalus (Spain) dan negeri Barbar (Algeria dan sekitarnya).

16. Baginda s.a.w. memberitahu puterinya Siti Fatimah radhiallahuanha, yang ia adalah orang pertama sekali akan menyusul Baginda setelah Baginda wafat. Ini betul-betul telah berlaku.

17. Baginda s.a.w. memberitahu isteri-isterinya juga, bahawa yang paling ringan tangannya akan lebih dahulu menyusulnya, setelah Baginda wafat. Maka isterinya yang bernama Zainab r.a. yang terkenal seorang dermawan adalah paling awal sekali mengikutinya di antara isteri-isteri Baginda.

18. Baginda s.a.w. pernah suatu ketika mengusap-usap tetek seekor kambing yang telah kering susunya, maka dengan serta-merta tetek itu mengeluarkan susu. Ini juga telah menyebabkan Abdullah bin Mas’ud r.a. masuk Islam.

Sebelum itu telah berlaku perkara yang sama juga di Khemah Ummi Ma’bad al-Khuza’iah.

19. Sekali peristiwa pernah mata seorang sahabat terkeluar dari kelopaknya, lalu Rasulullah s.a.w. mengembalikan semula mata itu di tempat asalnya dengan penglihatan orang itu menjadi lebih sihat dan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang sama telah berlaku diri Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika matanya sakit di waktu peperangan Khaibar, lalu baginda pun meludah ke mata yang sakit itu, maka baiklah mata itu serta merta. Baginda pun menyerahkan kepadanya panji-panji Islam untuk membuka Kota Khaibar itu.

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.