Tarikh Qiamat adalah rahsia Allah

Rakyat di beberapa negara sudah panik dengan kepercayaan bahawa dunia akan kiamat Jumaat depan. Mereka percaya pengiraan kalendar masyarakat Maya, sebuah tamadun Mesoamerika ribuan tahun lalu yang terkenal dengan seni bina, sistem matematik dan astronomi, akan berhenti esok 21 Disember.

Sebenarnya, orang Maya tidak pernah meramalkan tarikh kiamat. Kepercayaan ini bermula 46 tahun lalu apabila Dr Michael Coe, seorang pakar tamadun Maya, menyatakan bahawa pengakhiran kalendar Maya mungkin mencetuskan Armageddon, seperti disebut dalam kitab Injil. Sejak kenyataan itu, ada orang mempercayai ke tahap menjadi fanatik. Ada yang percaya sebuah planet atau komet akan melanggar bumi atau diserang makhluk asing.

Walaupun NASA menyangkal teori ini, ada orang Amerika yang menyediakan rumah perlindungan bawah tanah untuk menangkis nyalaan solar dan radiasi. Di Rusia, ramai mula menyimpan bekalan makanan dan keperluan utama hinggakan Perdana Menteri Dmitry Medvedev terpaksa membuat pengumuman untuk meredakan keadaan.

Kita orang Islam percaya hari kiamat adalah rahsia ALLAH SWT. Hatta Nabi Muhammad SAW pun tidak tahu bilakah kiamat akan berlaku. Dalam Surah Al-A’raf, ayat 187 bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya?

Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.

Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Selanjutnya, sabda Rasulullah SAW, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya Baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kita wajib mempercayai hari kiamat. Malah kita telah diberikan tanda-tanda akan berlaku kiamat. Ayat 7 Surah Al-Hajj bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya dan bahawa sesungguhnya ALLAH akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang di dalam kubur.”

Daripada Anas RA katanya: “Akan kusampaikan kepadamu sebuah hadis yang tidak akan disampaikan orang kepadamu sepeninggalanku.

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda-tanda kiamat ialah: berkurangnya ilmu, meratanya kebodohan, berlakunya (merebaknya) perzinaan dan banyaknya perempuan serta sedikitnya lelaki sehingga bagi 50 perempuan hanya seorang pengawalnya.

Rasulullah SAW telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat-mengingati satu sama lain, lalu Baginda SAW bertanya: “Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?”

Kami menjawab: ”Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya”; Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya 10 alamat.” Lalu Baginda SAW menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya’juj wa Ma’juj.”

Antara tanda-tanda kecil kiamat ialah ramainya pembohong besar (Sahih Muslim), ramainya saksi palsu (HR Ahmad), orang bodoh dan hina mendapat kedudukan terhormat (HR At-Tabrani), ramai orang soleh meninggal dunia (HR Ahmad) dan sikap orang Muslimin yang memberikan salam kepada orang yang dikenali sahaja (HR Ahmad).

Juga apabila bulan sabit kelihatan besar (HR At-Tabrani), penaklukan Baitulmaqdis (Sahih Bukhari) dan apabila negara Arab menjadi padang rumput dan sungai (Sahih Muslim).
Kesemua tanda kecil ini telah pun berlaku. Kelak menyusul pula tanda-tanda besar kiamat.

Hendaklah kita sama-sama mengambil iktibar. Jadikanlah al-Quran dan Hadis sebagai rujukan utama perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: